Categories
NASIONAL

Jalan Raya Berlubang Pandamaran Penyebab Kematian, Kemalangan


SHAH ALAM, 22 NOV : Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu mendakwa kegagalan menyelenggara beberapa jalan persekutuan yang berlubang di kawasan Pandamaran menjadi punca kejadian kemalangan yang berlaku baru-baru ini.

Menurut Ronnie baru baru ini kejadian kemalangan yang berlaku di jalan dibawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR), Jalan Kim Chuan, Pandamaran telah meragut nyawa seorang warga tua.

Dua minggu lalu, turut berlaku satu lagi kejadian kemalangan di Jalan Banting, di dalam kawasan Pandamaran ekoran keadaan jalan yang teruk.

Dalam kejadian tersebut, seorang wanita meninggal dunia sementara anaknya cedera parah.

Tegas Ronnie, beliau selaku Adun Pandamaran telah menulis surat kepada JKR untuk membaiki jalan di sekitar Pandamaran.

“Saya sudah maklumkan kepada JKR, Pengrah JKR Selangor, Datuk Ir Abdullah Abd Rahman, katanya, beliau tidak boleh dapatkan peruntukkan.

“Dalam undang-undang wang negeri tidak boleh (membaiki jalan) dibawah JKR Persekutuan.

“Di Banting, kilang-kilang terpaksa buat kerja-kerja tanggungjawab sosial korporat (CSR). Tapi (untuk CSR) mereka kena dapatkan kerjasama JKR,” katanya.

Justeru, Ronnie akan membantu kedua-dua keluarga mangsa kemalangan berkenaan mencari khidmat guaman bagi tindakan mahkamah terhadap JKR.

Sementara itu, Ronnie turut membidas Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor berhubung peruntukan membaiki jalan di seluruh negara bagi tahun 2012 yang disifatkan sangat kecil.

Menurut Ronnie, untuk tahun 2012, kerajaan persekutuan memperuntukkan RM 870 juta untuk membaiki jalanraya di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.

Jelasnya, tanggungjawab Jabatan Kerja Raya (JKR) bukan sahaja melibatkan keadaan jalan tetapi turut melibatkan lampu isyarat, keadaan longkang serta bahu jalan.

“Saya terkejut kerana RM870 untuk membaiki jalan di bawah JKR sangat kecil.

“Tidak hairan banyak jalan khasnya di Selangor dibawah (jagaan) JKR termasuk Pandamaran sangat teruk, berlubang-lubang disemua tempat sehinggakan banyak kemalangan,” katanya dalam satu sidang media di lobi Dewan Negeri Selangor.

Ronnie turut mendesak agar Datuk Seri Shaziman membawa perkara ini ke Kabinet agar peruntukkan membaiki jalan ditingkatkan segera serta memberikan pampasan kepada dua keluarga ini.

“Saya mahu Shaziman dengan serta merta ke Kabinet dengan membuat dua perkara, tambah peruntukan membaiki jalan dibawah JKR.

“Kedua, mereka harus memberikan pampasan kepada keluarga kedua-dua mangsa, kalau dia sudi saya akan bawa keluarga magsa jumpa dengannya.

“Dia juga kena bagi arahan membaiki lubang-lubang jalan yang teruk. Saya percaya banyak lagi mangsa (kemalangan) akan berlaku,” tambahnya lagi.

Selain itu, beliau turut meminta Kementerian Kerja Raya menyemak semula perlantikan tiga kontraktor utama untuk membaiki jalan di Semenanjung dan lima kontraktor di Sabah dan Sarawak yang dilihat gagal mememantau keadaan jalan dengan baik.

Tegas Ronnie, sekiranya JKR gagal bertindak, beliau akan mengarahkan setiap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menaikkan papan tanda ‘Ini Jalan JKR’ agar rakyat mengetahui kegagalan kerajaan persekutuan menyelenggara jalan dibawah kawalan mereka.

Categories
NASIONAL

Rakyat Kelantan Bina Lebuh Raya Sendiri : Kerajaan Umno-BN Patut Malu

KUALA LUMPUR 17 OKT: Kerajaan Pusat pimpinan Umno-BN patut merasa malu apabila rakyat Kelantan mengambil inisiatif sendiri untuk membina lebuh raya Kota Bharu ke Kuala Krai.

Sikap Kementerian Kerja Raya memberikan jawapan berdolak dalik berkenaan isu lebuh raya itu menyebabkan Kerajaan Negeri Kelantan menyelar tindakan Kerajaan Pusat kerana menafikan hak rakyat.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata, Kerajaan Pusat yang kononnya bermaruah seharusnya berasa malu dengan tindakan Kerajaan Negeri Kelantan untuk membina lebuh raya itu menggunakan derma dan waqaf rakyat.

“Rakyat sebaliknya atas inisiatif sendiri mengguna sistem waqaf untuk memenuhi hak keperluan rakyat membina lebuh raya itu,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen.

Sebelum itu, dalam perbahasan rang Undang-Undang Perbekalan 2013, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor menjelaskan kementeriannya tidak pernah menerima permohonan rasmi daripada Kerajaan Negeri Kelantan berhubung pembinaan lebuh raya itu.

Bagaimanapun Shaziman berkata, beliau hanya menerima panggilan telefon daripada salah seorang Exco Negeri Kelantan mengenai majlis pecah tanah untuk projek itu.

Sementara itu, Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaafar berkata, kenyataan Shaziman di Dewan Rakyat itu adalah cubaan menutup janji Kerajaan Pusat untuk projek itu dalam Rancangan Malaysia Ke-8(RMK-8).

“Kami tidak berpuas hati dengan jawapan menteri itu, dulu Kerajaan Pusat pernah janji pada tahun 1996.

“Oleh kerana kami sedar, jadi PAS Kelantan mengambil inisiatif itu,” katanya.

Beliau menambah setakat ini Kerajaan Negeri Kelantan berjaya mengutip RM4juta daripada RM1.8 bilion yang diperlukan untuk pembinaan lebuh raya itu.