Categories
SELANGOR

Warga emas turut sama berdebar dan teruja tunai undi

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 9 MEI: Walaupun pada usia emas, Siti Asiah Sheikh Abdul Rashid, 71, tidak patah semangat untuk keluar memenuhi tanggungjawab keluar mengundi.

Malah, beliau teruja apabila menjadi orang kedua mengundi di Pusat Daerah Mengundi di Sekolah Kebangsaan Telok Menegun.

“Kami sekeluarga datang awal ke pusat mengundi ini. Walaupun sudah beberapa kali mengundi, namun perasaan teruja dan gementar masih ada.

“Ini juga mungkin pilihanraya yang terakhir bagi saya atau mungkin saya masih berpeluang mengundi,” katanya kepada SelangorKini.

Siti Aisah menyifatkan mengundi lima tahun sekali merupakan tanggungjawab biarpun tidak kira bagaimana keadaan kesihatan.

“Sudah menjadi tanggungjawab. Saya berharap kepimpinan yang dipilih dapat melaksanakan amanah dengan sebaiknya,” katanya.

Parlimen Kota Raja menyaksikan sebanyak 121,126 pengundi.

Pada PRU12 dan 13, kerusi parlimen itu dimenangi oleh Dr Siti Mariah Mahmud dengan majoriti sebanyak 20,751 dan 29,395.

Manakala, peratusan mengundi pula masing-masing 79.7 peratus dan 87.50 peratus.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Tiga sekawan berbilang bangsa, undi untuk Malaysia baru

OLEH ERMIZI MUHAMAD

GOMBAK, 9 MEI: Tiga sekawan berbilang bangsa, tidak melepaskan peluang untuk turut sama membuang undi pada Pilihan Raya Umum (PRU14), ini.

Menariknya, Shamilla Rajakumar (25), bersama Syahira Abd Wahab (24) dan Karen Liew (24) merupakan pengundi kali pertama mengundi pada PRU ini.

“Saya berharap, sebuah Kerajaan bersih akan dibentuk hasil daripada pilihan raya kali ini,” kata Shamilla.

Karen Liew pula berkata, pilihan raya ini menjadi platform terbaik kepada rakyat untuk memilih sebuah kerajaan yang tidak menekan rakyat.

“Pastinya pilihan saya adalah sebuah kerajaan yang menolak pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST),” katanya kepada SelangorKini.

Bagi Shahira, golongan muda perlu menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia untuk mengundi.

“Ini tanggungjawab kita sebagai golongan muda,” katanya.

Ketiga-tiga mereka hadir membuang undi di Pusat Pengundian SMK Sungai Kertas, petang ini.

=EZY=

 

Categories
SELANGOR

Tiga anak Maria Chin teruja kali pertama mengundi

OLEH AFIX REDZUAN

PETALING JAYA, 9 MEI: Tiga anak lelaki calon kerusi Parlimen P105 Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah teruja untuk melaksanakan tanggungjawab membuang undi buat kali pertama pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Mereka adalah Azemi Maria Mohamad Yunus, 22, Aziman Maria Mohamad Yunus, 23 dan Azumin Mohamad Yunus, 25, yang hadir ke Sekolah Menengah Kebangsaan Tropicana sekitar jam 11.15 pagi bersama ibu mereka.

Azemi Maria ketika ditemui berkata beliau bersemangat untuk mengundi kali pertama tambahan ibunya turut menjadi calon.

“Pengalaman yang sangat menarik untuk mengundi buat kali pertama terutama kami tiga beradik akan mengundi bersama,” katanya.

Maria bersama anaknya masuk bagi membuang undi sekitar jam 11.40 pagi.

Namun, beliau membuat keputusan untuk keluar dan hanya akan membuang undi sekitar jam 3.00 petang ini kerana barisan pengundi yang menunggu masih panjang.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Calon PAKATAN DUN Batu Tiga dan DUN Kota Anggerik selesai mengundi

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 9 MEI: Calon Pakatan Harapan (Pakatan) bagi kerusi DUN Batu Tiga, Rodziah Ismail selesai menunaikan tanggungjawab mengundi di Sekolah Kebangsaan Seksyen 18(P) di sini.

Beliau yang hadir bersama empat orang anaknya lagi di pusat mengundi kira-kira jam 9.15 pagi dan selesai sekitar jam 9.45.

Rodziah berkata itu adalah kali empat beliau mengundi di tempat pengundian itu sejak beliau menetap di Shah Alam.

“Kesemua enam ahli keluarga saya mengundi di sini, bagaimanpun suami akan mengundi lewat petang selepas selesai urusan kerja.” katanya ketika ditemui Selangor Kini.

Rodziah turut melahirkan rasa teruja melihat kehadiran begitu ramai warga Shah Alam turun mengundi dan sanggup beratur seawal jam 7 pagi.

“Saya gembira melihat respon di pagi begitu baik dan kita anggarkan inshaAllah sebelum petang dah boleh selesai.

“Bagaimanapun, pegawai-pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dinasihatkan untuk turut bersabar memberi masa pengundi berfikir sebelum mengundi,” katanya yang lengkap berbaju kurung berwarna biru muda.

Turut hadir disini membuang undi adalah Calon PAS untuk kerusi yang sama adalah Abdul Halim Omar.

Dimaklumkan beliau tiba sekitar seawal 8.10 dan sekitar 9 pagi.

Setakat ini, keadaan sekitar di pusat menundi di Shah Alam masih dalam keadaan terkawal serta proses mengundi berjalan lancar tanpa sebarang insiden yang tidak diingini berlaku.

Pada masa sama, Calon Kota Anggerik, Najwan Halimi turut selesai mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan USJ 4 sekitar jam 8.40 pagi.

=EZY=

 

Categories
SELANGOR

‘Gula-gula’ saat akhir Najib tak laku

OLEH NADIAH ZAMLUS

AMPANG, 9 MEI: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Mohamed Najib Tun Razak dilihat terdesak apabila cuba memancing undi dengan pemberian ‘gula-gula’ menerusi Perutusan Khas sempena Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) malam tadi.

Antara janji yang ditawarkan termasuk belia berusia 26 tahun dan ke bawah akan diberikan pengecualian cukai pendapatan, bermula dari tahun taksiran 2017 dan tahun-tahun berikutnya dengan serta merta.

Kemudiannya, Najib turut menawarkan tidak ada sebarang bayaran tol yang akan dikenakan atau tol percuma kepada pengguna lebuhraya di seluruh negara selama dua hari berturut-turut menjelang Hari Raya Aidilfitri kali ini.

Bagaimanapun janji-janji manis yang ditaburkan Najib hanya ditertawakan orang ramai terutamanya pengguna media sosial.

Salah seorangnya yang dikenali sebagai Yau Edu berkata, pengecualian cukai bagi belia berusia 26 tahun ke bawah adalah tidak logik.

“Berapa ramai yang bergaji RM3,000 pada umur berkenaan, sedangkan mereka masih bergaji rendah, BN juga memberikan tol percuma, tapi rakyat Malaysia sendiri bijak, bahagia dua hari tidak sama dengan derita lima tahun,” tulisnya di laman facebook.

Bagi Malip Udin pula menyatakan rasa anehnya gara-gara BN mengumumkan manifesto sebanyak dua kali.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

14,449,200 rakyat Malaysia laksana pengundian hari ini

SHAH ALAM 9 MEI: Rakyat Malaysia mengundi hari ini untuk memilih kerajaan yang akan menerajui negara bagi tempoh lima tahun akan datang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Seramai 14,449,200 daripada jumlah keseluruhan 14,940,624 pemilih berdaftar yang diwartakan akan mengundi mulai 8 pagi hingga 5 petang ini.

Baki pemilih yang lain adalah pengundi tidak hadir luar negara, pengundi pos dan pengundi awal.

Seramai 2,333 calon bertanding bagi merebut 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya umum kali ini. Pada hari penamaan calon, Barisan Nasional (BN) menang tanpa pertandingan kerusi DUN Rantau di Negeri Sembilan.

Untuk tujuan pengundian hari ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyediakan 8,253 pusat mengundi yang mempunyai 28,115 saluran mengundi.

Kos pengendalian PRU14 dianggarkan berjumlah RM500 juta.

Bagi menjalankan proses PRU14, SPR melantik 222 pegawai pengurus pilihan raya selain 259,391 petugas pilihan raya.

SPR menjangkakan keputusan PRU14 akan dapat diketahui seawal 9 malam.

Pemilih boleh membuat semakan pengundian masing-masing seperti nama Pusat Mengundi dan saluran mengundi (dalam buku Daftar Pemilih) melalui aplikasi MySPR Semak atau laman pengundi spr.gov.my atau sistem Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) dengan menaip SPRSEMAK No kad pengenalan dan hantar ke 15888 atau menghubungi talian 03-88927018 atau semak di barung SPR.

Categories
NASIONAL

Pengundi luar negara kecewa tak terima kertas undi pos

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 7 MEI: Warganegara Malaysia yang menetap di luar negara kecewa gara-gara masih tidak menerima kertas undi pos daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sehingga hari ini.

Muhammad Hidayat Shafie yang kini bertugas di Arab Saudi meluahkan rasa kecewanya di Facebook ekoran kegagalan SPR berkenaan.

Katanya, terdapat ramai rakannya yang turut bekerja di Saudi tidak menerima kertas yang ditunggu sejak minggu lalu.

“Berbanding dengan pilihan raya lalu, SPR akan menghantar kertas undi pos di kedutaan selepas selesai urusan pendaftaran, bezanya kali ini SPR memaklumkan akan menghantar kertas undi pos kepada alamat kami, anehnya sampai ke hari ini ia masih belum tiba, kami sangat kecewa.

“Lebih menyedihkan apabila perkara ini turut berlaku kepada ramai rakan saya yang bekerja di luar negara termasuk Australia, Ireland dan sebagainya, jika kertas undi diterima lambat, tidak mungkin ia sampai pada 9 Mei yang tinggal dua hari saja lagi,” katanya.

Pada 5 Mei lalu, Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata, pihaknya memberi jaminan semua kertas undi terbabit akan sampai di tangan pengundi dan menghantarnya semula kepada pegawai pengurus pilihan raya kawasan pengundian masing-masing sebelum jam 5 petang, pada 9 Mei ini.

Sementara itu Pengarah Eksekutif BERSIH, Yap Swee Seng menempelak SPR dengan mengatakan masih ramai pengundi belum menerima kertas undi pos walaupun hari pengundian bakal berlangsung dua hari lagi.

Beliau berpendapat SPR tidak boleh menyalahkan Pos Malaysia, yang bertanggungjawab untuk mengeposkan undi kepada pengundi pos dalam negeri dan luar negara, kerana SPR yang memutuskan tempoh berkempen 11 hari antara hari penamaan calon pada 28 April ke hari pengundian pada 9 Mei.

“Saya fikir kita tidak patut menyalahkan Pos Malaysia. Keseluruhannya, SPR yang mesti dipersalahkan kerana hampir menjadi misi mustahil Pos Malaysia untuk menghantar kertas undi ke semua tempat di dunia dalam masa yang singkat,” katanya.

 

Categories
NASIONAL

Anggota polis terkilan kad pengenalan ‘disahkan mengundi’

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 6 MEI: Proses pengundian awal Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) semalam ‘dicemari’ insiden seorang anggota keselamatan tidak dibenarkan membuang undi disebabkan kad pengenalannya telah ‘disahkan mengundi’.

Ahmad Fadli Zahar, 38, seorang anggota polis terkejut selepas beliau tidak boleh membuang undi di lokaliti 121/00/01/704, Dewan Badminton PERKEP, Ibupejabat Polis Bukit Aman pada jam 1 petang apabila dimaklumkan pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa beliau sudah disahkan mengundi menerusi semakan kad pengenalan di saluran (1).

Dalam laporan polis yang dibuat pada jam 4.45 petang di Balai Polis Dang Wangi Kuala Lumpur, beliau menyatakan sudah menunjukkan bukti jarinya tidak mempunyai sebarang kesan dakwat kekal kepada pegawai berkenaan.

“Seorang pegawai SPR telah mengambil kad pengenalan milik saya dan telah berbisik kepada saya untuk berbincang di luar dan menunggu semakan daripada pihak SPR.

“Selama hampir dua jam menunggu di luar saluran, pegawai itu berbalik berbincang dan meminta saya bersabar sehingga proses pengundian selesai.

“Saya telah mengambil keputusan untuk membuat semakan semula ke atas nama saya dan sekali lagi pegawai SPR tersebut memaklumkan kepada saya yang saya tidak layak mengundi,” katanya dalam laporan.

Dalam laporan itu beliau melahirkan rasa terkilan terhadap tindakan dan kesilapan SPR sehingga menidakkan haknya sebawai warganegara Malaysia untuk mengundi.

SelangorKini berjaya menghubungi Ahmad Fadli menerusi aplikasi Whatsapp dan beliau mengesahkan laporan polis berkenaan.

Beliau mengakui melakukan semakan nama di daftar pemilih sebelum tampil untuk membuang undi kerana ini merupakan PRU yang kedua beliau mengundi awal dan kali pertama gagal berbuat demikian.

“Ada (buat semakan daftar pemilih), nama saya telah diundi oleh orang lain,” katanya.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Skrip lama Umno, PAKATAN bawa Melayu ke zaman Jepun

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA SELANGOR, 6 MEI: Umno mendendangkan skrip lama dengan mencanangkan kononnya Pakatan Harapan (PAKATAN) akan menyebabkan orang Melayu ketinggalan zaman dan seolah-olah hidup di zaman pemerintahan Jepun.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Umno juga sengaja mewujudkan perasaan menakutkan masyarakat dengan dakwaan kononnya akan berlaku huru-hara jika PAKATAN menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti.

“Sudah tentu pihak sebelah sana yang melawan kita Umno dan Barisan Nasional (BN) sedang mencanangkan cerita dongeng kononnya jangan bawa perubahan di peringkat Persekutuan kerana perubahan itu akan membawa musibah.

“Jangan bawa perubahan di peringkat Persekutuan kerana akan berlaku huru-hara. Jangan bawa perubahan peringkat negara kerana orang Melayu akan ketinggalan dan balik ke zaman Jepun, makan ubi kayu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Ceramah Umum Pakatan Harapan di Kampung Assam Jawa di sini, malam tadi.

Bagaimanapun jelasnya, Kerajaan PAKATAN Selangor berjaya membuktikan kemampuan mentadbir Kerajaan lebih baik berbanding 60 tahun di bawah Umno.

Katanya, kejayaan ini membuktikan PAKATAN mampu memenuhi tanggungjawab sebagai Kerajaan Persekutuan lebih baik berbanding Umno jika menang Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti.

=EZY=

 

Categories
NASIONAL

‘Anwar’ dan ‘Tun M’ sapa pengundi Pulau Pinang

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 4 MEI: Pengunjung Pasar Bayan Baru di Pulau Pinang terkejut apabila disapa Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Pakatan Harapan (PAKATAN), Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun, ia hanyalah gimik calon PAKATAN, Sim Tze Tzin bersama penyokongnya yang memakai topeng Anwar dan Tun Mahathir.

Tze Tzin yang juga calon P52 Bayan Baru berkata, beliau sengaja mahu menyindir Barisan Nasional (BN) apabila dilihat seolah takut dengan dua pemimpin gergasi PAKATAN itu.

Katanya, pihaknya kecewa kerana wajah dua pemimpin Malaysia itu dilarang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ketika berkempen atas alasan tidak munasabah.

“Disebabkan itu, penyokong PAKATAN memakai topeng Tun Mahathir dan Anwar serta berarak di sekitar pasar di Bayan Baru, selepas ini kami akan gerakkan lebih ramai Anwar dan Tun Mahathir.

“Adakah sememangnya dua pemimpin ini sangat ditakuti BN? Kita lihat sahaja pada 9 Mei ini,” katanya.

Sebelum ini, Tze Tzin yang juga Pengarah Strategi KEADILAN mendedahkan beliau turut menerima kesan apabila bunting gergasi yang mempamerkan wajahnya bersama Tun Mahathir dipotong SPR.

Categories
NASIONAL

Sentimen Melayu tidak terhakis di bawah PAKATAN

OLEH AFIX REDZUAN

KELANA JAYA, 4 MEI: Semua pengundi khususnya Melayu tidak sepatutnya takut dengan propaganda bahawa kuasa dan keistimewaan kaum itu akan terhakis jika Barisan Nasional (BN) tidak lagi memerintah negara.

Peguam, Syahredzan Johan berkata, meminda sesuatu perkara dalam Perlembagaan Persekutuan bukan perkara mudah walaupun hanya satu titik kerana ia memerlukan majoriti dua per tiga dan perkenan Majlis Raja-Raja.

Katanya, kenyataan sedemikian yang sering disebarkan menerusi aplikasi Whatsapp dan laman sosial, terutama menjelang hari pembuangan undi hanyalah cubaan menakutkan orang Melayu mengundi Pakatan Harapan (PAKATAN).

“Ini semua tipu belaka, kalau kita baca Perlembagaan Persekutuan amat jelas menyatakan untuk meminda walaupun satu titik memerlukan dua per tiga (majoriti) ahli parlimen, bukan sahaja Dewan Negara.

“Kalau kita tengok, kebiasaannya ahli parlimen Melayu adalah majoriti di Dewan Rakyat. Nak dapatkan sokongan dua per tiga pun susah dan jika ingin meminda, ia tetap memerlukan persetujuan Majlis Raja-Raja,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Ceramah Kelompok N32 Seri Setia: Bicara Santai Ekonomi dan Undang-Undang, di SS7 Kelana Jaya, semalam.

Syahredzan berkata, PAKATAN dalam manifesto mereka sendiri sudah menyatakan pendirian untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, termasuk hal ehwal orang Melayu.

Dalam manifesto PAKATAN, menerusi Teras 2: Merefomasi Institusi Pentadbiran dan Politik, mereka menggariskan janji ke-11 untuk mengembalikan maruah orang Melayu dan institusi berkaitan.

Categories
NASIONAL

Guna satu logo bukti ‘roket’ bukan parti perkauman

OLEH ERMIZI MUHAMAD

BATU KURAU, 4 MEI: Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali tidak pernah membayangkan rakan gabungan Pakatan Harapan (PAKATAN), DAP menggunakan logo mata KEADILAN, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini.

Beliau berkata, tindakan itu membuktikan parti berkenaan bukan perkauman dan lebih mengutamakan permufakatan demi keamanan negara.

Katanya, keadaan itu turut mencatatkan sejarah politik tanah air apabila semua parti pembangkang menggunakan logo sama dalam kertas undi.

“Cuba rakyat fikir, parti DAP contohnya sebagai parti yang lama, kuat dan membentuk Kerajaan di Pulau Pinang sanggup mengenepikan logo roket dan menggunakan simbol KEADILAN demi negara kita.

“Kita orang Melayu pun tidak pernah terfikir hukum akal bahawa satu hari DAP akan guna logo KEADILAN,” katanya ketika berucap pada Ceramah Perdana KEADILAN di Tapak Pasar Malam Tanjung Piandang, malam tadi.

Pada 6 April lalu menyaksikan PAKATAN secara rasmi mengumumkan penggunaan satu logo dan simbol bagi menghadapi PRU14.

Langkah berkenaan dibuat selepas merujuk beberapa siri tekanan politik oleh pihak tertentu yang menghalang pendaftaran logo PAKATAN sebagai komponen sah PRU14.

Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang berdepan masalah pendaftaran oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) turut menggunakan logo sama, pada pilihan raya kali ini.