Categories
SELANGOR

Pendahuluan 5% Untuk Mulakan Program CERIA Fasa 11

SHAH ALAM,15 FEB : Penduduk yang telah ditawarkan bantuan di bawah Program Baikpulih Negeri Berkebajikan (CERIA) Fasa Kedua perlu mengemukakan bahagian mereka sebelum 7 Mac 2012 akan datang.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan & Setinggan, Iskandar bin Abdul Samad berkata Untuk Fasa Kedua CERIA, 50 kawasan pangsapuri telah ditawarkan dan 26 kawasan telah mengemukakan bahagian mereka.

Di bawah CERIA, penduduk pangsapuri kos rendah perlu mengemukakan pendahuluan sebanyak 5 peratus dari kos membaikpulih sebelum kerja-kerja dimulakan. Baki 15 peratus boleh dibayar secara ansuran.

“Penduduk pangsapuri kos rendah hanya perlu menanggung 20 peratus dari kos baikpulih dan Kerajaan Negeri akan menanggung 80 peratus. Adalah diharapkan 24 kawasan yang belum mengemukakan bahagian mereka melakukannya secepat mungkin.

“Sekiranya mereka menghadapi masalah untuk mendapatkan 5 peratus ini, maka diharap mereka dapat membincangkannya dengan Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor,” kata Iskandar dalam kenyataan medianya.

Tambah Iskandar ,jika mereka gagal datang berbincang sebelum 7 Mac 2012, maka kawasan mereka akan ditangguh perlaksanaannya ke Fasa Ketiga.

Kawasan-kawasan yang berada di Fasa Ketiga pula akan menggantikan giliran mereka.

“Kerajaan Negeri berhasrat untuk membaikpulih 100 kawasan di bawah CERIA. Untuk Fasa Pertama, 18 kawasan telah ditawarkan dengan 10 kawasan telah siap sepenuhnya,” katanya.

Categories
NASIONAL

PR Berbakti Pada Setiap Waktu

IJOK, 6 FEB : Kerajaan Pakatan Rakyat mengamalkan dasar bekerja untuk rakyat tanpa mengira waktu dan bukan sekadar mengambil hati sempena Pilihanraya Umum sepertimana yang diamalkan oleh Kerajaan Umno-BN.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memberitahu bahawa peruntukan yang disediakan oleh Kerajaan PR bukan sekadar memancing undi sebaliknya dilakukan sejak memegang tampuk negeri pada tahun 2008.

“Setiap tahun semenjak 2008, kita memperuntukkan dana lebih daripada RM16 juta kepada sekolah persendirian Cina, Tamil dan Agama Rakyat yang sebelum ini tidak dihiraukan oleh Barisan Nasional selama berpuluh-puluh tahun.

“Ini bukti bahawa kita telah dapat jalankan tugas dan menunaikan janji-janji kita kepada rakyat,” ujar Abdul Khalid.

Beliau berkata demikian dalam satu Majlis Sambutan Pesta Ponggal Peringkat DUN Ijok yang diadakan di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Yuk Chi Batang Berjuntai petang tadi.

Selain itu, Khalid turut memberitahu bahwa kerajaan PR turut membawa banyak perubahan dalam pentadbiran negeri antaranya dari segi ekonomi dan sosial.

“Sebelum ini tidak pernah kita berpeluang menggunakan Sekolah Tiong Hua untuk sambutan perayaan Ponggal. Tapi kini kita sudah berpeluang.

“Inilah antara bukti bahawa kita telah bawa perubahan dalam minda tiap-tiap rakyat,” jelas Khalid lagi.

Majlis yang bermula pada pukul 5 petang itu dihadiri lebih 500 orang pengunjung selain kehadiran tetamu-tetamu kehormat yang lain iaitu EXCO Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr. Xavier Jayakumar dan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad.

Categories
SELANGOR

Bantuan Rumah Ibadat Bukan Islam Diteruskan

SHAH ALAM, 6 JAN : Kebajikan rumah ibadat bukan Islam di Selangor terus diberi perhatian oleh Kerajaan Negeri Selangor dengan menyalurkan bantuan kewangan kepada institusi itu.

Terbaharu, kerajaan negeri menyerahkan cek sejumlah RM252,500 kepada 28 rumah ibadat Cina, Hindu dan gereja bagi melaksanakan proses naik taraf dan kebajikan persatuan.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan hadir bagi menyerahkan cek berkenaan.

Menurut Ronnie, setakat ini kerajaan negeri memperuntukkan dana kepada 200 buah rumah ibadat selain Islam dengan peruntukan sejumlah RM6 juta menerusi Belanjawan Negeri Selangor yang diumumkan Menteri Besar.

“Banyak rumah ibadat yang memerlukan dana kerana kebanyakan tokong, kuil dan gereja sudah uzur. Bagaimanapun, kita tidak boleh mengiktiraf rumah-rumah ibadat yan terletak di kawasan rumah teres kerana ia mengganggu jiran tetangga.

“Tetapi kerajaan negeri faham tentang situasi ini kerana semasa zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN) dulu, pertubuhan rumah-rumah ibadat sukar untuk mendapat tanah daripada kerajaan.

“Oleh itu, mereka terpaksa menggunakan rumah teres sebagai tempat ibadat. Kerajaan Pakatan Rakyat tidak menggalakkannya,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pandamaran,” jelas Ronnie kepada pemberita dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Cek-cek Rumah Ibadat Selain Islam di SUK hari ini.

Hadir sama Adun Kajang, Lee Kim Sin.

Tambah Ronnie, kerajaan Selangor sentiasa memberi ruang dan peluang kepada persatuan rumah ibadat selain Islam ini untuk memohon geran tanah bagi membolehkan mereka beroperasi dengan lebih teratur dan tidak mengganggu kawasan perumahan.

Jelasnya lagi, rumah ibadat yang dibina sebelum Mac 2008 tidak diganggu atau dirobohkan, sebaliknya kerajaan negeri akan memberi masa kepada mereka untuk berpindah ke suatu kawasan yang lebih selesa.

“Mana-mana rumah ibadat yang ingin mendapatkan dana daripada kerajaan negeri perlulah berdaftar di bawah agensi yang sah, mempunyai lesen serta memiliki persatuan yang teratur dengan bilangan ahli yang mencukupi. Rumah ibadat yang tidak berdaftar dan bergerak sebagai individu tidak layak menerima bantuan,” jelasnya.

Sejak Pakatan Rakyat mengambil alih pucuk pimpinan di Selangor pada Mac 2008, kerajaan negeri di bawah pentadbiran Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memperuntukkan dana kepada setiap rumah ibadat termasuk rumah ibadat bukan Islam dalam Belanjawan Negeri Selangor.

Ia adalah sebahagian daripada pembaharuan yang dibawa kerajaan Pakatan Rakyat dalam memperjuangkan nasib rakyat yang tidak pernah dilaksanakan kerajaan Umno-BN sebelum ini.

Categories
SELANGOR

Selangor Bantu Persatuan Mahasiswa UiTM

SHAH ALAM: menghargai peranan mahasiswa sebagai golongan penting dalam pembangunan negara, Kerajaan Selangor menjalinkan kerjasama bagi membantu aktiviti mahasiswa terutama Institusi Pengajian Tinggi Awam(IPTA) di negeri ini.

Berikutan itu, kerajaan negeri telah mengadakan persefahaman M.O.U dengan Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independan (KAMI) di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini.

Persefahaman ini bagi membolehkan kerajaan negeri membantu secara aktif aktiviti-aktiviti akademik, sosial dan kemasyarakat dengan warga siswa UiTM kampus utama Shah Alam.

Upacara disempurnakan oleh Khalid Mohd Ismath, Timbalan Presiden KAMI dan Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin Dr. Xavier Jayakumar.

“Ini adalah komitmen Kerajaan Negeri Selangor dalam membantu warga universiti dalam menjayakan aktiviti-aktiviti mereka. Ia merupakan pembuka jalan bagi hubungan erat antara persatuan mahasiswa universiti tersebut dengan Kerajaan Negeri di masa-masa yang akan datang,” kata Dr Xavier.

Sebelum ini, kerajaan negeri melalui beberapa orang Exco negeri turut memberikan bantuan kepada beberapa buah universiti lain.