Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

SPRM: Golongan profesional antara paling ramai terlibat rasuah

KUALA LUMPUR, 24 JULAI: Kumpulan pelaksana dikenal pasti antara yang paling banyak terlibat dalam kes rasuah, membabitkan sektor perkhidmatan awam pada 2019, kata Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil.

Beliau dalam mendedahkan perkara itu berkata, daripada 525 tangkapan pada 2019, seramai 387 daripadanya merupakan kumpulan pelaksana.

“Kumpulan perkhidmatan, selain kumpulan pelaksana terdiri daripada kumpulan pengurusan tertinggi, kumpulan pengurusan dan profesional.

“Seramai 121 individu ditahan bekerja dalam kumpulan pengurusan dan profesional manakala 17 individu lagi ditahan dalam kalangan kumpulan pengurusan tertinggi,” katanya kepada Bernama.

Selain itu Shamshun Baharin berkata, pada 2019, jumlah tangkapan mencecah lebih 1,000 individu daripada pelbagai sektor.

“Ia jumlah yang mengejutkan, SPRM tidak pernah memperolehi tangkapan lebih daripada angka itu, dengan yang tertinggi sebelum ini ialah pada 2010 dengan 944 tangkapan,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai gejala penjawat awam terbabit rasuah, Shamshun Baharin berkata adalah penting untuk memberi penekanan kepada Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023, dengan penglibatan sektor pendidikan.

“Langkah itu perlu supaya dalam masa sama dapat mewujudkan rasa benci terhadap rasuah, daripada peringkat awal lagi,” katanya.

Shamshun Baharin berkata, kerajaan turut diminta mengkaji serta mengeluarkan satu pekeliling membabitkan permasalahan rasuah, dalam kalangan penjawat awam.

“Modul itu sudah wujud, namun pekeliling perlu dikeluarkan oleh agensi pusat, SPRM tidak boleh mengeluarkan pekeliling berkenaan.

“Sektor awamlah yang paling tinggi, NACP itu disediakan kerana trend di sektor awam, di mana statistik SPRM menunjukkan sektor awam lebih cenderung ke arah rasuah,” katanya.

NACP dilancarkan awal tahun ini dan ia sejajar dengan usaha ke arah negara bebas rasuah dan berintegriti.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Jabatan Mufti Selangor tekad bebas rasuah

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 12 MEI: Jabatan Mufti Negeri Selangor (JMNS) berikrar menyemarakkan nilai integriti dalam kalangan penjawat awam serta bebas rasuah melalui pelaksanaan program Ikrar Bebas Rasuah (IBR) dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM).

Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor, Dato’ Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid berkata, pihaknya komited melahirkan penjawat awam berdedikasi, berkualiti serta tahan ujian dalam mendepani cabaran masa hadapan.

“Sebagai penjawat awam, bukan hanya rasuah sahaja dilihat sebagai kesalahan dalam berintegriti, tetapi ia meliputi seluruh aspek kehidupan individu.

MUFTI SPRM 1“Kita tidak boleh menyalahguna kuasa untuk kepentingan sendiri mahupun keluarga. Kita harus bersifat telus dalam memikul tanggungjawab diamanahkan terutama sebagai penjawat awam dalam agensi agama,” katanya dalam program IBR di Bilik Seminar Sakinah, Jabatan Agama Islam (JAIS), di sini, pagi tadi.

Mengambil contoh isu terbaru apabila dua orang bekas pegawai masjid di Melaka yang direman empat hari baru-baru ini bagi membantu siasatan berhubung urusan jual beli tanah wakaf masjid, Tamyes akui salahguna kuasa dan integriti boleh berlaku kepada sesiapa sahaja.

MUFTI SPRM 2“Situasi ini memberi gambaran kepada kita bahawa isu rasuah boleh berlaku dimana sahaja hatta lebih memilukan jika ianya berlaku pada pihak yang ada hubungkait dengan urusan agama atau institusi agama.

“Dengan IBR, saya menyeru kakitangan JMNS mempertingkatkan kualiti kerja serta integriti tinggi dalam melaksanakan tuntutan amanah yang dipikul,” katanya.

Categories
NASIONAL

Bekas Peguam Negara tak tahu ‘sakit’ hingga ditamatkan perkhidmatan

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 20 OGOS: Adun Sekinchan, Ng Suee Lim (DAP) menempelak tindakan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menamatkan perkhidmatan Peguam Negara, Abdul Gani Patail dengan alasan kesihatan.

Beliau berkata, Abdul Gani sendiri tidak mengetahui bahawa dirinya mempunyai masalah kesihatan sehingga dipecat.

“Abdul Ghani sendiri tak tahu dia sakit hingga menyebabkannya diberhentikan,” kata Suee Lim ketika membentangkan usul menggesa supaya kebebasan Institusi Kamar Peguam Negara dan SPRM perlu sentiasa dihormati tanpa campur tangan kuasa politik.

Ketika menjawab soalan dibangkitkan pembangkang, Suee Lim menegaskan beliau tidak menentang atau menyokong mana-mana pihak secara membuta tuli tetapi berdasarkan isu yang diperjuangkan termasuk melibatkan SPRM dan Peguam Negara.

-NFN-

Categories
NASIONAL SELANGOR

SPRM Diminta Perjelas Jawapan Bercanggah Dengan Parlimen

logo SPRM

PETALING JAYA 5 JULAI : Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) diminta menjawab dakwaan percanggahan antara angka kejayaan yang diberikannya dengan angka yang dinyatakan di dalam Dewan Rakyat baru-baru ini,

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata, pada 2012, SPRM menyatakan peratusan sabitan telah meningkat sehingga 85 peratus. Manakala angka itu telah meningkat sehingga 89 peratus menjelang Jun 2013.

Namun tegas beliau, angka yang diberikan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Paul Low di Dewan Rakyat adalah 67 peratus sabitan pada 2012 dan 34 peratus pada Jun 2013.

“Percanggahan angka sebegini tentu mengundang pelbagai persoalan dan menimbulkan lebih banyak keraguan mengenai keberkesanan dan kecekapan SPRM,” kata Rafizi dalam Sidang Media di Ibu Pejabat PKR di sini.

Jelas beliau, peratusan laporan yang diberikan kepada SPRM secara puratanya masih rendah iaitu hanya 0.02 peratus per kapita rakyat. Di Hong Kong peratusan itu tiga kali ganda lebih tinggi.

Ujarnya, jika rakyat tidak tampil ke hadapan dan tidak mahu memberikan maklumat maka sudah tentu lebih sukar untuk menjalankan siasatan dan pendakwaan.

“Hanya satu daripada setiap lima maklumat atau laporan yang diberikan yang berakhir dengan dengan fail siasatan dibuka,” kata beliau.

Tambahnya, walaupun mungkin banyak maklumat dikategorikan sebagai bukan berkaitan rasuah namun angka itu membayangkan samada kemahiran siasatan SPRM perlu dipertingkatkan atau berlaku campur tangan.

“Kesudian SPRM menerima pandangan mengenai perkara ini dihargai namun ia perlu disusuli dengan peningkatan angka prestasinya terutama jumlah laporan dan maklumat yang berakhir dengan fail siasatan dibuka.

“Selagi kedua-dua angka ini tidak meningkat, SPRM masih berdepan dengan masalah persepsi negatif di kalangan rakyat,” kata beliau.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Noh Omar Sembunyikan Penglibatan Di Dalam Usahasama Kolam Udang

SHAH ALAM, 10 OGOS: Adun Sekinchan, Ng Suee Lim mendakwa Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar menyembunyikan fakta dan gagal menjawab dakwaan yang beliau terlibat di dalam projek ternakan udang di Tanjong Karang.

Katanya, Noh gagal memberikan kenyataan balas mengenai dakwaan terdapat surat akuan sumpah syarikat Pristine Agrofood dan kaveat ke atasnya.

Dokumen tersebut kata Suee Lim, menunjukkan yang pengilbatan Noh di dalam kolam udang itu adalah lebih daripada pemilik tanah yang hanya menyewakan tanahnya semata-mata.

“Perkataan ‘usaha sama’ dalam dokumen itu membuktikan Noh Omar turut mengusahakan projek itu dan jika beliau menyatakan hanya menyewakan sahaja tanahnya, seharusnya perlu ada perkataan ‘tendency agreement’ iaitu perjanjian sewa.

“Beliau tidak boleh mengelak dan hanya menafikan tanpa memberikan fakta sebenar mengenai tanah miliknya dan projek udang itu,” katanya ketika dihubungi TVSelangor hari ini.

Ng berkata, terdapat satu kaveat agar Noh terus menyewakan tanahnya seperti dipersetujui kedua-dua pihak.

Di dalam laporan portal Malaysiakini semalam, Noh berkata beliau menyewakan tanah seluas 30 ekar miliknya kepada syarikat itu dan tidak terlibat mengusahakan projek udang tersebut.

Pengarah Pristine Agrofood, Chu Bak Teck juga turut menafikan penglibatan Noh Omar dan menyatakan beliau hanya menyewakan tanahnya sahaja.

Menurut Suee Lim, Noh Omar juga perlu menjelaskan kepada rakyat bagaimana beliau mendapat tanah 30 ekar itu daripada Kerajaan Negeri dengan mudah.

Pada Sidang Dewan Negeri Selangor pada Julai 12, Suee Lim mendedahkan yang Noh membeli tanah itu pada 13 Jun 1995.

Hasil carian di laman web Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menunjukkan Noh memenangi kerusi Ahli Parlimen Tanjong Karang buat kali pertama pada April 1995.

“Apakah keistimewaan seorang menteri yang boleh memiliki tanah seluas itu dan hanya membayar premium sebanyak RM 9,760 sahaja sedangkan rakyat terpaksa bersusah payah hanya untuk memiliki tanah sendiri,” katanya.

Di dalam dakwaannya sebelum ini, Suee Lim mendakwa nilai sebenar tanah itu ketika Noh membelinya adalah RM 3 juta.

Ng turut berkata, beberapa pendedahan susulan akan dibuat dan pihaknya sudah memberikan maklumat kepada Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan lanjut.