Categories
NASIONAL SELANGOR

RM15.8 juta diperuntukkan bagi Skim Ceria

ceria-iskandar-selayang-01

PANDAN 28 OGOS : Sebanyak RM15.8 juta diperutukkan untuk Skim Bantuan Baik Pulih Harta Bersama Pangsapuri (Ceria) sejak dilancarkan dua tahun lalu.

Exco Perumahan Ir. Iskandar Abdul Samad berkata sebanyak 17 pangsapuri sudah dibaikpulih pada fasa pertama dan 43 buah pangsapuri telah menerima manfaat skim itu pada fasa kedua.

Skim Ceria merupakan skim perkongsian kos antara penghuni pangsapuri kos rendah dengan Kerajaan Negeri dalam usaha menceriakan kawasan persekitaran pangsapuri. Kerajaan Negeri membantu membiayai 80 peratus kos kerja baikpulih dan selebihnya ditanggung penduduk.

Tahun ini sahaja, sebanyak 45 buah pangsapuri di seluruh Selangor terpilih untuk kerja-kerja baikpulih Ceria.

“Untuk peringkat seterusnya, sebanyak 89 buah pangsapuri masih menunggu kelulusan untuk dibaikpulih,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

RM100,000 Baiki Lif Rosak di Pangsapuri Desa Mentari

Iskandar Samad

SHAH ALAM, 24 JULAI : Penghuni empat blok Pangsapuri Desa Mentari boleh menarik nafas lega apabila Kerajaan Negeri mengumumkan bantuan RM100,000 bagi membaiki lif yang rosak.

Menurut Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar, Iskandar Samad, kerja-kerja menyelenggara dan membaikpulih kesemua lif itu akan menggunakan peruntukan Skim Bantuan Baik Pulih Harta Bersama Pangsapuri (Ceria).

Katanya, Kerajaan Negeri mengambil inisiatif untuk membantu penduduk di situ ekoran maklumbalas daripada pihak pemaju yang mengatakan pungutan penyelenggaraan pangsapuri berkenaan adalah tidak mencukupi.

“Kerajaan Negeri amat prihatin terhadap nasib penduduk yang terpaksa menggunakan tangga sebanyak 18 tingkat dalam bulan Ramadan ini.

“Kita mengambil keputusan untuk mempercepatkan proses menggunakan Skim Ceria tanpa mengikut prosedur biasa kerana ia perlu dibaikpulih dengan kadar segera,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Exco, di sini.

Dalam sidang media sama, Iskandar turut memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri akan mempertimbangkan untuk menubuhkan sebuah pasukan khas bagi memantau, membaikpulih serta menyelesaikan masalah kersoakan lif di kawasan pangsapuri kos rendah seluruh Selangor.

Jelasnya, pasukan ini akan bertindak untuk memantau keadaan lif di pangsapuri supaya sebarang masalah atau kerosakan dapat dikesan lebih awal.

“Kerajaan Negeri memandang serius tentang kerosakan lif di seluruh Selangor, justeru penubuhan pasukan khas ini dapat mengesan sebarang kerosakan sebelum ia berlaku lebih serius,” katanya lagi.