Categories
NASIONAL

Pelan tindakan e-sports siap, tunggu maklum balas pemegang taruh

KUALA TERENGGANU, 22 JUN: Pelan tindakan mengenai pembangunan sukan elektronik (e-sports) telah siap dan dalam proses mendapatkan maklum balas daripada pelbagai pemegang taruh seluruh negara.

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata e-sports antara lain akan menekankan ciri-ciri permainan yang bertanggungjawab bagi mengekang budaya tidak sihat yang dibawa oleh permainan dalam talian.

“Salah satu isu utama dalam pelan tindakan tersebut ialah permainan yang bertanggungjawab yang sangat penting sebab kita tidak mahu orang ketagih dan tidak mahu elemen negatif tersebut berterusan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program penjelajahan FitMalaysia 2019 bagi zon Pantai Timur di Dataran Batu Burok, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Majlis Ulama Aceh (MPU) yang mengeluarkan fatwa mengharamkan permainan dalam talian, PlayerUnknown’s Battlegrounds (PUBG), seperti yang dilaporkan semalam.

Syed Saddiq berkata kerajaan masih lagi berpendirian tidak akan mengambil tindakan terlalu cepat untuk mengharamkan permainan dalam talian seumpama itu.

“Kita tidak boleh ambil tindakan terlalu cepat untuk terus haramkan, itu bukan kita, pendirian kita berdasarkan fakta, penyelidikan, sebelum keputusan tersebut dibuat,” katanya.

Sementara itu, program penjelajahan FitMalaysia 2019 bagi zon Pantai Timur yang berlangsung semalam dan hari ini diadakan bagi membudayakan sukan dalam kalangan penduduk negeri ini.

Penganjuran FitMalaysia 2019 di Terengganu yang disertai 15,000 peserta menampilkan pelbagai acara menarik seperti sukan memanah tradisional, bola sepak pantai dan larian ‘fun run’. – BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SUKANKINI

Syed Saddiq: Chong Wei hero buat semua

OLEH SHAFIQQUL ALIFF

SHAH ALAM, 13 JUN: “Terima kasih Datuk Lee Chong Wei,” Itu yang diungkapkan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ketika menutup ucapannya pada sidang media khas pengumuman persaraan legenda badminton negara berkenaan.

Syed Saddiq berkata, Chong Wei adalah wira sebenar kepada seluruh rakyat Malaysia tidak kira bangsa dan agama sekalipun, bersatu hati apabila melihat beliau beraksi di pentas antarabangsa.

“Untuk kita mencari satu lagi figura atau idola seperti Chong Wei adalah sukar kerana ia adalah sekali dalam seumur hidup. Seluruh rakyat Malaysia dan saya sendiri sangat beruntung kerana mempunyai Chong Wei.

“Walaupun beliau pilih untuk bersara tetapi roh perjuangannya akan terus meresapi kita semua malah semangat juang tingginya juga nyata membakar semangat seluruh rakyat Malaysia bukan saja bagi sukan badminton.

“Kami sentiasa bagi sokongan padu kepadanya kerana beliau adalah pejuang sejati,” katanya dalam satu keyataan media

PUTRAJAYA, 13 Jun — Pemain badminton negara, Datuk Lee Chong Wei pada sidang media khas di Kementerian Belia dan Sukan hari ini.
Chong Wei kelihatan tidak dapat menahan sebak selepas menamatkan karier profesionalnya selama 19 tahun dalam sukan bulu tangkis pada usia 37 tahun.
Turut kelihatan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (kanan) dan Presiden BAM,Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria (kiri)
–fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

Dalam sidang media sama, Syed Saddiq juga dilihat beberapa kali menenangkan Chong Wei yang kelihatan tidak dapat menahan sebak selepas menamatkan karier profesionalnya selama 19 tahun dalam arena badminton.

Pada masa sama, Syed Saddiq berkata, beliau membesar dengan menyaksikan Chong Wei mengibarkan jalur gemilang dengan bangganya di televisyen dan beliau yakin bahawa pelbagai generasi melalui pengalaman yang serupa.

“Selepas bercakap dengan Chong Wei kami juga memutuskan untuk melantiknya sebagai Ketua Kontinjen negara ke Olimpik Tokyo kerana kami tidak menjumpai calon lebih baik daripadanya yang telah menjadi inspirasi kita semua selama ini,” katanya.

Katanya, bagi menghargai jasa Chong Wei berbakti selama 19 tahun untuk negara, Syed Saddiq mengumumkan pelantikan legenda itu sebagai Ketua Kontinjen negara ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

 

Categories
NASIONAL

Hentikan spekulasi masa depan Chong Wei

SEPANG, 11 JUN: Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman meminta orang ramai menghentikan sebarang spekulasi berhubung masa depan jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei yang dilaporkan berhasrat menggantung raket sebelum Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Beliau menegaskan sekarang bukan masa yang sesuai untuk membincangkan perkara berkenaan memandangkan Chong Wei sendiri masih membisu mengenai masa depannya setelah sembuh daripada kanser hidung yang dihidapinya pada tahun lepas.

“Kita tunggu dahulu keputusan dari beliau dan berikan beliau ruang yang secukupnya untuk membuat keputusan kerana beliau sudah banyak menyumbang untuk negara,” katanya ketika diminta mengulas mengenai isu berkenaan sebelum menyambut ketibaan skuad memanah para negara dari Belanda di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.

Turut hadir menyambut skuad berkenaan adalah Timbalannya, Steven Sim Chee Keong dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Media sebelum ini melaporkan bahawa Chong Wei dijangka akan mengumumkan persaraannya minggu depan selepas 19 tahun mencurah bakti dalam sukan badminton.

Dalam perkembangan berasingan, Syed Saddiq berkata, pihaknya menerima banyak permohonan untuk mengisi jawatan Pesuruhjaya Sukan, namun menegaskan setiap permohonan berkenaan akan ditapis bagi memastikan hanya calon yang layak sahaja mengisi jawatan berkenaan.

Kerusi Pesuruhjaya Sukan kosong setelah penyandangnya, Datuk Zaiton Othman menamatkan khidmatnya pada 8 Mac lepas selepas memegang jawatan itu sejak 1 Februari 2015.

“Sekarang kita sudah buka permohonan dan kita akan melalui wawancara yang telus, sebelum nama calon sesuai dimuktamadkan.

“Paling penting, kita mendapat calon yang sesuai kerana kita tidak mahu main lantik sahaja ikut kuasa menteri,” jelas Syed Saddiq.

Sementara itu, beliau menyokong keputusan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) hari ini yang mencapai persetujuan untuk menubuhkan Jawatankuasa Pengurusan Krisis bagi menangani kemelut yang melanda persatuan sukan kebangsaan.

Beliau menegaskan penubuhan jawatankusa berkenaan tidak bercanggah dengan fungsi Pejabat Pesuruhjaya Sukan memandangkan kedua-dua pihak bekerjasama dalam membantu persatuan sukan kebangsaan memberi idea dalam menyelesaikan kemelut persatuan sukan di negara ini. – BERNAMA

Categories
NASIONAL SUKANKINI

KBS pastikan kolaborasi dengan Manchester City jadi kenyataan

KUALA LUMPUR, 29 MEI: Kementerian Belia dan Sukan akan memastikan kolaborasinya dengan juara Liga Perdana Inggeris, Manchester City, menjadi kenyataan.

Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, mesyuarat mengenainya diadakan di bangunan Kementerian itu Khamis lalu, membabitkan kehadiran Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz.

“Dalam mesyuarat itu bukan hanya saya seorang. Pegawai saya dan pegawai Manchester City juga ada, mereka dengar (berkaitan pembelian kelab) dan sebelum sidang media juga saya telah maklumkan untuk bercakap mengenai dua perkara berkenaan. Ia dipersetujui.

“Sesetengah orang langsung tidak boleh menerimanya (berita ini) tapi tak apalah, ia bermakna kita perlu bekerja keras untuk melaksanakannya, bukan itu sahaja, tapi juga dari segi kolaborasi masa hadapan dengan Program Pembangunan Bola Sepak Nasional (NFDP) dan Akademi Mokhtar Dahari (MDA).

“Apa yang saya mahu ialah semua orang, tidak kira siapa, untuk datang dan bersama kita bina bola sepak negara,” katanya.

Syed Saddiq turut menjelaskan ekoran perancangan dalam tempoh yang terlalu singkat, wakil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak dapat menghadiri mesyuarat dengan Ketua Pegawai Eksekutif Manchester City, Ferran Soriano itu.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Tengku Zafrul dari CIMB kerana menghadiri mesyuarat itu. Kami akan memaklumkan FAM mengenainya,” katanya.

Berhubung perbincangannya dengan pemilik Manchester City Khamis lalu, Syed Saddiq berkata pemilik kelab itu sedang menimbang kemungkinan membeli salah satu daripada kelab bola sepak di Malaysia.

Katanya, ia adalah satu daripada dua pelan awal yang dibincangkan oleh Kementerian Belia dan Sukan dan delegasi Manchester City yang diketuai oleh CEO Ferran Soriano dalam pertemuan di Menara KBS minggu lalu.

Dari perspektif kementerian, Syed Saddiq berkata beliau berharap kolaborasi itu juga akan memberikan impak positif kepada pembangunan belia menerusi NFDP dan juga Akademi Mokhtar Dahari di Gambang.

-BERNAMA

Categories
SUKANKINI

KBS keluar piawaian agih peruntukan pembangunan sukan

BEAUFORT, 25 MEI: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mengeluarkan satu piawaian untuk mengagihkan peruntukan RM100 juta yang diperuntukan untuk pembangunan sukan di kawasan luar bandar.

Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, piawaian yang akan dikeluarkan dalam masa terdekat itu, bertujuan mendemokrasikan cara permohonan peruntukan pembangunan sukan berkenaan.

“Kita mahu mendemokrasikan cara penyaluran peruntukan ini… kita mahu permohonan bukan sahaja datang daripada pimpinan tertinggi.

“Kita mahukan agar permohonan juga datang daripada ketua-ketua kampung atau ketua-ketua persatuan. Cuma mereka perlu tunjukkan bahawa itu memang kawasan luar bandar, dan tidak ada infrastruktur sukan yang mencukupi di kawasan berkenaan,” katanya kepada pemberita pada majlis Konsultasi KBS bersama belia di sini, malam ini.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai projek pembinaan kompleks sukan di Kuala Penyu, Syed Saddiq berkata sebelum ini projek berkenaan telah dibatalkan kerana terdapat masalah tanah.

“Anggota Parlimen Beaufort Datuk Azizah Mohd Dun telah menyuarakan perkara ini sebelum ini, dan saya berterima kasih kepada beliau kerana sangat prihatin dengan perkembangan sukan di kawasan ini.

“Saya dimaklumkan bahawa isu tanah berkenaan telah selesai, dan mereka telah mendapatkan tapak tanah baharu membina kompleks sukan berkenaan. Oleh itu kementerian akan memastikan projek pembinaan kompleks sukan itu dapat dilaksanakan secepat mungkin,” tambahnya.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Henti tembak menembak isu kuota matrikulasi

ALOR SETAR, 22 MEI: Kritikan membina diperlukan dalam kepimpinan Pakatan Harapan (PAKATAN) dan sikap gemar ‘tembak menembak’ tidak patut berlaku kerana gabungan itu kini dalam kerajaan, bukan pembangkang.

Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, isu berhubung kuota matrikulasi misalnya sudah diputuskan Kabinet dan perkara berkaitannya hanya boleh dibincangkan dalam Kabinet.

“Isu ini sudah dimuktamadkan melalui keputusan konsensus dalam jemaah menteri dan ini merupakan keputusan bersama dan kalau DAPSY (Sosialis Muda DAP) tidak setuju, mereka boleh tanya menteri mereka dalam jemaah menteri.

“Perkara seperti ini harus dibincang dalam Kabinet sebab kita sekarang dalam kerajaan, bukan lagi pembangkang… tembak menembak ini sudah tidak patut berlaku,” katanya kepada pemberita selepas program konsultasi dan majlis berbuka puasa bersama belia di Kubang Rotan dekat sini, hari ini.

Beliau mengulas tindakan beberapa pemimpin DAP, Gerakan dan MCA yang mengecam Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berhubung kenyataannya yang mengaitkan isu kuota matrikulasi dengan kehendak majikan yang mengutamakan calon fasih bahasa Mandarin.

Syed Saddiq berkata, apa yang penting setiap keputusan dibuat adalah untuk memastikan semua pihak khususnya nasib anak muda dalam golongan B40 terbela.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Pukat tunda haram: Nelayan diugut setelah beri maklumat

MUAR, 19 MEI: Nelayan di kawasan Muar diminta menyalurkan maklumat serta bukti kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tentang dakwaan mereka diugut dan sengaja ditahan pihak berkuasa laut setelah mengemukakan bukti mengenai pencerobohan bot pukat tunda haram.

Anggota Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, berkata pihaknya memandang serius hal itu dan akan membawa perkara tersebut ke muka pengadilan berikutan masalah pencerobohan pukat tunda haram tetap berlaku meskipun aduan telah dilakukan.

“Saya telah maklumkan kepada nelayan yang terlibat untuk mengambil nama pegawai yang terlibat selain akan membawa perkara ini kepada SPRM juga pihak berkuasa yang berkaitan.

“Ini adalah tindakan pengecut dan ia (pencerobohan) ini telah lama berleluasa, bukti seperti nombor pendaftaran juga telah diberikan dan mereka boleh mengesan menerusi Sistem Pengesanan Automatik (AIS) sekiranya mahu melakukan penguatkuasaan,” katanya kepada pemberita selepas Dialog Bersama Nelayan dan Agensi Kerajaan di Parit Kasim, di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pejabat Perikanan Daerah Muar, Mohd Faris Adman; dan Pegawai Pemerintah Markas Operasi Polis Marin Muar, ASP Nordin Osman.

Syed Saddiq, yang juga Menteri Belia dan Sukan, berkata masalah pencerobohan bot pukat tunda selain isu membelenggu nelayan seperti kecurian bot yang berlarutan di kawasan itu sejak sekian lama akan diatasi dengan tindakan penguatkuasaan tegas yang lebih menyeluruh.

Beliau berkata pihaknya juga akan membawa isu ini ke peringkat atasan untuk perhatian Kementerian Dalam Negeri serta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) dan Kementerian Pertahanan.

Katanya, pihaknya juga akan mencadangkan MOA mewajib penggunaan sistem AIS kepada semua pukat tunda kelas B yang bagi memudahkan pemantauan sepanjang mereka berada di perairan negara untuk aktiviti perikanan.

Terdahulu, pada 4 Mei lalu, beliau telah melakukan lawatan mengejut di Parit Jawa di sini bagi menyelami masalah dan isu yang dihadapi nelayan di kawasan berkenaan.

Pihaknya dimaklumkan pukat tunda haram yang mencerobohi sehingga kawasan Tanjung Tohor dan ia boleh memusnahkan tempat perlindungan, pembiakan ikan selain membinasakan jaring dan bubu nelayan pada bila-bila masa.

Pencerobohan itu telah berlaku sehingga menghampiri kawasan Bagan antara tiga hingga lima batu nautika dari pantai di antara jam 6 pagi hingga 6 petang dan perkara itu telah menjejaskan mata pencarian lebih 1,000 keluarga nelayan. – BERNAMA

Categories
SUKANKINI

Pembabitan Agong diharap pemangkin atlet harumkan nama negara

KUALA LUMPUR, 24 APRIL: Pembabitan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Ahmad Shah Al Musta’in Billah dalam bidang sukan diharap akan menjadi pemangkin kepada atlet kebangsaan untuk terus mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, pembabitan baginda dalam bidang sukan merupakan seorang yang profesional ketika menjalankan tugas terutama dalam bola sepak dan hoki.

“Sesungguhnya diharapkan pembabitan Tuanku sebelum ini dalam bidang sukan akan terus menjadi pemangkin kepada semua atlet negara untuk terus mengharumkan nama negara di persada antarabangsa,” katanya ketika berucap pada majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) 2018, malam tadi.

Beliau berkata, sepanjang pembabitan Yang di-Pertuan Agong dalam sukan hoki pelbagai kejayaan dicapai skuad remaja dan senior kebangsaan.

“Di pentas antarabangsa pula Tuanku turut disanjung tinggi beberapa pemimpin sukan dunia sehingga dipilih sebagai Exco Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Presiden Persekutuan Hoki Asia (AHF),” katanya.

Dalam pada itu, Syed Saddiq berharap lebih ramai atlet dan sukan akan layak untuk bertanding di Sukan Olimpik 2020 di Tokyo.

“Beberapa sukan yang terlibat dalam proses kelayakan ke Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik Tokyo 2020 akan mengharungi jadual padat.

“Selain dua atlet daripada sukan pelayaran yang telah layak, saya amat berharap lebih ramai atlet dan sukan yang akan layak untuk bertanding di temasya tertinggi dunia itu pada 2020 dan harapan untuk melihat pingat emas pertama akan berjaya dicapai pada tahun hadapan,” katanya.

Syed Saddiq turut memberi jaminan bahawa Kementerian Belia dan Sukan sentiasa memandang serius kebajikan dan keperluan atlet terutamanya selepas bersara.

Katanya, atlet negara adalah aset negara yang membawa nama negara di persada antarabangsa.

Beliau berkata, keringat ‘Malaysian Heroes’ itu sepatutnya dibalas dengan balasan yang setimpal dengan pengorbanan mereka.

“…yang dinobatkan atau tidak, ketahuilah bahawa Anugerah Sukan Negara adalah anugerah seluruh rakyat Malaysia untuk perjalanan panjang anda. Anugerah Sukan Negara adalah anugerah seluruh rakyat Malaysia bagi meraikan sesiapa sahaja yang membantu anda dalam mengharumkan nama negara.

“Terima kasih kerana mengangkat martabat Malaysia. Terima kasih atas pengorbanan anda, dalam sebuah perjalanan mengejar kejayaan yang akhirnya dikongsi bersama sebagai sebuah negara,” katanya.

Pada majlis gilang gemilang itu, jaguh tenpin boling negara Muhammad Rafiq Ismail dinobatkan Olahragawan Kebangsaan manakala gimnas Amy Kwan Dict Weng muncul Olahragawati Kebangsaan 2018.

Baginda berkenan menyampaikan hadiah kepada pemenang.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Pasukan petugas pastikan sejuta peluang kerja direalisasi

GEORGE TOWN, 21 APRIL: Kerajaan menubuhkan pasukan petugas untuk memastikan sejuta peluang pekerjaan berkualiti disediakan kepada belia dalam tempoh lima hingga 10 tahun bagi mengatasi masalah pengangguran golongan itu.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, pasukan petugas yang akan dipengerusikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu baharu sahaja diluluskan dalam mesyuarat Kabinet, baru-baru ini.

“Pada mesyuarat Kabinet itu, saya usulkan beberapa isu berkaitan belia terutama memastikan peluang pekerjaan bermutu untuk mereka dan jemaah menteri bersetuju meluluskan pasukan petugas khas untuk mencipta satu juta peluang pekerjaan berkualiti kepada golongan berkenaan.

“Pasukan petugas itu juga antara lain adalah antara usaha kami untuk menunaikan janji manifesto Pakatan Harapan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Festival Belia Pulau Pinang, di sini hari ini.

Beliau berkata, uniknya pasukan petugas itu bukan sahaja diwakili jemaah menteri malah akan disertai tokoh korporat yang sekian lama menjana puluhan ribu peluang pekerjaan di Malaysia.

Syed Saddiq berkata, pihaknya juga memerlukan bantuan dan sokongan daripada sektor swasta untuk membantu pasukan petugas itu menyediakan satu juta peluang pekerjaan kepada belia serta beliau percaya perkara itu akan dapat dicapai.

“Kerajaan memandang serius soal menyediakan peluang pekerjaan untuk belia kerana mereka adalah golongan yang akan membangunkan negara pada masa hadapan.

“Sebab itu kita perlukan sokongan daripada pihak swasta dan tokoh korporat untuk bersama-sama mencipta peluang pekerjaan berkualiti,” katanya.

Katanya, menerusi pasukan petugas itu juga, pihaknya akan menjalankan kajian bagi memastikan permulaan gaji bagi lepasan bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dapat dinaikkan daripada RM1,400 kepada RM1,800.

Katanya, berdasarkan kajian dijalankan Bank Negara mendapati tenaga kerja berkemahiran masih menerima permulaan gaji yang sama dan statik sejak 20 tahun lalu sehingga menjejaskan lepasan daripada bidang TVET.

“Mereka bukan minta banyak sangat hingga RM6,000 hingga RM7,000 untuk permulaan kerja sebaliknya berilah gaji yang lebih bermaruah.

“Namun disebabkan lambakan pekerja asing merupakan punca utama gaji sektor berkenaan masih statik, jadi pasukan petugas berkenaan akan membincangkan serta mencari jalan penyelesaiannya,” katanya. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Syed Saddiq: Segera selesaikan hutang dengan MOM

KUALA LUMPUR, 20 APRIL: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mahu tiga persatuan sukan yang masih berhutang dengan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menyelesaikan hutang mereka secepat mungkin tanpa campur tangan daripada kementerian.

Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, MOM dan persatuan sukan terbabit masih dalam proses rundingan mengenai isu berkenaan.

“Saya masih belum menerima sebarang maklum balas daripada MOM mahupun persatuan sukan terbabit berhubung masalah ini, namun saya dimaklumkan bahawa perkara ini sedang dirunding antara kedua-dua pihak.

“Jadi, setakat ini kita cuba biarkan rundingan tersebut diselesaikan antara pihak mereka sebelum wujudnya apa-apa campur tangan daripada pihak kementerian. Kami secara prinsipnya yakin perkara ni dapat diselesaikan dengan baik antara mereka,” katanya kepada media selepas merasmikan program Sukan Projek Perumahan Rakyat (PPR) peringkat Selangor di PPR Lembah Subang Dua, hari ini.

Pada 9 April lalu, media melaporkan MOM menerusi Timbalan Presidennya, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi memberi amaran kepada tiga persatuan sukan untuk melunaskan hutang bernilai ratusan ribu ringgit kepada badan induk itu.

Beliau berkata, pihaknya mungkin akan mengambil tindakan drastik dengan tidak membenarkan persatuan sukan terlibat menghantar atlet mereka ke Sukan SEA di Filipina, November ini.

Hutang itu adalah perbelanjaan yang dikeluarkan MOM bagi menghantar atlet kategori B iaitu atlet yang perlu ditanggung pihak persatuan sukan masing-masing untuk bertanding di Sukan Asia Indonesia tahun lepas.

Perbelanjaan atlet kategori B akan dibayar semula MOM jika atlet persatuan sukan berkenaan berjaya meraih sekurang-kurangnya pingat gangsa.

Pada Sukan Asia lalu, hanya dua daripada 241 atlet kategori B meraih pingat pada temasya edisi ke-18 itu, Qabil Ambak Mahamad Fathil (pingat perak acara dressage) dan pesilat Kelas C (55-60kg), Mohamad Hazim Amzad yang meraih gangsa. -BERNAMA

Categories
NASIONAL SUKANKINI

Bangun infrastruktur, aktiviti sukan PPR kos rendah

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

PETALING JAYA, 20 APRIL: Kerajaan komited memastikan lebih banyak aktiviti dan infrastruktur sukan dibangunkan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) seluruh negara demi manfaat belia, di kawasan itu.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, PPR adalah kawasan diwakili golongan berpendapatan rendah (B40) yang lazimnya dilupakan memandangkan pembangunan sering dikhususkan di kawasan bandar atau luar bandar.

“Dalam perkara ini, KBS dan Kerajaan Negeri akan berusaha sebaik mungkin untuk memastikan lebih banyak aktiviti sukan serta infrastruktur sukan khususnya yang berdekatan boleh diguna pakai belia serta anak muda yang menetap di PPR.

“Kita akan cuba pergi ke sebanyak negeri yang mempunyai PPR kos rendah kerana fokus utama adalah untuk meningkatkan lagi infrastruktur sukan dan ini mustahak untuk jangka masa panjang.

“Kita mahu memastikan landskap sukan negara dapat ditambah baik, oleh sebab itu kita tidak boleh hanya memfokuskan di kawasan luar bandar atau bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Sukan Belia PPR Peringkat Selangor, di PPR Lembah Subang 2, di sini, hari ini.

Hadir sama, EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman; Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah dan Ahli Dewan Negeri Seri Setia, Halimey Abu Bakar.

Terdahulu, lebih 1,000 belia dan penduduk di kawasan PPR Lembah Subang 1 dan 2 turut serta menjayakan program yang kali kedua digerakkan melalui KBS.

Syed Saddiq berkata, Sukan Belia PPR diwujudkan bagi memperkasa budaya bersukan dalam kalangan masyarakat ke arah mewujudkna negara bersukan menjelang 2020.

“Ia juga memberi galakan secara berterusan kepada belia dan orang ramai berhubung kepentingan gaya hidup aktif serta sihat melalui aktiviti kecergasan.

“Sukan ini dapat mengurangkan aktiviti vandalisme dalam kalangan remaja dan belia, bahkan mewujudkan perpaduan, keharmonian dan kesejahteraan komuniti di PPR,” katanya.

Antara pengisian program adalah pertandingan ‘Street Soccer’, 3 on 3 Bola Jaring, Sukaneka Keluarga, ‘Family FunRobik’, ‘Dart Challenge’, Sepak Raga Ratus, pertandingan Caroom, ‘Fit & Fun Aerobikthon’, ‘Chair Fitness’ dan ‘Busker Show’.

Turut diadakan pertandingan mewarna kanak-kanak, perkhidmatan gunting rambut, perkhidmatan ‘Sport Massage’, perkhidmatan tukar minyak hitam selain Pameran dan pemeriksaan kesihatan, pendaftaran skuad antidadah serta pemeriksaan mata percuma.

Categories
NASIONAL

Kerajaan Negeri disaran bekerjasama dengan pemaju perumahan

KUALA LUMPUR, 18 APRIL: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyarankan supaya Kerajaan Negeri bekerjasama rapat dengan pemaju perumahan dalam usaha menyediakan kemudahan perumahan kepada atlet yang banyak menyumbang kepada negara.

Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, KBS sentiasa memastikan semua atlet yang mewakili dan mengharumkan nama negara diberi penghargaan sewajarnya atas kejayaan mereka khususnya dalam perkara berkaitan kebajikan dan perumahan.

“Saya berharap kerajaan negeri lain turut melakukan perkara sama kerana di setiap negeri akan ada atlet yang dah lama menabur bakti kepada negara dan negeri yang mungkin tidak begitu dihargai,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan kunci Residensi Wilayah kepada jaguh bina badan dunia Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah hari ini.

Beliau berkata, pihaknya akan berusaha membaiki ekosistem secara keseluruhan supaya kes-kes yang menyaksikan kebajikan atlet tidak mendapat perhatian, tidak akan berulang lagi, dan lebih banyak atlet akan dibantu.

“Saya berharap akan ada banyak lagi pemaju lain yang akan ke depan membantu atlet khususnya di negeri-negeri. Jika kerajaan pusat dan negeri berkolaborasi dengan baik untuk membantu kebajikan atlet, kita akan dapat memajukan landskap sukan negara,” katanya.

Syed Saddiq berkata Mohd Syarul atau lebih mesra dengan panggilan Mike pernah bertemu dengannya tahun lepas untuk menyuarakan isu perumahan itu, sebelum mengadakan pertemuan dengan Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abd Samad berhubung perkara sama.

Dalam pada itu, Syed Saddiq berkata atlet yang pernah mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa perlu dihargai tidak kira sama ada mereka dari sukan popular atau pun sukan yang kurang dikenali peminat tanah air.

“Kita memang pernah bantu atlet paralimpik negara, dan pernah satu ketika ada pemaju berbuat demikian. Justeru, saya harap pemaju turut sentiasa mendekati atlet negara terutamanya jangan lupakan ‘the second liners’ yang menyertai kejohanan dunia, dan menang berkali-kali,” katanya.

Mohd Syarul, 45, yang berasal dari Kuala Lumpur merupakan juara peringkat dunia dalam kategori bina badan tiga kali berturut-turut dari 2016 hingga 2018 dan juara peringkat Asia empat kali berturut-turut pada 2015 hingga 2018. -BERNAMA