Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Parlimen perlu lebih kuasa elak PM terlalu berkuasa

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 9 SEPT: Penganalisis politik berpendapat Parlimen perlu diberi kuasa mencabar keputusan penting dibuat Perdana Menteri termasuk isu perlantikan jawatan penting.

Timbalan Naib Canselor Universiti Selangor (UNISEL), Prof Dr Shaharuddin Badaruddin berkata, ia boleh dilakukan dengan meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengelakkan kuasa berlebihan Perdana Menteri.

“Sepatutnya keputusan Perdana Menteri mesti ada kuasa parlimen kemudiannya, tak patut berhenti di peringkat Perdana Menteri dan kemudiannya Yang Dipertuan Agung supaya parlimen berhak mencabar keputusan itu sekiranya tidak berpuas hati dengan sesuatu keputusan Perdana Menteri.

“Di Amerika, walaupun presiden berhak melantik dalam sesuatu jawatan penting seperti Peguam Negara misalnya tetapi akhirnya parlimen atau kongres berhak untuk mencabar dan menolak lantikan itu dengan sebab tertentu melalui undian ahli kongres,” katanya ketika dihubungi SelangorKini di sini, hari ini.

parlimenKata Pengarah Institut Darul Ehsan (IDE) itu, pada masa ini perlantikan jawatan penting itu dibuat berdasarkan perkenan Yang Dipertuan Agung selepas mendapat nasihat Perdana Menteri.

Katanya, cadangan Pakatan Harapan menghadkan pemegang jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun atau dua penggal merupakan keputusan tepat.

“Kita tidak boleh menidakkan kuasa Perdana Menteri kerana sudut politiknya memang Perdana Menteri berkuasa memilih sesiapa dikehendakinya apabila dia menang hasil dipilih rakyat tetapi terlalu banyak kuasa menyebabkan cenderung untuk salah gunakan kuasa.

“Misalnya Amerika Syarikat maksimum lapan tahun sahaja tak kira kamu sihat lagi atau kamu muda lagi, kamu wajib letak jawatan dan begitu juga Indonesia lima campur lima tahun lagi iaitu maksimum dua penggal kerana dalam teorinya kalau lebih dua penggal dia berpotensi untuk korup atau salah gunakan kuasa kerana dia terlalu bersifat autorian,” katanya.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Tiada lagi teka teki pilihan raya jika Pakatan menang PRU-14?

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 7 SEPT: Penganalisis politik, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin berpendapat pindaan perlembagaan persekutuan boleh dilakukan kerajaan memerintah selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bagi membolehkan sistem pilihan raya dijalankan dengan lebih telus dan adil kepada semua parti bertanding.

Katanya, antara pilihan terbaik adalah membuat pindaan membebaskan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) daripada cengkaman Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan dipindahkan di bawah kuasa Yang Dipertuan (YDP) Agong.

“Sekarang memang menjadi teka teki bila pilihan raya, bergantung kepada waktu pemerintah kuat atau bila ada ‘wow factor’, waktu itulah pilihan raya dilaksanakan mengikut kesesuaian.

Prof_Dr_Shaharuddin_Badaruddin“Pada masa ini, pembubaran parlimen oleh YDP Agong dengan nasihat Perdana Menteri. Daripada situlah SPR akan menentukan bilakah tarikh pilihan raya tetapi masalahnya di Malaysia ini SPR diletakkan di bawah JPM.

“Keduanya, yang nak menentukan pembubarkan parlimen itu juga bergantung atas nasihat Perdana Menteri kepada YDP Agong dan ini menjadikan Perdana Menteri mempunyai kuasa cukup besar menentukan bila pilihan raya dijalankan,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Pengarah Institut Darul Ehsan (IDE) itu juga berkata, kedudukan YDP Agong sebagai Ketua Negara sepatutnya berkuasa bagi menetapkan masa pembubaran parlimen dan seterusnya tarikh pilihan raya lebih awal tanpa perlu mendapat nasihat Perdana Menteri.

Katanya, pada masa ini Yang Dipertuan Agong juga mempunyai ahli majlis mesyuaratnya tersendiri seperti Majlis Raja-raja bagi memutuskan sebarang keputusan penting melibatkan kepentingan negara.

Bagaimanapun, katanya lagi, sebarang pindaan yang mahu dibuat perlulah menekankan aspek keseimbangan kuasa antara kuasa YDP Agong dan parti menguasai kerajaan.

Katanya, selain itu tarikh pembubaran parlimen dan pilihan raya juga boleh ditetapkan lebih awal lagi walaupun tiada pindaan perlembagaan dibuat sekiranya wujud semangat demokrasi yang kuat di dalam pentadbiran sesebuah kerajaan.

undi“Katakanlah penggal baru pentadbiran pada 2018 dan matang pada 2023, pilihan raya sudah boleh diumumkan pada 2023 dan sekiranya tak patuh pada janji, dia akan dihukum oleh rakyat tetapi kaedah ini tetap tidak terikat dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Katakanlah dia kata nak bubar pada Mac 2023 tetapi tanpa adanya ikatan perundangan, tetap ada risiko janji tinggal janji. Walaupun kita katakan dia akan dihukum oleh rakyat kerana mungkir janji tetapi kita tahu rakyat mudah lupa,” kata Shaharuddin yang juga Timbalan Naib Canselor Universiti Selangor (UNISEL).

Mengambil contoh negara luar seperti Amerika Syarikat dan Indonesia, Shaharuddin berkata, tarikh pilihan raya diumumkan lebih awal dan sekaligus membolehkan pilihan raya dijalankan dengan lebih adil kepada semua parti bertanding.

Bagaimanapun, berbanding negara yang mengamalkan sistem berpresiden, Malaysia merupakan negara yang mengamalkan sistem berparlimen yang memerlukan pindaan perlembagaan persekutuan dijalankan.

Categories
SELANGOR

UNISEL terima kunjungan pelajar Islam Kemboja, dedah kepimpinan profesional

OLEH SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 28 JULAI: Universiti Selangor (UNISEL) menerima kunjungan delegasi 28 pelajar Islam Kemboja sempena ‘Future Muslim Leaders & Visit to Malaysia 2016’ anjuran Union of Muslim Youth of Combodia (UMYC) di Kampus Shah Alam, semalam.

Timbalan Naib Canselor Pembangunan Pelajar dan Jaringan Komuniti, Prof. Dr. Shaharuddin Badaruddin, berkata program itu memberi pendedahan kepada belia Muslim terpilih untuk menjadi pemimpin masyarakat Islam di Kemboja pada masa hadapan.

UNISEL UMYC“Pada era ini kepimpinan Islam sangat penting untuk transformasi sesebuah Negara.

“Penekanan elemen kepimpinan perlu dititikberatkan adalah ilmu yang meluas untuk mendepani geopolitik yang penuh dengan cabaran,” katanya dalam kenyataan.

UMYC adalah sebuah pertubuhan Islam berkolabrasi bersama International Institute of Islamic Thought (IIIT) dan beberapa pertubuhan lain sedang memulakan projek lima tahun dalam menyediakan latihan kepimpinan profesional dan rangkaian untuk pemimpin belia Islam di Kemboja.

-nR-

Categories
SELANGOR

Wacana Sejarah Tamadun Selangor rujukan masa depan

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 17 FEB: Wacana Sejarah Tamadun Selangor diharap menjadi medan perkongsian pengkaji melakar kembali sejarah tempatan untuk rujukan generasi akan datang.

Timbalan Naib Canselor, Pembangunan Pelajar dan Jaringan Komuniti Universiti Selangor (UNISEL), Prof Dr Shaharuddin Badaruddin, berkata wacana itu penting ekoran sejarah masa lalu menjadi panduan mendepani masa hadapan.

PROF MADYA DR SHAHARUDDIN“Tiba masanya kita melakar sejarah tempatan kerana lazimnya kalau dilihat daripada sudut ketamadunan sesuatu bangsa, maka ia bergantung kepada kepentingan sejarah.

“Ketamadunan sejarah bangsa besar, mereka mempunyai catatan penting berkenaan tokoh sejarah, pelayar dan sebagainya dijadikan rujukan utama,” katanya dalam ucapan perasmian Wacana Sejarah Tamadun Selangor di sini, hari ini.

Beliau berkata, wacana terbabit amat signifikan ekoran sejarah Malaysia kini didominasi pihak pemerintah seolah-olah sejarah itu hak sesebuah negara.

Katanya, penentuan dalam catatan sejarah kini dikuasai mereka yang menang dalam politik.

“Suasana ini kita harus ubah dengan melihat kembali kepada faktor sejarah tempatan yang berlaku.

“Semoga wacana dapat melahirkan penyelidik muda yang serius dalam pengkajian berkenaan sejarah Selangor,” katanya.

Unisel-GrafikSementara itu, Pengarah Pusat Jaringan Komuniti (Comnet) Unisel, Izwan Suhadak Ishak berkata, wacana itu bertujuan membudayakan pengkisahan sejarah Selangor selain memberi peluang meluas kepada pengkaji muda.

“Wacana ini adalah ruang kepada penyelidik muda berkongsi hasil kajian berkenaan sejarah Selangor untuk dinikmati.

“Hasil diskusi ini diharap akan menjadi rujukan kepada pihak berkepentingan merencana pembangunan peradaban di Selangor dalam konteks Pembangunan Berkualiti Rakyat Dipeduli,” katanya.

Antara pembentang kertas kerja dalam wacana bertajuk Membongkar SEjarah, Melakar Tamadun terbabit adalah Dorektor Pusat Warisan Kajang, Lee Kim Sin; Felo Institut Darul Ehsan, Dr Muhammad Alinor Abdul Kadir serta penyelidik, Tarmizi Hasrah, Mohd Rohaizat Abdul Wahab dan Muhamad Hanapi Jamaludin.

-AA-