Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Perubahan nombor talian pusat nilai Covid-19 Petaling, Sepang

SHAH ALAM, 11 FEB: Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) memaklumkan perubahan penggunaan aplikasi WhatsApp kepada Telegram bagi Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Petaling.

Pusat terbabit boleh dihubungi menggunakan nombor 011-6405718 (Telegram) selain nombor telefon tambahan CAC Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Petaling iaitu 011-5881 4350 dan 011-5881 4280.

Menurut JKNS, CAC Sepang turut menambah nombor WhatsApp 019-6656998 serta e-mel [email protected] selain talian penting 011-11862720.

“Selain itu, ada perubahan waktu operasi hujung minggu dan cuti umum CAC Kuala Langat kepada jam 9 pagi hingga 1 tengah hari,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Senarai lengkap nombor telefon CAC berserta hari dan waktu operasi boleh dirujuk di Facebook JKNS.

CAC mula dibentuk pada hujung Januari bagi menilai pesakit sama ada kekal dikuarantin di rumah atau perlu dibawa ke pusat itu. Jika perlu rawatan lanjut, pesakit dirujuk ke hospital.

Categories
SELANGOR

Pusat beli-belah di Sepang antara punca kluster baharu

SHAH ALAM, 3 FEB: Dua kluster baharu Covid-19 dikesan di Selangor dan salah satunya membabitkan sebuah pusat beli-belah di Sepang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kluster Jalan City melibatkan 48 individu yang disahkan positif setakat hari ini.

“Kes bagi kluster ini dilaporkan positif bermula 2 Februari lalu. Sejumlah 112 individu disaring dan 48 kes dikesan positif Covid-19,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata kluster Jalan Aman pula membabitkan tempat kerja di Hulu Selangor.

“Kes berpunca dari saringan bersasar sebuah kilang di Jalan Aman Suria, Taman Aman Suria, Bestari Jaya, Kuala Selangor yang mana 38 kes dikesan positif,” katanya.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Saringan pekerja punca Sepang catat kes tertinggi Covid-19

SHAH ALAM, 17 JAN: Sepang pula menjadi daerah paling tinggi merekodkan jangkitan harian Covid-19 dengan 353 kes.

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) berkata majoriti kes berpunca dari saringan pekerja di Dengkil iaitu sebanyak 259.

“Sementara Klang menjadi daerah kedua tertinggi dengan 290 kes apabila mukim Kapar mencatat 176 kes dan mukim Klang (114).

“Petaling pula 284 kes, kes tertinggi dilaporkan di mukim Damansara dengan 118 kes diikuti mukim Petaling (99),” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

JKNS berkata Hulu Langat yang menjadi daerah tertinggi kes harian Covid-19 dengan catatan 536 kes semalam turun kepada 225.

Menurutnya, Kuala Langat pula merekod 80 kes diikuti Gombak (48), Kuala Selangor (20), Sabak Bernam (11) dan Hulu Selangor (tiga).

Categories
SELANGOR

Gudang simpan acuan sarung tangan terbakar di Sepang

PUTRAJAYA, 16 JAN: Sebuah gudang menyimpan acuan sarung tangan milik kilang WRP Asia Pacific Sdn Bhd di Kawasan Perusahaan Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang terbakar malam ini.

Pusat Gerakan Operasi Selangor dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 pada 7.12 malam dan tujuh jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat KLIA, Sepang, Cyberjaya dan Serdang bersama-sama 53 anggota dikerah ke tempat kejadian.

“Kebakaran melibatkan gudang yang menyimpan acuan sarung tangan itu terbakar 50 peratus. Tiada mangsa yang terlibat,” menurut kenyataan itu.

Api dapat dikawal sepenuhnya pada 8.45 malam.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

LZS kesan 60 individu terjejas akibat Covid-19 di Sepang

SHAH ALAM, 7 DIS: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menjalankan bancian terhadap penduduk di Taman Putra Perdana, Sepang semalam bagi menjejaki mereka yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Agensi berkata menerusi Program Mini Skuad Jejak Kemiskinan yang berlangsung jam 9 pagi hingga 1 petang, pihaknya mengenal pasti 60 individu diberhentikan kerja, dipotong gaji serta diarah cuti tanpa gaji.

“Seramai lapan orang penolong amil kariah turut menyertai bagi melancarkan perjalanan program ini.

“Pihak daerah menyantuni 60 orang untuk sesi temu bual bancian baru dan khidmat nasihat berkaitan agihan zakat,” katanya menerusi Facebook.

LZS juga berterima kasih kepada pembayar zakat di negeri ini kerana sumbangan mereka membantu individu yang memerlukan.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Pusat pemindahan banjir kekal empat, bilangan mangsa menurun

SHAH ALAM, 22 NOV: Empat pusat pemindahan sementara (PPS) di Kuala Selangor dan Sepang masih dibuka untuk menempatkan seramai 133 mangsa banjir daripada 72 keluarga.

Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN) memaklumkan pusat pemindahan meliputi Dewan Majlis Daerah Kuala Selangor Seri Coalfield 2 yang menempatkan 26 mangsa daripada sembilan keluarga.

Selain itu, Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Mahang (52 mangsa, 51 keluarga), SK Ijok (38 mangsa, sembilan keluarga) dan Sekolah Rendah Labu Lanjut, Sepang (17 mangsa, tiga keluarga).

Salah seorang daripada 52 warga emas dari Rumah Orang Tua-Tua Al Jashiera Ijok yang ditempatkan sementara di pusat pemindahan ekoran banjir kilat yang melanda ketika tinjauan di Sekolah Kebangsaan Parit Mahang Jeram Kuala Selangor pada 21 November 2020. Foto BERNAMA

“UPBN dan Smart Selangor Command Centre akan terus memantau dan membuat tindakan susulan kejadian yang berlaku serta menyampaikan maklumat terkini dari semasa ke semasa,” kata agensi itu.

Sementara itu, pegawai daerah Kuala Selangor memaklumkan paras air di semua kawasan terjejas belum surut sehingga kini, namun bilangan mangsa menurun.

“Keadaan setakat jam 11 tadi menunjukkan paras air masih statik dan hujan lebat pada sebelah pagi. Jumlah mangsa pula menurun kepada 133 berbanding 137 yang dicatatkan semalam,” kata Mohd Faizal Abdul Raji.

Beliau berkata semua kemudahan pusat pemindahan yang menempatkan mangsa banjir dinyahkuman oleh bomba bagi mengekang penularan Covid-19.

“Mangsa turut diberikan kit bencana selain kualiti air PPS disahkan bersih dan selamat digunakan,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Banjir: Empat pusat pemindahan dibuka di Kuala Selangor, Sepang

SHAH ALAM, 21 NOV: Empat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan 137 mangsa banjir sekitar Sepang dan Kuala Selangor, kata Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPNB).

Pegawai Operasi, Muhammad Izzat Haziq Mohd Nazir berkata PPS Dewan Majlis Daerah Kuala Selangor, Desa Coalfield yang dibuka sejak Rabu menempatkan 25 mangsa dari 10 keluarga selepas kediaman mereka dinaiki air separas 0.3 meter.

“UPNB terpaksa membuka PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Mahang dan SK Ijok di Kuala Selangor mulai kelmarin dan semalam selepas 61 rumah dinaiki air. Ia membabitkan 95 mangsa.

“Semalam satu PPS di Sepang di Sekolah Rendah Agama Labu Lanjut turut dibuka. Mangsa seramai 17 orang dari tiga keluarga ditempatkan di situ,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Muhammad Izzat berkata unit itu akan terus memantau serta mengambil tindakan jangka pendek dan panjang bagi mengatasi masalah banjir.

“Antara langkah akan diambil adalah melakukan kerja pembersihan parit, mengkaji semula sistem saliran, pemasangan pam bergerak, pembinaan rumah pam dan meninggikan ban sedia ada,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

Sepang rekod kes Covid-19 tertinggi, enam daerah zon merah

SHAH ALAM, 29 OKT: Sepang menjadi daerah tertinggi merekodkan kes baharu Covid-19 hari ini dengan 59 kes, menurut data Bilik Gerakan Negeri Selangor (BGNS).

Data menunjukkan 49 kes dilaporkan di mukim Labu membabitkan 30 saringan pekerja diikuti saringan kontak rapat kes positif (15), saringan bergejala (tiga) dan saringan prapembedahan (satu).

“Lapan kes di mukim Dengkil dengan lima daripadanya melibatkan saringan pekerja manakala masing-masing satu kes saringan kontak rapat, saringan tempat kerja dan saringan swasta.

“Mukim Sepang pula merekodkan dua kes iaitu masing-masing satu kes saringan kontak rapat dan saringan pekerja,” katanya.

Sementara itu, Petaling merekodkan 22 kes diikuti Hulu Langat (18), Gombak (17), Klang (11), Kuala Langat (lima) dan kes import (tiga).

Sebanyak enam zon masih dikategori merah melibatkan Sepang, Petaling, Hulu Langat, Klang, Gombak dan Kuala Langat, manakala Hulu Selangor, Kuala Selangor dan Sabak Bernam berstatus zon kuning.

Sehingga 12 tengah hari tadi, Selangor mencatat 4,495 kes wabak dengan 1,105 daripadanya aktif dan angka kematian kekal 26 orang.

Hari ini, jangkitan Covid-19 di negeri itu kembali tiga digit apabila mencatat 135 kes dengan dua kluster dikesan iaitu kluster Taman Laut dan kluster Bah Medan.

Categories
AGENSI SELANGOR

Gangguan bekalan air pulih 97 peratus

KUALA LUMPUR, 8 OKT: Sebanyak 266 dari 274 kawasan di wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat, Sepang dan Putrajaya menerima bekalan air penuh dengan peratusan pemulihan pada tahap 97 peratus sehingga 6 petang ini.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd Elina Basri, dalam kenyataan hari ini, menyebut Air Selangor sedang mengambil tindakan untuk menstabilkan sistem bagi memulihkan lapan lagi kawasan yang masih terjejas di wilayah Petaling dan Kuala Langat.

Air Selangor menyarankan agar para pengguna mendapatkan maklumat rasmi gangguan bekalan air melalui saluran komunikasi rasminya dengan merujuk aplikasi Air Selangor, media sosial Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com.

Sejumlah 309,687 akaun pengguna di wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang/Putrajaya mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual sejak Ahad apabila Loji Rawatan Air Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi dihenti tugas selepas berlaku pencemaran sumber air mentah.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Covid-19: Kali ke-70 Selangor tiada kes tempatan

SHAH ALAM, 18 SEPT: Selangor mengekalkan sifar kes penularan tempatan Covid-19 kali ke-70 sejak 18 Mac, menurut data Bilik Gerakan Negeri Selangor (BGNS).

Agensi itu memaklumkan tiga kes baharu dicatatkan hari ini membabitkan jangkitan import menjadikan keseluruhan kes sebanyak 2,205.

“Kes import baharu hari ini ialah pengembara bukan warganegara dari Indonesia. Tiada kes discaj dan kematian dilaporkan,” katanya.

Semalam, Sepang dikategorikan sebagai zon kuning susulan satu kes aktif dikesan.

Kementerian Kesihatan Malaysia hari ini melaporkan satu kematian membabitkan wanita warga Filipina berumur 50 tahun di Sabah.

Selain itu, 95 kes baharu dilaporkan dengan empat kes import menjadikan jumlah terkumpul 10,147 kes.

Categories
AGENSI SELANGOR

Selangor catat tiga kes baharu, Sepang kembali zon kuning

SHAH ALAM, 17 SEPT: Selangor merekodkan tiga kes baharu Covid-19 hari ini menjadikan kes terkumpul 2,202.

Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) berkata corak kes baharu meningkat berbanding semalam yang mana tiada kes baharu dilaporkan.

“Satu jangkitan tempatan dikesan dan dua jangkitan import melibatkan warganegara tempatan,” kata agensi menerusi Twitter.

Sementara itu, data Bilik Gerakan Negeri Selangor memaklumkan dengan kenaikan satu kes tempatan, Sepang kembali menjadi zon kuning, namun tiada kes kematian dilaporkan.

Kementerian Kesihatan hari ini merekodkan 21 kes baharu pandemik itu menjadikan jumlah terkumpul mencecah 10,052 kes.

Categories
AGENSI SELANGOR

Hanya dua pusat pemindahan masih aktif di Sepang

SHAH ALAM, 23 JULAI: Hanya dua daripada lima pusat pemindahan banjir di Sepang masih aktif setakat jam 8.30 pagi ini.

Unit Pengurusan Bencana negeri berkata pusat berkenaan ialah Dewan Orang Ramai Taman Gemilang, Dengkil dan Dewan Orang Ramai Dengkil membabitkan 17 keluarga.

“Pusat pemindahan dewan Orang Ramai Taman Gemilang, Dengkil menempatkan 27 mangsa manakala terdapat 48 mangsa di Dewan Orang Ramai Dengkil sejak dibuka 18 Julai lalu,” menurut kenyataan unit itu.

Semalam pusat pemindahan di Sekolah Rendah Agama (SRA) Kampung Dato’ Ahmad Razali, SRA Dengkil dan dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Dengkil ditutup selepas semua mangsa dibenarkan pulang.

Agensi itu memaklumkan pihaknya akan terus memantau dan membuat tindakan susulan mengenai kejadian yang berlaku pada 18 Julai lalu di samping menyampaikan maklumat terkini.

Dalam kejadian petang Sabtu lalu, 41 kawasan di Hulu Langat, Sepang, Hulu Selangor, Gombak dan Klang mengalami banjir kilat susulan hujan lebat.