Categories
BERITA UTAMA

Ribut: RM1.6 juta bantu baiki rumah rosak

SHAH ALAM, 15 OGOS: Kerajaan Selangor memperuntukkan RM1.6 juta untuk membantu penduduk di daerah Sabak Bernam dan Kuala Selangor membaiki rumah mereka yang rosak ekoran ribut, pada 10 Ogos lalu.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, sebanyak 509 rumah dikenal pasti terjejas ekoran fenomena alam itu, namun 100 daripadanya masih dinilai kadar sebenar kerosakannya.

“Kita sudah membuat hitung kira dan kita akan bantu perbaiki mengikut kadar kerosakan. Ada kerosakan (rumah) itu minimum, ada kerosakan yang kritikal dan sebagainya.

“Jumlah peruntukan itu adalah gabungan dana daripada Kerajaan Negeri dan agensi terbabit seperti Lembaga Zakat Selangor serta Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Selebihnya akan dibiayai Pemerbadanan Menteri Besar (MBI Selangor) melalui dana tanggungjawab sosial korporat mereka,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor, di sini hari ini.

Amirudin berkata, buat masa ini, masih terdapat beberapa proses yang perlu diselesaikan sebelum menyalurkan peruntukan membaiki rumah terjejas itu, beliau namun memberi jaminan, ia akan dilakukan secepat mungkin.

Ditanya sama ada Kerajaan Negeri berhasrat memohon bantuan tenaga kerja daripada Angkatan Tentera Malaysia atau pasukan beruniform lain untuk membantu membaiki rumah yang rosak itu, katanya, ia bergantung kepada keadaan sama ada perlu dilakukan secara segera atau tidak.

Pada 10 Ogos lalu, ratusan kediaman di sekitar dua daerah itu termasuk di kawasan Sungai Besar, Sekinchan dan Tanjong Karang dilaporkan rosak teruk akibat ribut berkenaan.

Susulan itu, Kerajaan Negeri menyalurkan bantuan awal RM500 kepada keluarga yang terjejas melalui pejabat daerah dan tanah di kedua-dua lokasi berkenaan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Ribut Sabak Bernam: Atasi kesan bencana seawal tiga minggu

SHAH ALAM, 13 OGOS: Kelewatan bantuan ke lokasi terjejas akibat ribut di Sabak Bernam ekoran ia membabitkan banyak kediaman dan kos yang besar, kata Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Bagaimanapun katanya, Kerajaan Negeri tekad menyelesaikan isu terbabit sebaik mungkin bagi memastikan semua nasib mangsa bencana terbela.

“Memang bantuan lambat kerana ia membabitkan (banyak) rumah. Kalau hanya mahukan skor politik, kita boleh berikan sekampit beras tapi itu tidak selesaikan masalah.

“Kita ingin selesaikan masalah utama seperti yang dilakukan ketika insiden ribut di Felda Soeharto, Gombak dan Tanjung Karang. Ia berjaya selesaikan tetapi mengambil masa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Sesi Kedua Dialog Bajet 2020 di Hotel Concorde, hari ini.

Katanya, kerosakan besar yang berlaku akibat ribut itu dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh tiga minggu atau sebulan setengah.

“Ribut adalah bencana alam dan apa yang penting dalam pengurusan bencana adalah penyelarasan. Selangor lebih ke hadapan berbanding negeri lain kerana mempunyai unit dan pegawai khas dalam pengurusan bencana.

“Kita sedia terima kritikan dan sedia memperbaiki bagaimanapun, simpatilah dengan pegawai kita sebab ribut berkenaan membabitkan lebih 500 rumah,” katanya.

Pada 10 Ogos lalu, Amirudin ketika melawat mangsa ribut memaklumkan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Sabak Bernam akan memberikan bantuan awal sebanyak RM500 kepada setiap keluarga terjejas.

Categories
AGENDA NASIONAL

11 Tabika Kemas rosak di Kedah, Perlis akan dibaiki segera

ALOR SETAR, 11 OGOS: Sebanyak 11 Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) yang mengalami kerosakan akibat ribut di Kedah dan Perlis malam kelmarin akan dibaik pulih segera, sebelum sesi pembelajaran dan pengajaran bermula selepas cuti Raya Aidiladha.

Tanpa penjelasan lanjut tentang nilai kerugian disebabkan kerosakan itu, Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata tabika yang hanya melibatkan kerosakan kecil itu, masing-masing empat di Kedah, manakala selebihnya di Perlis. 

“Berdasarkan laporan yang kita terima kerosakan yang dialami 11 tabika ini, tidak terlalu besar dan kita jangkakan seawal minggu depan ia akan dibaiki,” katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa ribut di Taman Indah di sini hari ini.

Rina berkata kementeriannya akan turut membantu apa yang patut untuk mangsa ribut terlibat terutamanya golongan B40 meskipun agensi lain bertanggungjawab menyediakan bantuan ketika berlaku bencana.

“Apabila sesuatu bencana berlaku NADMA (Agensi Pengurusan Bencana Negara) akan bertindak, tetapi kita akan turun padang melihat keadaan yang berlaku. Seperti hari ini kita datang bukan atas kapasiti kementerian sebaliknya atas inisiatif sendiri, Srikandi (Bersatu),” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pasca ribut: Langkawi kembali tenang

LANGKAWI, 10 OGOS: Selepas dikejutkan dengan kejadian ribut yang membadai banyak lokasi di pulau peranginan itu malam tadi, keadaan hari ini kembali pulih dan tenang dari ‘kekecohan’ yang berlaku.

Jika semalam siren pelbagai agensi penyelamat kedengaran hampir setiap masa, hari ini situasi lebih tenang dengan penduduk pulau ini keluar meneruskan aktiviti harian mereka seperti biasa.

Pegawai Bencana Operasi dan Latihan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Langkawi, Leftenan (PA) Azamshah Apearal berkata, keadaan cuaca hari ini dilaporkan baik dan semua agensi terbabit memberi tumpuan kepada kerja pembersihan pokok tumbang.

“Semua agensi terbabit bertindak mengikut tanggungjawab masing-masing. Bagi APM Daerah Langkawi sendiri, seramai 40 anggota ditugaskan di 10 lokasi sekitar Padang Matsirat, Kelibang, Bukit Malut untuk meneruskan operasi membersihkan pokok tumbang,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Langkawi, APM Daerah Langkawi serta Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan giat melakukan kerja pembersihan kesan ribut di beberapa lokasi seperti sekitar Kampung Bendang Baru, Kampung Padang Wahid, Bukit Malut, Ulu Melaka dan Temonyong.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA

Tiada gelombang kedua ribut landa tiga negeri

KUALA LUMPUR, 10 OGOS: Jabatan Meteorologi Malaysia (MET) memaklumkan tiada sebarang amaran gelombang kedua membabitkan kejadian ribut yang melanda tiga negeri di kawasan utara Semenanjung, malam tadi.

Ketua Pengarahnya, Jailan Simon berkata, keadaan di Pulau Pinang, Perlis dan Kedah sudah kembali pulih dengan kemungkinan hanya mengalami keadaan mendung dan hujan biasa, pada hari ini.

“Fenomena garis badai kesan tiupan angin susulan taufan Lekima itu dijangka tidak akan kembali.

“Keadaan ribut dan hujan lebat yang melanda Pulau Pinang, Perlis dan Kedah malam tadi, bagaimanapun memberi impak positif dalam mengurangkan keadaan jerebu yang melanda negara sekarang,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata, MET akan terus memantau dari semasa ke semasa berhubung fenomena itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Ribut jejaskan 64 sekolah di Kedah

ALOR SETAR, 10 OGOS: Sejumlah 64 sekolah di lapan daerah di Kedah terjejas apabila mengalami kerosakan pada bahagian bumbung dan siling bangunan ekoran ribut malam tadi, setakat 11.30 pagi ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Sumber Manusia Kedah, Dr Salmee Said berkata, lapan daerah itu membabitkan Kuala Muda, Yan, Padang Terap, Kubang Pasu, Pendang, Baling, Kota Setar dan Kulim-Bandar Baharu.

“Umumnya kerosakan membabitkan bumbung dan siling tercabut ekoran ribut kuat pada malam tadi. Pihak JPN (Jabatan Pendidikan Negeri) akan memperbaiki segera kerosakan itu,” katanya dalam satu kenyataan ringkas hari ini.

Bagaimanapun, Dr Salmee berkata, sesi pengajaran dan pembelajaran pelajar tidak terganggu memandangkan mereka akan bercuti sempena Hari Raya Aidiladha hingga 17 Ogos nanti.

Sementara itu, kuarters guru di Kuah, Langkawi juga terjejas ekoran pokok tumbang dan bumbung tercabut.

Kerugian yang dialami ekoran kerosakan di sekolah dan kuarters guru itu sedang ditaksir pihak JPN, katanya.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA

Ribut: Tiga pusat pemindahan dibuka di Pulau Pinang

BUTTERWORTH, 10 OGOS: Tiga pusat pemindahan dibuka di Seberang Perai Tengah (SPT) dan George Town di sini selepas 71 mangsa ribut dan hujan lebat di Pulau Pinang terpaksa dipindahkan ekoran rumah mereka rosak akibat angin kencang.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Phee Boon Poh berkata, sehingga 8.30 pagi ini, seramai 22 orang daripada empat keluarga ditempatkan di pusat pemindahan Masjid Kuala Juru di SPT.

“Satu lagi pusat pemindahan di Dewan Kafa Kuala Juru di SPT menempatkan sembilan mangsa daripada dua keluarga manakala 40 penduduk Mutiara Idaman Satu di George Town dipindahkan ke pusat pemindahan Masjid Hashim Yahya,” katanya di sini hari ini.

Katanya dua penunggang motosikal turut cedera dalam kejadian ribut itu menjadikan enam mangsa menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya dan seorang di Hospital Pulau Pinang.

Beliau berkata dua lelaki itu cedera selepas ditimpa pokok semasa sedang menunggang motosikal masing-masing di Juru dan George Town.

Sementara itu, jurucakap Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) berkata, pihaknya menerima laporan 128 batang pokok tumbang melibatkan 98 lokasi di kawasan tanah besar dalam kejadian ribut yang melanda negeri itu.

“Daripada jumlah ini, lima batang pokok tumbang dan menghempap rumah penduduk. Tiga batang pokok tumbang di kawasan lapang manakala 120 batang pokok melibatkan halangan lalu lintas termasuk tiga yang menghempap kereta,” katanya.

Beliau berkata kejadian ribut ini juga telah menyebabkan kerosakan bahagian bumbung hampir 206 rumah di kawasan Seberang.

Katanya, kejadian ribut yang berpunca daripada ekor taufan Lekima yang membadai timur negara China, menyebabkan taburan hujan 53 milimeter dengan kelajuan angin 100.8 kilometer sejam dan berlaku antara 10.30 malam hingga 12.30 tengah malam tadi.

“Tiada kejadian banjir dilaporkan berlaku dan petugas MPSP giat menjalankan kerja-kerja pembersihan sejak 10.30 malam tadi,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Bomba: 87 kes pokok tumbang ekoran ribut di Kedah

ALOR SETAR, 10 OGOS: Sebanyak 87 kes membabitkan kejadian pokok tumbang ekoran ribut malam tadi diterima Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah yang berlaku di empat kawasan, setakat 8 pagi ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Penyelamatan JBPM Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, kawasan itu membabitkan Kota Setar, Sungai Petani, Baling dan Langkawi.

“Jumlah mangsa yang mengalami kecederaan bagi semua kes adalah 10 orang. Sehingga kini PGO (Pusat Gerakan Operasi) Kedah masih menerima kes pokok tumbang,” katanya dalam kenyataan ringkas pagi ini.

Beliau berkata, maklumat terkini berhubung kes itu akan dimaklumkan dari semasa ke semasa manakala cuaca pagi ini di beberapa kawasan dalam keadaan baik.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA

Ribut: Polis terima 35 laporan setakat 2 pagi

LANGKAWI, 10 OGOS: Polis menerima 35 laporan berhubung pelbagai kerosakan ekoran ribut di pulau ini, setakat 2 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Supt Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya juga yakin laporan yang diterima akan bertambah memandangkan banyak lokasi di pulau itu terjejas dengan kejadian terbabit.

“Setakat 2 pagi tadi, polis terima 35 laporan, antaranya membabitkan kerosakan rumah, kenderaan dan sebagainya. Setakat ini, kita juga belum terima sebarang laporan kehilangan nyawa akibat kejadian ribut itu.

“Kecuali ada maklumat berhubung kecederaan ringan dialami pekerja hotel serta penduduk sekitar kawasan ini ekoran ditimpa dahan dan ranting, namun mereka sudah mendapatkan rawatan,” katanya ketika ditemui di Jalan Pantai Tengah di sini pagi ini.

Mohd Iqbal berada di lokasi berkenaan bagi memantau kerja pembersihan pokok tumbang dan kabel elektrik terjatuh di atas jalan raya yang dilaksanakan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Langkawi, Angkatan Pertahanan Awam Daerah Langkawi dan Polis Diraja Malaysia.

Turut membantu kerja itu ialah Bomba Komuniti Pantai Chenang dan kontraktor Tenaga Nasional Berhad bersama orang awam.

Mohd Iqbal turut minta orang ramai yang mengalami kerugian harta benda untuk tampil membuat laporan bagi memudahkan sebarang tuntutan kelak.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Ayer Hangat, Juhari Bulat yang turut berada di lokasi terbabit berkata, pihaknya akan membuat bancian bagi mengenal pasti jumlah rumah yang mengalami kerosakan di kawasan berkenaan.

“Kita akan banci bagi mendapatkan jumlah sebenar, kemudian akan diusahakan bantuan kepada rumah yang layak mengikut kriteria ditetapkan, bagaimanapun bantuan ini tidak membabitkan premis perniagaan.

“Keutamaan bantuan juga akan dinilai berdasarkan keperluan sebagai contoh ada sebuah rumah di Kampung Perana bakal mengadakan kenduri Selasa depan (13 Ogos), namun ribut yang berlaku tadi mengakibatkan bumbung rumah berkenaan tercabut,” katanya.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB turun padang lawat mangsa ribut Gombak

OLEH NADIAH ZAMLUS

GOMBAK, 11 JULAI: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari turun padang melawat mangsa kejadian ribut yang berlaku di kawasan Dewan Undangan Negeri Sungai Tua (DUN), hari ini.

Amirudin berkata, kejadian yang berlaku pada jam kira-kira 6 petang semalam menyebabkan hampir 125 keluarga terjejas.

Katanya, kebanyakan rumah rosak akibat pokok tumbang dan dua keluarga ditempatkan di penempatan sementara sejak tengah malam tadi.

“Buat masa ini bantuan segera iaitu bayaran RM500 diberikan, sementara untuk kerja baikpulih akan mengambil masa sekurang-kurangnya satu minggu untuk kita buat penilaian.

“Setakat ini kerja pembersihan juga sedang giat dilakukan oleh semua agensi terlibat dan ia akan diteruskan sehingga selesai,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melawat mangsa ribut di Dewan Serbaguna Kampung Laksamana, di sini, hari ini.

Selain Kampung Laksamana, Amirudin turut melawat ke beberapa lokasi termasuk Kampung Nakhoda, Selayang Baru, Flat Cempaka dan Sekolah Menengah Taman Selayang.

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Sepakat bantu baik pulih rumah mangsa ribut

OLEH SHAFIQQUL ALIFF

SELAYANG, 7 JUL: Kerajaan Negeri sedia bekerjasama dengan semua agensi bagi memulihkan 150 kediaman yang terjejas akibat dilanda ribut di FELDA Suharto, Hulu Bernam, kelmarin.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, Kerajaan Negeri juga sedia membantu semua mangsa terbabit daripada sudut bantuan kewangan termasuk membaik pulih kediaman mereka.

“Di Rawang baru ini, kita belanja lebih kurang RM360,000 untuk bantu penduduk di kawasan pangsapuri dan sekitarnya yang berdepan masalah serta ribut yang melanda.

“Kerajaan Negeri masih berupaya dan mampu untuk membantu semua mangsa berkenaan bukan saja bantuankewangan tetapi sebagai mana yang ada dalam sistem bantuan dan sokongan bencana dalam negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Jamuan Raya Aidilfitri Ahli Parlimen Selayang dan Ahli Dewan Negeri (ADN), Taman Templer dan Bandar Baru Selayang, Di Dataran Ilmu, Bandar Baru Selayang, malam tadi.

Turut hadir, Ahli Parlimen Selayang, William Leong; ADN Taman Templer, Sani Hanzan Dan ADN Kuang, Salehuddin Amirudin.

Sebelum ini, kira-kira 150 keluarga di FELDA Soeharto, berdepan detik cemas apabila rumah didiami dilanda ribut termasuk menerbangkan bumbung sebahagian rumah berkenaan.

Pada 5 Julai lalu sekitar jam 5.30 petang, ribut yang melanda kira-kira selama 20 minit itu turut menyebabkan empat keluarga peneroka di FELDA terbabit terpaksa menumpang di Dewan Orang Ramai berhampiran kerana rumah mereka rosak teruk.

Mengulas lanjut Amirudin berkata, pihaknya akan teruskan kebaikan dan kejayaan yang dilakukan demi kesejahteraan serta kemakmuran rakyat.

Terdahulu, beliau meluangkan masa hampir sejam bersama penduduk di sekitar daerah Selayang bagi memeriahkan sambutan berkenaan.

Categories
SELANGOR

Ribut di Rawang, Kerajaan Negeri kumpul maklumat kerosakan

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

RAWANG, 6 MEI: Kerajaan Negeri sedang mengumpulkan maklumat lanjut berkaitan kerosakan yang dihadapi penduduk berikutan kejadian ribut kencang Jumaat lalu bagi urusan penyaluran bantuan dana.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Rawang, Chua Wei Kiat berkata, ketika ini Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sudah ditutup sejak semalam dan semua mangsa terlibat sudah pulang ke rumah masing-masing.

“Kita akan kumpulkan maklumat tentang kerosakan yang dihadapi mangsa dan kita akan bawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) minggu ini bagi membincangkan tentang penyaluran peruntukan.

“Kita akan pastikan semua penduduk dalam keadaan selamat dan selesa, lagi-lagi ketika menghadapi Ramadan ini,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya sudah menghantar sumbangan kecemasan kepada mangsa yang terlibat pada Sabtu lalu.

Empat lokasi terjejas adalah Taman Jati, PKNS Batu 17, Taman Setia Batu 16 dan Pangsapuri Rawang Perdana 1 termasuk bumbung Sekolah Menengah Kebangsaan tun Perak serta tangki air Blok Cempaka Tun.

Berikutan bencana itu, satu Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di Dewan Majlis Perbandaran Selayang Taman Kanching Jaya.

Sekurang-kurangnya 200 keluarga terjejas dalam kejadian ribut terbabit.