Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Baik pulih bumbung `Flat Colombia’ siap awal, penghuni ceria sambut Syawal

 

SHAH ALAM, 11 MEI: Kerja baik pulih kerosakan bumbung Pangsapuri PKNS Taman Keramat AU 2 di Hulu Klang selesai sepenuhnya, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pembaikan bumbung bangunan juga dikenali Flat Colombia ditaja sepenuhnya Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

“Alhamdulillah kerja selesai lebih awal untuk keselesaan penduduk,” katanya menerusi Facebook hari ini. Pengumuman itu dijangka menceriakan keluarga mangsa.

Pada 29 April Amirudin turun padang meninjau kerosakan susulan kejadian ribut sehari sebelumnya serta memberi jaminan pembaikan siap menjelang sambutan Aidilfitri.

Ketika lawatan, beliau menganggar peruntukan antara RM50,000 hingga RM60,000 diperlukan untuk membaiki kerosakan.

Dato’ Menteri Besar turut turut menyampaikan bantuan segera sejumlah RM1,000 serta keperluan barangan asas kepada lima keluarga terjejas.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Penghuni Flat PKNS AU2 harap pembaikan bumbung siap menjelang raya

AMPANG JAYA, 30 APRIL: Penghuni Blok E Flat PKNS AU2 Taman Keramat yang terjejas akibat ribut berharap pembaikan kerosakan bumbung siap seperti dijadualkan.

Noorini Abdullah, 70, berkata Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjamin semua keluarga terkesan sempat menduduki kediaman menjelang Hari Raya Aidilfitri.

“Makcik sebak ketika menerima kunjungan Dato’ Menteri Besar, tidak sangka beliau segera datang melihat sendiri kerosakan yang berlaku.

Noorini Abdullah, 70

“Kesungguhan beliau (Amirudin) datang ke rumah memberi kelegaan kepada makcik dan suami yang uzur,” katanya

Bagi Aris Bay Haki, 36, dia sekeluarga tidur di ruang tamu sehingga siling rumah dibaiki.

“Bumbung flat pernah dibaiki dua tahun lepas, justeru saya berharap kontraktor menggunakan bahan berkualiti tinggi untuk mengelak kejadian sama berulang,” katanya.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar turun padang meninjau lokasi kejadian serta menganggar peruntukan antara RM50,000 hingga RM60,000 untuk membaiki kerosakan.

Beliau turut menyampaikan bantuan segera sejumlah RM1,000 serta barangan keperluan asas.

Kejadian ribut jam 1.45 tengah hari pada Rabu menyebabkan kerosakan teruk bahagian bumbung serta menjejaskan lima keluarga di tingkat empat Blok E Flat PKNS AU2 Taman Keramat.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB tinjau Flat PKNS AU2 dilanda ribut, salur bantuan segera RM1,000

AMPANG JAYA, 29 APRIL: Dato’ Menteri Besar turun padang meninjau kerosakan bumbung Blok E Flat PKNS AU2 Taman Keramat di sini, susulan kejadian ribut semalam.

Dato’ Seri Amirudin Shari diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Siti Zubaidah Abd Jabar kemudian menziarahi lima keluarga terjejas di tingkat empat kediaman itu.

Beliau turut menyampaikan bantuan segera sejumlah RM1,000 serta barangan keperluan asas.

Keadaan bumbung pangsapuri yang rosak akibat ribut di Pangsapuri PKNS Taman Keramat AU2, Hulu Kelang pada 29 April 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Amirudin ketika ditemui pemberita berkata pihaknya menganggar peruntukan antara RM50,000 hingga RM60,000 diperlukan untuk membaiki kerosakan tersebut.

“Saya berharap keluarga terjejas bersabar, Insya-Allah saya dimaklumkan oleh PKNS kerosakan bumbung sempat dibaik pulih sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri,” katanya.

Kejadian ribut jam 1.45 tengah hari semalam menyebabkan kerosakan teruk bahagian bumbung Blok E Flat PKNS AU2 di Taman Keramat atau dikenali sebagai Flat Colombia.

Categories
AGENDA NASIONAL

Penghantar makanan maut dihempap dahan pokok ketika ribut

KUALA LUMPUR, 16 APRIL: Seorang penghantar makanan GrabFood maut selepas dipercayai dihempap dahan pokok yang tumbang akibat ribut berhampiran Petronas Alam Damai, Cheras, di sini, semalam.

Mangsa, Syed Izzat Izzudin berusia 20 tahun meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur ACP Zulkefly Yahya berkata kejadian berlaku kira-kira jam 4 petang, ketika mangsa sedang dalam perjalanan dari Jalan Damai Jasa menghala ke Taman Len Seng, di sini, sebelum dahan dari sebatang pokok secara tiba-tiba jatuh dan menghempap mangsa.

Rentetan kejadian itu, polis meminta bantuan pihak bomba untuk memotong dahan pokok berkenaan bagi mengeluarkan mangsa yang terperangkap di bawahnya.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia untuk dibedah siasat,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, berlaku kesesakan lalu lintas di sekitar ibu negara akibat beberapa lokasi dilanda banjir kilat dan kejadian pokok tumbang akibat hujan lebat, pada kira-kira 3.30 petang.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Cheras ketika dihubungi berkata lokasi yang terjejas akibat pokok tumbang adalah di Petronas Alam Damai, Taman Len Sen di Cheras; Jalan 4/27A Seksyen 2 di Wangsa Maju; Jalan Pantai Murni di Pantai Dalam; Jalan Sultan Salahuddin di Kampung Padang Merbok; Jalan Melati dan Lebuhraya MRR2 di Hulu Klang.

Dalam pada itu, Pusat Pengurusan Pengangkutan Bersepadu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur ketika dihubungi berkata kesesakan lalu lintas berlaku susulan banjir kilat, akibat hujan lebat.

Antara laluan yang terjejas ialah Jalan Cheras di hadapan Ekomall menghala ke Bulatan Billion dan kedua-dua arah jalan dari Bulatan Cheras ke Taman Maluri.

Bagaimanapun, takungan air di beberapa laluan mulai surut pada kira-kira 4.20 petang.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Ribut, hujan lebat sebabkan pokok tumbang sekitar ibu negara

KUALA LUMPUR, 13 APRIL: Hujan lebat dan ribut petir di ibu negara petang semalam mengakibatkan kejadian pokok tumbang di beberapa kawasan, namun tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.

Menurut Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur antara kawasan terlibat dalam kejadian dari 6.23 petang hingga 7.04 malam itu adalah Jalan Perkasa, Taman Maluri; Taman Rama-Rama Cendasari, Bukit Aman; Pondok Polis Permaisuri, Bandar Sri Permaisuri; Taman Ikan Emas, Jalan Kaskas; Pangsapuri Indah Mas dan Taman Shamelin Perkasa.

Pokok tumbang turut menjejaskan laluan ke Stesen LRT Maluri menghala ke Stesen LRT Pandan Jaya.

“Kerja-kerja memotong pokok di laluan tersebut masih diteruskan dan para penumpang dikeluarkan oleh kakitangan LRT dan anggota bomba,” menurut kenyataan itu.

Dalam kejadian di Jalan Perkasa, wanita berumur 33 tahun bersama empat anak berusia lapan hingga 13 tahun nyaris maut apabila rumah teres mereka dihempap pokok kira-kira 6.39 petang, namun semuanya diselamatkan dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Beberapa kenderaan yang diparkir di tepi jalan di lokasi terbabit turut rosak akibat ditimpa pokok tumbang, namun tidak membabitkan mangsa,” menurut kenyataan itu malam tadi.

Anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Hang Tuah, BBP Pudu, BBP Jalan Tun Razak dan BBP Cheras terlibat dalam tugas menyelamat selain memotong dan mengalihkan pokok tumbang di semua lokasi terjejas.

Sementara itu, Prasarana menerusi satu kenyataan memaklumkan sekurang-kurangnya 13 pokok tumbang dan menimpa trek sekitar Stesen Maluri, Pandan Jaya, Chan Sow Lin dan Cheras yang terletak di atas tanah sehingga menyebabkan perkhidmatan LRT laluan Ampang dan Sri Petaling terjejas.

“Rapid KL memohon maaf atas gangguan perkhidmatan ini dan kesulitan yang terpaksa dihadapi oleh pelanggan kami akibat gangguan berkenaan.

“Kerja-kerja mengeluar dan memindahkan penumpang mengambil masa lama atas faktor keselamatan kerana risiko yang dibawa oleh angin ribut, hujan dan petir pada masa itu,” menurut kenyataan tersebut.

Menurut Prasarana, kerja mengeluarkan dan memindahkan penumpang selesai pada 10.20 malam tadi, namun kerja pembersihan dan pemeriksaan trek akan dijalankan sepanjang malam ini untuk tujuan keselamatan.

Penumpang yang terjejas boleh menuntut kupon bayaran balik di semua kaunter LRT Laluan Ampang dan Sri Petaling.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Khemah sekatan jalan IPD Hulu Selangor rosak diterbang ribut

SHAH ALAM, 16 MAC: Khemah sekatan jalan raya Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor di Tol Sungai Buaya, Rawang rosak diterbang ribut petang ini.

Polis Hulu Selangor berkata hujan lebat dan angin kencang menyebabkan khemah yang digunakan tujuh petugas untuk berteduh terbalik.

“Usaha beberapa anggota yang cuba menahan tiang khemah agar tidak diterbangkan angin tidak berhasil.

“Bagaimanapun syukurlah anggota bertugas selamat tidak mengalami sebarang kecederaan dan khemah petugas Covid-19 rosak teruk,” katanya menerusi Facebook.

Tambahnya, khemah tersebut menempatkan empat anggota polis dari IPD Hulu Selangor, dua tentera dan seorang anggota Jabatan Sukarawan Malaysia (Rela).

Categories
AGENSI SELANGOR

Mangsa ribut Kuala Selangor dapat bantuan kewangan

SHAH ALAM, 11 MAC: Wakil rakyat Kuala Selangor semalam menyerahkan bantuan kewangan segera kepada mangsa ribut sekitar Taman Kamasan, Kampung Kuantan.

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dalam kenyataan memaklumkan keluarga yang terkesan turut dirujuk ke Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk bantuan susulan.

Menurutnya, insiden pada jam 2.15 petang semalam menjejaskan tujuh kediaman namun tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

“Penduduk mengalami kerugian berikutan kerosakan pada bahagian bumbung menyebabkan air masuk ke dalam rumah dan memusnahkan perabot serta alatan elektrik,” katanya.

Pada 6 Mac, insiden sama berlaku di sekitar Bandar Baru Salak Tinggi yang menjejaskan kira-kira 100 kediaman dan beberapa buah sekolah.

Berikutan itu, Kerajaan Negeri menyalurkan bantuan awal sebanyak RM500 kepada setiap keluarga mangsa ribut bagi meringankan beban mangsa.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB lawat mangsa ribut Bandar Baru Salak Tinggi petang ini

SHAH ALAM, 8 MAC: Dato’ Menteri Besar dijadual melawat mangsa ribut di Balai Raya Taman Seroja, Bandar Baru Salak Tinggi (BBST) Sepang hari ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari akan melawat kawasan bencana Taman Seroja BBST pada jam 2.30 petang.

Beliau akan diiringi pegawai daerah Sepang Mohamad Zain A Hamid dan yang dipertua Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) Dato’ Abd Hamid Hussain.

Dalam lawatan itu, Amirudin akan diberikan taklimat berhubung situasi ribut dan perkembangan terkini penduduk yang ditempatkan di balai raya tersebut.

Terdahulu, lebih 100 rumah di BBST zon utara dan zon salak rosak selepas dilanda ribut akibat hujan lebat yang berlaku kira-kira jam 5 petang kelmarin.

Kawasan perumahan terjejas adalah Taman Seroja dengan 17 rumah, Taman Dahlia (19), Aparment Casa Dahlia (28), Taman Mawar Perdana selain Kampung Salak Tengah (7) dan Kampung Baru Pekan Salak (20).

Turut mengalami kerosakan adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Seroja, SK Salak, SK KLIA dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Salak Tinggi.

Difahamkan, kejadian itu pertama kali berlaku melibatkan taman perumahan di BBST selain
disifatkan sebagai terburuk.

Categories
ADN SELANGOR

17 rumah, binaan sekolah di Sepang rosak dilanda ribut

SHAH ALAM, 7 MAC: Sebanyak 17 rumah di Salak Tinggi rosak dilanda ribut petang semalam selain beberapa kawasan perumahan dan pangsapuri turut terjejas.

Wakil rakyatnya berkata turut terjejas sebahagian binaan Sekolah Kebangsaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan khemah sekatan jalan raya polis Sepang, lapor Berita Harian.

“Jumlah rumah yang rosak belum dapat disahkan lagi dan pengerusi penduduk akan mengadakan perjumpaan bersama mangsa untuk urusan dokumentasi, bagi penyaluran bantuan bencana oleh agensi kerajaan,” kata Adhif Syan Abdullah.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof pula berkata pihaknya dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sepang sudah mengadakan pembersihan khemah yang rosak.

“Operasi pembersihan itu membabitkan mengalih khemah yang rosak dan menghalang laluan,” katanya.

Categories
AGENDA ALAM SEKITAR & CUACA NASIONAL

Amaran cuaca buruk di Pahang, Johor hingga esok

KUALA LUMPUR, 1 JAN: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran cuaca buruk (peringkat jingga) dengan hujan lebat dijangka berlaku di beberapa kawasan di Pahang dan Johor sehingga esok.

Ketua Pengarahnya Jailan Simon dalam kenyataan hari ini, berkata amaran cuaca waspada (kuning) turut dikeluarkan bagi beberapa daerah lain di dua negeri terbabit serta di Kelantan dan Terengganu bagi tempoh sama.

Menurutnya amaran cuaca peringkat jingga melibatkan daerah Kuantan, Pekan dan Rompin di Pahang serta Segamat dan Mersing di Johor, manakala amaran peringkat kuning meliputi daerah Lipis, Jerantut, Temerloh, Maran dan Bera di Pahang serta seluruh Kelantan dan Terengganu.

“Dalam tempoh berkenaan, kejadian angin kencang boleh berlaku di kawasan pantai di negeri-negeri pantai timur Semenanjung.

“Pada masa sama, kebanyakan kawasan di negeri-negeri pantai barat Semenanjung, Sarawak dan Sabah dijangka mengalami kejadian ribut petir dan hujan lebat berserta angin kencang terutamanya pada waktu petang sehingga awal malam.

“Keadaan itu berpotensi menyebabkan banjir kilat di kawasan rendah serta kerosakan kepada struktur tidak kukuh,” katanya.

Jailan berkata angin kencang timur laut berkelajuan melebihi 60 kilometer sejam dengan ombak mencapai 4.5 meter dijangka boleh berlaku di perairan negeri Kelantan, Terengganu, Pahang, Sarawak, Wilayah Persekutuan Labuan dan Sabah dalam tempoh berkenaan.

Keadaan itu, katanya boleh mendatangkan risiko limpahan air laut di pesisir pantai serta muara sungai kawasan terbabit.

– BERNAMA

Sumber Grafik: Facebook MET Malaysia

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

JPBD Sepang bertindak segera bersih, baik pulih kawasan terjejas ribut

SHAH ALAM, 25 SEPT: Kerja pembersihan dan baik pulih kawasan yang terjejas akibat ribut sekitar Sepang dilakukan sejurus laporan diterima pada 4.15 petang, Selasa lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Sepang Mohamad Zain A Hamid berkata 123 kediaman membabitkan tujuh kampung dengan lima daripadanya kampung Orang Asal dilapor mengalami kerosakan.

“Operasi pembersihan, pembaikan dan menghulurkan bantuan segera di lokasi yang terjejas bencana dengan memberikan keutamaan kepada sistem perhubungan seperti jalan raya, laluan keluar masuk penduduk dan infrastruktur awam serta pembaikan bekalan elektrik.

“Selain itu, operasi pembersihan melibatkan kediaman penduduk yang mengalami kerosakan besar (turut dilakukan) dan majlis pengurusan komuniti kampung (MPKK) juga digerakkan untuk membantu operasi pembersihan kecil kediaman terjejas secara gotong-royong,” katanya dalam kenyataan.

Kawasan terlibat kejadian pokok tumbang dan hujan batu adalah Kampung Desa Putra, Kampung Limau Manis, Kampung Sungai Merab, Kampung Jenderam Hilir, Kampung Sungai Buah dan Kampung Jenderam Hulu.

Selain itu, turut terjejas ialah Kampung Dato’ Abu Bakar Baginda, Kampung Orang Asal Bukit Dugang, Kampung Orang Asal Bukit Jenuk, Kampung Orang Asal Sungai Buah serta Kampung Orang Asal Batu 28 Jenderam Hilir.

Categories
ADN SELANGOR

Mangsa ribut terima bantuan baik pulih bumbung rumah

SHAH ALAM, 10 MEI: Sebuah keluarga dari Kampung Felda Bukit Cherakah, Kuala Selangor yang tidur berbumbungkan langit selepas atap rumah diterbangkan ribut baru-baru ini mampu menarik nafas lega apabila menerima bantuan baik pulih struktur kediaman mereka.

Ahli Dewan Negeri Jeram Mohd Shaid Rosli berkata peruntukan membaiki kerosakan bumbung rumah mangsa diluluskan selepas perbincangan diadakan bersama penolong pegawai daerah Kuala Selangor.

“Semasa menziarahi tapak kejadian, saya membayangkan bagaimana keadaan mereka bersahur dan berbuka puasa dengan bumbung terdedah apabila hujan turun.

“Selepas lawatan pasca bencana tersebut, saya membuat permohonan dengan pihak pejabat daerah bagi meluluskan pembaikan segera,” katanya kepada SelangorKini.

Keadaan bumbung rumah milik sebuah keluarga yang rosak dalam kejadian angin kencang pada hujung April lalu. Foto Facebook Shaid Rosli

Beliau berkata sumbangan itu diharap meringankan beban keluarga mangsa menampung kos kerosakan.

“Semoga kerja pembaikan kerosakan bumbung dibuat memberi hadiah kegembiraan pemilik rumah serta keluarga,” katanya.

Pada hujung April lalu, Kampung Felda Bukit Cherakah, Kuala Selangor dilanda angin kencang sehingga merosakkan rumah terbabit.