Categories
AGENDA SUKANKINI

Liga Super: Selangor FC rentap ego JDT, seri 1-1

KUALA LUMPUR, 18 MAC: Selangor FC berjaya merentap ego juara Liga Super tujuh tahun berturut-turut Johor Darul Ta’zim (JDT), selepas mengikat gergasi bola sepak dari selatan tanah air itu dengan keputusan seri 1-1, pada aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri malam tadi.

Pasukan ‘The Red Giants’ membuat kejutan dengan membuka tirai jaringan seawal minit ketujuh permainan, menerusi gol sepakan lencong di sebelah kiri penyerang import Ifedayo Olusegun yang menyempurnakan lorongan bola ke dalam kotak penalti dari tengah padang oleh pemain import baharu dari Switzerland, Oliver Buff.

Grafik: Facebook Selangor FC

Tersentak dengan jaringan pembukaan itu, JDT tidak memerlukan masa yang lama untuk bangkit menyamakan kedudukan menerusi penyerang import baharu dari Brazil Bergson Da Silva, selepas melepaskan rembatan padu hasil hantaran pendek dari sebelah kiri oleh Gonzalo Gabriel Cabrera pada minit ke-11.

JDT sepatutnya berada di depan pada minit ke-40 namun Cabrera gagal memanfaatkan penalti, selepas sepakannya hanya melewati palang gol susulan bentesan Mohamad Ashmawi Md Yakin menyebabkan pemain sayap Arif Aiman Mohd Hanapi, terjatuh di dalam kotak penalti.

Bersambung babak kedua, skuad Harimau Selatan berpeluang untuk menambah jaringan menerusi satu lagi sepakan penalti, namun cubaan Da Silva berjaya diselamatkan Khairulazhan yang tenang menepis keluar tendangan itu dan menyaksikan kedudukan seri kekal sehingga wisel penamat dibunyikan.

Kedudukan itu menyaksikan JDT kekal di tangga teratas liga dengan mengutip 10 mata selepas empat perlawanan, manakala Selangor pula kekal di tangga kelima liga dengan kutipan lima mata.

– BERNAMA

Grafik: Facebook Malaysian Football League
Categories
SELANGOR

Kehadiran Brendan beri suntikan semangat menjelang aksi menentang KL

SHAH ALAM, 13 MAC: Selangor FC mendapat suntikan semangat apabila ketua pasukan, Brendan Gan kembali berlatih selepas ketinggalan dua perlawanan awal, kata pengurus pasukan.

Mahfizul Rusydin berkata kehadiran pemain tengah itu penting sebagai suntikan semangat kepada pasukan Gergasi Merah menjelang pertemuan dengan Kuala Lumpur City FC hari ini.

“Brendan telah memulakan latihan bersama pasukan dan ini sedikit melegakan pasukan yang dihimpit isu kecederaan pemain tengah.

“Pemain tengah, Halim Saari mengalami kecederaan lutut yang serius dan terpaksa berehat beberapa bulan selain Nik Sharif Haseefy Mohd Lazim yang masih belum pulih,” katanya kepada SelangorKini semalam.

Beliau bagaimanapun berkata Selangor masih memiliki pemain tengah seperti K Sarkunan dan pemain import baharu Oliver Buff yang boleh mengisi kekosongan.

“Pemain perlu melupakan kekalahan kepada Terengganu FC. Tumpuan pasukan adalah tajamkan penyudah dan menguatkan keupayaan pertahanan akibat beberapa kecederaan,” katanya.

Selangor FC memulakan kempen Liga Super 2021 dengan langkah kanan apabila menang 3-1 mengatasi Sri Pahang.

Namun momentum itu gagal dikekalkan selepas tewas 1-3 kepada Terengganu FC.

Selangor dijadualkan menentang Kuala Lumpur City FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) malam ini.

Categories
AGENSI SELANGOR

Selangor FC perlu kekal momentum, kutip mata penuh

SHAH ALAM, 9 MAC: Pemain Selangor FC diminta meneruskan momentum kemenangan apabila turun beraksi di gelanggang lawan menentang Terengganu FC pada malam ini.

Pengurus pasukan berkata kejayaan membenam Sri Pahang dalam perlawanan pembukaan Liga Super menjadi pembakar semangat pemain untuk terus mencatat kejayaan.

“Gergasi Merah mulakan langkah kanan apabila menang 3-1 mengatasi Tok Gajah yang bukan calang-calang pasukan, ia menunjukkan pemain dapat sesuaikan dengan taktikal jurulatih.

“Mereka perlu kekal fokus, Terengganu FC mempunyai reputasi hebat namun berdasarkan semangat ditunjukkan ketika berlatih, kita yakin mampu mengutip tiga mata,” kata Mahfizul Rusydin kepada SelangorKini hari ini.

Selangor FC dijadual bertemu pasukan bimbingan Nafuzi Zain di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada jam 9 malam ini.

Merah Kuning menyasar kedudukan terbaik dalam Liga Super musim ini bagi melayakkan bertanding peringkat Asia, kata pengurusnya.

Pasukan yang menjadi juara Liga Super akan layak bertanding Piala Juara-Juara Asia manakala naib juara menyertai Piala AFC.

Sebelum ini Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) mengumumkan pelantikan Karsten Neitzel sebagai ketua jurulatih pasukan Gergasi Merah untuk saingan liga musim 2021.

Neitzel berpengalaman menguruskan pasukan Bochum VFL, SV Eleversberg serta membawa Holstein Kiel ke divisyen dua Liga Jerman.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor FC sasar kedudukan terbaik, layak kejohanan Asia

SHAH ALAM, 2 MAC: Selangor FC menyasar kedudukan terbaik dalam Liga Super musim ini bagi melayakkan bertanding peringkat Asia, kata pengurusnya.

Mahfizul Rusydin berkata keyakinan itu berdasarkan semangat ditunjuk pemain walapun menjalani tempoh latihan singkat selain membalas kesetiaan penyokong di belakang Red Giants.

“Cuma kecederaan buku lali pemain tengah, Nik Muhammad Sharif Haseefy yang memerlukan sekurang-kurangnya enam minggu untuk pulih mengganggu sedikit persiapan pasukan.

“Namun secara keseluruhan, pemain telah bersedia untuk turun perlawanan pertama menentang Sri Pahang di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada Sabtu ini,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Pasukan yang menjadi juara Liga Super akan layak bertanding Piala Juara-Juara Asia manakala Piala AFC selaku naib juara.

Sebelum ini Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) mengumumkan pelantikan Karsten Neitzel sebagai ketua jurulatih pasukan Red Giants untuk saingan liga musim 2021.

Neitzel berpengalaman menguruskan pasukan Bochum VFL, SV Eleversberg serta membawa Holstein Kiel ke divisyen dua Liga Jerman.

Beliau juga pernah bermain untuk pasukan Freiburg di Bundesliga.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA SUKANKINI

Selangor FC lancar jersi tempat lawan, warna mirip era 1980-an

SHAH ALAM, 1 MAC: Selangor FC hari ini melancarkan jersi tempat lawan untuk kegunaan saingan musim 2021 dengan konsep warna mirip zaman 1980-an.

Pelancaran jersi kedua berwarna biru gelap dengan corak biru neon dibuat susulan jersi tuan rumah bagi musim ini dilancarkan pada 1 Februari lalu.

Mengikut laman sesawang pasukan itu, biru gelap lambang kesepaduan penduduk Selangor kepada Red Giants manakala biru neon simbolik kepada pembaharuan untuk masa depan.

“Selain itu, jersi ini juga dipadankan dengan motif peta negeri Selangor yang menekankan reka bentuk sembilan daerah dalam negeri ini yang merupakan tulang belakang pasukan ini.

“Warna merah kuning juga dicetak dan disematkan dengan jelas pada bahagian belakang kolar jersi ini,” kata kenyataan laman sesawang itu.

Biru gelap sering menjadi warna jersi tempat lawan sekitar 1980-an, kali terakhir pada musim 2018. Konsep itu berbeza dengan jersi tuan rumah yang berunsur retro.

Pada era 1980-an, Selangor menjulang Piala Malaysia sebanyak empat kali iaitu 1981, 1982, 1984 dan 1986.

Jersi itu boleh dibeli di SelangorFC.com pada harga RM109 untuk edisi pemain. Pemegang Red Giants Team Card 2021 layak menerima diskaun 10 peratus untuk setiap pembelian pada tahun ini.

Categories
AGENDA SUKANKINI

Selangor FC 2 tekad asah bakat pemain muda

KUALA LUMPUR, 26 FEB: Selangor FC 2 berhasrat untuk meneruskan ‘legasi’ mereka dalam mengasah bakat pemain muda di samping meningkatkan prestasi pemain sedia ada untuk berbakti kepada skuad utama ‘The Red Giants’.

Ketua jurulatih Selangor FC 2, Michael Feichtenbeiner berkata beliau cukup berpuas hati apabila melihat beberapa pemain pada musim lalu terdiri daripada Aliff Haiqal, Zikri Khalili, Danial Asri, Sharul Nazeem Zulpakar dan penjaga gol muda, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman bakal dinaikkan pangkat ke skuad utama, Selangor FC.

“Fokus utama kami masih kekal seperti musim lalu iaitu membentuk bakat muda Selangor agar mereka bersedia untuk beraksi dengan pasukan utama dengan enam pemain telah diserap masuk ke Selangor FC pada musim ini.

“Saya harap dapat meneruskan legasi ini dan gembira kerana apa kami rancang buat masa ini, berjalan seperti yang kami mahukan dan harap musim 2022, kami akan melihat lebih ramai bintang muda mampu dihasilkan,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) hari ini.

Pada musim ini, Selangor FC 2 akan menggunakan tiga pemain import, dengan dua daripadanya merupakan pemain muda dari Ghana, Jordan Ayimbila, 20, dan George Attram, 21, selain Hein Htet Aung, 20, dari Myanmar.

Selangor FC 2 juga akan membariskan bekas pemain bawah-19 tahun negara, Shivan Pillay Asokan bagi memperkuatkan cabaran pasukan berkenaan.

Skuad tersebut menamatkan musim 2020 di tangga ketujuh menerusi empat kemenangan dan satu keputusan seri untuk menghimpun 13 mata.

Pasukan simpanan kepada skuad ‘The Red Giants’ itu bakal bertemu PDRM FC dalam aksi pembukaan Liga Premier 2021 pada 6 Mac.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA SUKANKINI

Selangor FC ikat pemain tengah Jerman, Manuel Konrad

SHAH ALAM, 22 FEB: Pasukan bola sepak Selangor FC mengikat kontrak pemain tengah dari Jerman Manuel Konrad, 32, secara rasmi, bagi melengkapkan senarai pemain importnya musim ini dalam menghadapi saingan Liga Malaysia, yang dijadualkan bermula pada awal Mac depan.

Selangor FC dalam kenyataannya hari ini memaklumkan, penyertaan pemain berasal dari wilayah Illertissen, Jerman ke dalam skuad Merah Kuning itu, adalah selepas dihubungi Ketua Jurulatih Red Giants Karsten Neitzel dan Pengarah Teknikal Selangor FC Michael Feichtenbeiner.

Konrad dalam kenyataan yang sama memaklumkan, kedua-dua figura tersebut adalah individu penting dalam memberi inspirasi kepada beliau, bagi menyertai pasukan Selangor FC.

“Saya yakin Selangor FC dapat bermain dengan cara yang menarik dan bersemangat tinggi, dengan falsafah yang dirancang. Ia pasti memerlukan sedikit masa untuk menjayakannya, tetapi jika kita bekerja keras kita mampu melakukan apa sahaja,” katanya.

Pemain yang berketinggian 187 sentimeter itu pernah beraksi di 2. Bundesliga (Liga Divisyen 2 Jerman) bersama pasukan utama SC Freiburg, dan berjaya menjulang piala German ‘second tier’ untuk musim 2008/2009.

Sebelum melebarkan sayapnya ke Asia, Konrad juga telah beraksi dalam 65 perlawanan bagi KFC Uerdingen 05 bermula musim 2018/2019, dan merekod satu jaringan serta dua bantuan gol sepanjang bersama kelab terakhirnya itu, tahun lalu.

Dalam pada itu, Neitzel dalam kenyataan yang sama menyatakan kehadiran bekas anak didiknya di SC Freiburg itu, dilihat mampu membantu mengukuhkan jentera tengah pasukan The Red Giants.

“Saya telah menyaksikan ‘Manu’ di SC Freiburg selama dua tahun. Saya yakin kemampuan dan kebolehan beliau menguatkan pasukan Selangor FC, bersama pemain-pemain lain.

“Beliau seorang pemain yang serba boleh terutamanya di pertahanan tengah. Beliau juga tidak dinafikan memiliki susuk fizikal bagus dan mempunyai semangat berpasukan yang baik. Saya yakin apabila dia mencapai 100 peratus tahap kecergasan, beliau akan menunjukkan prestasi maksimumnya di padang,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA AGENSI NASIONAL SELANGOR

Selangor atur aksi persahabatan, perkukuh pasukan untuk Liga-M

SHAH ALAM, 16 FEB: Selangor FC akan mengadakan tiga perlawanan persahabatan untuk memastikan pemain tampil lebih mantap pada kempen Liga Malaysia (Liga-M) 2021 bermula 5 Mac ini.

Ketua pegawai eksekutifnya berkata pasukan Gergasi Merah itu bakal beraksi menentang Polis Diraja Malaysia pada 20 Februari, PJ City (24 Februari) dan Kuala Lumpur (27 Februari).

“Tiga perlawanan persahabatan ini amat penting untuk mengukur tahap fizikal dan mental semua pemain selepas agak lama tidak berlatih bersama.

“Selain kita perlu manfaatkan sepenuhnya tempoh latihan singkat diberikan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mengukur kesefahaman dan kesesuaian corak permainan pasukan,” kata Dr Johan Kamal Hamidon kepada SelangorKini hari ini.

Pada 9 Februari Menteri Kanan (Keselamatan) mengumumkan kebenaran kepada pasukan menjalankan latihan berpusat atau secara kuarantin sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kebenaran tersebut melibatkan sesi latihan pasukan Liga-M, Liga Hoki Malaysia (MHL) dan Liga Sepak Takraw (STL).

Categories
AGENDA AGENSI NASIONAL SELANGOR

Liga-M: Selangor manfaat sebaiknya tempoh latihan singkat

SHAH ALAM, 16 FEB: Tempoh persediaan singkat dimanfaatkan sebaiknya Selangor FC untuk meneliti strategi berkesan yang mampu menghasilkan impak positif menjelang saingan Liga Malaysia (Liga-M) bermula 5 Mac ini.

Ketua jurulatih, Karsten Neitzel berkata setiap sesi latihan dirancang dengan cermat selain memastikan tiada pemain mengalami kecederaan sebelum sepak mula berbaki kurang tiga minggu.

“Selebihnya, saya dan kesemua jurulatih akan melakukan yang terdaya untuk mengembalikan kecergasan pemain Red Giants secepat mungkin kerana kami mahukan kejayaan kerana ini adalah matlamat pasukan,” katanya dalam kenyataan dikongsikan di laman sesawang Selangor FC.

Pengendali berusia 53 tahun itu juga mengakui sukar menyembunyikan perasaan bercampur baur berhubung tempoh latihan pasukan yang singkat namun kekal positif.

“Sudah tentu, semua peminat bola sepak gembira bahawa sukan ini akan kembali tidak lama lagi dan berita dinantikan semua pegawai serta pemain Selangor FC,” katanya.

Untuk rekod, Gergasi Merah merancang tiga perlawanan persahabatan sebelum perlawanan pertama liga bagi mengukur kesefahaman dan kesesuaian dengan corak permainan selain memastikan mereka berada dalam keadaan terbaik sama ada dari segi fizikal mahupun mental.

Kerajaan membenarkan sukan profesional seperti bola sepak dan sepak takraw dijalankan dengan tatacara operasi piawai (SOP) ketat.

Categories
BERITA UTAMA SUKANKINI

Selangor lancar jersi konsep retro, inspirasi daripada SuperMokh

SHAH ALAM, 2 FEB: Selangor FC semalam melancarkan jersi ‘home’ bagi musim 2021 yang diinspirasikan daripada ikon bola sepak negara, Allahyarham Mokhtar Dahari atau lebih dikenali sebagai SuperMokh.

Selangor FC dalam kenyataan semalam memaklumkan, jersi yang menerapkan elemen ‘Legasi Mokhtar Dahari’ itu diilhamkan daripada rekaan jersi yang disarung oleh The Red Giants hanya untuk sekali ketika menjulang kejuaraan Piala Malaysia ke-27 pada tahun 1986, iaitu ketika Allahyarham sebagai tonggak utama pasukan.

“Jersi ‘home’ 2021 ini masih mengekalkan beberapa elemen penting pada tahun 1986 antaranya warna merah, kuning dan hijau diambil daripada bendera Raja Muda Selangor sebagai penghormatan kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang ketika itu merupakan Raja Muda Selangor serta penyokong nombor satu pasukan.

“Selain itu, kedudukan lambang Selangor FC juga diletakkan pada bahagian kanan dada seperti jersi asal bagi mengetengahkan elemen retro jersi ‘home’ musim ini,” menurut kenyataan itu.

Selangor FC menyatakan lambang istimewa ‘SuperMokh’ turut diabadikan di belakang jersi ‘home’ musim ini sebagai tanda penghargaan kepada Allahyarham.

Menurut pasukan itu, walaupun tema dan konsep jersi ‘home’ itu juga berlandaskan unsur retro, terdapat beberapa elemen moden yang digarap supaya ia bersesuaian dengan rekaan kontemporari.

“Perbezaan terbesar antara jersi musim ini dengan yang asal ialah hiasan motif kelopak bunga di bahagian warna kuning jersi, melambangkan bunga rasmi negeri Selangor iaitu bunga tanjung,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, jersi edisi musim ini juga mempunyai bendera quarterfly merah kuning pada dada dan riben bertulisan ‘85 Years Creating A Legacy’ yang disematkan pada bahagian belakang kolar, sempena sambutan 85 tahun penubuhan pasukan Selangor FC.

“Pihak pengurusan Selangor FC juga telah memutuskan untuk membuat kelainan tahun ini dengan memilih warna kuning sebagai warna utama jersi ‘home’ setelah sekian lama tidak digunakan.

“Selangor FC berharap jersi ‘home’ musim 2021 yang bertemakan legasi Allahyarham Mokhtar Dahari dan pasukan Selangor 1986 itu dapat membawa aura kejuaraan serta meniup semangat perjuangan kepada semua pihak berkepentingan pasukan dalam misi memburu kejayaan tahun ini,” menurut kenyataan tersebut.

Jersi retro yang simbolik dan penuh bersejarah itu kini boleh dibeli melalui SelangorFC.com dengan harga RM109 untuk edisi pemain manakala edisi penyokong hanya akan dikeluarkan selepas perayaan Tahun Baharu Cina.

Penyokong Selangor yang berdaftar sebagai pemegang Red Giants Team Card 2021 pula akan menerima diskaun sebanyak 10 peratus untuk setiap pembelian jersi pada tahun ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Oliver Buff ‘senjata baharu’ Selangor FC hadapi Liga Malaysia

SHAH ALAM, 26 JAN: Selangor FC secara rasmi mengumumkan Oliver Buff sebagai pemain import terbaru bagi menghadapi saingan Liga Malaysia bagi musim 2021.

Oliver berkata, Red Giants merupakan kelab Asia pertama dirinya dan merasakan ini peluang terbaik untuk mengembangkan karier bola sepak.

“Saya mendapat panggilan telefon dari ejen mengenai projek di Malaysia bersama Selangor FC dan saya juga sempat bercakap bersama ketua jurulatih Selangor FC, Karsten Neitzel dan Pengarah Teknikal Red Giants, Michael Feichtenbeiner mengenai rancangan mereka.

“Dari minit pertama lagi saya benar-benar yakin bahawa saya ingin menjadi sebahagian dari keluarga Merah Kuning,” katanya menerusi laman sesawang Selangorfc.com.

Mesra dengan panggilan Oli, beliau pernah membarisi skuad remaja Switzerland bersama pasukan B-15 sehingga B21 tahun dan beraksi dalam beberapa kejohanan antarabangsa termasuk di temasya Sukan Olimpik 2012 London selain menjulang kejuaraan Piala Dunia B-17 pada 2009.

Beliau juga pernah menyarung jersi pasukan remaja FC Zürich di Switzerland dari 2007 dan berjaya melakukan penampilan pertama bersama pasukan utama pada pertengahan 2010.

Dengan 217 penampilan Oliver merupakan salah seorang tonggak utama FC Zürich sewaktu membantu kelab itu menjulang Piala Swiss dua musim berturut-turut pada 2013-2014 dan 2015-2016 sebelum berhijrah ke pasukan divisyen 2 di Sepanyol, Real Zaragoza.

Sementara itu pengendali Selangor FC Karsten Neitzel berkata beliau sentiasa mengikuti perkembangan Oliver dari semasa ke semasa namun tidak berjaya membawanya beraksi di Jerman.

“Oliver seorang pemain yang mempunyai ketenangan, mampu membaca permainan dengan baik dan berkebolehan beraksi dengan baik dalam merencana serangan dan pertahanan pasukan.

“Dia juga mampu menjadi teladan kepada pemain muda lain. Saya harap dia mampu menunjukkan kualiti yang kita harapkan,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

MBSA sumbang RM575,000 rancak aktiviti Selangor FC, SAY

SHAH ALAM, 8 JAN: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) hari ini menyerahkan sumbangan berjumlah RM575,000 kepada Kelab Bolasepak Selangor (Selangor FC) dan Selangor Youth Community (SAY).

Serahan dana oleh Datuk Bandar Shah Alam Dato’ Haris Kasim kepada Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah di sini bagi menyemarakkan aktiviti belia negeri.

Haris dalam kenyataan berkata sebanyak RM500,000 diagihkan kepada Selangor FC manakala RM75,000 diserahkan untuk pembangunan organisasi SAY.

Beliau menjelaskan MBSA juga bersedia menyalurkan kepakaran dan bantuan lain meliputi aspek logistik kepada pasukan Selangor untuk menghadapi saingan Liga Malaysia 2021.

“Di bawah kepimpinan DYTM Raja Muda Selangor, kami berharap sumbangan ini menjadi pembakar semangat kepada pemain Red Giants untuk mempamerkan aksi terbaik.

“Kami juga mahu mendekatkan lagi hubungan dengan warga Shah Alam yang rata-ratanya penyokong tegar pasukan Selangor,” kata Haris.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC Dr Johan Kamal Hamidon menyambut baik sumbangan oleh pihak berkuasa tempatan itu untuk pembangunan akar umbi bola sepak.

“Usaha MBSA perlu diberi galakan kerana mereka ingin menghidupkan komuniti sukan. Sumbangan ini bukan hanya untuk pasukan utama tetapi pembangunan peringkat akar dan akademi bola sepak lain,” katanya.