Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Prasekolah, tabika dibuka mulai 1 Julai, ikut SOP – menteri kanan

SHAH ALAM, 15 JUN: Prasekolah dan tabika dibuka semula mulai 1 Julai ini selepas Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) membentangkan tatacara operasi piawai (SOP) hari ini.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata perkara itu diputuskan pada mesyuarat khas dan perincian operasi akan diumumkan kementerian dalam masa terdekat.

“Mesyuarat Khas bersetuju pembukaan prasekolah dan tabika bermula 1 Julai 2020. SOP yang terperinci akan diumumkan oleh KPM,” kata menteri kanan (kluster keselamatan) ketika sidang media di Putrajaya.

Secara kesluruhan terdapat 6,216 prasekolah di bawah KPM, 7,887 swasta, 1,781 tabika di bawah Kementerian Perpaduan Negara serta 8,530 tabika Kemas di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

Operasi tabika dihentikan sejak 18 Mac lalu susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan Covid-19.

KPM sebelum ini turut mengumumkan pembukaan semula sesi persekolahan pada 24 Jun hadapan membabitkan pelajar tingkatan 5 dan 6 yang menghadapi peperiksaan utama.

Categories
AGENDA NASIONAL

Baki 6,696 taska dibenar operasi, patuhi SOP

SHAH ALAM, 2 JUN: Taman asuhan kanak-kanak (taska) di seluruh negara dibenar memulakan operasi mulai hari ini, kata menteri kanan (keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pengendali taska perlu mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) digariskan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

“Sebelum ini kerajaan hanya benarkan 304 taska beroperasi dan hari ini kerajaan bersetuju membenarkan baki 6,696 taska beroperasi selepas berpuas hati dengan SOP yang dikemukakan KPWKM.

“SOP yang perlu dipatuhi antaranya merangkumi proses sewaktu hantar bayi ke taska, sewaktu penjagaan dan sewaktu ambil anak pulang,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Mengenai status taman didikan kanak-kanak (tadika), taman bimbingan kanak-kanak (tabika) dan pra sekolah, Ismail berkata Kementerian Pendidikan diarahkan menyediakan SOP sebelum dibenarkan beroperasi kembali.

“Jika kerajaan berpuas hati dengan SOP yang dikemukakan kita jangkakan tadika, tabika dan pra sekolah mungkin boleh kembali dibuka bermula Julai nanti,” katanya.