Categories
AGENDA NASIONAL

PPV IDCC Shah Alam ditutup, saran pengunjung jalani kuarantin

SHAH ALAM,13 JULAI: Pusat pemberian vaksin (PPV) Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam ditutup hari ini susulan kes positif Covid-19 dikenal pasti dalam kalangan petugasnya.

Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) memaklumkan langkah penutupan itu diambil hasil keputusan ujian yang diperoleh malam tadi bagi membolehkan kerja sanitasi dijalankan.

“CITF juga menyarankan mereka yang hadir untuk vaksinasi antara 29 Jun hingga 12 Julai membuat penilaian kendiri dan melakukan saringan sekiranya bergejala.

“Janji temu yang diberikan pada hari ini akan dijadualkan semula kepada satu tarikh lain secepat mungkin,” katanya menerusi kenyataan.

Pada 2 Mei lalu, PPV di IDCC Shah Alam dibuka bagi mempercepatkan urusan suntikan imunisasi berkenaan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kendalian kali pertama Kerajaan Selangor itu melibatkan suntikan khas vaksin AstraZeneca untuk individu yang mahu mengambilnya secara sukarela.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

200 penduduk terima dos pertama vaksin di Klinik Kesihatan Telok Datok

SHAH ALAM, 12 JULAI: Seramai 200 individu menjadi kumpulan pertama menerima suntikan pelalian di pusat pemberian vaksin (PPV) Klinik Kesihatan Telok Datok, Banting kelmarin.

Pegawai kesihatan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Langat berkata mereka terdiri daripada warga emas dan pesakit kronik yang menerima rawatan di klinik terbabit.

Dr Wan Ahmad Razman Wan Abd Salim menjelaskan jumlah itu termasuk individu yang tinggal sekitar klinik berkenaan yang belum mendapat tarikh janji temu di aplikasi MySejahtera.

“Kesemua mereka menerima dos pertama vaksin jenis Pfizer-BioNTech dan Sinovac di bawah program imunisasi Covid-19 kebangsaan (PICK). Mereka akan menerima dos kedua suntikan dalam tempoh tiga minggu lagi,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sementara itu, beliau berkata pemberian vaksin akan diperluas kepada penduduk sekitar Sungai Lang dijangka pada awal Ogos.

“Dengan situasi Covid-19 ketika ini, kesedaran orang ramai untuk mendapatkan vaksin amat tinggi dan berharap mampu mencapai sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk Kuala Langat divaksin,” katanya.

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Selvax Industri: Penantian berakhir, pekerja lega dapat suntikan

SHAH ALAM, 9 JULAI: Penantian panjang beberapa pekerja di negeri ini untuk mendapatkan suntikan pelalian berakhir apabila menerima dos pertama minggu lalu menerusi program Vaksin Selangor (Selvax) Industri.

Arkitek, Adele Teo, 29, mengakui lega selepas menerima suntikan di pusat pemberian vaksin (PPV) Tropicana Gardens Mall, Petaling Jaya melalui pendaftaran di aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

“Sebenarnya saya mendaftar di aplikasi MySejahtera sejak April tetapi tidak pernah mendapat janji temu, sebab menunggu lama jadi saya daftar di SELangkah.

“Terima kasih Kerajaan Selangor kerana memberi saya vaksin. Layanan diberikan petugas di PPV sangat bagus, mereka mengiring peserta dari satu kaunter ke satu kaunter malah prosesnya mengambil masa kurang 30 minit,” katanya.

Sementara itu, petugas farmasi, Fidhayatul Alyaa Mohd, 31, berkata program tersebut membolehkan lebih ramai rakyat Selangor menerima suntikan dengan kadar segera.

“Saya bersyukur apabila dapat tahu Kerajaan Negeri buat program vaksin sendiri. Lagipun sudah lama saya daftar di MySejahtera dan belum terima janji temu tersebut.

“Insya-Allah dengan sistem yang bagus ini, saya percaya rakyat Selangor akan dapat suntikan segera kerana Covid-19 bukan benda main-main,” katanya.

Sebanyak dua juta dos vaksin disediakan kepada majikan untuk diagih secara percuma kepada sejuta pekerja negeri ini melalui program Selvax Industri.

Usaha Kerajaan Negeri itu bagi memelihara pekerja dan masyarakat sekitar memandangkan sejumlah kes positif berpunca daripada kluster tempat kerja.

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Rebat RM20: Hampir 3,000 mohon selepas had usia diperluas

SHAH ALAM, 9 JULAI: Hampir 3,000 permohonan rebat RM20 bagi perjalanan ke pusat pemberian vaksin (PPV) menggunakan perkhidmatan e-panggilan Grab direkodkan sehingga semalam.

Ketua tanggungjawab sosial korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI berkata individu lingkungan usia 20 hingga 30 tahun antara paling ramai memohon.

“Sambutan luar biasa sejak inisiatif diperluas kepada semua peringkat umur terutama 18 tahun ke atas yang layak mendapat suntikan vaksin selain mempunyai akaun Grab dan menetap di Selangor.

“Malah, ada juga permohonan daripada warga asing, ekspatriat, pelajar antarabangsa dan rakyat luar Selangor namun
terpaksa ditolak memandangkan tidak memenuhi syarat,” kata Ahmad Azri Zainal Nor dalam temu bual secara maya hari ini.

Beliau berkata pihaknya sedia mempertimbang untuk menambah peruntukan sekiranya jumlah permohonan melebihi 50,000 seperti disasarkan.

“Setakat ini, peruntukan kekal RM1 juta memandangkan ada juga pemohon yang tidak guna rebat itu walaupun diluluskan, tetapi kita boleh fikir untuk tambah jika melepasi had ditetapkan,” katanya.

Permohonan rebat yang dibuka pada 20 Jun lalu sah bagi perjalanan ke PPV seluruh negeri dan Kuala Lumpur mulai 1 Julai hingga 30 September.

Orang ramai boleh melayari pautan www.platselangor.com dan tekang butang Inisiatif MBI Bisnes Amal untuk mendaftar.

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL SELANGOR

PPV mega Movenpick mampu beri lebih 5,000 dos vaksin sehari

SEPANG, 6 JULAI: Pusat pemberian vaksin (PPV) mega Movenpick KLIA, yang mula beroperasi semalam mempunyai kemampuan untuk memberi vaksin Covid-19 sehingga 5,120 dos sehari kepada penduduk terutama dari daerah Sepang, kata Pengurus PPV Mega Movenpick KLIA Dr Noraziah Abdul Karim.

Bercakap kepada Bernama, beliau berkata PPV mega itu beroperasi setiap hari dari 8 pagi hingga 9 malam dan dijangka dibuka sehingga hujung tahun.

Dr Noraziah berkata PPV mega itu merupakan kolaborasi antara Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan pihak swasta iaitu MB Perkasa Sdn Bhd dan Golden Horses Health Sanctuary Chinese Medical Centre.

“Kami menyediakan dua dewan di sini untuk mempercepatkan proses vaksinasi,” katanya dan menambah bahawa PPV mega menyediakan laluan pantas untuk penerima vaksin yang berkerusi roda dan untuk golongan orang kurang upaya.

Pengurus Besar Movenpick Hotel Convention Centre Wan Enderi Mohd Saad berkata sebelum pandemik Covid-19 melanda, tempat itu dipenuhi dengan jemaah haji pada setiap tahun dan kini bakal dipenuhi dengan penerima vaksin setelah dijadikan PPV mega.

“Kami bangga dapat terlibat dalam program ini kerana ini merupakan usaha besar untuk memulihkan negara dan mempercepatkan Malaysia mencapai imuniti kelompok.

“Saya berharap kita dapat segera kembali ke zaman sebelum COVID-19 apabila industri hotel dan pelancongan dapat kembali aktif serta lebih banyak peluang pekerjaan dapat dicipta,” katanya.

Seorang penerima vaksin yang ditemui, Foong Kok Chuan, 55, berkata beliau gembira mendapat vaksin hari ini kerana akan boleh melawat saudara-mara kelak setelah lengkap menerima dua dos nanti.

“Layanan di sini sangat bagus, proses sangat cepat dan tempat ini selesa. Sukarelawan yang ada di sini pun banyak membantu saya,” kata juruteknik di sebuah kilang di Bandar Baru Bangi, P. Sivaguganesan, 55, yang memuji perjalanan di PPV mega itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

11 laluan Bas Smart Selangor mudahkan penduduk ke pusat vaksin

SHAH ALAM, 5 JULAI: Kerajaan Negeri menyediakan 11 laluan Bas Smart Selangor ke lokasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi memudahkan orang ramai mengambil vaksin.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shaari berkata sebanyak 11 laluan dipinda itu membabitkan pentadbiran Majlis Bandaraya Subang Jaya, Majlis Perbandaran Klang, Majlis Perbandaran Kajang dan Majlis Daerah Kuala Selangor.

“Kerajaan Selangor menerusi kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) menyediakan laluan perkhidmatan Bas Smart Selangor ke lokasi PPV demi memudahkan janji temu vaksinasi Covid-19,” katanya di Facebook.

Orang ramai boleh mendapat maklumat lanjut dengan memuat turun aplikasi Smart Selangor SITS di Apple App Store atau Google Play bagi kemudahan melihat jadual perjalanan yang lebih tepat.

Categories
EXCO SELANGOR

Ubah laluan, Bas Smart Selangor mudahkan orang ramai ke PPV

SHAH ALAM, 3 JULAI: Laluan Bas Smart Selangor diubah ke kawasan pusat pemberian vaksin (PPV) bagi kemudahan orang ramai mengambil suntikan.

EXCO pengangkutan berkata setakat ini 11 laluan dipinda melibatkan pentadbiran Majlis Bandaraya Subang Jaya, Majlis Perbandaran Klang, Majlis Perbandaran Kajang dan Majlis Daerah Kuala Selangor.

Menurut Ng Sze Han laluan berkenaan bersifat sementara waktu sehingga pengoperasian PPV tamat.

“Pihak berkuasa tempatan (PBT) bersama operator bas juga sedang kenal pasti laluan lain yang boleh dilencongkan supaya memudahkan rakyat ke PPV mengikut tarikh janji temu.

“Inisiatif ini secara tidak langsung dapat meningkatkan kapasiti penerima vaksin di Selangor seterusnya mencapai sasaran imuniti kelompok,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Januari lalu, Kerajaan Selangor menggerakkan Bas Smart Selangor untuk membawa pesakit Covid-19 dari rumah ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Serdang yang antara lain bagi mengurangkan beban petugas hadapan.

Categories
AGENSI SELANGOR

Team Selangor edar makanan ringan kepada petugas di pusat vaksin

SHAH ALAM, 26 JUN: Team Selangor mengedarkan sebanyak 734 makanan ringan untuk petugas barisan hadapan dan sukarelawan di tujuh pusat pemberian vaksin (PPV) negeri ini.

PPV itu antaranya Pusat Konvensyen Sunway Pyramid, Stadium Tertutup Kuala Selangor, Kompleks Sukan Pandamaran, Dewan Kelab Kilat Pangsapuri TNB, Kompleks Sukan Majlis Perbandaran Kuala Langat, Dewan Orang Ramai Kampung Ampang Indah dan Dewan Serbaguna Bandar Baru Salak Tinggi.

Ketua sekretariatnya berkata makanan ringan tajaan syarikat yang menyumbang melalui Yayasan Foodbank Malaysia diagih sejak Isnin lalu hingga semalam.

“Edaran makanan ringan ini sebagai tanda terima kasih dan sokongan tidak terhingga kami mewakili rakyat Selangor kepada golongan terbabit yang bertugas di PPV.

“Semoga petugas barisan hadapan dan sukarelawan terus bersemangat serta kekal selamat dalam menjalankan tugas yang berisiko itu,” kata Syahaizel Keman kepada SelangorKini.

Beliau menambah pihaknya akan menyalurkan bantuan sama ke beberapa PPV lain minggu hadapan mengambil kira permohonan diterima daripada pengurusan berkaitan.

Categories
AGENSI SELANGOR

Mais sedia 7,300 pek makanan, hargai petugas hadapan

KUALA SELANGOR, 22 JUN: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) memperuntuk RM28,350 untuk bantuan makanan kepada 7,300 petugas barisan hadapan seluruh negeri bagi menghargai pengorbanan mengawal penularan Covid-19.

Setiausahanya Dr Ahmad Shahir Makhtar berkata bantuan berupa roti dan air minuman diagih sejak minggu lalu kepada petugas di 10 pusat pemberian vaksin, pejabat kesihatan daerah (sembilan) serta 10 hospital.

“Sumbangan ini sebagai tanda sokongan dan prihatin kepada mereka yang bertungkus-lumus mengekang Covid-19 dari awal tahun lalu. Walaupun bantuan kecil bagi kami, tetapi memberi makna cukup besar untuk mereka.

“Kita berterima kasih kepada umat Islam yang membantu memberi sumbangan kepada Mais untuk disalur kepada pihak memerlukan seperti ini dan diharap dapat meringankan beban semasa bertugas,” katanya selepas menyerahkan bantuan itu di Dewan Berlian Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam di sini hari ini.

Sebanyak 300 pek makanan untuk petugas di PPV berkenaan diserahkan kepada Timbalan Pengarah (Klinikal) Hospital UiTM Prof Madya Dr Ahmad Izuanuddin Ismail.

Sementara itu, Dr Ahmad bangga dan berterima kasih atas bantuan tersebut dan sedikit sebanyak dapat menampung bekalan makanan di PPV berskala mega yang beroperasi sejak tiga minggu lalu.

“Insya-Allah, kami akan agihkan kepada semua petugas di sini memandangkan bukan hanya staf UiTM yang ada sebaliknya penglibatan sukarelawan dari agensi lain yang turut membantu untuk melandaikan jangkitan Covid-19,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA

Permohonan rebat RM20 ke pusat vaksin dibuka Ahad ini

SHAH ALAM, 18 JUN: Permohonan rebat RM20 bagi perjalanan pergi dan balik atau RM10 sehala menggunakan perkhidmatan e-panggilan Grab ke 34 pusat pemberian vaksin (PPV) di Selangor dibuka mulai Ahad ini.

Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI berkata permohonan rebat yang sah bagi perjalanan mulai 1 Julai hingga 30 September itu boleh dibuat melalui laman sesawang, www.platselangor.com.

“Orang ramai boleh berhubung melalui emel [email protected] untuk sebarang maklumat lanjut berkenaan inisiatif ini,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

MBI berkata inisiatif itu yang sebahagian tanggungjawab sosial korporatnya bakal memberi manfaat kepada individu berumur 50 tahun ke atas yang mempunyai aplikasi Grab.

9 Jun lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan rebat RM20 kepada pengguna perkhidmatan e-panggilan untuk ke PPV bermula 1 Julai ini.

Inisiatif dengan peruntukan RM1 juta yang terkandung dalam Pakej Kita Selangor 2.0 bakal memanfaatkan hampir 50,000 individu di negeri ini.

Beliau mengumumkan Pakej Bantuan Kita Selangor 2.0 bernilai RM551.56 juta bagi membantu rakyat terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pelan bertemakan ‘Bersama-sama Menuju Kejayaan’ meliputi tiga strategi dan 25 program memanfaatkan sekurang-kurangnya 1.6 juta rakyat termasuk golongan berpendapatan rendah (B40), pelajar, usahawan kecil, petani serta penggiat pelancongan.