Categories
AGENDA NASIONAL

UTM sedia 10 bas bawa pelajar balik kampung sempena Aidilfitri

JOHOR BAHRU, 2 MEI: Lebih 800 pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menyatakan hasrat untuk pulang ke kampung halaman masing-masing setakat ini susulan keputusan kerajaan membenarkan pelajar pulang sempena Hari Raya Aidilfitri.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) Prof Dr Shamsul Sahibuddin berkata angka itu diperolehi berdasarkan pengisian borang khas disediakan, meliputi kira-kira 25 peratus daripada 3,200 pelajar yang berada dalam kampus.

Ekoran itu, menurut beliau pihak universiti melalui Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) bersama UTM Fleet sedang menguruskan maklumat dan data pelajar yang memerlukan kemudahan pengangkutan.

“Setakat ini, universiti akan memperuntukkan enam bas bagi pergerakan pulang pelajar ke Zon Timur, Utara serta Tengah, dan empat buah lagi untuk Zon Selatan. Bas akan mula bergerak pada 6 Mei dengan pergerakan penghantaran terakhir ialah pada 11 Mei,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Khamis lepas Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengumumkan lebih 100,000 pelajar institusi pengajian tinggi di seluruh negara dibenarkan pulang ke kampung sempena cuti Aidilfitri, kecuali bagi Sarawak, dan beberapa mekanisme telah ditetapkan termasuk melaksanakannya secara berfasa bagi mengawal pergerakan.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL PENDIDIKAN

KPM tetapkan empat kaedah perjalanan pulang pelajar

KUALA LUMPUR, 1 MEI: Kementerian Pendidikan (KPM) menetapkan empat kaedah perjalanan untuk pelajar asrama sekolah, Kolej Tingkatan Enam (KTE) dan Kolej Vokasional (KV) yang dibenarkan pulang bersempena Hari Raya Aidilfitri.

Menurut kenyataan KPM hari ini, kaedah itu ialah dengan menaiki bas yang disediakan pihak sekolah atau dijemput ibu bapa atau penjaga.

“Pelajar juga dibenarkan pulang menggunakan pengangkutan udara atau air (Sabah, Sarawak dan Labuan) atau menggunakan kenderaan sendiri bagi pelajar KTE dan pelajar KV,” menurut kenyataan itu.

Pelajar dibenarkan pulang secara berperingkat mulai 6 Mei bagi sekolah Kumpulan A (Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu) dan 7 Mei bagi sekolah Kumpulan B (Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya).

Pihak sekolah, KTE dan KV akan memaklumkan jadual pergerakan pulang murid kepada ibu bapa atau penjaga selain mengeluarkan surat pengesahan untuk setiap pelajar bagi tujuan pergerakan merentas negeri atau zon sekiranya mereka dijemput ibu bapa.

Menurut KPM, kebenaran itu adalah untuk dua orang iaitu ibu bapa atau penjaga sahaja dalam setiap kenderaan.

Merujuk tatacara operasi piawai (SOP) Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), pelajar yang sedang dalam tempoh kuarantin perlu kekal berada di asrama hingga tamat tempoh kuarantin dan murid yang asramanya berada di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) juga perlu kekal berada di asrama hingga tamat tempoh PKPD.

KPM menyediakan Garis Panduan Pengurusan Murid Asrama Pulang Sempena Hari Raya Aidilfitri Tahun 2021 sebagai rujukan kepada semua pihak terlibat termasuk Institusi Pendidikan Swasta yang berdaftar dengan KPM.

Garis panduan berkenaan boleh dimuat turun di laman sesawang: https://www.moe.gov.my.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Aliran trafik dijangka meningkat Ahad ini

KUALA LUMPUR 2 JAN: Aliran trafik di lebuh raya utama seluruh negara dijangka mengalami peningkatan pada Ahad ini berikutan orang ramai mula kembali ke ibu kota daripada bercuti dan pulang dari kampung halaman masing-masing.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata buat masa ini, aliran trafik di seluruh negara terkawal dan lancar.

“Aliran (trafik) ketika ini adalah lancar dan tiada halangan (terkawal).

“Kami menjangkakan pertambahan aliran pada 3 Jan ini dengan mengambil kira tarikh terakhir untuk kembali bertugas selepas cuti panjang,” katanya kepada Bernama semalam.

Beliau turut menasihati pengguna jalan raya agar memastikan kenderaan yang dipandu berada dalam keadaan baik.

“Patuhi undang-undang lalu lintas (dan) buat perancangan pergerakan. Patuhi tatacara operasi piawai (SOP) dan memandu serta menungganglah secara berhemah,” katanya.

Mohd Nadzri turut mengingatkan pemandu untuk memastikan mereka tidak berada di bawah pengaruh alkohol atau apa-apa bahan terlarang ketika memandu dan berhenti rehat sekiranya mengantuk.

– BERNAMA