Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB: 98 peratus penduduk Selangor terima dos pertama

SHAH ALAM, 19 OGOS: Sebanyak 98 peratus penduduk negeri ini menerima dos pertama vaksin setakat pertengahan Ogos menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dan Vaksin Selangor (Selvax).

Dengan peratusan terbaharu itu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari yakin Selangor bakal beralih ke fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) menjelang September.

“Setelah dikemas kini angka tersebut dari Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19, kita dapati pemberian vaksin dos pertama di negeri ini mencecah 98 peratus. Kita yakin menjelang September, Selangor boleh ke fasa dua,” katanya dalam sidang media secara maya hari ini.

Sebelum ini, Kerajaan Selangor menyasarkan 80 peratus penduduk dewasa negeri ini menerima vaksin menjelang Oktober, 100 hari lebih awal daripada jadual.

Setakat pertengahan Ogos juga, lebih separuh penduduk Selangor lengkap dua dos hasil kerancakan program suntikan negeri dan persekutuan.

Sementara itu, Amirudin berkata jumlah pesakit Covid-19 yang kritikal semakin menurun berdasarkan laporan Hospital Tengku Ampuan Rahimah dan Hospital Sungai Buloh.

“Kemasukan pesakit Covid-19 dalam lingkungan usia 40 ke 60 tahun atau kumpulan komorbiditi ada penurunan yang amat signifikan. Kita jangka jika dapat tingkatkan (vaksinasi) ia dapat membantu melengkapkan imuniti kelompok,” katanya.

Selvax dilancarkan pada hujung Jun dengan peruntukan RM200 juta membabitkan dua juta dos kepada pekerja termasuk warga asing bagi mengawal perebakan wabak di tempat kerja menerusi Selvax Industri.

Selvax Komuniti pula memanfaatkan 250,000 penduduk yang belum divaksin terutama warga emas, golongan berpendapatan rendah dan penerima skim Inisiatif Peduli Rakyat.

Mulai 16 Ogos, kerajaan membenarkan semula 11 aktiviti ekonomi dalam sektor perdagangan dan pengedaran bagi semua negeri fasa satu yang mencapai sekurang-kurangnya 50 peratus suntikan dua dos.

Justeru, Selangor yang berada dalam fasa satu PPN bersama Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Kedah berpeluang menikmati pembukaan beberapa kegiatan ekonomi.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Lebih 25,000 individu terima dos pertama vaksin di Puchong Indah

SHAH ALAM, 16 OGOS: Seramai 25,190 individu menerima suntikan pelalian di pusat pemberian vaksin (PPV) di Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Puchong Indah setakat semalam.

Ahli Dewan Negeri Kinrara Ng Sze Han berkata semua penerima itu mendapat dos pertama sejak PPV tersebut mula beroperasi pada 26 Julai lalu.

“Mulai hari ini, PPV ini akan diteruskan dengan pemberian suntikan dos kedua sahaja,” katanya menerusi Facebook.

Pada 25 Jun, EXCO kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud meminta Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (CITF) mewujudkan PPV berskala kecil di Puchong bagi memudahkan penduduk mendapatkan suntikan vaksin.

Pembukaan PPV itu diharap mempercepatkan proses pemberian vaksin kepada rakyat khususnya penduduk setempat.

Pada 22 Julai Sze Han memaklumkan sebuah PPV berskala kecil beroperasi di Dewan Serbaguna MBSJ Puchong Indah bermula 26 Julai.

PPV itu mampu menampung antara 1,000 hingga 1,500 orang dalam satu-satu masa dan dibuat melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

200 penduduk terima dos pertama vaksin di Klinik Kesihatan Telok Datok

SHAH ALAM, 12 JULAI: Seramai 200 individu menjadi kumpulan pertama menerima suntikan pelalian di pusat pemberian vaksin (PPV) Klinik Kesihatan Telok Datok, Banting kelmarin.

Pegawai kesihatan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Langat berkata mereka terdiri daripada warga emas dan pesakit kronik yang menerima rawatan di klinik terbabit.

Dr Wan Ahmad Razman Wan Abd Salim menjelaskan jumlah itu termasuk individu yang tinggal sekitar klinik berkenaan yang belum mendapat tarikh janji temu di aplikasi MySejahtera.

“Kesemua mereka menerima dos pertama vaksin jenis Pfizer-BioNTech dan Sinovac di bawah program imunisasi Covid-19 kebangsaan (PICK). Mereka akan menerima dos kedua suntikan dalam tempoh tiga minggu lagi,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sementara itu, beliau berkata pemberian vaksin akan diperluas kepada penduduk sekitar Sungai Lang dijangka pada awal Ogos.

“Dengan situasi Covid-19 ketika ini, kesedaran orang ramai untuk mendapatkan vaksin amat tinggi dan berharap mampu mencapai sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk Kuala Langat divaksin,” katanya.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

385,251 individu sudah lengkap dua dos suntikan vaksin

KUALA LUMPUR, 11 APRIL: Seramai 385,251 individu dalam kumpulan fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan melengkapkan dua dos suntikan vaksin mereka setakat semalam.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata bagi tempoh sama 571,472 menerima dos pertama, menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua vaksin Covid-19 di negara kini adalah 956,723.

Dr Adham menerusi satu infografik yang dikongsikan di laman Twitter rasminya memaklumkan lima negeri menerima suntikan dos pertama vaksin tertinggi ialah Selangor dengan 76,612, diikuti Sarawak (59,531), Sabah (54,058), Perak (52,677) dan Kuala Lumpur (52,110).

Sementara itu, lima negeri yang melengkapkan kedua-dua dos suntikan vaksin Covid-19 tertinggi setakat ini ialah Selangor dengan 52,133 individu diikuti Perak (41,348), Sabah (41,029), Kuala Lumpur (33,603) dan Sarawak (30,639).

Bagi jumlah pendaftaran untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan pula, Dr Adham memaklumkan setakat semalam seramai 8,443,581 atau 34.80 peratus telah mendaftar, dengan Selangor merekodkan angka tertinggi iaitu 2,263,133.

Mengikut perancangan program imunisasi berkenaan, tempoh pelaksanaan fasa pertama pemberian vaksin bermula Februari hingga April ini melibatkan 500,000 anggota barisan hadapan termasuk petugas kesihatan.

Fasa kedua yang dijangka bermula April hingga Ogos tahun ini pula, membabitkan 9.4 juta warga emas berusia 65 tahun ke atas, kumpulan rentan dan orang kurang upaya manakala fasa ketiga dijadual bermula Mei hingga Februari 2022 membabitkan individu 18 tahun dan ke atas dengan sasaran 13.7 juta orang atau lebih.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

375,260 individu sudah lengkap dua dos suntikan vaksin

KUALA LUMPUR, 10 APRIL: Seramai 375,260 individu dalam kumpulan fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan melengkapkan dua dos suntikan vaksin mereka setakat semalam.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata bagi tempoh sama 565,940 menerima dos pertama, menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua vaksin Covid-19 di negara kini adalah 941,200.

Dr Adham menerusi satu infografik yang dikongsikan di laman Twitter rasminya memaklumkan lima negeri menerima suntikan dos pertama vaksin tertinggi ialah Selangor dengan 76,273, diikuti Sarawak (57,682), Sabah (53,859), Perak (52,639) dan Kuala Lumpur (52,110).

Sementara itu, lima negeri yang melengkapkan kedua-dua dos suntikan vaksin COVID-19 tertinggi setakat ini ialah Selangor dengan 51,383 individu diikuti Sabah (40,162), Perak (37,884), Kuala Lumpur (33,603) dan Sarawak (30,014).

Bagi jumlah pendaftaran untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan pula, Dr Adham memaklumkan setakat semalam seramai 8,378,754 atau 34.50 peratus telah mendaftar, dengan Selangor merekodkan angka tertinggi iaitu 2,250,428.

Mengikut perancangan program imunisasi berkenaan, tempoh pelaksanaan fasa pertama pemberian vaksin bermula Februari hingga April ini melibatkan 500,000 anggota barisan hadapan termasuk petugas kesihatan.

Fasa kedua yang dijangka bermula April hingga Ogos tahun ini, membabitkan 9.4 juta warga emas berusia 60 tahun ke atas, kumpulan rentan dan orang kurang upaya manakala fasa ketiga dijadual bermula Mei hingga Februari 2022 membabitkan individu 18 tahun dan ke atas dengan sasaran 13.7 juta orang.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Hampir tiga juta daftar suntik vaksin Covid-19, Selangor tertinggi

KUALA LUMPUR, 7 MAC: Seramai 2,990,577 individu telah mendaftar untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 menerusi aplikasi MySejahtera setakat jam 8 pagi ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdulllah menerusi infografik di Twitter rasmi beliau pagi ini memaklumkan sejak pendaftaran vaksin Covid-19 di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dibuka pada 24 Februari lepas, Selangor mencatatkan pendaftaran tertinggi seramai 991,181.

Ia diikuti dengan Johor 335,537 individu, Kuala Lumpur (292,983) dan Sarawak 240,630.

Sementara itu, Dr Noor Hisham turut memaklumkan seramai 127,608 telah menerima dos pertama vaksin Covid-19 di seluruh negara, setakat 6 Mac.

Memperincikan pecahan jumlah penerima vaksin dos pertama tertinggi mengikut negeri, Sarawak mencatatkan 18,034 penerima, diikuti Pahang (13,830), Selangor (11,982) dan Kuala Lumpur seramai 11,266.

Pendaftaran melalui aplikasi MySejahtera merupakan antara lima kaedah pendaftaran yang disediakan kerajaan untuk orang ramai mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 dalam negara.

Selain aplikasi MySejahtera, satu lagi kaedah secara dalam talian ialah melalui laman sesawang khas www.vaksincovid.gov.my manakala bagi pendaftaran secara manual, orang ramai boleh mendaftar dengan menghubungi talian hotline (akan dimaklumkan kemudian), hadir di fasiliti klinik kesihatan awam dan swasta atau menerusi program bantuan bagi penduduk di kawasan luar bandar dan pedalaman.

– BERNAMA