Categories
AGENDA SUKANKINI

Individu terjejas boleh mohon beg makanan Selangor FC-Segi Fresh

SHAH ALAM, 26 OGOS: Selangor FC mempelawa individu terjejas akibat Covid-19 di empat negeri memohon Ehsan Kit Segi Fresh 2021.

Pasukan itu berkata setakat 24 Ogos lalu sebanyak 2,600 daripada 10,000 beg mengandungi bahan makanan basah dan kering serta segar diagih.

Menurutnya individu di Selangor, Negeri Sembilan, Perak dan Melaka yang memerlukan bantuan boleh menghantar maklumat peribadi menerusi aplikasi WhatsApp ke talian khas Segi Fresh 012-512 3240.

Pada 26 Julai lalu, Selangor FC dengan kerjasama Segi Value Holdings Sdn Bhd melancarkan Ehsan Kit Segi Fresh 2021 untuk membantu golongan terjejas akibat wabak.

Sebanyak 10,000 beg makanan disediakan kepada golongan hilang pekerjaan, orang kelainan upaya (OKU) dan ibu tunggal.

Agihan barangan dibuat di beberapa cawangan Segi Fresh di empat negeri terbabit.

Usaha tersebut diberi penekanan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah selaku pengerusi Selangor FC yang mahu kelab bola sepak itu membantu masyarakat memerlukan.

Pasukan Selangor FC dengan kerjasama Segi Value Holdings Sdn Bhd melancarkan Ehsan Kit Segi Fresh 2021 untuk membantu golongan terjejas akibat pandemik Covid-19.
Categories
AGENDA NASIONAL

Ketua pasukan Selangor FC hidap barah testis

SHAH ALAM, 26 JULAI: Ketua pasukan Selangor FC yang juga pemain tengah Harimau Malaya, Brendan Gan disahkan menghidap barah testis.

Perkara itu dimaklum beliau menerusi Facebook hari ini yang mendapat perhatian lebih 3,000 warga media sosial yang mendoakannya selain meninggalkan tanda suka.

“Saya telah disahkan menghidap barah testis, telah menjalani pembedahan dan akan menghadapi proses rawatan seterusnya tidak lama lagi,” tulisnya.

Brendan turut bersyukur kerana orang di sekelilingnya termasuk isteri dan pasukan banyak memberi semangat dan motivasi kepadanya agar segera sembuh.

“Barah tidak menentukan hidup saya, hanya jalan indah yang akan saya lalui dan kembali kepada kehidupan normal seperti sebelum ini,” katanya.

Kali terakhir Brendan beraksi secara kompetitif ketika membantu skuad Harimau Malaya mengharungi cabaran pusingan kedua kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada bulan lepas.

Namanya turut tidak berada dalam senarai pemain skuad Selangor FC yang turun berdepan Kuala Lumpur City FC pada aksi Liga Super yang kembali berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Sabtu lepas.

Categories
AGENDA NASIONAL

Selangor FC dijangka sambung latihan minggu depan

KUALA LUMPUR, 2 JUN: Pasukan Selangor FC dijangka kembali menjalani kem latihan berpusat bermula minggu depan sebagai persiapan menghadapi baki saingan Liga Super musim ini.

Selepas kerajaan dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) memberikan kebenaran kepada pasukan untuk menjalani latihan menerusi pendekatan kuarantin pada tempoh fasa pertama sekatan pergerakan penuh ini, skuad Gergasi Merah itu bakal memulakan latihan dengan menetap di sebuah hotel di Shah Alam.

“Sekarang ini tak apa jika tidak dapat adakan aksi persahabatan, yang penting latihan diteruskan. Saya yakin selepas lockdown berakhir, perlawanan persahabatan dapat dibuat sebelum liga bersambung (bulan depan),” kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Johan Kamal Hamidon dalam kenyataan daripada MFL semalam.

Selepas 13 aksi musim ini, Selangor FC kini berada di kedudukan kelima dengan 19 mata.

Sementara itu, Johan berkata pihaknya turut bekerjasama dengan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) untuk membaik pulih kualiti padang Stadium MBPJ, selepas separuh musim beraksi dalam keadaan padang yang kurang memuaskan.

Ia berikutan padang itu sering terjejas teruk terutamanya ketika hujan lebat, sekali gus mendapat kritikan berhubung kualiti gelanggang itu.

“Kami mengambil peluang masa rehat yang ada ini untuk menaik taraf padang dengan pemasangan sistem saliran bawah tanah untuk memperbaiki saluran air supaya kalau hujan, tanah di padang tidak akan menjadi begitu lembut dan permukaan padang juga tidak akan rosak.

“Kita harapkan sekurang-kurangnya pemasangan sistem saliran itu akan siap sebelum liga bersambung tetapi yang lain-lain mungkin akan mengambil sedikit masa lagi dalam tempoh beberapa bulan untuk betul-betul sempurna sepenuhnya,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Selangor FC tiada hasrat tambah pemain baharu

SHAH ALAM, 23 MEI: Selangor FC tidak merancang menambah pemain baharu bagi jendela perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga M) yang berbaki kurang 10 hari lagi.

Pengurusnya Mahfizul Rusydin memaklumkan pihaknya juga tidak merancang untuk menggugurkan mana-mana pemain termasuk import ketika ini.

“Kita tiada perancangan mengikat pemain baharu sebaliknya menggunakan barisan pemain sedia ada.

“Kita ada beberapa pemain yang cedera sebelum ini seperti Nik Sharif Haseefy, Tim Heubach dan Safuwan Baharudin yang dijangka pulih serta boleh beraksi apabila liga bersambung Julai,” katanya ketika dihubungi.

Beliau turut mengesahkan tiada pemain Selangor FC dipancing mana-mana pasukan ketika jendela perpindahan dibuka sejak awal Mei lalu.

“Namun dalam tempoh sehingga 31 Mei pelbagai perkara boleh berlaku, jika ada pemain baharu kita akan umumkan,” katanya.

Selangor FC kini pada kedudukan kelima Liga Super selepas 13 perlawanan dengan mengumpul 19 mata.

Saingan Liga M berehat selama dua bulan bagi memberi laluan kepada aksi antarabangsa membabitkan kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 serta saingan Liga Juara-Juara Asia dan AFC.

 

Categories
SELANGOR

Selangor FC lancar jersi ketiga, kit edisi terhad

SHAH ALAM, 3 MEI: Selangor FC (SFC) hari ini melancarkan jersi ketiga musim 2021 dan kit edisi terhad mereka menerusi laman sesawang dan kesemua platform media sosial mereka, sempena sambutan ulang tahun ke-85 pasukan Selangor sebagai pasukan bola sepak di Malaysia.

SFC dalam satu kenyataan hari ini menyatakan, antara keunikan yang terserlah bagi kedua-dua jersi ini ialah penggunaan logo pasukan bola sepak Selangor yang pertama dengan motif kepala banteng (Bos Javanicus) dan corak tangkai padi.

“Jersi ini adalah jersi pertama pasukan bola sepak Selangor yang dihasilkan bersama logo berkenaan, kerana ia tidak pernah digunakan di dalam edisi jersi-jersi Selangor sebelum ini,” menurut kenyataan itu.

Untuk rekod, pasukan bola sepak Selangor hari ini telah ditubuhkan pada 1936 setelah dua entiti bola sepak, Selangor Amatuer Football League (SAFL) dan Selangor Football Association (SFA) bergabung pada 22 Feb 1936, sebelum dijenamakan sebagai Persatuan Bola Sepak Selangor (FA Selangor).

Kenyataan itu menyatakan yang kelab itu turut memperkenalkan jersi edisi khas bagi menyambut ulang tahun ke-95 pasukan Red Giants itu, dalam arena bola sepak Malaysia.

“Jersi edisi khas ini terhad kepada 1,936 helai sahaja dan dijual dalam satu set yang turut mengandungi item-item eksklusif seperti beg pakaian, penyangkut baju dengan logo SFC, pemegang sijil beserta sijil yang mempunyai nombor bersiri unik bagi setiap helai jersi,” menurut kenyataan itu lagi.

Jersi terbaharu SFC ini kini boleh didapati dan dibeli di laman sesawang rasmi SelangorFC.com dengan harga RM109 untuk jersi ketiga dan RM299 untuk set eksklusif jersi edisi khas.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Dua gol saat akhir Ifedayo julang Selangor FC

KUALA LUMPUR, 3 MEI: Dua gol penyerang import Ifedayo Olusegun di penghujung perlawanan memastikan Selangor FC meraih kemenangan 2-1 ke atas Petaling Jaya (PJ) City FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) malam tadi.

Pemain kelahiran Nigeria itu menanduk masuk gol penyamaan pada minit ke-89 sebelum hantaran lintangnya menerjah gawang Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi pada waktu kecederaan.

Dua gol itu meranapkan harapan skuad bimbingan P.Maniam untuk menggenggam mata penuh selepas mendahului sejak awal babak pertama menerusi rembatan kaki kiri V Ruventhiran pada minit ke-25.

Kemenangan itu membolehkan Selangor FC mengumpul 18 mata untuk terus memberikan tekanan kepada Terengganu FC (TFC) yang dipisahkan tiga mata di kedudukan keempat liga sementara PJ City FC kekal di tangga keenam mengutip 14 mata.

Sementara itu, Perak FC terus dirundung malang apabila gagal meraih tiga mata penuh dalam empat perlawanan terakhir selepas tewas 1-2 kepada Sabah FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu.

Skuad The Bos Gaurus yang mendahului menerusi sepakan percuma memukau Nazirul Naim Che Hashim pada minit ke-27 gagal mempertahankan kedudukan itu pada separuh masa kedua apabila bekas penyerang kebangsaan Mohd Amri Yahya menyamakan kedudukan pada minit ke-65.

Pemain import tengah dari Gabon Levy Madinda memastikan skuad Tambadau bangkit daripada ketinggalan dengan bergaya selepas berjaya menewaskan penjaga gol Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy menerusi sepakan percuma pada minit ke-79.

Dalam pada itu, pemain gantian A.Selvan muncul wira Negeri Sembilan FC apabila meledak gol kemenangan pada minit ke-75 untuk membantu pasukan menundukkan PDRM FC 1-0 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras

Negeri Sembilan FC yang mengumpul 21 mata kini mendahului perlumbaan perebutan kejuaraan Liga Premier dengan perbezaan satu mata di hadapan Sarawak United FC di kedudukan kedua.

Pada masa sama, jaringan hatrik Jordan Mintah membantu Terengganu FC II (TFC II) membelasah Kelantan United FC 4-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, sekali gus naik ke tangga ketiga liga.

Pemain import Ghana itu meledak dua jaringan penalti pada minit keempat dan ke-32 sebelum melengkapkan hatriknya pada minit ke-69, sementara Argzim Redzovid turut mencetak nama sebagai penjaring manakala gol sagu hati Kelantan United FC dijaringkan Alfusainey Gassama pada minit ke-40.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA AGENSI SELANGOR SUKANKINI

Selangor kutip tiga mata aksi pertama Ramadan

SHAH ALAM, 20 APRIL: Kemenangan dramatik Selangor FC ke atas Melaka United selepas ketinggalan dalam saingan Liga Super Ahad lalu dianggap rezeki pada Ramadan.

Pengurus Selangor FC berkata beliau berpuas hati kerana ini adalah aksi pertama pada bulan puasa dan semua pasukan yang bertanding menghadapi kesukaran dalam membentuk pasukan selepas berbuka.

“Kita puji semangat tidak kenal penat untuk bangkit melakar kemenangan di tempat lawan yang sememangnya sukar termasuk pemain gantian yang berjaya mengubah permainan di saat-saat diperlukan.

“Kita harap momentum ini diteruskan kerana selepas ini bakal bertemu Sabah, PJ City, Pahang dan Terengganu yang bakal berlangsung pada Ramadan,” kata Mahfizul Rusydin Abdul Rashid ketika dihubungi Selangorkini berhubung kemenangan 3-2 itu.

Beliau dalam pada itu berkata pihaknya juga berpuas hati dengan prestasi beberapa pemain yang menunjukkan peningkatan setiap perlawanan antaranya pemain import dari Jerman iaitu Manuel Konrad.

Pada pertemuan itu, Melaka United mendahului pelawanan menerusi sepakan penalti penyerang import dari Montenegro, Stefan Nikolic pada masa tambahan babak pertama sebelum The Red Giants menyamakan kedudukan pada minit ke-enam babak kedua.

Skuad tuan rumah dibimbing Zainal Abidin Hassan sekali lagi mendahului melalui Ahmad Syamim Yahya (m-58) tetapi Selangor mengejar dan berjaya mendapat gol penyamaan hasil jaringan Olusegun Ifedayo (m-70) sebelum memastikan tiga mata penuh menerusi gol Muhammad Syahmi Safari (m-88).

Categories
AGENDA NASIONAL SUKANKINI

Jurulatih Selangor FC mahu pemain kekalkan momentum kemenangan

MELAKA, 19 APRIL: Ketua Jurulatih Selangor FC, Karsten Neitzel mengingatkan pasukannya agar terus mengekalkan momentum setelah meraih kemenangan 3-2 ke atas Melaka United di Stadium Hang Jebat, Krubong di sini, malam tadi.

Meskipun ketinggalan dua gol pada babak pertama dan kedua, Neitzel tetap memuji semangat kental anak buahnya yang tidak berhenti mencuba dan mencipta peluang untuk mengalahkan skuad tuan rumah sehingga wisel penamat ditiupkan.

Bercakap kepada pemberita selepas perlawanan itu, Neitzel mengakui beliau sangat berpuas hati setelah pasukan bimbingannya itu berjaya memperoleh tiga mata penuh untuk memastikan pasukannya terus mendaki kedudukan tertinggi liga.

“Kedua-dua pasukan bermain dengan sebaik mungkin, pasukan tuan rumah memberi tentangan hebat buat kami, peluangnya 50-50 tetapi pemain kami tidak menyerah kalah dan bermain dengan lebih konsisten pada babak kedua untuk memberi tekanan kepada tuan rumah.

“Kami mempunyai pemain pengganti yang bagus malam ini, tetapi apa yang lebih penting adalah kerjasama pasukan, mereka tetap fokus hingga ke akhir perlawanan,” katanya pada sidang media di sini, malam tadi.

Pada pertemuan malam tadi, Melaka United mendahului pelawanan menerusi gol dijaringkan penyerang import dari Montenegro, Stefan Nikolic pada masa tambahan babak pertama sebelum The Red Giants menyamakan kedudukan pada minit ke-enam pada babak kedua.

Skuad bimbingan Zainal Abidin Hassan itu sekali lagi mendahului melalui jaringan oleh Ahmad Syamim Yahya pada minit ke-58, tetapi Selangor sekali lagi mengejar dengan gol penyamaan Ifedayo pada minit ke-70 sebelum mengutip tiga mata penuh menerusi gol kemenangan Muhammad Syahmi Safari pada minit ke-88.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Melaka United FC Zainal Abidin Hassan ternyata kecewa dengan kekalahan kedua berturut-turut pasukan itu di laman sendiri dan katanya kecuaian pada babak akhir permainan mengundang padah kepada pasukannya.

“Kami berjaya menyumbat dua gol mudah dan ia menjadi pengajaran kepada kami. Buat masa ini, kami perlu memperbaiki prestasi pasukan untuk menghadapi perlawanan seterusnya,” katanya.

Selangor FC kini berada pada tangga kelima liga Super 2021 dengan 14 mata manakala Melaka United di tangga ke-10 dengan tujuh mata.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

PJ City ikat ‘kuda hitam’, Gergasi Merah bangkit atasi MU

PETALING JAYA, 19 APRIL: Petaling Jaya (PJ) City FC berjaya mengikat pasukan ‘kuda hitam’ Liga Super 2021, Penang FC 1-1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam tadi.

Pasukan tuan rumah yang dibarisi oleh 100 peratus pemain tempatan berada di depan apabila gerakan solo Mahali Jasuli berjaya mengelirukan penjaga gol Penang FC Tian Keat See sebelum membuat hantaran pendek yang disempurnakan V.Ruventhiran pada minit ke-39.

Bagaimanapun, skuad Harimau Kumbang bimbingan Trucha Thomas berjaya menyamakan kedudukan tiga minit selepas babak kedua bermula menerusi tandukan penyerang import dari Brazil, Casagrande.

Kedudukan kekal hingga wisel penamat dibunyikan untuk kedua-dua pasukan berkongsi mata.

Grafik: Facebook Malaysian Football League

Ketinggalan sebanyak dua kali tidak mematahkan semangat Selangor FC untuk memastikan mereka pulang dengan mata penuh mengatasi Melaka United 3-2 di Stadium Hang Jebat.

Tuan rumah terlebih dahulu memperoleh jaringan apabila dihadiahkan sepakan penalti berikutan tindakan Jordan Ayimbila menjatuhkan S Kumaahran yang mudah disudahkan oleh Stefan Nikolic sebelum babak pertama tamat.

Olusegun Ifedayo menyamakan kedudukan buat skuad Gergasi Merah pada minit ke-51 sebelum skuad kendalian Zainal Abidin Hassan kembali di hadapan menerusi jaringan Ahmad Syamim Yahya pada minit ke-58 namun Ifedayo sekali lagi menyamakan kedudukan pada minit ke-70 sebelum Muhammad Syahmi Safari meledak gol kemenangan Selangor FC pada minit ke-88.

Keputusan perlawanan malam tadi menyaksikan Penang FC kekal di kedudukan keempat dengan 16 mata, diikuti Selangor FC di tempat kelima (14), PJ City di tempat ketujuh (11) dan Melaka United di tempat ke-10 dengan tujuh mata.

Sementara itu, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, dua jaringan bekas penyerang kebangsaan Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak membawa Negeri Sembilan FC melonjak ke tangga teratas Liga Premier selepas menang tipis 2-1 ke atas Kelantan FC.

Turun dengan kelebihan beraksi di laman sendiri, skuad Hobin Jang Hobin bermula ganas menerusi jaringan Mohd Zaquan seawal minit keempat, sebelum skuad The Red Warriors membalas menerusi pemain import dari Sepanyol Mario Arques Blasco pada minit ke-54 dalam percubaan untuk pulang dengan sekurang-kurangnya satu mata.

Skuad kendalian K. Devan bagaimanapun mengesahkan tiga mata penuh menerusi jaringan Mohd Zaquan pada minit ke-69.

Negeri Sembilan berada di puncak dengan 17 mata selepas lapan perlawanan, mengatasi Sarawak United (16 mata) yang memiliki satu perlawanan di tangan.

Selangor FC 2 pula terikat 1-1 menentang Kuching City FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA SUKANKINI

Terus baiki kelemahan, Selangor mahu kekal momentum jumpa Kedah

SHAH ALAM, 5 APRIL: Selangor mengidam untuk meneruskan rentak kemenangan berdepan Kedah FC dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, malam esok.

Pengurus pasukan Mahfizul Rusydin berkata kemenangan 2-0 ke atas UITM FC malam kelmarin mendorong keyakinan The Red Giants untuk mengekalkan momentum dalam saingan akan datang.

“Walaupun menang, masih ada beberapa kelemahan yang dikenal pasti dalam perlawanan berkenaan dan kita sedang memperbaikinya,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, semua pemain cergas dan pengendali dari Jerman Karten Neitzel tidak akan berdepan masalah untuk menyenaraikan kesebelasan terbaik menentang Kedah FC.

“Malam esok juga penyokong akan kembali ke stadium dan pasti akan menyemarakkan lagi semangat pasukan untuk mencipta kemenangan,” katanya.

Sebanyak 2,000 tiket perlawanan dijual secara dalam talian mulai semalam.

Selangor berada pada kedudukan ketujuh di belakang Kuala Lumpur dengan lapan mata. Tangga teratas kekal didominasi pasukan JDT yang meraih 14 mata.

Categories
AGENDA SUKANKINI

Selangor FC kembali jumpa rentak, benam UiTM FC 2-0

KUALA LUMPUR, 4 APRIL: Selangor FC kembali menemui rentak kemenangan untuk menamatkan permulaan buruk dalam kempen Liga Super 2021, selepas menewaskan pasukan tercorot UiTM FC 2-0 di Stadium UiTM, Shah Alam, malam tadi.

Ia merupakan kemenangan kedua skuad bimbingan pengendali dari Jerman Karsten Neitzel, selepas hanya mencatat dua keputusan seri dan tewas dua kali dalam empat aksi terakhir, sekali gus mengumpul lapan mata di kedudukan ketujuh.

Dua gol skuad Gergasi Merah dijaringkan pada babak pertama perlawanan dengan pemain import dari Switzerland Oliver Buff memecah kebuntuan, menerusi rembatan deras pada minit ke-13 sebelum penjaring terbanyak Liga Super musim lepas Ifedayo Olusegun, menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-40.

Pada masa sama Penang FC kekal di kedudukan keempat liga dengan berkongsi 11 mata bersama Terengganu FC di tempat ketiga ,selepas bangkit mengatasi Perak FC 2-1 di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang.

Pemain pertahanan Rafael Vitor muncul wira pasukan, selepas menanduk masuk gol kemenangan pada minit ke-70 selepas Anselmo Arruda Da Silva, mencetak nama sebagai penjaring pada babak pertama untuk mengikat kedudukan 1-1 dua minit sebelum rehat.

Skuad ‘The Bos Gaurus’ yang hanya mengutip satu mata dalam tiga aksi terdahulu, berjaya mendahului seawal minit ke-12 menerusi Sheriddin Boboev yang mudah menolak masuk bola ke gawang, selepas penjaga gol Samuel Jacob Somerville melakukan kesilapan ketika cuba menampan bola keluar.

Sementara itu, aksi antara Kuala Lumpur City FC menentang Sabah FC yang menjadi antara dua perlawanan perintis protokol pengurusan penonton, berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Dalam pada itu, pendahulu Liga Premier Negeri Sembilan FC terus menerajui takhta liga, selain mempertahankan rekod tanpa kalah dalam enam perlawanan, walaupun terikat tanpa jaringan menentang Kuching City FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Keputusan seri itu membolehkan Sarawak United FC mengekori rapat dan hanya dipisahkan satu mata di kedudukan kedua Liga Premier, selepas mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Kelantan FC di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV hasil jaringan tunggal Changhoon Lee pada minit ke-38.

Pada masa sama, satu lagi keputusan seri dicatat antara Terengganu FC II dan PDRM FC apabila perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, berakhir dengan keputusan 1-1.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Peluang Gergasi Merah cabar kejuaraan Liga Super masih ada

SHAH ALAM, 23 MAC: Pelantikan jurulatih import baharu dan tempoh persiapan singkat antara faktor permulaan hambar Selangor FC untuk saingan Liga Super 2021, kata pengurusnya.

Mahfizul Rusydin bagaimanapun berkata masih terlalu awal menolak peluang Gergasi Merah untuk mencabar kejuaran atau menduduki kelompok pasukan terbaik musim ini.

“Saingan liga baru masuk perlawanan kelima dan kita yakin Selangor FC mampu bangkit kerana pasukan ini memiliki pemain bagus di setiap posisi.

“Selain itu kita juga menayangkan rakaman perlawanan kepada pemain, perkara ini penting kerana mereka dapat menilai prestasi masing-masing,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Berhubung gesaan penyokong supaya merehatkan ketua jurulatih Karsten Neitzel, beliau berkata adalah tidak adil meletakkan kesalahan kepada individu tertentu kerana bola sepak adalah permainan berpasukan.

Selangor FC hanya mengutip lima mata hasil satu kemenangan serta masing-masing dua seri dan dua kekalahan selepas lima perlawanan.

Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) melantik Karsten Neitzel sebagai ketua jurulatih. Beliau berpengalaman menguruskan Bochum VFL, SV Eleversberg serta membawa Holstein Kiel ke divisyen dua Liga Jerman.