Categories
NASIONAL RENCANA

Menanti hari kemerdekaan Mahasiswa

OLEH SYUKRI RAZAB

1971, Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) digubal. Maka bermulalah era kemandoman fikrah kemahasiswaan apabila kuasa mereka dirampas dan dihambat oleh kegilaan politik.

Mahasiswa yang suatu ketika dahulu boleh berdiri secara mandiri dan matang, disempitkan dengan sistem yang melayan mereka tak ubah seperti budak sekolah.

Namun, mahasiswa tidak menyerah. Perlawanan demi perlawan diatur secara berterusan sehingga menyaksikan ramai anak muda mahasiswa yang menjadi korban undang-undang berat sebelah, AUKU.

Tidak sekadar membunuh aktivisme mahasiswa, AUKU juga menutup mulut para cendekiawan Universiti sehingga kesarjanaan mereka terpendam.

Lama kelamaan semakin kurang intelegensia yang berani mengeluarkan pendapat secara jujur dan ikhlas. Malah Majlis Profesor Negara (MPN) sejak dewasa ini hanya menjadi pembentang idea angguk dan geleng.

Pasca kebangkitan mahasiswa tahun 2010, tidak kurang daripada 30 mahasiswa IPTA dan IPTS seluruh negara yang menjadi mangsa akta regresif ini. Mereka dihukum dengan bermacam kesalahan tatatertib yang tidak masuk akal.

Jika ada yang meminta bukti, mungkin mereka boleh melayari laman carian internet dan menulis nama Adam Adli, Safwan Anang, Fahmi Zainol, Syahid Zaini, Haziq Aziz, Anis Syafiqah, dan pasti akan muncul nama-nama lain dalam carian tersebut.

Menganjurkan perhimpunan aman, menyertai perhimpunan aman, menggunakan pembesar suara dalam himpunan, berkempen secara berkumpulan dalam Pilihanraya Kampus, memanggil ahli politik masuk kampus dan pelbagai lagi perkara yang menjadi asbab mahasiswa boleh dihukum di bawah kuasa AUKU.

Dalam kata mudah, Mahasiswa seperti dilarang berfikir secara kritikal dan bertindak secara berani.

Malah untuk menubuhkan organisasi dalam universiti juga terlalu sukar, kerana perlu melalui segala macam karenah badan Hal Ehwal Pelajar.

Di bawah Seksyen 16 AUKU, seorang pelajar yang dituduh akan disiasat oleh Badan Hal Ehwal Pelajar, didakwa oleh Badan Hal Ehwal Pelajar, dihukum oleh Badan Hal Ehwal Pelajar dan perlu merayu kepada Badan Hal Ehwal Pelajar. Ini mencabuli prinsip-prinsip keadilan.

Ada pihak yang mengatakan hanya 20% kandungan AUKU bersifat regresif, selebihnya adalah berbentuk prosedural bagi tujuan urus tadbir Universiti. Oleh itu AUKU tidak perlu dimansuhkan secara total tetapi hanya perlu melalui beberapa pindaan.

Untuk yang masih berpijak di atas hujah ini, kita katakan kepada mereka bahawa AUKU itu sendiri digubal bermotifkan politik. AUKU hanya bernyawa apabila ada aktivis mahasiswa yang perlu dihukum.

AUKU hanya kelihatan wujud apabila ada ahli akademik yang perlu ditutup mulutnya. AUKU digubal untuk menjadi alat pemerintah dalam mendiamkan suara-suara yang menyanggah.

Semestinya kita memerlukan satu tatacara pengurusan untuk mentadbir puluhan IPTA dan ratusan IPTS dalam negara ini. Oleh itu satu akta baru yang bersifat lebih progresif perlu digubal bagi mengangkat semula universiti sebagai gedung kesarjanaan. Semestinya akta ini wajib menghormati hak-hak kebebasan akademik dan kemahasiswaan.

Tidak cukup dengan AUKU, beberapa akta lain yang senada dengan AUKU juga perlu disemak semula seperti AKTA IPTS dan AKTA UITM.

Justeru adalah sangat dinantikan pengumuman bersejarah termansuhnya AUKU, lantas memulangkan kembali kebebasan akademik dan kemahasiswaan.

Mahasiswa yang bebas akan menjadi agen penting dalam menyemak imbang urus tadbir Negara.

* Syukri Razab adalah Pengarah Strategi Pemuda Harapan Malaysia

 

 

Categories
SELANGOR

Hak Rakyat Terus Dicabuli, Suaram,GMI Gesa Kerajaan Mansuh Akta Kesalahan Keselamatan

Yazid Sufaat Penjara 01

SHAH ALAM 8 FEB : Suara Rakyat Malaysia (Suaram) menggesa Kerajaan Pusat memansuhkan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) dengan segera.

Penyelaras Suaram, Syukri Razab berkata walaupun Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dimansuhkan, rakyat Malaysia masih diancam undang-undang drakonian seperti ISA.

Katanya, tangkapan seorang bekas tahanan ISA, Yazid Supaat dan pekerjanya, Hilmi Hasim memperlihatkan hak asasi rakyat Malaysia terus dicabuli.

“Tidak cukup dengan enggan membebaskan 23 orang baki tahanan ISA, kerajaan pula membenarkan undang-undang rimba seperti Akta Kesalahan Keselamatan menzalimi rakyat.

“Suaram mengutuk tindakan pihak polis yang melakukan tangkapan menggunakan undang-undang yang membelakangkan Hak Asasi Manusia. Hak untuk mendapat pembelaan secara adil di mahkamah merupakan hak eksklusif setiap rakyat Malaysia.

“Hak ini juga dijamin dalam Perlembagaan dan Kanun Acara Jenayah yang mewajibkan polis membawa orang yang tertuduh ke mahkamah dalam tempoh 24 jam selepas ditahan untuk mendapat pembelaan,” katanya dalam satu kenyataan media.

Dalam pada itu, Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) mengecam penggunaan Akta Kesalahan Keselamatan kerana dilihat mirip ISA yang dimansuhkan tahun lepas.

Presiden GMI, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, penahanan tiga individu termasuk seorang wanita yang menjadi mangsa pertama Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) semalam.

“Tiga individu yang ditahan tidak dimaklumkan secara jelas mengenai sebab mereka ditahan. Mereka juga ditahan tanpa waran atau sebarang notis daripada pihak polis, yang kemudiannya digeledah kediamannya untuk mencari bukti bahan bukti yang berkaitan pertuduhan,” katanya.

Beliau berkata, cara penahanan sebegitu rupa adalah sama dengan cara yang diamalkan polis semasa melakukan tangkapan di bawah ISA.

“Lebih parah apabila mereka yang ditahan tidak dibenarkan bertemu peguam mahupun ahli keluarga sehingga 48 jam daripada waktu mereka ditahan. Keadaan ini berbeza dengan ISA yang masih memberi hak tahanan untuk mendapat konsultasi guaman sebaik sahaja ditahan,” katanya.

Syed Ibrahim menambah, daripada cara penahanan dibuat jelas menunjukkan tidak banyak bezanya antara akta baru yang menggantikan akta lama, bahkan Akta Kesalahan Keselamatan ini lebih banyak mencabuli hak asasi orang yang ditahan.

“Apakah ini yang dikatakan sebagai transformasi oleh Perdana Menteri? Transformasi daripada undang-undang zalim kepada undang-undang yang juga zalim.

Semalam, Yazid bersama pekerjanya, Hilmi ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah khas) di kantin Mahkamah Tinggi Jalan Duta.

Tangkapan dibuat sekumpulan polis dari Bukit Aman yang diketuai oleh Pegawai Penyiasat Inspektor Mani.

Yazid bersama pekerjanya ditahan di bawah Seksyen 4 (1) Akta Kesalahan Keselamatan atas tuduhan mempromosikan kegiatan keganasan.

Yazid Sufaat merupakan bekas tahanan ISA yang ditahan pada Disember 2001 dan dibebaskan pada Disember 2008. Kini beliau menjadi pengusaha kafeteria di kantin Mahkamah Tinggi Jalan Duta.

Pagi tadi, didakwa di Mahkamah Majistret hari ini atas tuduhan menggalakkan pelakuan keganasan di antara 1 Ogos hingga 20 Oktober tahun lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 130G(a) Kanun Keseksaan (Akta 574) antara jam 8.30 pagi hingga 10.30 pagi di DL11, Lorong Mutiara 2, Lembah Jaya Ampang, dalam daerah Ampang Selangor.

Turut didakwa bersamanya adalah Halimah Hussein yang dituduh bersubahat dengannya di alamat yang sama.

Categories
SELANGOR

Mogok Lapar ISA : GMI Protes Di Depan Parlimen 28 Jun

SHAH ALAM 27 JUN : Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) akan mengadakan protes pada 28 Jun (Khamis) ini di hadapan bangunan Parlimen mendesak Menteri Dalam Negeri segera bertindak dalam menjawab tuntutan tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri(ISA) yang sedang bermogok lapar.

Penyelaras Sekretariat GMI, Syukri Razab berkata berdasarkan maklumat yang diperolehi, sehingga hari ini sembilan orang tahanan ISA melancarkan mogok lapar.

Mogok lapar dimulakan oleh dua orang tahanan iaitu Fadzullah Abdul Razak dan Razali Kassan pada hari Khamis lalu.

“GMI juga mendapat maklum, Razali dan seorang warga Sri Lanka diasingkan daripada tahanan lain oleh pihak kem tahanan kerana melakukan mogok lapar.

“Fadzullah pula sememangnya mengalami Solitary Confinement (Kurungan Sendiri) sejak dua bulan lalu atas sebab yang masih tidak dapat dipastikan,” kata Syukri dalam kenyataan medianya.

Menurut Syukri, keadaan tahanan juga dilaporkan semakin lemah kerana mereka hanya minum air tanpa mengambil sebarang makanan sejak enam hari lalu.

Mereka melancarkan mogok lapar kerana kecewa dengan pihak Kementerian Dalam Negeri yang enggan menjawab tuntutan mereka yang ingin dibebaskan segera.

“Apa yang sepatutnyanya dilakukan ialah pihak Menteri Dalam Negeri perlu segera membebaskan tahanan dan bukannya menghukum mereka yang bermogok lapar,” ujarnya.

Jelas Syukri, melalui pertemuan dengan keluarga tahanan, rata-rata tahanan menuntut agar mereka dibebaskan segera atau didakwa di mahkamah sekiranya pihak kementerian memiliki bukti untuk mendakwa mereka.

Tindakan mendiamkan diri tanpa sebarang tindakan dan membiarkan tahanan berlapar merupakan sifat yang tidak bertanggungjawab yang tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang menteri.

“GMI akan menyerahkan satu memorandum kepada pihak Kementerian Dalam Negeri bagi mendesak Hishamuddin Hussein segera menjawab tuntutan tahanan ISA yang ingin dibebaskan segera,” katanya.

Ujar Syukri, memorandum itu juga akan menuntut penjelasan Menteri Dalam Negeri berhubung penderaan yang berlaku ke atas tahanan seperti mana yang dilaporkan oleh GMI baru-baru ini.

Protes akan bermula pada jam 11 pagi dan akan dipimpin oleh Syed Ibrahim Syed Noh selaku Pengerusi GMI.