Categories
NASIONAL SELANGOR

Selangor Tangani Pencemaran Projek Ternakan Khinzir

KUALA LANGAT 11 MEI : Kerajaan negeri akan segera selesaikan masalah pencemaran alam yang berpunca daripada projek ternakan khinzir, di daerah ini.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata pencemaran air dan bau itu akan ditangani segera demi keselesaan penduduk tanpa merugikan penternak.

“Kita akan mengambil kira keseluruhannya dan saya yakin masalah ini boleh diselesaikan kerana kerajaan negeri memandang serius masalah ini.

“Apabila masalah ini selesai, kita yakin harga tanah akan melonjak lebih tinggi kerana rakyat merasakan tempat ini bersih dari segi alam sekitar, pentadbiran dan cara pengurusannya,” katanya dalam ucapannya di Program Khas Terima Kasih Rakyat, Tanjung Sepat.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohammed Khusrin Munawi, Pegawai Daerah Kuala Langat, Mohammad Hafiz Shaari, Exco Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Dr Yaakob Sapari.

Juga hadir Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail, Exco Kesihatan, pekerja ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar.

Exco Pendidikan dan pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali, Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Samad dan Exco Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah turut kelihatan.