Categories
NASIONAL

Srikandi KEADILAN: Pelantikan Latheefa Koya iktiraf peranan wanita

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 4 JUN: Pelantikan Latheefa Beebi Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu adalah satu pengiktirafan kepada peranan wanita di era Malaysia Baharu.

Ketua Srikandi KEADILAN, Nurainie Haziqah Shafii berkata, buat pertama kali dalam sejarah, seorang wanita memegang jawatan sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Katanya, gerakan itu menyambut baik pelantikan berkenaan bagi menggantikan Datuk Seri Shukri Abdul dan disifatkan satu pelantikan yang tepat.

“Latheefa dikenali sebagai seorang peguam yang berani, lantang bersuara serta tidak gentar dalam mencari keadilan.

“Di era Malaysia Baharu ini, pengalaman beliau selama 17 tahun sebagai peguamcara dan peguambela menjadikan Latheefa sebagai individu yang paling sesuai mengetuai badan pencegah rasuah negara,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini mengumumkan pelantikan Latheefa sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu bagi tempoh kontrak selama dua tahun berkuat kuasa 1 Jun lalu.

Pelantikannya selaras dengan subseksyen 5(1) Akta SPRM 2009 dengan diperkenan Yang di-Pertuan Agong.

Nurainie berkata, Srikandi KEADILAN menyambut baik keputusan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mencalonkan seorang wanita bagi jawatan tertinggi dalam badan mencegah rasuah di Malaysia.

“Srikandi KEADILAN mengucapkan tahniah dan selamat menjalankan tugas kepada Puan Latheefa Koya.

“Semoga pelantikan ini akan terus memperkukuh usaha kerajaan dalam memerangi rasuah dan meningkatkan imej serta integriti rakyat Malaysia di mata dunia,” katanya.

 

 

Categories
NASIONAL

SPRM Kedah siasat penyelewengan dana babit Datuk Seri

ALOR SETAR, 27 MEI: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah sedang menjalankan siasatan berhubung penyelewengan dana sebuah persatuan yang melibatkan seorang individu bergelar Datuk Seri.

Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap berkata, Datuk Seri terbabit yang memegang jawatan penting dalam persatuan itu disyaki terlibat dalam penyelewengan dana mencecah jutaan ringgit.

“Kita terima maklumat berlaku penyelewengan dalam persatuan itu. Sekarang masih dalam proses siasatan lagi dan kita juga telah panggil kakitangan dalam persatuan itu untuk disoal siasat.

“Datuk Seri yang merupakan bekas ahli politik dan dianggarkan berumur 60-an itu masih belum dipanggil dan kalau perlu dia akan dipanggil untuk bantu siasatan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan butiran lain mengenai kes itu.

Shaharom Nizam berkata SPRM juga juga sedang menjalankan siasatan terhadap pihak pengurusan tertinggi sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) berhubung kes tuntutan palsu yang turut mencecah nilai jutaan ringgit.

Sementara itu, Shaharom Nizam berkata pada tahun ini pihaknya telah membuka sebanyak 50 kertas siasatan atas pelbagai kesalahan di negeri ini dan menahan seramai 79 individu terdiri daripada 29 penjawat awam serta 50 orang awam.

Katanya, sebanyak 12 pertuduhan telah pun dibuat di mahkamah pada tahun ini.

“Banyak lagi kes yang sedang dalam kajian tetapi kita akan berusaha untuk mempercepatkan siasatan bagi membolehkan kes tersebut dibawa ke mahkamah,” katanya.

Terdahulu, beliau bersama lebih 10 pegawai dan anggota SPRM menyampaikan sumbangan kepada 10 keluarga terdiri daripada golongan kurang berkemampuan di sekitar Alor Setar menerusi Pogram Ziarah Ramadan yang julung kali diadakan.

“Sumbangan yang disampaikan ini diharap dapat membantu mereka yang memerlukan dan dalam masa yang sama kita mahu berkongsi kegembiraan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi,” katanya. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Datuk direman emat hari kes rasuah beli kereta perisai

PUTRAJAYA, 22 MEI: Seorang bekas pegawai kanan sebuah syarikat swasta bergelar Datuk direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes rasuah bernilai RM135 juta berkaitan pembelian kereta perisai.

Perintah reman sehingga Sabtu ini dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Siti Roslizawati Mohd Zanin membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009.

Suspek berusia 56 tahun itu ditahan di ibu pejabat SPRM pada 10.40 malam semalam.

Menurut sumber, hasil siasatan SPRM mendapati, jumlah suapan tersebut dipercayai telah diseleweng daripada peruntukan projek bernilai lebih RM 7.5 bilion daripada kerajaan.

Katanya siasatan tersebut membabitkan pembekalan kereta perisai AV8 bernilai RM7.5 billion dan kereta perisai AV4 bernilai RM155 juta.

Suspek merupakan individu kedua yang dipanggil selepas bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di syarikat sama hadir membantu siasatan pada 20 Mei.

Pada Isnin, seorang pemilik syarikat bergelar Datuk Seri direman selama empat hari selepas dipercayai memberi suapan bagi projek pembekalan peralatan kereta kebal itu kepada orang-orang tertentu.

Selain beliau, turut dipanggil SPRM iaitu seorang bekas CEO berusia 50-an bagi membantu siasatan pada 20 Mei.

Pada 12 Mei lalu, seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat swasta bergelar Datuk bersama seorang wanita yang juga Ketua Pegawai Kewangan (CFO) syarikat terbabit turut ditahan SPRM.

Terdahulu, suspek tiba di Mahkamah Majistret di sini dengan memakai baju lokap SPRM dan tangan bergari kira-kira pukul 10 pagi dengan diiringi beberapa orang pegawai suruhanjaya itu. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Pukat tunda haram: Nelayan diugut setelah beri maklumat

MUAR, 19 MEI: Nelayan di kawasan Muar diminta menyalurkan maklumat serta bukti kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tentang dakwaan mereka diugut dan sengaja ditahan pihak berkuasa laut setelah mengemukakan bukti mengenai pencerobohan bot pukat tunda haram.

Anggota Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, berkata pihaknya memandang serius hal itu dan akan membawa perkara tersebut ke muka pengadilan berikutan masalah pencerobohan pukat tunda haram tetap berlaku meskipun aduan telah dilakukan.

“Saya telah maklumkan kepada nelayan yang terlibat untuk mengambil nama pegawai yang terlibat selain akan membawa perkara ini kepada SPRM juga pihak berkuasa yang berkaitan.

“Ini adalah tindakan pengecut dan ia (pencerobohan) ini telah lama berleluasa, bukti seperti nombor pendaftaran juga telah diberikan dan mereka boleh mengesan menerusi Sistem Pengesanan Automatik (AIS) sekiranya mahu melakukan penguatkuasaan,” katanya kepada pemberita selepas Dialog Bersama Nelayan dan Agensi Kerajaan di Parit Kasim, di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pejabat Perikanan Daerah Muar, Mohd Faris Adman; dan Pegawai Pemerintah Markas Operasi Polis Marin Muar, ASP Nordin Osman.

Syed Saddiq, yang juga Menteri Belia dan Sukan, berkata masalah pencerobohan bot pukat tunda selain isu membelenggu nelayan seperti kecurian bot yang berlarutan di kawasan itu sejak sekian lama akan diatasi dengan tindakan penguatkuasaan tegas yang lebih menyeluruh.

Beliau berkata pihaknya juga akan membawa isu ini ke peringkat atasan untuk perhatian Kementerian Dalam Negeri serta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) dan Kementerian Pertahanan.

Katanya, pihaknya juga akan mencadangkan MOA mewajib penggunaan sistem AIS kepada semua pukat tunda kelas B yang bagi memudahkan pemantauan sepanjang mereka berada di perairan negara untuk aktiviti perikanan.

Terdahulu, pada 4 Mei lalu, beliau telah melakukan lawatan mengejut di Parit Jawa di sini bagi menyelami masalah dan isu yang dihadapi nelayan di kawasan berkenaan.

Pihaknya dimaklumkan pukat tunda haram yang mencerobohi sehingga kawasan Tanjung Tohor dan ia boleh memusnahkan tempat perlindungan, pembiakan ikan selain membinasakan jaring dan bubu nelayan pada bila-bila masa.

Pencerobohan itu telah berlaku sehingga menghampiri kawasan Bagan antara tiga hingga lima batu nautika dari pantai di antara jam 6 pagi hingga 6 petang dan perkara itu telah menjejaskan mata pencarian lebih 1,000 keluarga nelayan. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Permohonan SPRM batal saman Hasanah didengar 8 Julai

KUALA LUMPUR, 17 MEI: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memfailkan permohonan untuk membatalkan saman pemula bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid yang mencabar tindakan suruhanjaya itu membekukan akaun banknya sejak September tahun lepas.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Iskandar Ahmad yang mewakili SPRM berkata, pihaknya memfailkan permohonan itu pada 19 April lepas.

“Alasan untuk membatalkan saman itu tidak wajar dinyatakan. Kita tunggu pendengaran permohonan kami untuk membatalkan saman itu pada 8 Julai ini,” katanya kepada pemberita semasa ditanya alasan untuk membatalkan saman itu selepas pengurusan kes berkenaan di dalam kamar Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Sofian Abd Razak, hari ini.

Sementara itu, peguam Datuk Shaharudin Ali, yang mewakili Hasanah berkata, mahkamah juga menetapkan tarikh sama (8 Julai) untuk mendengar saman pemula berkenaan.

Bagaimanapun, peguam itu berkata mahkamah akan mendengar permohonan SPRM untuk membatalkan saman Hasanah terlebih dahulu.

“Selepas mahkamah mendengar permohonan SPRM untuk membatalkan saman anak guam saya, mahkamah kena buat keputusan sama ada saman berkenaan meremehkan, menyalahguna proses mahkamah, tidak masuk akal dan tiada locus standi.

“Ini akaun gaji orang, bukan akaun 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan bukan akaun anak syarikat 1MDB serta bukan akaun rahsia. Ini adalah akaun duit gaji beliau (Hasanah) yang dibayar oleh kerajaan. Saya tidak pernah dengar bagaimana duit gaji dibekukan,” katanya sambil menegaskan saman itu mempunyai asas kerana akaun anak guamnya telah dibekukan.

Dalam saman difailkan pada 28 Mac lepas, Hasanah, 61, yang menamakan SPRM dan kerajaan Malaysia sebagai responden pertama dan kedua, memohon perintah deklarasi bahawa perintah larangan ke atas akaun bank berkenaan bertarikh 3 Sept 2018 yang dikeluarkan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM adalah terbatal dan tidak sah.

Beliau turut memohon perintah deklarasi bahawa perintah larangan terhadap akaun berkenaan yang dibuat mengikut Seksyen 37(1) Akta SPRM adalah bertentangan atau bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Menerusi afidavit sokongan difailkan bersama saman itu, Hasanah mendakwa pihak SRM tidak pernah memaklumkan kepadanya berkaitan perintah larangan ke atas akaun banknya sepanjang beliau direman pada 29 Ogos 2018 dan dibebaskan daripada tahanan reman pada 3 September 2018.

Bagaimanapun, katanya, beliau mendapati urusan perbankannya gagal ketika berurusan pada keesokannya (4 September 2018).

Menurut Hasanah, beliau kemudiannya menghubungi pegawai penyiasat SPRM bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai akaun bank itu dan pegawai berkenaan menyatakan bahawa akaun bank hanya dibekukan sementara mengikut prosedur siasatan biasa oleh pihak SPRM.

Katanya, sebanyak lima pucuk surat telah dihantar kepada pihak SPRM antara 9 Oktober dan 18 Disember 2018 bagi memohon pelepasan pembekuan akaun bank itu, namun pada 6 Disember tahun sama, Bahagian Siasatan SPRM menjawab permohonan untuk pelepasan akaun berkenaan dengan mengatakan ia tidak dapat dipertimbangkan.

Hasanah mendakwa beliau mengalami kesukaran untuk menyara kehidupannya yang bergantung sepenuhnya kepada duit pencen yang dimasukkan ke dalam akaun bank berkenaan selain tidak mempunyai sumber pendapatan lain melainkan wang gaji dan wang pencen tersebut.

Pada 25 Oktober 2018, Hasanah mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pecah amanah wang berjumlah US$12.1 juta (RM50.4 juta) milik kerajaan. – BERNAMA

FOTO: MALAY MAIL

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

SPRM dakwa Bung Moktar, Zizie Izette Jumaat ini

SHAH ALAM, 1 MEI: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mendakwa Datuk Seri Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette A Samad atas tuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, pada Jumaat ini.

Dalam kenyataan hari ini, SPRM memaklumkan, pendakwaan ke atas bekas Pengerusi Bukan Eksekutif FELCRA Berhad dan isterinya yang juga selebriti tanah air itu dilakukan selepas mendapatkan keizinan Pejabat Peguam Negara.

“Moktar dan Zizie bakal menghadapi pertuduhan mengikuti Seksyen 17(a) dan Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009.

“SPRM telah menahan Moktar pada jam 10.50 pagi di SPRM Sabah manakala Zizie ditahan di SPRM Putrajaya pada jam 11.15 pagi selepas mereka hadir untuk melengkap proses siasatan akhir berkenaan kes rasuah membabitkan FELCRA,” katanya.

Katanya, kedua-dua mereka kemudian dilepaskan dengan jaminan SPRM.

Categories
NASIONAL

Rasuah: Anggota Parlimen Sabah dan isteri ditahan

KUALA LUMPUR, 1 MEI: Seorang Anggota Parlimen dari Sabah dan isterinya ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki terbabit rasuah.

Sumber berkata, kedua-dua mereka ditahan selepas memberi keterangan kes kepada SPRM kira-kira 10 pagi.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 17a Akta SPRM 2009, kata sumber berkenaan.

Penahanan itu disahkan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi Bernama.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Pegawai khas bekas menteri ditahan disyaki dalang atur projek

PUTRAJAYA, 29 APR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan seorang lelaki yang pernah berkhidmat sebagai pegawai khas kepada bekas menteri Kabinet, kerana disyaki menjadi dalang mengatur projek-projek di sebuah kementerian termasuk pembekalan peralatan pesawat bernilai kira-kira RM1.8 juta.

Sumber SPRM memberitahu lelaki bergelar Datuk berumur 50 tahun itu ditahan pada kira-kira 12 tengah hari ini di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya di sini ketika hadir memberi keterangan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek dikatakan menerima wang rasuah daripada beberapa syarikat kontraktor sebagai balasan mendapatkan projek pembekalan peralatan secara rundingan terus dengan sebuah kementerian, termasuklah pembekalan peralatan pesawat yang dianggarkan bernilai RM1.8 juta sekitar tahun 2017.

Sumber itu berkata, SPRM juga sedang berusaha mengesan beberapa lagi individu dan syarikat pembekal di seluruh negara yang disyaki terlibat dengan individu itu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan, dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Menurutnya, SPRM akan mendapatkan perintah tahanan reman terhadap suspek di Mahkamah Majistret Putrajaya esok.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Pegawai, anggota polis IPD Pekan ditahan syaki terima suapan

KUANTAN, 24 APR: Seorang pegawai polis berpangkat inspektor bersama enam anggota polis berpangkat lans koperal dan koperal dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Seri Simi Abd Ghani berkata, kesemua mereka yang berumur 28 hingga 53 tahun ditahan di Pejabat SPRM Pahang pada 10 hingga 10.45 malam semalam selepas dipanggil memberi keterangan kerana disyaki bersubahat menerima suapan RM6,500.

“Kami percaya kesemua terlibat bersubahat menerima wang suapan sebanyak RM6,500 daripada seorang lelaki sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan terhadap kesalahan memiliki dadah jenis syabu,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Katanya, semua mereka direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Menurut sumber, SPRM Pahang masih mengesan beberapa lagi individu dipercayai terbabit dengan kes berkenaan.

Sementara itu Timbalan Ketua Polis Pahang Datuk Mohd Yusri Hassan Basri, ketika ditemui di IPD Rompin mengesahkan tangkapan yang dilakukan terhadap pegawai dan anggotanya itu.

“Saya sahkan tangkapan dilakukan SPRM. Saya tidak boleh ulas panjang, namun kami akan berikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM untuk membantu siasatan berhubung kes ini,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

2 kontraktor ditahan bantu siasatan tuntutan palsu lebih RM1.7 juta

JOHOR BAHRU, 22 APR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan dua pemilik syarikat kontraktor kerana bersubahat mengemukakan tuntutan palsu bernilai lebih RM1.7 juta kepada Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), tiga tahun lalu.

Menurut sumber, dua lelaki berkenaan yang msing-masing berusia 43 dan 33 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM negeri di sini pada jam 1 tengah hari selepas hadir memberi keterangan.

“Hasil siasatan yang dijalankan mendapati kedua-dua suspek telah bersubahat membuat tuntutan palsu kepada MPPG di bawah peruntukan Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS).

“Ia berkaitan kerja-kerja menyelenggara dan membaiki sistem lampu isyarat di beberapa kawasan sekitar Pasir Gudang dan Bandar Seri Alam bagi tahun 2016 dengan jumlah lebih RM1.7 juta sedangkan kerja-kerja tersebut tidak dilaksanakan sepenuhnya,” kata sumber berkenaan.

Pengarah SPRM negeri, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

SPRM tahan setiausaha politik disyaki terima jam RM28,000

PUTRAJAYA, 1 APR: Seorang setiausaha politik seorang menteri ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini kerana disyaki menerima suapan berbentuk seutas jam tangan yang dianggarkan bernilai kira-kira RM28,000.

Menurut sumber SPRM, lelaki berusia 47 tahun tersebut ditahan pada kira-kira pukul 5 petang di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya ketika hadir memberi keterangan.

“Siasatan awal mendapati lelaki terbabit dipercayai menerima jam tangan mewah itu sebagai dorongan membolehkan sebuah syarikat pembangunan mendapatkan projek-projek di bawah kelolaan sebuah kementerian,” kata sumber berkenaan.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Tambah sumber tersebut, SPRM akan mendapatkan perintah tahanan reman terhadap suspek di Mahkamah Majistret Putajaya, pagi esok.

— BERNAMA

Categories
NASIONAL

Isu RM90 juta: SPRM hantar kertas siasatan selewatnya minggu hadapan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 26 MAC: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menghantar hasil siasatan berhubung dakwaan PAS menerima dana RM90 juta daripada UMNO kepada pihak pendakwa raya selewat-lewatnya minggu hadapan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, pihaknya sudah melengkapkan kertas siasatan berhubung kes berkenaan dan pihak pendakwa raya akan menentukan tindakan selanjutnya.

“Saya sudah berbincang dengan pegawai penyiasat dan laporan yang saya diterima kes ini berada di peringkat akhir siasatan. Kita ada buka beberapa kertas siasatan tetapi beberapa kertas siasatan akan dikemukakan kepada pendakwa raya.

“Saya telah mengarahkan pegawai penyiasat, paling lewat minggu hadapan kemukakan kepada timbalan pendakwa raya untuk dibincangkan dan mendapat sebarang arahan berhubung kes berkenaan,” katanya ketika diminta mengulas mengenai perkembangan kes membabitkan parti PAS pada Majlis Perasmian Kompleks Bangunan Baharu SPRM Negeri Selangor di Seksyen 16, di sini.

Ketika ditanya sama ada SPRM akan memanggil beberapa pemimpin PAS lain, Azam berkata, beliau enggan membuat sebarang spekulasi mengenainya.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Mohd Shukri Abdull dalam kenyataan pada 24 Februari lalu di Kuala Terengganu mengesahkan SPRM tidak mengesan sebarang transaksi dana RM90 juta daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) disalurkan ke akaun bank rasmi PAS.

“Siasatan SPRM setakat ini memang tak ada dana RM90 juta yang dikatakan wang 1MDB dimasukkan ke dalam akaun (bank) PAS,” katanya.