Categories
AGENDA NASIONAL

Restoran, stesen minyak dibenar buka hingga 12 tengah malam

SHAH ALAM, 23 NOV: Semua restoran, kedai serbaneka dan stesen minyak di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dibenarkan beroperasi sehingga jam 12 tengah malam bermula esok.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan diambil selepas mendengar keluhan peniaga yang meminta waktu operasi perniagaan dilanjutkan.

“Saya menerima banyak aduan daripada peniaga dan persatuan peniaga, malah kita juga mendengar keluhan orang ramai yang sukar membeli makanan atau barang keperluan kerana semua kedai ditutup jam 10 malam.

“Misalnya, orang Islam yang kebiasaannya keluar selepas solat Isyak sekitar jam 9 malam untuk makan tetapi restoran ditutup jam 10 malam, jadi ia memberi kesan kepada mereka,” katanya pada sidang media hari ini.

Sebelum ini, premis perniagaan di kawasan PKPB perlu mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dengan menjalankan operasi antara jam 6 pagi sehingga 10 malam.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

PBT terus pantau premis, batal lesen jika gagal patuh SOP

SHAH ALAM, 4 OKT: Pihak berkuasa tempatan (PBT) terus memantau semua premis perniagaan selepas kes positif Covid-19 kembali melonjak tiga angka sejak beberapa hari lalu.

EXCO kerajaan tempatan berkata pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap premis yang gagal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan termasuk menarik semula lesen.

“Kita telah ada SOP yang menyeluruh, yang penting adalah pemantauan. PBT akan teruskan pemantauan ke premis-premis.

“Tindakan tegas termasuk tarik balik lesen perniagaan boleh dilakukan sekiranya tidak mematuhi SOP,” kata Ng Sze Han ketika dihubungi.

Kerajaan Negeri sebelum ini membenarkan semua premis perniagaan dibuka semula sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) malah waktu operasi restoran makanan dilanjutkan sehingga jam 2 pagi.

Bagaimanapun arahan terbaharu waktu operasi restoran berkonsepkan bar dihadkan sehingga jam 11 malam sebagai langkah mengekang penularan wabak berkuatkuasa 3 Oktober lalu.

Categories
AGENDA NASIONAL

Waktu operasi premis niaga di KL kekal hingga 12 tengah malam – DBKL

KUALA LUMPUR, 12 SEPT: Waktu operasi premis perniagaan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) masih kekal sehingga pukul 12 tengah malam sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu kenyataan memaklumkan keputusan itu dibuat hasil mesyuarat Pengurusan Krisis WPKL (CMCWPKL) yang bersidang pada 11 September.

Kenyataan itu berkata keseragaman waktu itu adalah bagi memudahkan pemantauan dilaksanakan oleh DBKL dan lain-lain agensi.

“Sepanjang tempoh PKPP, DBKL bersama lain-lain agensi telah menjalankan pemantauan dan pemeriksaan terhadap pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) PKPP ke atas 7,200 premis perniagaan di sekitar Kuala Lumpur.

“Hasil pemantauan yang dilaksanakan setiap hari mendapati tahap pematuhan SOP PKPP ini masih perlu ditingkatkan,” menurut kenyataan itu, hari ini.

Pada 10 September lepas, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan waktu operasi premis perniagaan seperti kedai makan dan kedai serbaneka dilanjutkan sehingga pukul 2 pagi berbanding 12 tengah malam yang ditetapkan sebelum ini.

Beliau dilaporkan berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat khas hari ini selepas menerima banyak aduan pemilik premis yang pendapatan mereka terjejas kerana waktu operasi terhad.

Sehubungan itu, DBKL memohon kerjasama pemilik, pengendali premis perniagaan dan orang ramai supaya sentiasa mematuhi SOP ditetapkan oleh pihak kerajaan serta kekal mengamalkan kawalan kendiri, memakai pelitup muka, menjaga kebersihan dan penjarakan fizikal apabila berada di tempat awam.

-BERNAMA

Categories
PBT SELANGOR

MBSA: Jangan serah premis niaga kepada warga asing

SHAH ALAM, 8 JULAI: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memberi amaran kepada pemilik premis supaya menjalankan perniagaan sendiri dan tidak menyerahkannya kepada pihak lain tanpa kelulusan.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya berkata ketika pemeriksaan dijalankan pemilik tidak berada di premisnya kerana dipercayai dikendalikan warga asing dan ia melanggar syarat serta peraturan MBSA.

“Tindakan tegas boleh diambil ke atas pemilik berkaitan jika didapati melakukan kesalahan tersebut,” kata Shahrin Ahmad dalam kenyataan.

MBSA menyita dua premis perniagaan yang disyaki dijaga warga asing dalam satu operasi bersepadu di Seksyen 7, Shah Alam, semalam serta merampas barangan seperti peralatan elektrik, tong gas dan makanan ringan.

Sitaan dilakukan mengikut Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan Dan Perindustrian (MBSA) 2007.

Categories
AGENSI SELANGOR

Gagal pamer tanda harga, tiga premis dikompaun

SHAH ALAM, 16 MEI: Tiga pemilik premis perniagaan di Ampang masing-masing dikompaun RM1,000 serta-merta kerana gagal mempamer dan menyelengarakan tanda harga terhadap barangan jualan mereka.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehawal Pengguna (KPDNHEP) Selangor memaklumkan tindakan itu diambil mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 susulan pemeriksaan pegawai penguat kuasa pejabat KPDNHEP cawangan Kajang, semalam susulan aduan awam.

Sehubungan itu, kementerian itu mengingatkan peniaga supaya sentiasa mengamalkan etika perniagaan yang baik serta mematuhi peraturan dan undang-undang.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan ditetapkan manakala pengguna perlu merancang perbelanjaan agar tidak melakukan pembelian panik,” katanya menerusi kenyataan.

KPDNHEP Selangor turut memaklumkan pemeriksaan di sekitar Kajang dan Bangi mendapati barangan keperluan asas serta pelitup muka adalah mencukupi.