Categories
NASIONAL

SPRM: Tiada siapa boleh sembunyi rasuah skala besar

PUTRAJAYA, 16 JUL: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mampu mengesan rekod mana-mana individu atau pihak yang didakwa melakukan rasuah berskala besar di peringkat global kerana SPRM menjalin kerjasama kukuh dengan negara-negara asing.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berkata, beberapa negara bersedia dan sanggup bekerjasama dengan suruhanjaya itu dalam memberi bantuan perundangan bersama termasuk menjejaki transaksi bank, harta dan apa-apa berkaitan kes rasuah.

Beliau menarik perhatian kepada 1MDB sebagai contoh sambil berkata, SPRM agak bernasib baik mendapat paling kerjasama yang amat baik dari negara-negara berkaitan sepanjang siasatan dijalankan.

“Kita boleh dan sudah mula (kerjasama). Bagi kes-kes rasuah berskala besar, saya fikir tidak baik bagi negara asing itu jika enggan bekerjasama dengan kita dalam usaha untuk menahan penjenayah rasuah.

“Kami mahu meneruskan dan memperluaskan kerjasama untuk memastikan tiada negara menolak permohonan kami bagi bantuan perundangan kerana itu yang kami perlukan sebagai bukti di mahkamah,” kata beliau kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata, bagaimanapun, dalam beberapa kes, ada negara-negara yang enggan bekerjasama atas pelbagai sebab termasuk kerana banyak pihak menuntut harta atau jumlah wang yang sama berkaitan kes rasuah itu.

“Mereka yang terlibat dalam amalan rasuah berskala besar sebenarnya sangat bijak dan kita perlu “membongkar seorang demi seorang” dengan siasatan lebih mendalam untuk mendapatkan bukti … namun akhirnya, lama-kelamaan mereka masih boleh dicekup,” katanya.

Latheefa berkata, ada negara-negara yang tidak akan mempersoalkan apa-apa transaksi bank yang luar biasa, tetapi terdapat sebilangan besar negara yang sangat ketat yang bertanya tentang transaksi tersebut.

“Mereka juga menangani isu-isu seperti keganasan, jadi mereka perlu tahu dari punca mana wang itu…jika mana-mana negara membenarkan kemasukan wang tanpa mempersoalkannya, itu tidak membantu usaha untuk membanteras pembiayaan aktiviti pengganas…, jadi mengapa tidak prinsip yang sama digunakan dalam memerangi rasuah.

“Kita sebenarnya perlu menggesa negara itu untuk mendedahkan kepada kita sumber pendapatan tersebut, dan jika kita benar-benat dapat menunjukkan bahawa kita tahu sumber itu… kerana apabila kita mengambil keterangan dari saksi-saksi atau suspek, kadang-kadang mereka akan mengaku dan kita boleh menunjukkan kepada kerajaan itu dan meminta bantuan untuk memperoleh semula wang itu,” kata beliau.

Sementara itu, beliau berkata SPRM akan memberikan perhatian yang sama kepada kes rasuah kecil dan besar, tanpa mengira mereka yang terlibat.

“Kes profil besar, kecil atau berprofil tinggi, kami akan memberi perhatian yang sama … tetapi jika situasi kes berprofil tinggi sangat serius, kami akan memberi perhatian segera kepadanya kerana kami khuatir jika tidak, semua (keterangan) itu akan lenyap, “katanya.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Beku akaun bank: SPRM berjaya batal saman pemula Hasanah

KUALA LUMPUR, 12 JUL: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini berjaya membatalkan saman pemula bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid yang mencabar tindakan suruhanjaya itu membekukan akaun banknya sejak September tahun lepas.

Ini berikutan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Sofian Abd Razak yang membenarkan permohonanan SPRM, selaku responden untuk membatalkan saman pemula yang difailkan Hasanah selaku pemohon di Mahkamah Tinggi Sivil.

Mohd Sofian ketika membuat keputusan itu berkata Mahkamah Sivil tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar saman pemula itu kerana ia adalah tindakan undang-undang berdasarkan kesalahan jenayah.

“Saya tidak akan pergi kepada merit kes ini. Remedinya ialah untuk memfailkan cabaran perlembagaan di hadapan mahkamah jenayah. Oleh itu, mahkamah membenarkan permohonan responden untuk membatalkan saman pemohon dengan kos RM1,000,” katanya selepas mendengar hujahan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Farid Ahmad Kamal yang mewakili SPRM dan peguam Datuk Shaharudin Ali yang mewakili Hasanah.

Hakim itu turut membenarkan permohonan Shaharudin untuk menarik balik perintah kedua dalam saman itu yang dituntut pemohon yang menyatakan bahawa notis yang dikeluarkan oleh SPRM mengikut Seksyen 37(1) Akta SPRM, adalah terbatal dan tidak sah.

Terdahulu, ketika Hakim Mohd Sofian menulis penghakimannya, peguam Shaharudin yang mewakili Hasanah tiba-tiba bangun dan menyatakan bahawa pihaknya ingin menarik balik perintah kedua dalam saman difailkan anak guamnya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad yang turut mewakili SPRM berkata sepatutnya peguam pemohon menerima sahaja apa jua keputusan yang diberikan oleh mahkamah.

“’Approach’ (pendekatan) oleh peguam pemohon tidak kena kerana sepatutnya beliau menerima apa jua keputusan yang diberikan oleh mahkamah. Saya rasa peguam tidak pasti apa yang dia inginkan. Tindakannya menarik balik perintah kedua itu pada saat-saat akhir adalah melampau ‘and it is not a good practice for a lawyer’ (dan ia bukan satu malan yang baik bagi seorang peguam),” katanya.

SPRM memfailkan permohonan untuk membatalkan saman itu pada 19 April lepas atas alasan tuntutan saman itu tidak mempunyai locus standi dan menyalahguna proses mahkamah.

Dalam saman difailkan pada 28 Mac lepas, Hasanah, 61, yang menamakan SPRM dan kerajaan Malaysia sebagai responden pertama dan kedua, memohon perintah deklarasi bahawa perintah larangan ke atas akaun bank berkenaan bertarikh 3 September 2018 yang dikeluarkan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM adalah terbatal dan tidak sah.

Beliau turut memohon perintah deklarasi bahawa perintah larangan terhadap akaun berkenaan yang dibuat mengikut Seksyen 37(1) Akta SPRM adalah bertentangan atau bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Menerusi afidavit sokongan difailkan bersama saman itu, Hasanah mendakwa pihak SRM tidak pernah memaklumkan kepadanya berkaitan perintah larangan ke atas akaun banknya sepanjang beliau direman pada 29 Ogos 2018 dan dibebaskan daripada tahanan reman pada 3 September 2018.

Bagaimanapun, katanya, beliau mendapati urusan perbankannya gagal ketika berurusan pada keesokannya (4 September 2018).

Menurut Hasanah, beliau kemudiannya menghubungi pegawai penyiasat SPRM bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai akaun bank itu dan pegawai berkenaan menyatakan bahawa akaun bank hanya dibekukan sementara mengikut prosedur siasatan biasa oleh pihak SPRM.

Katanya, sebanyak lima pucuk surat telah dihantar kepada pihak SPRM antara 9 Oktober dan 18 Disember 2018 bagi memohon pelepasan pembekuan akaun bank itu, namun pada 6 Disember tahun sama, Bahagian Siasatan SPRM menjawab permohonan untuk pelepasan akaun berkenaan dengan mengatakan ia tidak dapat dipertimbangkan.

Hasanah mendakwa beliau mengalami kesukaran untuk menyara kehidupannya yang bergantung sepenuhnya kepada duit pencen yang dimasukkan ke dalam akaun bank berkenaan selain tidak mempunyai sumber pendapatan lain melainkan wang gaji dan wang pencen tersebut.

Pada 25 Oktober 2018, Hasanah mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pecah amanah wang berjumlah US$12.1 juta (RM50.4 juta) milik kerajaan.

Sementara itu, Shaharudin berkata beliau akan berbincang dengan anak guamnya sama ada akan memfailkan permohonan lain di Mahkamah Tinggi ataupun membuat rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung keputusan hari ini. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

SPRM tawar sistem, khidmat nasihat bagi Kerajaan Negeri

KUCHING, 12 JUL: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menawarkan satu sistem dan khidmat nasihat bagi kerajaan negeri melaksanakan langkah perisytiharan harta terhadap semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Ketua Pesuruhjayanya, Latheefa Beebi Koya berkata, perisytiharan harta itu bertujuan memastikan urusan pentadbiran dan pengurusan yang lebih telus.

“Usul mewajibkan perisytiharan telah diluluskan di Parlimen, jadi kini kami (SPRM) akan ke setiap negeri, supaya mereka (negeri-negeri) juga mengambil prinsip ini dan menerima usul berkenaan untuk dilaksanakan di peringkat Dewan Undangan Negeri,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa, di sini, hari ini.

“Mereka (kerajaan-kerajaan negeri) perlu menunjukkan komitmen terhadap isu ini kerana pengisytiharan harta ini ada kebaikannya yang akan menampilkan sesebuah negeri itu komited untuk sebuah pentadbiran yang lebih telus,” tambahnya.

Mengulas lanjut, Latheefa berkata, usaha Sarawak yang menempatkan seorang Pegawai Integriti di setiap jabatan dan agensi termasuk di Pejabat Ketua Menteri adalah satu langkah yang baik dan proses perisytiharan harta itu merupakan kesinambungan daripada usaha berkenaan.

“Itu perkara yang SPRM tekankan, kerana jika negeri mengadakan perisytiharan harta, ia memudahkan orang ramai untuk menilai dan mempercayai pentabdiran mereka,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Latheefa berkata SPRM sedang menyiasat kes-kes melibatkan individu berprofil tinggi, bukan sahaja di Sarawak tetapi di seluruh negara.

“Namun, selagi kes ini masih disiasat, SPRM tidak boleh mendedahkan sebarang maklumat berkaitan dan SPRM akan membuat siasatan dengan adil,” katanya.

Baru-baru ini, Pengarah SPRM Sarawak, Razim Mohd Noor dipetik dalam media tempatan sebagai berkata sebarang laporan atau aduan mengenai rasuah membabitkan individu berprofil tinggi di negeri ini akan dirujuk kepada ibu pejabat SPRM di Putrajaya kerana SPRM Sarawak hanya bertindak sebagai pejabat perhubungan. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

SPRM terima maklumat dakwaan aktiviti rasuah di Kuala Koh

KOTA BHARU, 11 JUL: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung dakwaan kemungkinan wujud aktiviti rasuah di Kampung Kuala Koh, Gua Musang.

Beliau bagaimanapun berkata, tiada sebarang kertas siasatan dibuka berhubung dakwaan aktiviti tersebut setakat ini.

“Kami terima maklumat dan kami sedang siasat tetapi saya tidak boleh membincangkan operasinya ia akan menjejaskan apa jua siasatan risikan dan sebagainya, jadi saya tidak boleh memberikan komen mengenainya,” kata beliau.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Setiausaha Kerajaan Kelantan, Datuk Nazran Muhammad di pejabatnya di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.

Latheefa juga tidak mendedahkan maklumat berkenaan diterima daripada pihak mana atau adakah siasatan itu berhubung aktiviti berkaitan perlombongan mahupun pembalakan.

Baru-baru ini, 15 Orang Asli suku Batek dari Kampung Kuala Koh meninggal dunia akibat jangkitan wabak demam campak yang mengakibatkan pneumonia (radang paru-paru).

Beberapa pihak membuat laporan polis mendakwa ia disebabkan oleh pencemaran air Sungai Lebir namun dinafikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail selepas menerima laporan daripada Kementerian Kesihatan ketika membuat tinjauan ke perkampungan tersebut.

Dalam perkembangan lain, Latheefa berkata, amalan pemakaian baju lokap oren terhadap suspek untuk dibawa ke mahkamah dihentikan sejak 1 Julai lepas lagi.

Beliau berkata, ia bagi memberi persepsi kepada masyarakat bahawa sesiapa yang ditahan tidak patut diberikan tanggapan ‘bersalah’ sehingga ia dibuktikan oleh mahkamah.

“Imej pemakaian itu dianggap seorang yang bersalah (sebelum ini) jadi sebab itu kami mengatakan bahawa sesiapa yang ditahan sehingga dia disabitkan bersalah dan dihukum, dia patut diberi tanggapan ‘tidak bersalah’.

“Dari segi prinsip itu kami mengatakan mulai tarikh itu (1 Julai) ia berkuat kuasa supaya imej pemakaian baju SPRM itu tidak digunakan bagi mana-mana Orang Kena Tahan (OKT) yang ditahan,” katanya.

Terdahulu, dalam pertemuan lebih satu jam antara Latheefa dengan Nazran membincangkan mengenai inisiatif Pelan Antirasuah Nasional (NACP) yang akan dibawa ke peringkat negeri selain cadangan dan tawaran kepada kerajaan negeri untuk mempertimbangkan berkaitan isu pengisytiharan harta. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

ADN Sungai Rambai ditahan SPRM

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 8 JUL: Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Rambai, Datuk Hasan Abd Rahman ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan penyelewengan dana.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berkata, Hasan adalah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JEPERUN) Sungai Rambai ditahan bersama kerani JEPERUN, Khuzaimah Abdullah.

“Kedua-dua mereka telah dibebaskan dengan ikat jamin SPRM namun perlu hadir ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh untuk menghadapi pertuduhan esok,” katanya dalam kenyataan.

Latheefa berkata, kes terbabit dikaitkan dengan Inisiatif Strategic Linkage di bawah Program Strategik Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) pada 2016.

Hasan yang juga ADN Barisan Nasional adalah bekas EXCO Melaka.

Categories
NASIONAL

Keperluan tambah baik proses penerimaan aduan SPRM

PUTRAJAYA, 5 JUL: Setelah menerajui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kira-kira sebulan, Ketua Pesuruhjayanya Latheefa Koya melihat keperluan untuk memperbaiki proses menerima aduan kes rasuah bagi memastikan aduan yang diterima suruhanjaya itu benar-benar tulen.

Ketika ditemu bual di konti MACC.fm hari ini, Latheefa berkata aduan yang diterima tidak sepatutnya semata-mata bermotifkan dendam, memalukan, menghina atau mengaibkan sesiapa.

“Proses menerima aduan itu adalah permulaan untuk operasi supaya apa-apa siasatan dilakukan secara efektif bukan kita membuang masa melayan aduan yang mungkin tiada asas.

“Jadi itu merupakan perkara yang sangat penting dalam aspek operasi,” katanya dalam satu program temu yang dikendalikan Ketua Seksyen Penerbitan Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM Norizan Abu Samah.

Kepada soalan pendengar mengenai kurangnya pendakwaan walaupun banyak kertas siasatan dibuka, Latheefa berkata setiap aduan tidak semestinya akan menghasilkan kertas siasatan yang lengkap, dan hanya kertas siasatan yang lengkap sahaja akan dibawa kepada pendakwaan.

Latheefa berkata jika aduan yang diterima jelas maka kertas siasatan boleh terus dibuka, namun menurutnya ia jarang sekali berlaku kerana banyak aduan diterima berbentuk surat layang.

Terdapat juga aduan yang memerlukan perisikan lanjut kerana maklumat yang diberi atau perlu diproses terlalu sedikit, katanya.

Latheefa berkata terdapat juga pemberi maklumat yang mahu dilindungi yang mana SPRM perlu mengambil langkah untuk memastikan individu tersebut selamat sebelum menjalankan tindakan seterusnya.

“Ada kemungkinan pada satu peringkat tiada keterangan atau bukti mencukupi, kita terpaksa menutup siasatan tersebut sehinggalah kita mendapat lebih maklumat kita buka semula. Itulah yang kita perlu maklumkan kepada orang ramai,” katanya.

Selain itu, Latheefa berkata beliau juga ingin memperkukuhkan aspek siasatan dengan memberi latihan kepada pegawai-pegawai SPRM mengenai kaedah mendapatkan keterangan dan bukti melalui penggunaan teknologi moden.

Katanya SPRM perlu beralih daripada kaedah lama mengambil keterangan secara keras untuk menggerunkan saksi bagi mendapatkan maklumat atau pengakuan.

“Dengan teknologi, kita boleh tunjukkan sekiranya kita ada bukti yang (membuatkan) mereka tiada pilihan lain, tetapi untuk mengaku,” katanya.

Dalam pada itu, Latheefa berkata aspek promosi akan turut dipergiatkan bagi memberi maklumat kepada orang ramai mengenai skop tugas SPRM serta pendidikan mengenai rasuah.

“Kita lihat jenis-jenis rasuah dan dari situ kita bawa kepada sasaran-sasaran masyarakat sivil untuk beritahu mereka elak rasuah,” katanya.

Ditanya mengenai pertemuannya dengan panel Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) Untuk Melantik Jawatan-Jawatan Utama Perkhidmatan Awam semalam, Latheefa menyifatkan pertemuan itu sangat berjaya.

“Mereka dapat satu pencerahan terhadap ‘misteri’ apa yang sedang berlaku, sama ada saya dapat lakukan tugas saya,” katanya, sambil menambah melalui pertemuan itu beliau melihat kepentingan penerangan dibuat mengenai tugas berat SPRM kepada ahli parlimen, pemimpin dan juga masyarakat. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Lucut hak: Lebih banyak saman difailkan – SPRM

KUALA LUMPUR, 26 JUN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, lebih banyak lagi saman bagi perlucutan hak akan difailkan terhadap individu dan entiti membabitkan dana 1MDB.

Timbalan Pesuruhjaya (Operasi), Datuk Seri Azam Baki bagaimanapun enggan mendedahkan siapa responden terbaru itu, bila ditanya oleh media di Kompleks Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menghadiri prosiding bekas timbalan perdana menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menghadapi tujuh tuduhan rasuah bernilai SGD4.24 juta (RM12.9 juta) berhubung pelanjutan kontrak membabitkan operasi sistem visa asing.

Turut hadir Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baru dilantik Latheefa Koya.

Azam menambah terdapat pihak-pihak yang terlibat telah mengembalikan wang yang mereka terima daripada dana 1MDB, menerusi peguam mereka.

Minggu lepas, suruhanjaya itu telah memfail saman terhadap 41 individu dan entiti bagi mendapatkan kembali RM270 juta dana 1MDB.

— BERNAMA

Categories
NASIONAL

SPRM lapor Polis ciapan twitter palsu jemaah haji

PUTRAJAYA, 26 JUN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuat laporan polis susulan penularan ciapan Twitter palsu menggunakan nama Ketua Pesuruhjayanya, Latheefa Koya mengenai jemaah haji ditaja menggunakan dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

SPRM dalam kenyataan hari ini berkata, laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya di sini, pada Isnin lepas.

Suruhanjaya itu menegaskan ciapan berkenaan adalah palsu yang ditularkan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk menjatuhkan imejnya dan menimbulkan keresahan di kalangan masyarakat.

“SPRM memandang serius terhadap dakwaan berkenaan kerana ia boleh menimbulkan panik dan keresahan di kalangan masyarakat,” kata SPRM yang turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menularkan ciapan palsu itu.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Lucut harta: Responden boleh fail afidavit – Latheefa

KUALA LUMPUR, 25 JUN: Mana-mana individu atau entiti yang terlibat dalam kes permohonan perlucutan hak sivil yang difailkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memperoleh semula dana kira-kira RM270 juta yang mempunyai kaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) boleh memfailkan afidavit kepada SPRM.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berkata, ia bagi membolehkan responden mengemukakan bukti kukuh untuk menyangkal penglibatan mereka dalam skandal melibatkan syarikat pelaburan itu.

“41 responden ada peluang untuk menjawab isu dan kes terhadap mereka. Sesiapa yang ada bukti untuk menunjukkan cerita sebaliknya macam mana duit itu datang… dipersilakan untuk masukkan afidavit dan kita jawab di mahkamah.

“Kalau kita setakat memberi berita melalui media dan sebagainya, itu hanya untuk sekadar sensasi. Masukkan dalam afidavit, baru ia menjadi keterangan yang boleh dipakai di mahkamah,” katanya kepada pemberita selepas ditemui dalam Istiadat Mengangkat Sumpah Ketua Pesuruhjaya SPRM di Istana Negara, hari ini.

Latheefa berkata demikian semasa mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini yang mahu SPRM tampil dengan bukti kukuh terhadap dakwaan berkenaan. Najib menyatakan beliau​​ ​​​​​mempunyai bukti bahawa dana yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya adalah sumbangan Kerajaan Arab Saudi.

Pada 21 Jun, SPRM mengumumkan telah memfailkan permohonan perlucutan hak sivil di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 19 Jun, yang diambil mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) di mana suruhanjaya itu percaya wang berkenaan dipindahkan daripada akaun bank bekas Perdana Menteri itu.

Kesemua 41 individu dan entiti melibatkan rakyat tempatan termasuk yayasan, syarikat dan parti politik antaranya seperti bahagian UMNO, Parti Rakyat Bersatu Sabah, MCA serta Persatuan Kebajikan Islam dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida).

Sementara itu, Latheefa turut mendedahkan bahawa ada beberapa responden yang telah menyatakan persetujuan untuk memulangkan semula wang kepada kerajaan tanpa menunggu proses perbicaraan.

“Bagi yang setuju untuk pulang wang, kita boleh rekodkan satu penghakiman persetujuan. Kalau peguam mereka menasihatkan bagi sahaja duit itu dan mereka sedia untuk menyerahkan semula duit itu, kami akan rekodkan penghakiman persetujuan di hadapan mahkamah nanti,” katanya.

– BERNAMA

 

 

Categories
NASIONAL

Dr Mahathir sedar pimpin Malaysia baharu di bawah PH

PUTRAJAYA, 7 JUN: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sedar bahawa beliau kini memimpin Malaysia Baharu di bawah Pakatan Harapan (PH) dan bukannya kerajaan lama di bawah Barisan Nasional, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin.

Beliau berkata, ini boleh dilihat dalam pelbagai insiden sebelum ini misalnya dalam pelantikan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Parlimen (PAC).

Justeru, Mohamed Hanipa yakin Dr Mahathir, anggota kabinetnya serta pemimpin tertinggi PH akan berjaya menyelesaikan kemelut pelantikan Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu dengan baik dan berhemah.

“Oleh yang demikian, untuk berlaku adil kepada Dr Mahathir, pihak lain juga sewajarnya perlu sedar bahawa jawatan Perdana Menteri juga ada bersamanya keistimewaan tertentu yang mungkin tidak ada pada jawatan lain.

“Ya, sudah tentu kita semua tidak mahu melihat Perdana Menteri “menyalahgunakan” hak istimewa itu dan saya juga tidak nampak bagaimana ia boleh “disalahgunakan”,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohamed Hanipa berkata beliau telah menerima banyak mesej dan aduan dari pelbagai pihak mengenai pelantikan Latheefa sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu.

Majoriti mesej dan aduan yang diterima, pada dasarnya, tidak mempertikaikan kelayakan atau kewibawaan Latheefa untuk memegang jawatan penting itu.

“Aduan yang saya terima kebanyakannya berkisar lebih kepada isu proses pelantikan. Antaranya, isu dakwaan ketiadaan ketelusan dan konsultasi yang sepatutnya, isu dakwaan perlanggaran janji bertulis di dalam buku Manifesto PH, isu ketiadaan perbincangan dalam kabinet dan/atau Majlis Presiden PH, isu kebimbangan “lack of impartiality” di pihak Latheefa, mengambil kira latarbelakang beliau, dan pelbagai isu yang lain,” jelasnya.

Mohamed Hanipa berkata, beberapa pihak seperti Majlis Peguam dan Bersih 2.0 juga telah mengeluarkan kenyataan rasmi yang juga boleh dikatakan bersifat kritikal terhadap pelantikan Latheefa. Secara jujur, saya melihat ada merit yang agak kuat pada alasan mereka.

“Ada juga pihak yang menyatakan, mengambil kira perkiraan latar belakang Latheefa sebagai peguam hak asasi manusia sebelum ini, maka jawatan yang lebih sesuai dan wajar bagi beliau adalah sebagai Ketua Suruhanjaya di badan Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dan bukannya SPRM,” katanya.

Sebagai sebuah kerajaan yang peka pada roh dan prinsip demokrasi serta kedaulatan undang-undang, Mohamed Hanipa berkata beliau percaya kerajaan di bawah Dr Mahathir tidak akan perlecehkan begitu sahaja “suara-suara” itu.

“Saya juga percaya kerajaan Malaysia baharu ini bukanlah kerajaan yang memandang “enteng” (mudah) terhadap janji-janji dalam manifesto seperti mungkin kerajaan sebelum ini. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Muhyiddin: Pelantikan Latheefa lalui prosedur betul

MUAR, 7 JUN: Pelantikan Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu tidak wajar dipersoalkan mana-mana pihak kerana ia mengikut prosedur yang betul.

Prosedur itu kata Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin termasuklah dari segi perlembagaan dan kuasa eksekutif.

“Benda itu (prosedur) semuanya betul. Cuma yang berbangkit sekarang ini ialah soal politik. Orang persoalkannya dan politik pula mengikut tafsiran masing-masing,” kata beliau kepada media sebagai mengulas isu itu pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Parlimen Pagoh di Dewan Orang Ramai Felda Sri Ledang di Pagoh di sini, hari ini.

Biarpun pelantikan itu dilihat sebagai satu langkah yang baik, Muhyiddin bagaimanapun berharap akan ada perbincangan terlebih dahulu diadakan bersama pemimpin Pakatan Harapan pada masa hadapan bagi memastikan golongan ini memahami sebab pelantikan.

“Ini supaya ia selari dengan apa yang telah kita kemukakan dalam manifesto,” katanya.

Pelantikan Latheefa yang diumum pada tiga hari lepas selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong akan berkuat kuasa mulai 1 Jun selama dua tahun.

Beliau menggantikan Datuk Seri Mohd Shukri Abdull yang memohon untuk memendekkan tempoh kontrak perkhidmatan beliau sebagai Ketua Pesuruhaya Suruhanjaya terbabit.

Berhubung isu Op Selamat sempena Aidilfitri pula, Muhyiddin berkata, beliau diberitahu bahawa setakat ini, kira-kira 13,000 kes kemalangan dilaporkan sepanjang operasi.

Ini sekaligus menampakkan bahawa operasi dan kempen keselamatan jalan raya yang dijalankan seakan tidak mendatangkan kesan yang mendalam bagi mengurangkan kadar kemalangan.

“Kemalangan masih berlaku mungkin kerana nak cepat balik, sampai ke destinasi dan kampung tetapi apapun, ini suatu perkara yang perlu diberi perhatian serius oleh pengguna jalan raya demi mengelakkan hal-hal ini berlaku,” katanya. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Latheefa komited perangi rasuah

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 7 JUN: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Beebi Koya komited akan menggalas tugas diamanatkan itu sebaiknya.

Latheefa dalam satu kenyataan berkata, sudah banyak pendapat yang dikeluarkan sejak pelantikan beliau diumum sehari sebelum Aidilfitri namun baginya setiap orang berhak mengeluarkan pendapat masing-masing.

 

“Sesiapapun berhak menyoal, mengkritik atau mengeluarkan pendapat masing-masing, ini tidak mengapa. Tugas saya jelas iaitu untuk membanteras rasuah di mana-mana sahaja.

“Dengan sokongan dan dokongan rakyat dan pegawai saya di SPRM, kami akan dapat mengubah Malaysia kepada satu masyarakat yang alah kepada rasuah dan bebas dari rasuah,” katanya.

Sementara itu, Latheefa berkata, beliau akan melihat kepada tindakan jangka masa panjang termasuk pendidikan bagi mewujudkan satu budaya yang tidak bertoleransi kepada rasuah.

“Adalah hak asas setiap rakyat Malaysia untuk dibenarkan hidup, bekerja dan makmur dalam satu persekitaran yang bebas rasuah. Dengan pertolongan Allah SWT, saya berharap untuk berjaya dalam tugas ini,” katanya.

Latheefa yang jua Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu berkuat kuasa 1 Jun lalu selepas Datuk Seri Mohd Shukri Abdull menamatkan kontraknya lebih awal.

Pelantikan Latheefa adalah untuk tempoh kontrak dua tahun dan telah diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.