Categories
KENYATAAN MEDIA

Pembebasan tahanan terakhir ISA, satu kejayaan perjuangan rakyat

Oleh: Syed Ibrahim Syed Noh

Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) mengucapkan selamat pulang ke pangkuan keluarga kepada 6 orang tahanan ISA terakhir yang dibebaskan 5 Januari lepas.

Tahanan tersebut terdiri daripada 4 orang warga tempatan iaitu Ustaz Nazri Dollah, Bakar bin Baba, Adzmi Pindatun dan Adnan bin Umar, seorang warga indonesia, Darto bin Bandu dan seorang warga Filipina, Muadz bin Hakim. Pihak keluarga memaklumkan kesemua tahanan telah sampai ke rumah masing-masing pada petang 6 januari.

isa-1Berdasarkan rekod GMI, semua tahanan tersebut dibebaskan ekoran tempoh perintah tahanan mereka tamat pada 5 Januari 2014. Oleh itu, GMI menyambut baik pembebasan tersebut dan tindakan KDN untuk membebaskan mereka tanpa tangguh.

GMI berpandangan, tidak ada apa yang boleh dibanggakan oleh pihak Kerajaan berhubung pembebasan terakhir ini.

Pembebasan 5 januari ini juga sebenarnya menjadi lambang kesombongan pihak Kerajaan yang enggan membebaskan tahanan lebih awal biarpun didesak hebat oleh rakyat.

Pembebasan ini juga boleh dianggap sangat lewat apabila ianya hanya dibuat selepas 1 tahun 5 bulan ISA secara rasminya dimansuhkan. Sedangkan Menteri Dalam Negeri mempunyai kuasa untuk membebaskan tahanan lebih awal.

Tambah parah apabila pembebasan ini dibuat dalam keadaan Kerajaan Malaysia telah menggubal SOSMA dan PCA 2013. Iaitu dua undang-undang mirip ISA yang juga mengandungi peruntukan yang menghalalkan tahan tanpa bicara.

anti-isaSOSMA memberi kuasa kepada pihak Polis untuk menahan seseorang tanpa bicara selama 28 hari manakala PCA 2013 pula memberi kuasa untuk Polis menahan suspek selama 2 tahun tanpa bicara.

GMI juga mengutuk tindakan Kerajaan Malaysia yang enggan menutup Kem Tahanan Kamunting yang dikatakan akan dijadikan tempat tahanan bagi SOSMA, PCA 2013 dan Akta Dadah Berbahaya 1985 (DDA).

Menteri Dalam Negeri dalam kenyataan yang disiarkan Utusan bertarikh 6 januari berkata, Kem Tahanan Kamunting akan dikekalkan dan akan dijadikan tempat tahanan bagi SOSMA dan PCA.

Sekiranya Kerajaan benar-benar telus ingin melaksanakan transformasi politik, Kem Tahanan Kamunting yang menjadi simbol kezaliman ISA perlu ditutup.

Serentak dengan penutupan Kem itu, Kerajaan juga perlu memansuhkan semua undang-undang yang mengandungi peruntukan tahan tanpa bicara termasuk SOSMA, PCA dan DDA.

GMI berpendirian transformasi yang dilakukan oleh Kerajaan perlulah bersifat holisitik.

Isa 1-2Janganlah dianggap ISA sebagai berjaya apabila ada berita yang melaporkan tahanan ISA berjaya khatam (tamatkan) bacaan Al-Quran sebanyak 15 kali atau kerana tidak berlakunya penderaan dan tekanan di dalam kem tahanan, sedangkan keadaan keluarga yang menanggung derita bertahun-tahun tidak pula dilaporkan.

Fakta terdahulu tentang penyiksaan bawah ISA juga tidak boleh terpadam dan akan terus kekal dalam ingatan rakyat Malaysia.

Pemansuhan ISA dan pembebasan semua tahanan menjadi tidak bermakna apabila Kerajaan enggan menutup Kem Tahanan Kamunting yang bakal dihuni pula oleh tahanan SOSMA, PCA dan DDA.

Keadaan ini menjadikan Malaysia tidak reda daripada pencabulan Hak Asasi akibat akta drakonian yang digubal oleh Kerajaan sendiri.

Oleh itu bagi menamatkan espisod kezaliman ISA ini, Kerajaan perlu memansuhkan semua undang-undang tahan tanpa bicara dan juga menutup Kem Tahanan Kamunting.

Isa 1-4Akhirnya perjuangan 25 tahun untuk mansuhkan ISA bersama rakyat Malaysia telah tiba ke penghujungnya. Pembebasan 6 orang tahanan terakhir menjadi tanda aras yang menunjukkan matlamat terakhir GMI juga telah tercapai.

Sejak ditubuhkan pada tahun 2001, GMI konsisten menyuarakan tuntutan agar undang-undang drakonian ISA dimansuhkan. Kemuncaknya pada 1 Ogos 2009, apabila GMI telah memimpin puluhan ribu rakyat Malaysia berhimpun di Kuala Lumpur bagi mendesak Kerajaan segera memansuhkan ISA.

GMI percaya desakan demi desakan daripada rakyat telah menjadi faktor utama Kerajaan Malaysia melalui Dato’ Seri Najib Razak terpaksa memansuhkan ISA yang secara rasminya termansuh pada 22 Jun 2012.

GMI akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat untuk membincangkan mengenai pembubaran GMI. GMI juga akan menyumbangkan baki dana yang ada kepada keluarga bekas tahanan ISA dan juga kepada gerakan baru yang akan memimpin perjuangan menentang akta-akta drakonian yang baru.

GMI juga ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan ngo, mahasiswa, parti politik, rakan-rakan media dan seluruh rakyat Malaysia yang selama ini menyokong perjuangan GMI.
* Syed Ibrahim Syed Noh adalah Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI)

Categories
SELANGOR

Hak Rakyat Terus Dicabuli, Suaram,GMI Gesa Kerajaan Mansuh Akta Kesalahan Keselamatan

Yazid Sufaat Penjara 01

SHAH ALAM 8 FEB : Suara Rakyat Malaysia (Suaram) menggesa Kerajaan Pusat memansuhkan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) dengan segera.

Penyelaras Suaram, Syukri Razab berkata walaupun Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dimansuhkan, rakyat Malaysia masih diancam undang-undang drakonian seperti ISA.

Katanya, tangkapan seorang bekas tahanan ISA, Yazid Supaat dan pekerjanya, Hilmi Hasim memperlihatkan hak asasi rakyat Malaysia terus dicabuli.

“Tidak cukup dengan enggan membebaskan 23 orang baki tahanan ISA, kerajaan pula membenarkan undang-undang rimba seperti Akta Kesalahan Keselamatan menzalimi rakyat.

“Suaram mengutuk tindakan pihak polis yang melakukan tangkapan menggunakan undang-undang yang membelakangkan Hak Asasi Manusia. Hak untuk mendapat pembelaan secara adil di mahkamah merupakan hak eksklusif setiap rakyat Malaysia.

“Hak ini juga dijamin dalam Perlembagaan dan Kanun Acara Jenayah yang mewajibkan polis membawa orang yang tertuduh ke mahkamah dalam tempoh 24 jam selepas ditahan untuk mendapat pembelaan,” katanya dalam satu kenyataan media.

Dalam pada itu, Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) mengecam penggunaan Akta Kesalahan Keselamatan kerana dilihat mirip ISA yang dimansuhkan tahun lepas.

Presiden GMI, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, penahanan tiga individu termasuk seorang wanita yang menjadi mangsa pertama Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) semalam.

“Tiga individu yang ditahan tidak dimaklumkan secara jelas mengenai sebab mereka ditahan. Mereka juga ditahan tanpa waran atau sebarang notis daripada pihak polis, yang kemudiannya digeledah kediamannya untuk mencari bukti bahan bukti yang berkaitan pertuduhan,” katanya.

Beliau berkata, cara penahanan sebegitu rupa adalah sama dengan cara yang diamalkan polis semasa melakukan tangkapan di bawah ISA.

“Lebih parah apabila mereka yang ditahan tidak dibenarkan bertemu peguam mahupun ahli keluarga sehingga 48 jam daripada waktu mereka ditahan. Keadaan ini berbeza dengan ISA yang masih memberi hak tahanan untuk mendapat konsultasi guaman sebaik sahaja ditahan,” katanya.

Syed Ibrahim menambah, daripada cara penahanan dibuat jelas menunjukkan tidak banyak bezanya antara akta baru yang menggantikan akta lama, bahkan Akta Kesalahan Keselamatan ini lebih banyak mencabuli hak asasi orang yang ditahan.

“Apakah ini yang dikatakan sebagai transformasi oleh Perdana Menteri? Transformasi daripada undang-undang zalim kepada undang-undang yang juga zalim.

Semalam, Yazid bersama pekerjanya, Hilmi ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah khas) di kantin Mahkamah Tinggi Jalan Duta.

Tangkapan dibuat sekumpulan polis dari Bukit Aman yang diketuai oleh Pegawai Penyiasat Inspektor Mani.

Yazid bersama pekerjanya ditahan di bawah Seksyen 4 (1) Akta Kesalahan Keselamatan atas tuduhan mempromosikan kegiatan keganasan.

Yazid Sufaat merupakan bekas tahanan ISA yang ditahan pada Disember 2001 dan dibebaskan pada Disember 2008. Kini beliau menjadi pengusaha kafeteria di kantin Mahkamah Tinggi Jalan Duta.

Pagi tadi, didakwa di Mahkamah Majistret hari ini atas tuduhan menggalakkan pelakuan keganasan di antara 1 Ogos hingga 20 Oktober tahun lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 130G(a) Kanun Keseksaan (Akta 574) antara jam 8.30 pagi hingga 10.30 pagi di DL11, Lorong Mutiara 2, Lembah Jaya Ampang, dalam daerah Ampang Selangor.

Turut didakwa bersamanya adalah Halimah Hussein yang dituduh bersubahat dengannya di alamat yang sama.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Khalid Samad : Masa Terbaik Kuasai Putrajaya

Kediaman Rasmi MB Majlis Ramah Mesra dengan Dun Ijok dan Bandar Tun Razak 07

SHAH ALAM 26 JAN : Pakatan Rakyat (PR) memiliki peluang keemasan untuk menguasai dan mengambilalih Putrajaya daripada Umno-BN dalam Pilhan Raya Umum Ke-13 (PRU13) berdasarkan sokongan rakyat kuat ketika ini.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata, PR seharusnya menggunakan kesempatan yang ada kerana Umno-BN ternyata tidak dalam kedudukan selesa berikutan pilhan raya perlu diadakan dalam tempoh terdekat.

“Ini adalah peluang terbaik bagi PR untuk mengambilalih pentadbiran di Putrajaya. Kalau kita melepaskannya, lima tahun kita akan menyesal dan kita tak tahu sama ada suasana seperti ini, boleh kita wujudkan kembali.

“Sekarang ini masyarakat bersama kita. Kita yakin himpunan kebangkitan rakyat di Kuala Lumpur. Kata seorang profesor matematik yang kita yakin dia lebih bijak dari Rais Yatim. Anggaran dia 700,000. Kita yakin inilah jumlah yang sebenarnya.

“Maksudnya di sini sekarang adalah waktu terbaik untuk satu perubahan,” katanya dalam ucapan meraikan jentera pilihan raya Ijok dan Bandar Tun Razak di sini malam tadi.

Turut hadir, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Tegasnya, apa yang perlu dilakukan PR ketika ini adalah memaklumkan kepada rakyat bahawa segala masalah berlaku seperti isu air di Selangor adalah dirancang demi memastikan kemenangan Umno-BN.

Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Zulkifli Ahmad berkata, PRU13 kali ini adalah medan di mana Umno-BN terpaksa melawan kebangkitan seluruh rakyat.

“Inilah pilihan raya yang menjanjikan satu perubahan besar untuk sebuah kerajaan yang paling lama memerintah di muka bumi ini.

“Dia sudah terlalu banyak melakukan kesilapan lalu bukan saja PR tetapi seluruh rakyat bangkit untuk menumbangkan kerajaan Umno-BN bersama dengan beberapa NGO seperti Anti-Lynas, Royalti, GMI dan yang lain,” ujarnya.

Categories
NASIONAL

Himpunan Mega Rakyat 12 Jan Dijangka Mengatasi BERSIH 3.0

SHAH ALAM, 12 NOV: ‘Perhimpunan Mega Sejuta Rakyat Menuntut Lapan Tuntutan’ dijangka mampu mengatasi kehadiran dalam Perhimpunan BERSIH 3.0 pada 28 April lalu.

Jangkaan itu berdasarkan peningkatan kesedaran yang ketara di kalangan rakyat negara ini apabila tuntutan pilihan raya yang bersih dan adil ditolak mentah-mentah oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan mengakibatkan kemarahan rakyat.

Selain itu, sambutan hebat dari masyarakat umum terhadap Himpunan Kebangkitan Rakyat yang diadakan di Taman Seremban Jaya, Senawang baru-baru ini turut dijadikan ukuran terhadap sambutan yang bakal diterima oleh himpunan mega itu.

Demikian beritahu Ahli Jawatankuasa Penganjur himpunan tersebut, Hishamuddin Rais kepada TV Selangor hari ini selepas badan bukan kerajaan (NGO) Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) mengadakan mesyuaratnya semalam.

“Kami melihat, kalau Himpunan Kebangkitan Rakyat di Seremban yang dibuat dalam keadaan hujan ribut dan becak pun mampu tarik 20,000 hingga 30,000 ribu, yang ini mampu lebih besar dari BERSIH 3.0.

“Pada hemat saya himpunan kali ini lebih mega dari mega, lebih besar dari besar, lebih teliti dari teliti dan saya seru kepada rakyat negara ini supaya tunjukkan kesatuan kita untuk menuntut hak kita sebagai rakyat Malaysia,” ujar Hishamuddin.

Bagaimanapun beliau enggan mendedahkan butiran lanjut mesyuarat hari ini dan hanya mendedahkannya dalam sidang media yang akan diadakan pada 29 November nanti.

Dalam sidang media itu juga nanti akan memaklumkan tugas-tugas yang bakal dimainkan oleh NGO-NGO terlibat termasuk BERSIH sendiri.

Beliau memberitahu, pihak penganjur juga merancang dengan teliti untuk membaiki kelemahan dalam perhimpunan-perhimpunan sebelumnya.

Menurutnya lagi, selain BERSIH, perhimpunan yang akan diadakan di Bandaraya Kuala Lumpur itu juga dianjurkan bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK), Gerakan Mansuh ISA (GMI) dan lain-lain.

“Perhimpunan diadakan di Kuala Lumpur, tetapi kita belum tentukan secara terperinci lokasi sebenar adakah di Dataran Merdeka atau di mana,” ujarnya lagi.

Categories
NASIONAL

GMI: Sudah Ada Akta Baru, Mengapa Tahanan ISA Tidak Dibebaskan

KUALA LUMPUR 14 SEPT: Gabungan Mansuh ISA(GMI) menganggap langkah transformasi yang dilaungkan oleh kerajaan sekarang tidak bermakna berikutan masih terdapat 30 individu yang masih ditahan dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dimansuhkan pada 15 September tahun lalu.

Pengumuman pemansuhan akta zalim itu dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam perutusan Hari Malaysia yang hampir genap setahun lalu.

Kononnya, pemansuhan itu juga merupakan sebahagian dari langkah kerajaan dalam melaksanakan program transformasi terhadap sistem pentadbiran dan politik negara.

Menurut Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh langkah kerajaan memansuhkan ISA ketika itu jelas membuktikan kerajaan mengakui kewujudan undang-undang pencegahan itu sudah tidak relevan lagi.

“Oleh itu, apa rasionalnya kerajaan masih membirkan tahanan dikurung di bawah undang-undang yang tidak relevan ini,” katanya dalam sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Selangor-Kuala Lumpur di sini.

Syed Ibrahim turut memetik kenyataan Pengarah Siasatan Jenayah (CID) Bukit Aman, Mohd Bakri Zinin pada 12 September lalu yang mendakwa undang-undang sedia ada sudah mencukupi untuk mentangani isu keselamatan negara.

Oleh itu, GMI mendesak kerajaan khususnya Kementerian Dalam Negeri membebaskan 30 tahanan ISA yang masih ditahan di bawah akta yang diwarisi dari Kerajaan British ketika menjajah Malaya.

Laporan NST Tidak Bertanggungjawab

Dalam pada itu, GMI menolak kenyataan seorang pegawai di Kem Tahanan Kamunting bahawa wujudnya kegiatan tahanan ISA yang menjalankan kegiatan pemerdagangan orang dari dalam kem tahanan.

Kenyataan yang disiarkan akhbar New Straits Times pada 10 dan 11 September lalu antaranya menyebut kegiatan tersebut dijalankan tahanan melalui ‘kaki-kaki subahat’ mereka dan sindiket yang masih bergiat aktif di luar.

Bagaimanapun menurut Syed Ibrahim dakwaan tersebut merupakan cubaan untuk membuktikan bahawa ISA penting bagi mengekang perilaku jenayah tegar.

“GMI memandang berat laporan NST berkenaan dari sudut mesej yang ingin disampaikan iaitu pertama, melaporkan tahanan ISA sebagai pesalah yang terlibat dalam jenayah sedangkan tidak pernah terbukti di mahkamah.

“Kedua, kegagalan polis mentangani isu pemerdagangan orang dan ketiga mempersoalkan pemansuhan ISA dan cubaan menjustifikasikan penahanan tanpa bukti, bicara dan pembelaan,” kata Syed Ibrahim.

Menurut beliau lagi, kenyataan itu tambah meragukan apabila setiap panggilan telefon yang dibuat oleh tahanan sentiasa dipantau oleh pegawai kem tahanan.

“Kenyataan tersebut juga diragui kerana setiap panggilan yang dibuat akan dikawal rapi dan hanya perbualan berbentuk kekeluargaan sahaja yang dibenarkan.

“Sekiranya panggilan yang dibuat disyaki boleh mendatangkan risiko jenayah, maka panggilan itu akan ditamatkan,” ujar Syed Ibrahim lagi.

Categories
SELANGOR

Mogok Lapar ISA : GMI Protes Di Depan Parlimen 28 Jun

SHAH ALAM 27 JUN : Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) akan mengadakan protes pada 28 Jun (Khamis) ini di hadapan bangunan Parlimen mendesak Menteri Dalam Negeri segera bertindak dalam menjawab tuntutan tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri(ISA) yang sedang bermogok lapar.

Penyelaras Sekretariat GMI, Syukri Razab berkata berdasarkan maklumat yang diperolehi, sehingga hari ini sembilan orang tahanan ISA melancarkan mogok lapar.

Mogok lapar dimulakan oleh dua orang tahanan iaitu Fadzullah Abdul Razak dan Razali Kassan pada hari Khamis lalu.

“GMI juga mendapat maklum, Razali dan seorang warga Sri Lanka diasingkan daripada tahanan lain oleh pihak kem tahanan kerana melakukan mogok lapar.

“Fadzullah pula sememangnya mengalami Solitary Confinement (Kurungan Sendiri) sejak dua bulan lalu atas sebab yang masih tidak dapat dipastikan,” kata Syukri dalam kenyataan medianya.

Menurut Syukri, keadaan tahanan juga dilaporkan semakin lemah kerana mereka hanya minum air tanpa mengambil sebarang makanan sejak enam hari lalu.

Mereka melancarkan mogok lapar kerana kecewa dengan pihak Kementerian Dalam Negeri yang enggan menjawab tuntutan mereka yang ingin dibebaskan segera.

“Apa yang sepatutnyanya dilakukan ialah pihak Menteri Dalam Negeri perlu segera membebaskan tahanan dan bukannya menghukum mereka yang bermogok lapar,” ujarnya.

Jelas Syukri, melalui pertemuan dengan keluarga tahanan, rata-rata tahanan menuntut agar mereka dibebaskan segera atau didakwa di mahkamah sekiranya pihak kementerian memiliki bukti untuk mendakwa mereka.

Tindakan mendiamkan diri tanpa sebarang tindakan dan membiarkan tahanan berlapar merupakan sifat yang tidak bertanggungjawab yang tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang menteri.

“GMI akan menyerahkan satu memorandum kepada pihak Kementerian Dalam Negeri bagi mendesak Hishamuddin Hussein segera menjawab tuntutan tahanan ISA yang ingin dibebaskan segera,” katanya.

Ujar Syukri, memorandum itu juga akan menuntut penjelasan Menteri Dalam Negeri berhubung penderaan yang berlaku ke atas tahanan seperti mana yang dilaporkan oleh GMI baru-baru ini.

Protes akan bermula pada jam 11 pagi dan akan dipimpin oleh Syed Ibrahim Syed Noh selaku Pengerusi GMI.