Categories
AGENDA NASIONAL

Selangor cadang selesai projek rumah bekas pekerja ladang di Banting

SHAH ALAM, 16 OKT: Kerajaan Negeri akan membantu menyelesaikan isu perumahan bekas pekerja Ladang Dusun Durian di Banting sekiranya pemaju projek ditukar.

EXCO Perumahan berkata setakat ini pemaju dan pemilik tanah terikat dengan klausa yang termaktub dalam surat wakil kuasa dan perjanjian jual beli.

Rodziah Ismail mencadangkan supaya kedua-dua pihak menyelesaikan perkara ini melalui saluran perundangan iaitu menerusi mahkamah.

“Ini kerana pemaju ada mengambil duit dianggarkan RM1.98 juta daripada penduduk sebagai deposit. Tanggungjawab pemaju ialah pulangkan semula dan pemilik tanah buat keputusan siapa pemaju yang mereka mahu.

“Pemaju lepaskan lantikan, pemilik tanah batalkan kemudian Kerajaan Negeri akan campur tangan. Kita tidak boleh terus mengambil tanggungjawab ini tanpa dilepaskan pemaju terlebih dahulu,”katanya dalam sidang media di Foyer SUK semalam.

Sementara itu, Rodziah berkata, buat masa ini pihaknya belum pernah berjumpa dengan pemaju sebaliknya mereka hanya menghantar wakil ahli lembaga syarikat sahaja.

“Selain itu, pemaju juga tidak berusaha untuk berbincang dengan 109 pemilik tanah yang hanya bersetuju kenaikan rumah sebanyak 15 peratus sahaja.

“Kerajaan Negeri tidak ada halangan pemaju meletakkan harga tetapi dengan syarat mestilah mendapat persetujuan pemilik tanah,”katanya.

Terdahulu, projek perumahan itu dibina di atas tanah milik Golden Hope Plantations (Peninsular) Sdn Bhd (Golden Hope) manakala Era Permai Sdn Bhd selaku pemaju terbengkalai sejak 2006.

Tanah seluas 10 ekar diberikan adalah sebahagian pakej pemberhentian pekerja ladang iaitu dua ekar diperuntuk tanah kuil dan selebihnya kediaman pekerja ladang.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

85 peratus projek perumahan kembali beroperasi – Rehda

SHAH ALAM, 22 JULAI: Sebanyak 85 peratus projek perumahan seluruh negara kembali beroperasi selepas tergendala sejak Mac lalu susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda) berkata terdapat pemaju melakukan ubah suai pelan asal rumah bagi mengurangkan kos pembinaan, sekaligus menurunkan harga pasaran hartanah.

“Ketidaktentuan ekonomi dalam dan luar negara yang terkesan dengan penularan Covid-19 menyebabkan sektor perumahan bergerak perlahan dan jangkaan Rehda keadaan ini berterusan sehingga akhir tahun.

“Setakat ini pemaju perumahan yang berdaftar di bawah Rehda masih mampu bertahan dan tiada yang gulung tikar, namun kita berharap ekonomi negara pulih sepenuhnya tahun hadapan bagi mengelak kesan
lebih buruk,” kata Datuk Ir Soam Heng Choon kepada SelangorKini.

Beliau berkata prestasi sektor perumahan bergantung kepada keberkesanan insentif cukai diperkenalkan kerajaan bagi merancakkan semula pasaran.

“Kempen Pemilikan Rumah (HOC) memberi pengecualian duti setem terhad kepada RM1 juta pertama bagi pembelian rumah bernilai RM300,000 hingga RM2.5 juta.

“Selain itu had pembiayaan pinjaman rumah ketiga dan seterusnya bernilai RM600,000 ke atas tidak lagi tertakluk kepada 70 peratus daripada nilai rumah diharap merancakkan sektor ini,” katanya.

Categories
SELANGOR

Dahlah Curi Idea Manifesto, Kini Umno-BN “Curi Kredit” Kejayaan PR Selangor

MB PC Mic Tie Blue 01

SHAH ALAM 29 APR : Kredibiliti Umno-BN Selangor didakwa menjunam lagi apabila gagasan itu cuba memancing undi dengan ?mencuri kredit? kejayaan Pakatan Rakyat Selangor.

Terbaru Pengerusi Umno-BN Datuk Seri Najib Razak cuba meraih sokongan dengan menawarkan potongan harga rumah Bukit Botak, sebuah projek perumahan yang diabaikan Umno-BN tetapi diselamatkan dan disiap Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor.

Najib, yang juga Pengerusi Umno-BN Selangor, turut disangah oleh Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim apabila beliau cuba mengambil kredit dalam penyelesaian projek rumah terbengkalai Alam Perdana.

“Adalah lucu apabila Najib tiba-tiba ke Alam Perdana dan menabur janji serta memberi maklumat salah seolah-olah beliaulah hero. Sedangkan penduduk tempatan telah bekerjasama dengan Kerajaan Negeri untuk selesaikan masalah tersebut.

“Saya tidak menjangka Najib akan merendahkan martabat dan kredibilitnya sebagai seorang Perdana Menteri sementara dan ini juga menunjukkan beliau sanggup melakukan apa sahaja untuk dapatkan Selangor kembali,” ujar Abdul Khalid dalam satu sidang media di sini.

Semalam, Najib mendakwa Kerajaan BN melalui Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) menyelesaikan masalah rumah pangsa kos rendah Bandar Alam Perdana di Ijok yang terabai lebih sepuluh tahun.

bukit botak rumah asri 01

Hakikatnya, Kerajaan Negeri mengambil alih projek yang berkeluasan 1,037 ekar itu daripada SPNB dan membelanjakan sebanyak RM 200 juta untuk menyiapkan projek tersebut, membayar pinjaman bank dan menyediakan infrastruktur lain.

Najib dalam satu siri kempen lain turut menjanjikan harga rumah projek Bukit Botak di Selayang akan diturunkan sehingga RM 70,000 daripada harga yang ditawarkan Kerajaan Negeri, RM 99,000 sekiranya BN diberi mandat menerajui Kerajaan Negeri.

Mengulas tawaran tersebut, Abdul Khalid berkata tawaran itu membuktikan ketidakcekapan dan ketidaktelusan Umno-BN dalam membelanjakan wang pembayar cukai.

“Kenapa pula hendak dibelanjakan lagi wang pembayar cukai kepada perkara atau masalah yang sudah selesai, kalau Najib ada duit lebih gunakanlah untuk menolong projek-projek lain.

“Saya tidak sangka pemikiran Perdana Menteri begitu cetek.

“Lebih baik wang RM 20,000 yang ditawarkan seunit itu digunakan untuk menyelesaikan 140 lagi projek perumahan terbengkalai lain yang ditinggalkan Umno-BN, yang kini masih lagi Kerajaan Negeri (PR Selangor) berusaha untuk selesaikan.”

Kerajaan Negeri berjaya menyiapkan 1,422 unit rumah di projek Bukit Botak yang terbengkalai sejak 1985, yang tidak pernah diselesaikan pentadbiran Umno-BN dahulu.