Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Agong: Parlimen boleh bersidang walaupun darurat

KUALA LUMPUR, 24 FEB: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan pandangan Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka atas nasihat Perdana Menteri.

Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata perkara itu termaktub dalam subperenggan 14(1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang menyatakan Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana difikirkan sesuai oleh Seri Paduka atas nasihat Perdana Menteri.

Sehubungan itu, beliau berkata tanggapan sesetengah pihak bahawa pelaksanaan proklamasi darurat menghalang Parlimen untuk bersidang adalah tidak tepat.

“Perlu ditegaskan di sini bahawa perkenan Seri Paduka Baginda kepada nasihat Perdana Menteri berkenaan Pengisytiharan Proklamasi Darurat pada 12 Jan 2021 adalah semata-mata sebagai langkah proaktif membendung gejala wabak Covid-19 yang meragut lebih 1,000 nyawa setakat ini,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, beliau berkata Al-Sultan Abdullah berkenan menerima menghadap Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun di Istana Negara hari ini.

Dalam sesi menghadap itu, Seri Paduka menegaskan Malaysia sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi berteraskan prinsip Keluhuran Perlembagaan, setiap cabang pentadbiran negara sama ada pihak Eksekutif, Kehakiman mahu pun Parlimen haruslah sentiasa akur kepada prinsip tersebut.

Ahmad Fadil berkata dalam sesi menghadap hari ini, Seri Paduka turut mengambil maklum hal sampingan berkaitan budaya, warisan dan etika tata perlakuan ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara semasa melunaskan tanggungjawab berbahas serta bertindak agar sentiasa bersifat mulia dan dipandang tinggi.

Menyentuh perkembangan terkini wabak Covid-19, Seri Paduka mengambil kesempatan menzahirkan penghargaan kepada kerajaan, khususnya Kementerian Kesihatan dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta agensi kerajaan berkaitan atas usaha merealisasikan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang bermula hari ini dan dijangka mengambil masa sehingga beberapa bulan.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para wira dan wirawati petugas barisan hadapan atas pengorbanan yang dicurahkan tanpa mengira masa dan penat lelah dalam memerangi wabak Covid-19.

“Seri Paduka Baginda turut mengajak rakyat untuk bersama Baginda mendoakan semoga negara ini sentiasa dilindungi dan bebas daripada wabak ini dengan segera,” katanya.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menerima suntikan vaksin Covid-19, menandakan bermulanya Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, yang menyasar untuk memberikan imunisasi secara percuma kepada penduduk negara ini, baik rakyat tempatan mahu pun warga asing.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Warkah buat Agong minta ihsan benarkan sidang Parlimen – Anwar

SHAH ALAM, 21 JUN: Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan warkah kepada Yang di-Pertuan Agong bukan sebagai tanda derhaka sebaliknya meminta ihsan dan kebijaksanaan baginda membenarkan sidang Parlimen diadakan dalam tempoh darurat.

Ketua pembangkang berkata pertimbangan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah diperlukan kerana hanya sidang itu menjadi ruang untuk ahli parlimen membangkitkan permasalahan dihadapi rakyat.

“Oleh sebab itu bila kerajaan memilih untuk isytiharkan darurat dan menggantung Parlimen, kita merasa bertanggungjawab kerana ia tempat suarakan isu rakyat.

“Apa cara berkesan lain untuk usulkan berhubung peminjam bank, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, masalah dan pinjaman perumahan?

“Kerana ini semua akan dilakukan di depan semua menteri dan memaksa mereka mendengar serta memberi penjelasan tetapi kini darurat diisytiharkan,” katanya ketika siaran langsung menerusi Facebook semalam.

Malah, ahli parlimen Port Dickson menyatakan rasa kecewa apabila pihaknya dianggap derhaka setelah membangkitkan isu darurat.

Beliau berkata, perkara itu menunjukkan kesediaan Pakatan Harapan (PAKATAN) bermuafakat membentuk pentadbiran lebih stabil dan menjaga kepentingan rakyat sekali gus mengatasi politik kepartian yang terbatas.

“Kita menegakkan keperluan adanya parlimen oleh kerana keluhan rakyat boleh dibahaskan, bangkitkan keterlanjuran kerajaan, kelemahan menangani Covid-19 dan memastikan supaya prinsip tatakelola yang baik dilaksanakan.

“Kami tidak mahu kerajaan gunakan peluang darurat ini tanpa membuat semak dan imbang serta mereka boleh lakukan sewenang-wenangnya,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

KEADILAN kesal Parlimen had bilangan media

SHAH ALAM, 16 OKT: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) kesal terhadap arahan mengehadkan bilangan media bagi membuat liputan pembentangan Belanjawan 2021 di sidang Parlimen.

Pengarah Komunikasinya Fahmi Fadzil berkata sesi tersebut sebaliknya memerlukan lebih ramai petugas bagi menyaksikan perbincangan dan perbahasan penggunaan wang ringgit rakyat pada tahun akan datang.

“Sekiranya benar Parlimen berpandangan ruang bagi petugas media tidak mencukupi dan itu antara sebab utama menghalang lebih banyak media hadir, saya percaya terdapat banyak ruang boleh diubah suai menjadi tempat mereka.

“Sebagai contoh, sekiranya tempat media di aras bawah tidak mencukupi untuk memuatkan semua petugas, bilik jawatankuasa di bangunan sementara, ruang di Dewan Rakyat sementara, malah bangunan pejabat ahli-ahli parlimen boleh diubah suai dengan mudah untuk membolehkan lebih ramai petugas media hadir tanpa melanggar tatacara operasi piawai (SOP).

“Malah, jika perlu khemah khas seperti yang biasa didirikan untuk VIP (kenamaan) sewaktu program-program kementerian di Parlimen boleh didirikan untuk menempatkan petugas media,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata arahan tersebut boleh menimbulkan salah faham dengan membayangkan institusi itu mengekang kebebasan bersuara kerana membenarkan terbitan media rasmi sahaja.

Beliau turut meminta Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun mempertimbang semula arahan itu demi kebebasan bersuara dan kemuliaan dewan.

Hari ini, Setiausaha Bahagian Komunikasi Korporat Parlimen mengeluarkan surat kepada ketua pengarang media memaklumkan hanya 15 petugas dibenarkan hadir di Parlimen untuk membuat liputan sepanjang sidang mulai 2 November hingga 23 Disember depan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar kritik ahli akademik pertikai desakan perbahasan dewan

SHAH ALAM, 20 MEI: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengkritik ahli akademik yang mempertikai desakan pemimpin Pakatan Harapan (PAKATAN) berikutan tiada sesi perbahasan pada sidang Parlimen Isnin lalu.

Presiden KEADILAN berkata sesi itu bukan mempersoalkan Titah Diraja oleh Yang di-Pertuan Agong sebaliknya ahli parlimen menyambut isu yang disebutkan dalam titah berkenaan untuk dibahas.

“Itu tidak bermakna derhaka, sudah 62 tahun merdeka masih ada ‘madya’ belum bermaya beri pandangan. Prof madya yang berkenaan, adakah dia faham perlembagaan?

“Titah itu adalah pandangan kerajaan dan ia untuk dibahaskan, ada usul junjung kasih, jika Tuanku sebut Covid-19, kita bahaskan.

“Tuanku juga tegas dalam titahnya berkenaan rasuah, jadi kita patut bangkit, baik kerajaan atau pembangkang, bangkitkan kenapa ia (rasuah) berlaku,” katanya menerusi siaran langsung di Facebook hari ini.

Pada 18 Mei lalu, Pakar Perlembagaan, Prof Madya Dr Shamrahayu A Aziz menggesa ahli dewan tidak mempersoal titah Yang di-Pertuan Agong pada pembukaan penggal Parlimen.

Sebelum ini, PAKATAN dan sekutunya mendesak sidang Dewan Rakyat dijalankan secara penuh atau sekurang-kurangnya dua minggu bagi membincangkan pelbagai isu termasuk wabak Covid-19.

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong yakin kerajaan tangani kesan buruk Covid-19

SHAH ALAM, 18 MEI: Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yakin kerajaan akan berusaha mengurangkan kesan buruk akibat penularan wabak Covid-19 kepada rakyat dan negara.

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bertitah wabak yang belum pernah melanda negara dengan sebegitu serius itu turut memberi kesan kepada ekonomi serta kesihatan rakyat.

Dalam menghadapi wabak itu, titah baginda fokus utama kerajaan adalah memastikan kesejahteraan dan keselamatan rakyat terjamin dan terbela, termasuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta membawa pulang rakyat yang terkandas di luar negara.

“Beta memahami banyak industri dan perniagaan terjejas akibat wabak ini. Namun beta menyeru kepada majikan untuk tidak membuang pekerja dengan sewenang-wenangnya.

“Semua pihak hendaklah sedia melakukan pengorbanan demi meringankan beban rakyat serta ekonomi negara.

“Beta juga berharap kerajaan memberi tumpuan untuk membantu syarikat dan perniagaan yang terjejas teruk seperti industri pelancongan serta perusahaan kecil dan sederhana,” titah baginda pada Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Majlis Parlimen Ke-14 di Dewan Rakyat hari ini.

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong turut berharap inisiatif Majlis Tindakan Ekonomi yang memperkenalkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat berjumlah RM260 bilion akan segera dirasai impaknya.

“Pakej tersebut amat besar dan luar biasa. Justeru, ia perlu disokong sepenuhnya oleh semua pihak dan beta yakin dengan kerjasama dan kesepakatan yang jitu, cabaran yang kita hadapi ini akan dapat ditangani bersama,” titah baginda.

Categories
SELANGOR

Alasan perlu pinda peraturan mesyuarat tidak wajar – Sivarasa

SHAH ALAM, 18 MEI: Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi didakwa cuba mengalihkan kesalahan terhadap Jawatankuasa Peraturan Mesyuarat Parlimen berikutan keengganan kerajaan melaksanakan sidang Parlimen secara maya seperti yang pernah dituntut sebelum ini.

Ahli Parlimen Sungai Buloh Sivarasa Rasiah berkata alasan Khairy Jamaluddin yang menyatakan bahawa Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat (SO) perlu dipinda sekiranya sidang maya mahu dilakukan disifatkan sebagai tidak wajar.

“Sesiapa sahaja akan menerima bahawa dengan keadaan pandemik (Covid-19) ketika ini, kita menghadapi krisis nasional dengan kadar mendesak, bukannya dengan urusan yang biasa.

“Anda sekarang adalah pemerintah. Anda boleh menentukan tarikh untuk melaksanakan sidang Parlimen.

“Walaupun pindaan adalah mustahak kepada SO, apa yang diperlukan adalah tindakan langsung menteri pada hari pertama mesyuarat untuk menangguhkan sebahagian SO yang dianggap sebagai masalah (yang akan segera disokong oleh pembangkang) sehingga mesyuarat dalam talian dapat diteruskan secepat mungkin,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Beliau berkata tindakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) berbeza jika dibandingkan dengan kebanyakan negara yang tetap menjalankan sidang Parlimen bagi menjelaskan situasi kesihatan dan keadaan kewangan negara mereka.

“Pemimpin di seluruh dunia dengan pantas mula mencari jalan penyelesaian untuk menjalankan sidang Parlimen bagi menjelaskan cadangan kesihatan dan kewangan, namun pentadbiran kerajaan PN cuba mengelak daripada melakukan perkara itu,” katanya.

Beliau berkata pembangkang akan bekerjasama sepenuhnya dengan kerajaan dalam hal berkenaan malah menyokong semua bentuk inovasi untuk menguruskan sidang.

“Jadi YB menteri, tiada keperluan untuk mencari Jawatankuasa Peraturan Mesyuarat atau mengemukakan pelbagai alasan. Lakukan sahaja atau terima yang anda sebenarnya tidak mahu melakukannya,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Sidang Parlimen wajar kekal sehari sahaja

KUALA LUMPUR, 3 MEI: Persidangan Parlimen yang dijadualkan 18 Mei ini wajar dikekalkan hanya satu hari bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang- Undang), Datuk Takiyuddin Hassan.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau menjelaskan keputusan tersebut mengambil kira pendirian kerajaan bahawa sebarang bentuk perhimpunan ramai masih belum sesuai diadakan pada masa ini.

Sehubungan itu, susunan kedudukan Ahli-Ahli Parlimen di dalam Dewan Rakyat juga akan diubah suai untuk mengamalkan penjarakan sosial.

“Ini bagi menjamin semua ahli Dewan dapat mengambil bahagian dalam ruang lingkup tatacara operasi piawai(SOP) yang ditetapkan oleh pihak Kementerian Kesihatan,” katanya.

Katanya, kerajaan turut bersetuju mengemukakan beberapa Rang Undang-Undang yang berkaitan bagi dibentangkan dalam sidang Parlimen akan datang pada Julai nanti, berikutan kesan yang dialami oleh rakyat perseorangan, peniaga dan juga syarikat perniagaan ekoran penularan wabak Covid-19.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Sidang tergempar Parlimen patut diadakan bincang isu sensitiviti agama

SHAH ALAM 28 JAN: Sidang tergempar Parlimen perlu diadakan segara bagi menangani krisis dihadapi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, termasuk percubaan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk meningkatkan lagi kebencian perkauman dan keagamaan.

lim-parlimenPenasihat DAP, Lim Kit Siang, berkata tindakan melempar dua bom Molotov ke dalam kawasan Gereja Assumption di Lebuh Farquhar, Pulau Pinang, dan tindakan menaikkan pemidang oleh pihak tidak bertanggungjawab perlu ditangani pihak berkuasa.

Katanya, sikap membisu Ketua Polis Negara (KPN) juga dipertikaikan bagi menangani isu itu.

“Apakah KPN lalai sama sekali dalam menjalankan tugas? Tiba masanya untuk KPN bangun daripada tidurnya dan menjalankan tugas terhadap negara dan rakyat.

“Ia bagi memelihara mereka daripada para pengkhianat yang sedang bersedia untuk menghasut kebencian perkauman dan keagamaan dan cuba menimbulkan ketegangan,” kata Lim dalam satu kenyataan media.

EZY