Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor beri RM40,000 kepada empat atlet negeri ke Olimpik Tokyo

SHAH ALAM, 8 JULAI: Kerajaan Negeri memperuntuk insentif khas berjumlah RM40,000 kepada empat atlet Selangor yang layak bertanding ke Sukan Olimpik Tokyo.

Atlet tersebut Phee Jing En (renang), Lee Hup Wei (lompat tinggi), Gavin Kyle Green (golf) dan Farah Ann Abdul Hadi (gimnastik artistik) masing-masing menerima RM10,000.

EXCO Sukan Mohd Khairuddin Othman berkata insentif tersebut sebagai pembakar semangat kepada mereka untuk beraksi dengan lebih baik pada temasya sukan berprestij itu.

“Dengan sumbangan ini kita harap ia dapat membantu sedikit sebanyak ketika mereka berada di Tokyo. Kita harap atlet ini dapat membawa pulang pingat tertinggi serta mengibar jalur gemilang di negeri matahari terbit itu.

“Saya mewakili Kerajaan Selangor mengucapkan syabas kepada semua atlet berkenaan kerana berjaya mewakili Malaysia juga negeri ke Sukan Olimpik. Jaga diri, kesihatan dan harumkan nama negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada perjumpaan maya bersama attlet Selangor yang mewakili negara ke Sukan Olimpik Tokyo malam tadi.

Pada masa sama, Khairuddin berkata kehadiran mereka dalam kontinjen Malaysia tentu akan menjadi inspirasi kepada seluruh generasi dan atlet baharu untuk mencipta kegemilangan dalam arena sukan.

“Kerajaan Negeri juga pastinya akan memantau secara dekat pencapaian dan prestasi keempat-empat atlet ini nanti, selain terus berusaha untuk memajukan sukan di Selangor secara amnya,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Kerajaan Negeri bantu keluarga C Sugumar

C Sugumar

HULU LANGAT, 15 OKTOBER: Kerajaan Negeri Selangor menghulurkan bantuan sebanyak RM10,000 kepada keluarga C Sugumaran yang meninggal dunia semasa di tahan polis.

Sumbangan diserahkan sendiri oleh Exco Kebajikan Selangor, Rodziah Ismail kepada ibu mendiang Sugumaran, Manaigalai Kuppamuthu, baru-baru ini di kediaman keluarga mangsa di Taman Sri Nanding.

Kunjungan Rodziah itu ditemani Adun Dusun Tua, Razaly Hassan.

“Saya menggesa Menteri Dalam Negeri berhati-hati dan bersifat berperikemanusiaan bila beliau bercakap mengenai isu keselamatan dan nyawa rakyat. Apakah menteri memikirkan nyawa di tangan beliau sehinggakan mengeluarkan kenyataan kalau berlaku begini, kita tembak dahulu? Apakah dengan tembak itu penyelesesaian terbaik?” soalnya.

“Bagi saya pembelaan kepada rakyat adalah bila mana kesaksamaan itu dilakukan tidak kira beliau itu siapa, kalau pihak itu salah, tampilkan ke muka pengadilan supaya dapat dibuktikan dengan sewajarnya,” katanya.

Rodziah berkata Pejabat Dun Sungai Tua dicadang menguruskan pendaftaran ibu mangsa di bawah Skim Mesra Usia Emas (SMUE).

Sementara itu, sepupu mendiang Sugumaran, K Anantha Kannan yang ditemui berharap mereka yang bertanggungjawab terhadap kematian mendiang dibawa ke muka pengadilan dan didakwa dibawah Seksyen 302.

Menurutnya, sekatat ini kes belum difailkan di mahkamah sivil dan pihak keluarga menolak inkues yang dilakukan polis.

“Polis telah mendapatkan semua dokumen yang lama mengatakan dia pesakit psikatri untuk mengaibkan mendiang C Sugumar. Kita rasa macam terhina sebab ini salah polis,” kata Anantha dengan nada sedih.

“Polis dah gari kemudian palit serbuk kari dekat muka dia. Dia jatuh dan orang berhampiran kedai kopi datang pukul. Polis hanya memerhatikan sahaja. Setakat ini hanya satu saksi disoal di Mahkamah Majisterit Kajang,” katanya.

Katanya lagi terdapat beberapa saksi yang akan dipanggil untuk memberikan keterangan pada pendengaran kes selepas Hari Raya Aidiladha.

Sugumar, seorang pengawal keselamatan ditahan Januari tahun ini selepas didakwa mengalami masalah mental dan merosakkan harta awam.

Bedah siasat melaporkan beliau meninggal kerana sakit jantung, namun saksi semasa penahanan itu mendakwa seorang anggota polis memijak leher mendiang semasa  digari.

Gambar kejadian juga menunjukkan wajah mangsa dipalit serbuk kunyit.

Saksi mendakwa kira-kira 20 orang dari restoran berhampiran turut membantu polis menahan dan kemudian membelasah mendiang beramai-ramai.