Categories
NASIONAL

MH370 : Kenyataan bercanggah, Hishamuddin diserang media antarabangsa

Oleh : NAZLI IBRAHIM

KAJANG, 13 MAC: Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishamuddin Hussein diserang wartawan media antarabangsa ekoran kenyataan yang dikeluarkan beliau dan beberapa agensi kerajaan didapati bercanggah antara satu sama lain.

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali, berkata kejadian serangan media antarabangsa terhadap Hishamuddin itu berlaku dalam sidang media harian insiden kehilangan pesawat MAS MH370 yang diadakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), petang semalam.

“Kalau inilah berlaku, maka Umno tidak ada kepimpinan yang telus sebab itu dalam sidang media yang kita saksikan, media antarabangsa menyerang Hishamuddin dengan mengatakan Kerajaan Malaysia tidak jujur, tidak telus dalam memberi maklumat insiden MH370.

azmin“Rumusan saya adalah menteri Umno ini tidak biasa berdepan dengan media antarabangsa. Dia cuma biasa jawab dengan Utusan Malaysia, TV3 dan RTM. Dia tak biasa dengan CNN, BBC, Al-Jazera dan media antarabangsa lain tetapi yang dia boleh tipu dengan Utusan serta TV3.

“Sebab itu bila ada lebih 50 media antarabangsa berkampung di KLIA, dia tidak boleh jawab kerana Perdana Menteri terlalu lemah, jelek dan tidak mampu menangani krisis yang dihadapi rakyat,” katanyadalam ceramah Pakatan Rakyat (PR) yang diadakan di Taman Mesra, di sini, semalam.

Beliau turut menyifatkan tindakan Speaker Dewan Rakyat menolak usul tergempar yang dibawa Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar untuk membincangkan insiden MH370 sebagai tidak wajar.

mh370 pc“Kita mahu membincangkan kenyataan yang dikeluarkan setiap agensi yang bercanggah. Polis keluar kenyataan berbeza daripada Jabatan Penerbangan Awam, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Menteri Pengangkutan.

“Speaker Dewan Rakyat dengan mudah menolak usul terbabit dengan mengatakan cukuplah simpati yang ditunjukkan Perdana Menteri, tidak perlu kita bahas.

“Kita bukan mahu kenyataan daripada satu atau dua individu tetapi ingin Dewan Rakyat sebagai tempat yang tinggi dalam sistem kenegaraan membincangkan isu ini supaya boleh bersama dalam operasi mencari dan menyelamat dengan membantu memberi sedikit kelegaan serta mengurangkan keresahan keluarga mereka,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL

ABU Halang Warga Asing Mengundi, Dakwa 2 juta Dapat MyKad

PC ABU di HQ PKR 01

KUALA LUMPUR, 5 APR : Asalkan Bukan Umno (ABU) akan menggerakan skuad khas bagi memastikan warga asing yang diberi MyKad tidak mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Skuad Team Abu halang Asing Ngundi (Skuad Tahan) yang telah dilatih sejak dua bulan lalu dan ditempatkan di setiap pusat pengundian mempunyai cara tersendiri bagi mengenalpasti warga asing yang diberikan kad pengenalan.

Jurucakap ABU, Haris Ibrahim menyifatkan kemasukan warga asing ke dalam negara dan diberikan MyKad oleh gagasan Umno-BN sebagai ‘pencerobohan yang disenjatakan melalui pemberian Mykad’.

“Melalui semakan ABU terhadap daftar pemilih, sebanyak 253,000 nama mempunyai kod 71 di tengah nombor kad pengenalan berkenaan.

“Melalui maklumat sumber dalaman Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sebanyak dua juta orang asing diberikan Mykad,” katanya dalam satu sidang media.

Tegas Haris, inisiatif Skuad Tahan ini dilakukan secara aman dan merupakan susulan usaha ABU mengedarkan risalah amaran kepada warga asing untuk tidak keluar ‘mengundi’ pada PRU-13.

Sehingga kini, hampir 400,00 risalah tersebut diedarkan di seluruh negara.

Tambah Haris, ABU akan mempertahankan hak rakyat Malaysia untuk memilih pemimpin dan menghalang sebarang pencabulan hak daripada warga asing.

Dalam sidang media sama, ABU mengingatkan rakyat Malaysia agar bangkit dan keluar mengundi demi menumbangkan Umno-BN sekaligus membentuk kerajaan rakyat di Putrajaya.

Haris mendakwa, tarikh pembuangan undi bakal ditetapkan pada 11 Mei 2013 sebagai usaha ‘menghidupkan sentimen menakutan rakyat Malaysia’.

Ini kerana Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein sebelum ini telah meramalkan akan ada keganasan yang bakal berlaku sepanjang tempoh pilihan raya.

Jelas Haris, perkara ini dilihat sebagai cubaan untuk menakutkan rakyat untuk mengundi Umno-BN.

“Mesej ABU, rakyat jangan takut dengan Umno-BN. Rakyat kini tidak mudah ditipu dan boleh mendapatkan maklumat alternatif. Semangat kebangkitan adalah jelas,” ujar beliau lagi.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Mahasiswa Desak Kerajaan Selesaikan Isu Pengangguran Graduan Pendidikan IPTS

Pengangguran Graduan Pendidikan IPTS 01

PETALING JAYA, 20 DIS :Mahasiswa PKR mendesak kerajaan menyelesaikan masalah pengangguran yang melibatkan graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) lepasan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) seperti yang dijanjikan dalam Belanjawan 2013.

Presiden Mahasiswa PKR, Haziq Abdul Aziz berkata kreadibiliti Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak layak dipersoalkan kerana gagal menyelesaikan masalah pengangguran graduan universiti.

Jelasnya, baru-baru ini 2000 graduan ISMP Universiti Tun Abdul Razak (UNITAR) menganggur akibat tidak diberi peluang permohonan pekerjaan oleh Kementerian Pelajaran.

“2000 graduan ISMP ini dikatan tidak layak untuk memohon pekerjaan sebagai guru sekolah-sekolah kerajaan walaupun MQA mengiktiraf sijil ijazah pendidikan UNITAR.

“Malah silibus ISMP UNITAR adalah sama dalam silibus ISMP di maktab perguruan dan IPTA. Namun mereka tidak diberi peluang yang sama rata dalam perhononan menjadi guru,” kata pada sidang media di Ibu Pejabat PKR.

Menurut Haziq lagi, selain Kementerian Pelajaran, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) juga turut bertanggungjawab dalam hal ini kerana memberikan kelulusan kepada UNITAR untuk menawarkan kursus ini tetapi tidak dapat memberikan jaminan pekerjaan kepada graduan ISMP UNITAR.

Beliau menambah, sepatutnya peluang permohonan (pekerjaan) adalah sebaiknya mengikut merit dan sekiranya keadaan ini berterusan pelajar akan mengalami masalah membayar semula hutan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Sementara itu, Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli mendesak Umno-BN bertanggungjawab berhubung perkara ini oleh kerana mereka turut bersekongkol dengan KPT menawarkan kursus perguruan.

Hakikatnya mereka tahu bahawa kekosongan jawatan tersebut tidak seperti yang dikatakan ditambah sebelum ini graduan berkenaan telah bertemu dengan pimpinan Umno-BN.

“Umno-BN perlu bertanggungjawab terhadap nasib graduan ini kerana institusi swasta paling rancak menawarkan ISMP adalah institusi yang rapat dengan pimpinan Umno seperti UNITAR.

“Pada masa sama KPT meluluskan kuota pengambilan yang memberi lesen kepada UNITAR menawarkan ISMP dengan memberi gambaran garaduan ini akan mendapat pekerjaan di dalam perkhidmatan perguruan negara,” tambah Rafizi.

UNITAR dimiliki oleh Yayasan Pintar dimana Lembaga Pengarahnya turut dianggotai Datuk Seri Najib Razak, Datuk Seri Hishamuddin Hussein, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Mustapha Mohamad dan Datuk Seri Ali Rustam.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Samseng MIC Didakwa Serang Peserta Himpunan Duduk Bantah 12-12-12

PUTRAJAYA, 12 DIS : Sekumpulan 30 samseng yang didakwa anggota MIC bertindak menyerang pemimpin Pakatan Rakyat(PR) di Jabatan Pendaftaran Negara Putrajaya pagi tadi.

Insiden ini berlaku selepas pimpinan Pakatan Rakyat (PR) yang diketuai Naib Presiden PKR, N Surendran dibenarkan masuk bertemu Pengarah JPN Malaysia, Datuk Jariah Mohd Said berhubung masalah perolehan rakyat negara ini yang masih menggunakan kad pengenalan merah.

Pengerusi PKR Johor, Datuk Chua Jui Meng menjadi mangsa tindakan agresif anggota kumpulan berkenaan sehingga ditolak pada bahagian badan ekoran perasaan tidak senang terhadap gerak kerja yang dilakukan pemimpin PR.

Surendran yang ditemui pada sidang media nyata kesal dengan kejadian berkenaan dan menuntut penjelasan daripada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein.

“Polis secara sengaja membenarkan samseng-samseng daripada MIC masuk menyerang kita apabila kita keluar sahaja bilik pengarah Datuk Jariah.

“April kita datang ke Jabatan Perdana Menteri (JPM), kami diserang dan hari ini sekali lagi.

“Apa yang mengejutkan polis bersekongkol dan membenarkan mereka menyerang kami,” katanya

Berhubung kad pengenalan, beliau meminta JPN membuat pertimbangan segera agar masalah ini dapat diselesaikan selain bersedia untuk memberikan kerjasama.

“Kita kecewa apabila Datuk Jariah berkata akan memberikan borang permohonan untuk warganegara kepada mereka. Kita bantah.

“Setelah kita jelaskan akhirnya pihak JPN bersetuju mengeluarkan borang permohonan kad pengenalan sahaja kerana mereka sudahpun warganegara,” katanya.

Hampir 300 pemohon hadir di Jabatan Pendaftaran Negara Putrajaya sempena dengan ‘Himpunan Duduk Bantah 12-12-12’.

Mereka mula berkumpul di perkarangan tempat letak kereta sebelum berarak dan tiba di hadapan Gerbang Utama Jabatan Pendaftaran Negara pada jam 11.20 pagi.

Keadaan agak tegang ekoran penutupan pintu utama namun keadaan diredakan oleh Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad selepas sepuluh orang wakil pimpinan PR dibenarkan masuk berbincang.

Hasil perbincangan menyaksikan JPN bersedia menyediakan lebih daripada empat kaunter pemprosesan maklumat mereka yang belum memiliki kad pengenalan biru bagi tujuan semakan dan pendaftaran.

Antara pimpinan PR yang hadir termasuklah Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa, Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam, Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud, Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago dan beberapa Adun Selangor serta wakil parti komponen Pakatan Rakyat

Categories
NASIONAL

PKR : Penyelesaian Kes Anak Nazri Menyalahi Undang-undang

 

SHAH ALAM, 19 OKT : Kenyataan Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang menyatakan kes serangan pengawal peribadi anak kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz ‘telah selesai’ disifatkan melanggar integriti sistem keadilan di negara ini.

Menurut Naib Presiden PKR, N Surendran, tindakan Hishamuddin yang juga Menteri Dalam Negeri itu jelas bertentangan dengan dasar awam dan kedaulatan undang-undang negara.

Beliau berkata, sebarang jenayah mahupun salah laku yang dilakukan oleh mana-mana pihak seharusnya dibawa ke mahkamah untuk dikenakan tindakan sewajarnya.

“Di bawah sistem perundangan kita, jenayah tidak boleh ‘diselesaikan secara baik’. Dengan mengambil tindakan sebegitu, Hishammuddin boleh dikatakan mungkin bersubahat. Adakah dia berkompromi hanya kerana kes itu melibatkan anak seorang Menteri Kanan Umno?

“Seterusnya, apakah terma penyelesaian ini menyalahi undang-undang? Orang ramai berhak mengetahui perkara sebenar,” katanya dalam satu kenyataan media.

Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan hasil daripada siasatan terhadap Mohamed Nedim Nazri di bawah seksyen 160 Kanun Keseksaan.

Jelasnya, walaupun Hishammuddin mengakui perkara itu sudah disiasat, namun beliau tidak menyatakan sama ada Nedim dibersihkan daripada kesalahan itu.

“Setiap warganegara, tidak kira berapa tinggi atau rendah kedudukan sosial mereka, mereka adalah sama dari sudut undang-undang. Justeru, pengawal keselamatan yang terlibat dalam kes ini mempunyai hak menuntut keadilan yang adil dan saksama.

“Kami menyeru Menteri Dalam Negeri untuk membuat pendedahan penuh dan berterus terang tentang fakta sebenar kes itu dan membuka semula siasatan berhubung kes serangan ini,” katanya lagi.

Hishammuddin dalam jawapan bertulisnya semalam berkata, kes memukul penyelia keselamatan pada Mac 2012 sebenarnya dilakukan oleh bekas pengawal peribadi Mohamad Nedim dan disiasat mengikut Seksyen 160, Kanun Keseksaan.

Menjawab soalan Gwo-Burne Loh (PKR-Kelana Jaya), menteri dalam negeri bagaimanapun memberitahu, kes itu telah pun diselesaikan secara baik oleh kedua-dua pihak.

Loh meminta Hishammuddin menyatakan hasil siasatan polis terhadap Mohamad Nedim berhubung kejadian memukul penyelia keselamatan di sebuah kondominium mewah di ibu negara dan kematian pemuda bernama Darren Kang di Sri Hartamas sekitar tahun 2004.

Mengenai kes kematian Darren, Hishammuddin berkata Mohamad Nedim didapati tidak terlibat dengan kes tersebut sebaliknya lima warganegara Thailand telah dituduh di mahkamah dan dijatuhi hukuman lima tahun penjara.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Pei Nei – Segerakan Pembinaan Balai Polis Bandar Country Homes

KUALA LUMPUR, 15 OKT : Kementerian Dalam Negeri diminta menyegerakan pembinaan balai polis di Bandar Country Homes, Rawang kerana kadar jenayah kawasan itu semakin meningkat.

Pada masa kini, hanya 10 anggota polis bertugas di Balai Polis Komuniti Bandar Country Homes dan penduduk merasakan anggota tersebut tidak cukup untuk mengekang kadar jenayah di kwasan mereka.

Adun Rawang Gan Pei Nei berkata beliau sudah mengajukan surat kepada pihak polis pada tahun 2009 tetapi permintaan mereka tidak mendapat maklumbalas daripada kerajaan pusat.

“Penduduk yang datang kepada kita melihat sebagai satu permintaan yang mendesak,” katanya dalam satu sidang media

Turut hadir sama, Ahli Parlimen Selayang, William Yong dan wakil Jawatankuasa penduduk Bandar Country Homes, Gunaraj George.

Jelas Pei Nei, sebidang tanah seluas lapan ekar telah digazetkan oleh pihak pemaju untuk pembinaan balai polis dan kuarters anggota.

Namun sehingga sekarang tiada keutamaan yang diberikan meskipun satu surat rasmi telah diajukan pada tahun 2009 kepada Ketua Polis Selangor ketika itu, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

“Pada waktu itu, maklum balas yang diberikan adalah meraka katakan sudah masuk dalam kajian perancangan Malaysia.

“Tetapi selepas tiga tahun, kita tidak boleh tunggu lagi sebab keselamatan penduduk disitu begitu terancam,” katanya yang turut mewakili Jawatankuasa Penduduk Bandar Country Homes.

Jumlah penduduk Bandar Country Homes kini hampir 50,000.

Menurut Pei Nei, antara kejadian jenayah yang berlaku adalah rompakan tabung Masjid Cahaya Iman meskipun memiliki kamera litar tertutup (CCTV) serta kamera berkenaan dirosakkan.

Selain itu, dalam tempoh tiga hari, hampir tiga buah rumah dipecah masuk selain nasib malang yang dihadapi Sekolah Agama Rakyat berhampiran ekoran kehilangan komputer sekolah.

Tegasnya, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein perlu turun sendiri melihat keadaan pondok komuniti berkenaan selain meninjau keadaan anggota polis yang tidak mempunyai keharmonian suasana kerja ketika bertugas.

Beliau menambah, anggota polis dari Balai Polis Rawang terpaksa turun membantu sekiranya berlaku sebarang kes besar.

Categories
SELANGOR

PEMANDU Digesa Perjelas Ketepatan Indeks Jenayah

SHAH ALAM, 28 OGOS : Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (Pemandu) digesa mengisytiharkan bahawa statistik jenayah yang diumumkan Kerajaan Pusat yang disemak oleh Pricewaterhouse Coopers adalah tepat, seperti yang didakwa.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara,Tony Pua dalam kenyataan medianya berkata Pemandu dalam laporan tahunan dan pengumuman berulang kali menegaskan bahawa semua data dan statistik yang dipetik oleh Pemandu disemak juruaudit bebas luar.

“Malahan ia suatu yang mengejutan bahawa terdapat dakwaan oleh bekas pegawai polis bahawa data statistik jenayah yang membentangkan kejayaan luar biasa itu adalah ‘manipulasi secara sistematik’ kejayaan polis dalam mengurangkan kadar jenayah di negara ini,” ujar Tony.

Jelas Tony, Laporan Tahunan 2011 Program Transformasi Kerajaan (PTK) menyatakan, bahawa jenayah jalanan dikurangkan oleh indeks ‘luar biasa’ sebanyak 39.7 peratus manakala jenayah keseluruhan telah 11.1 peratus.

Menurut surat yang ditulis oleh pegawai polis yang enggan dikenali, beberapa kes-kes jenayah secara teratur dipindahkan ke “bukan indeks” kesalahan-kesalahan yang tidak berdaftar sebagai sebahagian daripada statistik rasmi yang dibentangkan oleh unit kecekapan Pemandu.

“Oleh itu jika dakwaan adalah benar, dan tiadanya penafian oleh Polis Diraja Malaysia, Pemandu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishamuddin Hussein, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan yang hampir satu minggu selepas surat itu diterbitkan.

“Kesimpulannya bahawa rakyat Malaysia tidak boleh menerima sepenuhnya data statistik pencapaian yang diumumkan Pemandu kerana ia merupakan satu ‘penipuan,” katanya.

Categories
NASIONAL

Wan Azizah Lancar Kempen Facebook ‘Wanita Malaysia Menentang Jenayah’

PETALING JAYA, 31 JULAI: Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini melancarkan laman sosial Face Book, ‘Malaysian Mothers Against Crime’ (‘Wanita Malaysia Menentang Jenayah) di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya hari ini.

Pelancaran laman sosial ini sebagai respon kegagalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein mengatasi maslah jenayah di negara ini.

Hishamuddin dan Datuk Seri Idris Jala yang bertindak selaku Pengerusi Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (Pemandu) mengumumkan beberapa inisiatif baru memerangi jenayah.

Jelas Azizah ini  menunjukan ketidakyakinan mereka sendiri terhadap ‘statistik menurun’ yang  didakwa sebelum ini

Antara Inisiatif yang dimaksudkan adalah seperti mewujudkan Semakan Jenayah Online, MyDistress, meningkatkan pengambilan Rakan Cop dan pembiayaan serta penubuhan jawatankuasa khas mengenai mangsa jenayah.

“Apakah ini reaksi mereka terhadap kenyataan kami bahawa jenayah di Malaysia telah meningkat?

“Ini menunjukan bahawa apa yang telah kami kemukakan adalah benar.

“Jadi, hari ini saya melancarkan satu kempen untuk membenteras jenayah sebagai agenda nasional.

“Sebagai ibu dan nenek, saya menjemput semua ibu untuk turut serta berkempen di halaman Facebook saya

Beliau turut menjemput semua pihak khususnya golongan wanita untuk turut serta berkempen di halaman facebook saya ‘Malaysian Mothers Against Crime,” kata Wan Azizah di sini.

Pelawat laman tersebut juga dipelawa untuk berkongsi fikiran serta maklumat berguna seperti rakaman video atau gambar kegiatan jenayah dan sebagainya agar orang ramai lebih berjaga-jaga.

Beliau turut menyarankan agar kerajaan lebih mendengari keluhan rakyat negara ini.

“Kerajaan seharusnya mendengar apa yang diperkatakan rakyat negara ini tentang keselamatan mereka dan bukannya menentukan apa yang harus dirasai oleh rakyat negara ini,” ujarnya lagi.

Categories
NASIONAL

Kenyataan Berbelit-belit, DAP Cadang Potong Gaji Hishamuddin

SHAH ALAM 24 JULAI : Gaji Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein dicadang dipotong RM10 dalam sesi bajet parlimen pada masa akan datang ekoran kenyataan berbelit-belitnya berhubung soal PAS dan DAP diresapi penganas.

Cadangan ini dikemukakan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang dalam satu kenyataan media.

Ia merujuk kepada kenyataan Hishamuddin yang seakan-akan mempertahankan dakwaan Ketua Penolong Pengarah E2 (M) Bahagian Ancaman Ekstremis Sosial Cawangan Khas, Sofian Makinuddin bahawa pengganas Jemaah Islamiah (JI) sedang meresap ke dalam PAS dan ancaman komunis ke dalam DAP menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Kit Siang menyifatkan tindakan Hishamuddin itu sebagai tidak relevan apatah lagi beliau langsung tidak menegur atau mendisiplinkan Sofian atas penyalahgunaan jawatannya.

Sebaliknya, tegas Kit Siang, Hishamuddin hanya menganggap tuduhan itu hanyalah ‘fakta semata-mata’ dan tidak mengancam keselamatan negara.

“Apakah maksud ‘fakta semata-mata’ yang Hishammuddin katakan dengan merujuk kepada dakwaan Sofian bahawa pengganas JI sedang meresap ke dalam PAS dan ancaman komunis ke dalam DAP?

“Hishammuddin dan Sofian dicabar untuk memberikan nama pengganas JI yang telah meresap ke dalam PAS dan komunis ke dalam DAP, dan sekiranya mereka tidak dapat berbuat demikian, maka dakwaan ini adalah fitnah yang berpucuk daripada imaginasi liar Sofian,” selarnya.

Tambah Kit Siang, Hishamuddin juga cuba kelihatan seperti ‘Menteri serba tahu’ sejurus selepas dakwaan liar dan tidak berasas ini dipertikaikan.

Menurutnya, Hishamuddin sebelum ini menegaskan beliau ‘tidak pasti’ berhubung dakwaan resapan pengganas dan komunis ke dalam Pakatan Rakyat dan menganggap ia adalah isu sensitif.

Bagaimanapun hanya dalam tempoh 24 jam, Hishamuddin bertindak menukar kenyataannya dengan mengatakan penembusan idelogi (dalam pembangkang) tidak menjejaskan keselamatan dan kestabilan negara ini.

Categories
SELANGOR

Mogok Lapar ISA : GMI Protes Di Depan Parlimen 28 Jun

SHAH ALAM 27 JUN : Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) akan mengadakan protes pada 28 Jun (Khamis) ini di hadapan bangunan Parlimen mendesak Menteri Dalam Negeri segera bertindak dalam menjawab tuntutan tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri(ISA) yang sedang bermogok lapar.

Penyelaras Sekretariat GMI, Syukri Razab berkata berdasarkan maklumat yang diperolehi, sehingga hari ini sembilan orang tahanan ISA melancarkan mogok lapar.

Mogok lapar dimulakan oleh dua orang tahanan iaitu Fadzullah Abdul Razak dan Razali Kassan pada hari Khamis lalu.

“GMI juga mendapat maklum, Razali dan seorang warga Sri Lanka diasingkan daripada tahanan lain oleh pihak kem tahanan kerana melakukan mogok lapar.

“Fadzullah pula sememangnya mengalami Solitary Confinement (Kurungan Sendiri) sejak dua bulan lalu atas sebab yang masih tidak dapat dipastikan,” kata Syukri dalam kenyataan medianya.

Menurut Syukri, keadaan tahanan juga dilaporkan semakin lemah kerana mereka hanya minum air tanpa mengambil sebarang makanan sejak enam hari lalu.

Mereka melancarkan mogok lapar kerana kecewa dengan pihak Kementerian Dalam Negeri yang enggan menjawab tuntutan mereka yang ingin dibebaskan segera.

“Apa yang sepatutnyanya dilakukan ialah pihak Menteri Dalam Negeri perlu segera membebaskan tahanan dan bukannya menghukum mereka yang bermogok lapar,” ujarnya.

Jelas Syukri, melalui pertemuan dengan keluarga tahanan, rata-rata tahanan menuntut agar mereka dibebaskan segera atau didakwa di mahkamah sekiranya pihak kementerian memiliki bukti untuk mendakwa mereka.

Tindakan mendiamkan diri tanpa sebarang tindakan dan membiarkan tahanan berlapar merupakan sifat yang tidak bertanggungjawab yang tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang menteri.

“GMI akan menyerahkan satu memorandum kepada pihak Kementerian Dalam Negeri bagi mendesak Hishamuddin Hussein segera menjawab tuntutan tahanan ISA yang ingin dibebaskan segera,” katanya.

Ujar Syukri, memorandum itu juga akan menuntut penjelasan Menteri Dalam Negeri berhubung penderaan yang berlaku ke atas tahanan seperti mana yang dilaporkan oleh GMI baru-baru ini.

Protes akan bermula pada jam 11 pagi dan akan dipimpin oleh Syed Ibrahim Syed Noh selaku Pengerusi GMI.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Hishamuddin Dicabar Dedahkan Arahan Kepada Editor

SHAH ALAM, 1 MEI : Peringkat tertinggi Kementerian Dalam Negeri (KDN) dikenalpasti sebagai pihak bertanggungjawab yang mengeluarkan arahan untuk menghalang petugas media semasa membuat liputan BERSIH 3.0 baru-baru ini.

Perkara itu dinyatakan Naib Presiden PKR, N Surendran dalam satu kenyataan media yang dihantar kepada TVSelangor hari ini.

Menurutnya, pada 27 April lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein telah mengarahkan kesemua ketua editor akhbar-akhbar utama untuk bertemu beliau.

Beliau berkata, semasa pertemuan tersebut, kesemua ketua editor terbabit diberi arahan berhubung kaedah untuk melaporkan perhimpunan BERSIH 3.0 selain diminta untuk tidak menunjukkan kekejaman pihak polis.

“Pihak polis dengan jelas telah mengikut telunjuk KDN apabila pihak media yang sedang merakam aksi salah guna kuasa polis terhadap orang awam juga dikasari. Tiada sebarang kenyataan dibuat sehingga kini oleh Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara tentang keganasan tersebut.

Jawapan Hishamuddin bahawa rampasan barang-barang wartawan adalah prosedur biasa pihak polis dianggap sebagai sesuatu yang mengejutkan,” katanya.

Tambahnya,tindakan itu sekaligus menujukkan serangan serius kerajaan Umno-BN terhadap kebebasan akhbar.

Jelasnya, di bawah sistem demokrasi negara, Menteri Dalam Negeri tidak mempunyai sebarang hak terhadap media berhubung laporan apa yang boleh disiarkan.

Beliau turut menyifatkan dalih Datuk Seri Najib Razak yang meminda Akta Penerbitan dan Mesin Cetak (PPPA 1984) untuk membenarkan kebebasan akhbar sebagai satu lagi kepalsuan.

“Kami menyeru Menteri Dalam Negeri, Hishamuddin Hussein untuk mendedahkan dalam masa 24 jam butir-butir lengkap arahan yang diberikan kepada media semasa mesyuarat itu.

Kami seterusnya meminta Najib dan Hishamuddin menerangkan dan menjawab dakwaan layanan kejam dan salah guna kuasa
polis terhadap media dan orang ramai semasa perhimpunan BERSIH 3.0 tempoh hari,” tegasnya.