Categories
PBT SELANGOR

Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina MPSJ pada 2 Mac

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SUBANG JAYA, 27 FEB: Orang ramai dijemput hadir memeriahkan Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina peringkat Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), di Tapak Bazar Ramadan Bandar Kinrara Seksyen 5, Puchong, pada 2 Mac ini.

Timbalan Yang Dipertuanya, Mohammad Zulkarnain Che Ali berkata, sambutan itu bagi merapatkan hubungan antara pengurusan MPSJ bersama komuniti masyarakat Tiong Hua, di kawasan pentadbiran berkenaan.

Katanya, ia juga landasan bagi memupuk perpaduan kaum dan bertukar pandangan serta berkongsi pengalaman berkaitan budaya juga keunikan tradisi masyarakat berbilang kaum, di Malaysia.

“Dijangka seramai 2,000 pengunjung daripada pelbagai kaum akan hadir memeriahkan program ini.

“Pengunjung akan diserikan dengan pelbagai persembahan menarik seperti tarian naga, nyanyian dan persembahan kebudayaan tiga kaum di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh MPSJ Bil.2/2019, di Bilik Mesyuarat Kenanga Aras 2, di sini, hari ini.

Program tahunan anjuran Pihak Berkuasa Tempatan itu dijadual bermula dari jam 7.30 hingga 10 malam.

Categories
SELANGOR

Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Seri Setia meriah

OLEH NORHAYATI UMOR

KELANA JAYA, 24 FEB: Hampir 1,000 pengunjung hadir memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia.

Suasana dimeriahkan dengan paluan gendang tradisional dan tarian singa yang menjadi tradisi perayaan berkenaan.

Ahli Dewan Negerinya, Halimey Abu Bakar berkata, majlis berkenaan dianjurkan bagi melahirkan rasa cinta antara satu sama lain dan memupuk sifat harmoni antara kaum, khususnya di DUN terbabit.

“Walaupun diadakan secara sederhana tetapi pelbagai bangsa hadir memeriahkannya.

“Saya berharap jamuan sempena sambutan perayaan masyarakat Tionghua ini dapat membuka ruang luas bagi kita memupuk nilai keprihatinan, saling menghormati dan menyayangi serta berkongsi kegembiraan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina, di Perkarangan Pasaraya Beli Belah Giant, di Kelana Jaya, di sini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah.

Pada masa sama, Halimey berkata, Kerajaan Negeri sentiasa memberi peluang dan ruang kepada semua kaum untuk bersama-sama terbabit dalam memimpin serta membangunkan negeri selaras dengan konsep ‘Maju Bersama’.

“Majlis itu juga dihadiri pelbagai lapisan masyarakat selain Tionghua.

“Ini menunjukkan, penduduk di DUN Seri Setia hidup dengan aman dan muafakat antara satu sama lain,” katanya.

Categories
SELANGOR

Sambutan Tahun Baharu Cina 2019 sasar 11,000 pengunjung

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 13 FEB: Sambutan rumah terbuka sempena Tahun Baharu Cina peringkat negeri yang bakal berlangsung pada 16 Februari ini, di Dataran Petaling Jaya menyasarkan kehadiran 11,000 pengujung.

EXCO Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Dato’ Teng Chang Khim berkata, sambutan itu bakal diserikan dengan keberangkatan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Beliau berkata, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah turut akan berangkat menyerikan sambutan yang bermula dari jam 7 malam sehingga 10.30 malam.

“Tidak ketinggalan, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari, EXCO Kerajaan Negeri, Ketua Jabatan, wakil kedutaan serta seluruh warga Selangor akan hadir pada sambutan kali ini.

“Sambutan ini bertujuan mengeratkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat serta memupuk persefahaman dalam kalangan masyarakat berbilang kaum yang ada di Selangor,” katanya pada sidang media di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, hari ini.

Katanya, Invest Selangor Berhad sekali lagi akan menjadi penganjur sambutan perayaan itu dengan kerjasama Setiausaha Kerajaan Negeri, Jawatankuasa Tetap Kebudayaan Selangor, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Tourism Selangor, Hijrah Selangor serta agensi kerajaan lain.

“Pelbagai pengisian akan disediakan bersempena sambutan kali ini seperti tradisi penyampaian sumbangan ‘ang pow’ kepada kanak-kanak di bawah umur 12 tahun, persembahan kebudayaan selama 110 minit dan jamuan makan,” katanya.

Pada masa sama, MBPJ turut menyediakan perkhidmatan Bas Percuma PJ City Bus bagi memudahkan orang awam bersama memeriahkan acara.

Categories
NASIONAL

Dengar maklum balas ketika rai Tahun Baharu Cina

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 7 FEB: Bertemu saudara mara dan sahabat handai ketika perayaan Tahun Baharu Cina memang sesuatu yang menyeronokkan.

Namun, bagi Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh, sambutan kali ini turut memberi peluang kepada beliau mendengar sendiri maklum balas rakyat terhadap program dan dasar Kerajaan Pakatan Harapan.

“Ini kali pertama saya menyambutnya sebagai Timbalan Menteri dalam kerajaan baru yang ada sekarang.

“Saya dapat dengar banyak maklum balas daripada saudara mara berkenaan isu membabitkan Kerajaan Persekutuan,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau yang juga mantan Speaker Dewan Negeri Selangor dan Ahli Dewan Negeri Subang Jaya berkata, selain saudara mara, pendapat rakan berbangsa Melayu dan India, turut didengari.

Katanya, setiap maklum balas yang diterima adalah sangat penting bagi memastikan dasar dan program kerajaan memberi impak positif kepada rakyat.

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

PM, TPM meriahkan rumah terbuka Tahun Baharu Cina

KUALA LUMPUR, 6 FEB: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meluangkan masa menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina, di Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM), di sini.

Beliau yang tiba kira-kira jam 10.40 pagi dengan diiringi isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, segak berkemeja bmerah, disambut Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Majlis itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan suami Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hadir sama Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan beberapa menteri Kabinet lain serta Duta China ke Malaysia, Bai Tian juga Pesuruhjaya Tinggi Britain di Malaysia, Vicki Treadell.

Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah bersama tetamu kehormat lain turut menggaul ‘yee sang’, acara tradisi masyarakat Tionghua yang melambangkan nasib baik, kemakmuran dan segala perkara yang menguntungkan.

Sementara itu, Guan Eng dalam ucapannya berkata, rumah terbuka itu berlangsung dengan suasana sangat muhibbah kerana dianjurkan secara bersama dewan perniagaan yang mewakili kaum Cina, India dan Melayu.

Katanya, muhibbah antara kaum itu adalah watak yang dibawa kerajaan Pakatan Harapan di bawah pimpinan Dr Mahathir.

“Saya juga yakin dengan perpaduan rakyat, kita akan mencapai pembangunan ekonomi mampan.

“Marilah kita tunjuk yang rakyat Malaysia boleh bangkit semula supaya negara boleh dikenali sebagai harimau ekonomi Asia,” katanya.

Pada majlis itu, hadirin dihiburkan dengan persembahan tarian tradisional pelbagai kaum.

*Sumber: BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Dr Wan Azizah: Hargai tradisi, nilai kekeluargaan

PUTRAJAYA, 4 FEB: Hargai tradisi dan nilai kekeluargaan yang wujud sekarang memandangkan Malaysia menuju sebagai ‘negara tua’, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam perutusannya sempena Tahun Baharu Cina pada tahun ini.

“Pada perayaan Tahun Baharu Cina ini, marilah kita mengukuhkan talian kekeluargaan dan menghargai orang yang tersayang,” katanya.

Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, kepentingan nilai itu perlu ditanam ke dalam sanubari anak muda kerana ia penting bagi membentuk masyarakat Malaysia yang penyayang.

“Hormati, sanjungi dan jagalah mereka yang lebih tua. Belajar daripada kebijaksanaan mereka dan jangan mengabaikan mereka,” katanya.

Dr Wan Azizah berkata, golongan itu pernah menjaga serta mendidik di mana jasa dan kasih sayang yang telah mereka curahkan tidak mampu dibalas.

“Ingatlah, satu hari nanti, kita juga akan memerlukan orang lain untuk menjaga kita. Warga tua bukanlah satu beban tetapi hadiah tidak ternilai yang mesti dihargai,” katanya.

Dr Wan Azizah berkata, apa yang paling penting mengenai sambutan Tahun Baharu Cina ialah ia melambangkan rasa hormat menghormati ibu bapa, mereka yang lebih tua dan peluang untuk keluarga meluangkan masa bersama.

SUMBER: BERNAMA

Categories
SELANGOR

MB: Masa bekerja, laksana segala janji

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 4 FEB: Sambutan Tahun Baharu Cina disifatkan amat bersejarah kerana ia adalah kali pertama diraikan di era Malaysia Baharu selepas pilihan raya umum 9 Mei tahun lalu.

Justeru, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, pastinya rakyat Malaysia meletakkan harapan besar kepada Pakatan Harapan (PAKATAN) termasuk Kerajaan Negeri untuk melaksanakan segala pembaharuan dan perubahan yang dijanjikan.

“Kini adalah waktu untuk bekerja. Bekerja lebih kuat untuk rakyat Malaysia.

“Rakyat Malaysia mengerti bahawa proses transisi dari sebuah kerajaan kleptokrat kepada suatu Kerajaan Reformasi bukanlah mudah,” katanya dalam perutusan sambutan Tahun Baharu Cina.

Amirudin berkata, ia bukan alasan kepada pimpinan PAKATAN termasuk beliau untuk bersikap sambil lewa serta masih gugup mentadbir.

“Masa mencemburui kita. Mandat yang diamanahkan rakyat harus dipikul dengan penuh tanggungjawab.

“Kita di Selangor boleh dikira bertuah kerana sudah memulakan proses pembaharuan ini semenjak 2008 lagi.

“Segala tohmahan yang dilemparkan sejak 10 tahun lalu dijawab dengan pelaksanaan dasar yang mensejahterakan negeri dan rakyat Selangor Darul Ehsan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, pada pilihan raya yang lalu, rakyat Selangor memberikan suatu kemenangan yang besar kepada PAKATAN.

“Oleh kerana itu demi memaknai kemenangan terbabit, Belanjawan 2019 turut menumpukan kepada dasar memacu ekonomi negeri dengan membangunkan sepuluh kluster yang dinamakan Gugusan Ekonomi Negeri Selangor.

“Inisiatif ini berhasrat untuk merungkai dan melancarkan segenap potensi yang ada pada setiap lokaliti agar ekonomi tempatan dapat dilonjakkan sekali gus mencipta lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan,” katanya.

Pada masa sama, Amirudin mengajak seluruh rakyat untuk menghayati kemajmukan budaya yang wujud di Selangor demi kesejahteraan dan kemakmuran negeri.

“Kepada masyarakat Tionghua, saya berharap sambutan kali ini diraikan dengan penuh kebahagiaan dan kegembiraan,” katanya.

Categories
SELANGOR

Jalan raya bandar utama Lembah Klang mula lengang

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 4 FEB: Lalu lintas di beberapa bandar utama sekitar Lembang Klang didapati mula lengang pagi ini menjelang cuti sempena sambutan perayaan Tahun Baharu Cina esok.

Di bandar raya Shah Alam, berbeza dengan senario biasa yang menyaksikan kesesakan pada pagi hari bekerja, sebaliknya pagi tadi kenderaan bergerak lancar di kebanyakan jalan utama.

Manakala di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur turut menyaksikan jumlah kenderaan yang berkurangan berbanding biasa.

Sementara itu, laman twiter Plusline pada jam 8.25 pagi tadi turut melaporkan aliran trafik di Lebuhraya PLUS dan Lebuhraya Lingkaran Tengah (ELITE) bergerak lancar.

Cuti Tahun Baharu Cina yang jatuh pada 5 dan 6 Febuari (Selasa dan Rabu) ini mendorong warga kota mengambil kesempatan mengambil cuti panjang untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.