Categories
NASIONAL SELANGOR

Charles : Jawatankuasa Air Pusat “Sia sia”, “Mengarut”, “Tidak Adil”

SHAH ALAM 22 JUL : Penubuhan Jawatankuasa Khas Kabinet untuk meneliti pengambil-alihan operasi Syabas oleh Selangor diselar oleh Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago kerana tidak melibatkan pemimpin Kerajaan Selangor.

Walhal jawatankuasa itu, yang diumumkan kerajaan pusat pada Julai 19, bertujuan menyelesaikan masalah bekalan dan pengedaran air terawat di Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur.

“Seorangpun wakil Kerajaan Negeri tidak dilantik untuk berbincang dan menyatakan pandangan dan pendirian kita dalam jawatankuasa tersebut.

“Jadi sudah tentulah rancangan penstrukturan semula air tidak akan dibincangkan. Melainkan apa yang mereka inginkan iaitu Projek Langat 2 demi mengkayakan kroni mereka sementara rakyat terus ditindas,” tegas Charles yang dihubungi.

Langat 2 merujuk kepada projek mega untuk membeli dan memindahkan air mentah dari Pahang ke Selangor yang akan menelan kos RM 6 bilion.

Kerajaan Negeri Selangor Pakatan Rakyat berpendirian projek itu membazirkan kerana negeri mempunyai bekalan air mentah yang cukup.

Mengulas lanjut, Charles mempersoalkan keberdayaan Kerajaan Pusat untuk menyelesaikan isu air kerana mereka didakwa tidak mementingkan rakyat.

“Kita memandang Kerajaan Pusat sebagai hanya mengikut rentak dan kemahuan Syabas (Syarikat Bekalan Air Selangor) sehinggakan rakyat menjadi mangsa dengan pelan catuan air Syabas yang tidak relevan.

“Sementara rakyat ditekan, Kerajaan Pusat pula masih gagal melaksanakan suatu pelan tindakan yang meyakinkan melainkan penubuhan jawatankuasa syok sendiri ini,” tambahnya.

Penubuhan Jawatankuasa Khas tersebut diumumkan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), , Datuk Seri Peter Chin Fah Kui beberapa hari lalu dan akan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pengumuman jawatankuasa itu selepas Kerajaan Selangor menyatakan hasrat untuk mengambil alih atau ?step in? operasi Syabas, syarikat swasta yang dipertanggungjawabkan untuk mengurus air terawat dan pengederan air kepada pengguna.

Proses step in ini dilakukan kerana Syabas gagal melaksanakan tugasnya sehingga berlaku ganguan bekalan air terawat di beberapa kawasan di selatan Selangor.

Jawatankuasa pusat itu turut dianggotai Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Noh Omar serta Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Idris Jala.

Tiada wakil Kerajaan Negeri Selangor dilantik dalam jawatankuasa itu namun Peter dalam satu kenyataan menyebut pihaknya akan memanggil Kerajaan Negeri untuk memberi pandangan ?jika diperlukan?.

Categories
SELANGOR

Pembentukan J/K Khas Kabinet Isu Air di Ragui

SHAH ALAM 19 JULAI: Kerajaan Negeri Selangor meragui motif pembentukan sebuah jawatankuasa khas oleh Kabinet (special cabinet committee) untuk meneliti isu air seperti yang diumumkan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau (KeTTHA), dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui hari ini.

Exco Kesihatan, Pekerja Ladang dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar berkata Kerajaan Negeri mempersoalkan kewujudan (?the creation?) jawatankuasa khas itu sedangkan KeTTHA sudah ada.

Katanya, Kementerian KeTTHA seharusnya lebih berfungsi dan bertanggungjawab dimana Menterinya mempunyai bidang kuasa yang termaktub dalam Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA 2006).

“Oleh kerana kuasa yang diberi kepada Menteri gagal digunakan untuk melaksanakan penstrukturan semula industri air di Selangor dan Menteri KeTTHA tidak dimasukkan dalam Jawatankuasa khas cabinet tersebut, Kerajaan Negeri menyeru Menteri KeTTHA untuk meletak jawatan dengan segera, “katanya dalam satu kenyataan media.

Beliau berkata Kerajaan Negeri juga mempertikaikan peranan Datuk Noh Omar dalam Jawatankuasa Khas Kabinet tersebut, kerana beliau adalah Menteri Kerajaan Pertanian dan Asas Tani yang tidak mempunyai perkaitan berhubung isu serta tidak langsung melibatkan kementerian Noh.

Dilaporkan bahawa Jawatankuasa Khas ini akan meneliti semua isu berkaitan air di Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya.

Jawatankuasa khas itu, dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (Pengarah Pilihanraya BN), Dato Idris Jala, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar dan Datuk Noh Omar, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor).