Categories
EXCO SELANGOR

Sambutan perayaan peluang kenali pelbagai budaya

SHAH ALAM, 25 JAN: Kepelbagaian sambutan perayaan di negara ini membolehkan rakyat lebih mengenali budaya masyarakat berbilang kaum, kata EXCO perumahan dan kehidupan bandar.

Haniza Talha berkata ia sekali gus membolehkan jati diri masyarakat Malaysia dipupuk dengan budaya saling menghormati antara satu sama lain.

“Sasterawan Negara Usman Awang di dalam puisinya bertajuk ‘Pemuda dan gadis Tionghua’ menyebut, ‘Bukankah kecurigaan telah terbunuh ketika kita bersapa’.

“Oleh itu marilah kita raikan kepelbagaian kaum dan budaya ini dengan penuh kesyukuran, kerendahan hati dan saling menghormati,” katanya menerusi hantaran di Facebook sempena Tahun Baharu Cina hari ini.

Haniza berkata Kerajaan Negeri sentiasa berusaha memastikan kesemua polisi dilaksana dapat menambah baik kualiti kehidupan rakyat tanpa melihat perbezaan latar belakang kaum mahupun agama.

“Marilah kita berganding tangan serta bahu menuju kembali ke arah keharmonian yang sebenarnya dan ikhlas daripada sanubari setiap jiwa rakyat Malaysia,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA

Perutusan Dato’ Menteri Besar sempena Tahun Baru Cina

Saya mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina 2020 kepada seluruh masyarakat Tionghua khususnya di Negeri Selangor Darul Ehsan.

Sambutan Tahun Baru Cina kali ini amat bermakna kepada semua kerana ia memberi peluang untuk mengeratkan silaturrahmi antara kawan dan keluarga.

Menurut kiraan zodiak Cina yang mempunyai 12 haiwan, Tahun Baru Cina 2020 merupakan tahun tikus, khususnya tikus besi yang mempunyai sifat-sifat berdisiplin, cermat, rajin dan pintar.

Astrologi Cina berkait rapat dengan Kalendar Cina juga menjadi antara panduan sambutan Tahun Baru sejak dulu lagi dan amat bermakna kepada masyarakat Tionghua.

Di Selangor, Kerajaan Negeri mempunyai iltizam sentiasa berdisplin dan rajin bekerja demi memastikan tiada sesiapapun ditinggalkan atau ‘No one will be left behind’ dalam meningkatkan daya ekonomi negeri.

Pada masa yang sama, kerencaman Negeri Selangor sebagai negeri contoh di Malaysia perlu dipelihara demi anak cucu kita.

Saya sedar bahawa terdapat beberapa kumpulan dan individu yang mempunyai agenda tertentu demi menggunakan perbezaan etnik sebagai jalan untuk memecah-belahkan masyarakat kita.

Namun, saya amat yakin bahawa rakyat Selangor Darul Ehsan mampu mengetepikan pengaruh begini dan ‘take the higher road’ apabila berdepan dengan perbuatan yang tidak bertanggungjawab.

Bagi tahun ini, saya bertekad untuk meningkatkan lagi prestasi ekonomi Negeri Selangor sambal memastikan aspek sosial dijaga, khususnya pendidikan dan keselamatan.

Misalnya, Belanjawan Selangor 2020 yang saya bentangkan pada 1hb November memperuntukan 5,000 CCTV pengimbas wajah ataupun ‘facial recognition’ yang akan dipasang di kawasan ‘hotspot’ sebagai langkah mengurangkan jenayah dan meningkatkan keselamatan di seluruh negeri.

Pendidikan juga diberi penekanan dari segi Program Tuisyen Rakyat Selangor yang akan memanfaatkan 10,000 pelajar dan bermula dari peringkat UPSR.

Selain itu, program Selangor Bitara juga akan memfokus bantuan kepada pelajar Tingkatan 4 yang cemerlang untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Inisiatif Peduli Rakyat seperti Skim Peduli Sihat diteruskan dan ditambah dengan bantuan bagi penyakit Tuberculosis serta program pencegahan penyakit denggi.

Saya percaya langkah-langkah seperti ini akan mengurangkan beban kewangan kepada rakyat serta memberi platform kepada semua untuk menjadikan tahun 2020 amat cemerlang.

Sempena Tahun Baru Cina ini, saya mengajak seluruh rakyat untuk menghargai kerencaman budaya dan kepercayaan di negeri kita dan memeliharanya demi kemakmuran Selangor.

Dari keluarga saya kepada masyarakat Tionghua, saya berharap sambutan kali ini diraikan dengan penuh kebahagiaan dan kegembiraan.

Xin Nian Kuai Le, Kung Hey Fat Choi.

Xin Nian Jin Bu, Fu Shou Shuang Quan

 

YAB Dato’ Seri Amirudin Shari

Dato’ Menteri Besar Selangor

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Kunjungan MB saat dinanti Raymond rai Tahun Baharu Cina

GOMBAK, 24 JAN: Dato’ Seri Amirudin Shari menamatkan jelajah kasih sempena Tahun Baharu Cina di kawasan Dewan Undangan Negeri Sungai Tua dengan mengunjungi kediaman pemilik Sri Ternak Group Sdn Bhd di Taman Selayang Indah di sini hari ini.

Dato’ Menteri besar tiba pada kira-kira 4 petang bersama isteri, Datin Seri Masdiana Muhamad dan anak-anaknya untuk meraikan kemeriahan Gong Xi Fa Cai dirayakan masyarakat Tionghua dengan menyertai Datuk Raymond Ho Cheng Hann sekeluarga sambil diiringi tarian singa serta irama gendang bagi menyambut ketibaannya.

Dalam kunjungan hampir dua jam itu, Amirudin dan tetamu lain berkesempatan menggaul dan menikmati Yee Sang, makanan tradisional masyarakat Cina sebagai lambang kesejahteraan serta panjang umur.

Dato’ Seri Amirudin Shari bersama tetamu semasa mengunjungi Ketua Pegawai Eksekutif Sri Ternak Group of Companies, Dato’ Raymod Ho di Taman Melati sempena sambutan Tahun Baharu Cina di Taman Selayang Indah, Batu Caves pada 24 Januari 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Raymond berkata pimpinan tertinggi negeri dan keluarga tidak pernah melepaskan peluang datang ke rumahnya setiap kali perayaan itu serta menyifatkan Amirudin sebagai pemimpin berjiwa rakyat.

Katanya, kedatangan Ahli Dewan Negeri Sungai Tua menjadi detik paling dinanti kerana mengenali antara satu sama lain dalam tempoh lama sebelum Amirudin dilantik sebagai Dato’ Menteri Besar.

“Sudah tentu saya terharu dan kagum kerana beliau kerap turun padang bertemu rakyat, apatah lagi tidak pernah melupakan kenalan rapatnya pada musim perayaan dan saya menghargai persahabatan ini,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Aktivis masyarakat teruja MB luang masa rai Tahun Baharu Cina

BATU CAVES, 24 JAN: Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyerlahkan keperibadiannya yang baik dan dekat dengan rakyat apabila mengunjungi kediaman masyarakat Tionghua sempena Tahun Baharu Cina, kata Dave Lee Kean Aun.

Setiausaha kawasan rukun tetangga Taman Samudera berkata kedatangan beliau ke rumahnya amat mengembirakan dan ia kunjungan kali keduanya kerana pernah berbuat perkara sama tahun sebelum itu.

“Kami sekeluarga mengalu-alukan kehadiran Amirudin serta berbesar hati dapat bertemu secara dekat walaupun tahu kesibukannya dalam menguruskan pentadbiran negeri, namun tanggungjawab serta tugas diamanahkan rakyat dilaksana sebaik mungkin.

“Beliau sentiasa bertemu dan mendengar setiap permasalahan rakyat. Saya juga bangga dengan komitmen ditunjukkan dalam menyelesaikan setiap isu yang timbul,” katanya ketika ditemui pada Jelajah Dato’ Menteri Besar sempena Tahun Baharu Cina 2020 di Taman Samudera Utama di sini hari ini.

Terdahulu, Amirudin dan isteri Datin Seri Masdiana Muhamad tiba pada jam 10.30 pagi dan meluangkan masa hampir 30 minit bertanya khabar sambil menikmati kuih muih dihidang keluarga aktivis masyarakat terbabit.

Sebelum itu, Ahli Dewan Negeri Sungai Tua mengunjungi kediaman seorang lagi aktivis, Ah Lian di Selayang Baru.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Jangan biar perkara remeh gugat keharmonian kaum

KUALA LUMPUR, 24 JAN: Rakyat Malaysia tidak harus membiarkan perkara remeh menjadi penyebab mereka membenci satu sama lain dan sebaliknya perlu berusaha mengukuhkan lagi hubungan antara kaum di negara ini, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau menegaskan rakyat perlu berwaspada dengan penghasut yang mempunyai agenda jahat bertujuan memecah-belahkan keharmonian kaum di Malaysia.

“Jika kita tidak rasional dan mula membenci satu sama lain hanya kerana perkara yang remeh, maka puak-puak jahat ini pasti menganggap mereka telah berjaya,” kata perdana menteri dalam ucapan sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2020.

Dr Mahathir menarik perhatian bahawa kekuatan negara ini sebenarnya terletak pada sikap matang rakyat yang tidak mudah termakan dakyah penghasut.

Beliau berkata setelah berdekad lamanya, masyarakat menerima hakikat bahawa Malaysia ialah negara berbilang kaum yang memerlukan toleransi antara mereka dan hidup mesra dalam kalangan jiran dan rakan taulan.

“Kita tidak mahu membiarkan negara ini porak peranda dengan kebencian kaum,” tegas beliau.

Dalam ucapan itu, Dr Mahathir berkata perasaan syukur perlu dizahirkan kerana negara tidak menyaksikan rusuhan dan peperangan seperti yang dilihat di beberapa negara lain.

“Realitinya, Malaysia pada hari ini adalah aman dan rakyat dapat hdup dengan harmoni antara satu sama lain,” katanya sambil menambah ini satu kemenangan besar bagi setiap warganegara Malaysia.

Masyarakat Malaysia, katanya, hidup bersatu padu dan saling membantu dan bekerjasama walaupun berlainan kaum atau agama selain boleh bekerja di sesebuah organisasi tanpa mengira keturunan kerana sikap sayangkan keamanan yang dimiliki mereka.

“Ini adalah satu rahmat yang mungkin kita tidak sedar. Tapi percayalah, Malaysia tidak akan maju, aman dan tenang seperti sekarang jika terdapat konflik perkauman berpanjangan,” kata Dr Mahathir.

Perdana menteri seterusnya memberitahu bahawa kerajaan mempunyai cara untuk menguatkan ekonomi negara, namun ia memerlukan sedikit masa dan kesabaran rakyat, terutama pihak swasta.

Dr Mahathir menarik perhatian bahawa pertumbuhan ekonomi Malaysia tahun ini yang diunjurkan antara 4.3 peratus dan 4.8 peratus juga masih memberangsangkan, dan menjadi antara negara dengan kadar pertumbuhan yang tinggi berbanding negara lain di Asia.

“Kita sedar ekonomi negara kita masih kecil, tetapi pertumbuhan menggalakkan ini adalah bukti rakyat negara kita boleh berganding bahu menjayakan pembangunan Malaysia.

“Apabila negara stabil dan rakyatnya cukup kemahiran untuk bekerja, pelabur dari dalam dan luar negara juga tertarik untuk melabur di Malaysia,” kata perdana menteri.

Kerajaan, katanya, meluluskan pelaburan berjumlah RM149 bilion dalam sembilan bulan pertama 2019, nilai yang lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

“Ini kerana kerajaan lebih aktif dalam menarik pelabur untuk melabur di Malaysia,” ujar Dr Mahathir sambil berkata ini secara tidak langsung dapat menjana peluang pekerjaan yang banyak untuk negara.

Mengakhiri ucapan itu, beliau dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali menggesa masyarakat Malaysia agar meneruskan tradisi kunjung mengunjung ke rumah rakan yang mengadakan rumah terbuka, dan mengucapkan Gong Xi Fa Cai kepada kaum Cina.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tahun Baharu Cina: BESRAYA, NPE, LEKAS tawar diskaun 10 peratus

KUALA LUMPUR, 24 JAN: Pihak Pengurusan Divisyen Tol IJM menawarkan diskaun tol 10 peratus bagi kenderaan kelas satu di tiga lebuh raya kendaliannya sempena perayaan Tahun Baharu Cina, esok.

Diskaun tol itu melibatkan Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA) di Plaza Tol Mines dan Plaza Tol Loke Yew, Lebuhraya Baru Pantai (NPE) (Plaza Tol Pantai Dalam dan PJS 5) dan Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) (Plaza Tol Ampangan).

Ketua Pegawai Operasi Divisyen Tol IJM Wan Salwani Wan Yusoff berkata pemberian diskaun berkenaan akan berkuat kuasa bermula pukul 12 tengah malam ini sehingga 11.59 malam esok.

“Pemberian diskaun ini adalah sebagai inisiatif tanggungjawab korporat sempena perayaan Tahun Baharu Cina bagi pengguna lebuh raya yang ingin mengambil kesempatan bercuti bersama keluarga,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, Wan Salwani turut menyarankan pengguna yang ingin menuju ke selatan menggunakan Lebuhraya LEKAS sementara ke pantai timur pula boleh menggunakan Lebuhraya Besraya melalui Plaza Tol Loke Yew untuk ke Jalan Lingkaran Tengah 2 Kuala Lumpur (MRR2).

Untuk merancang perjalanan lebih baik, pengguna lebuh raya boleh mengikuti Twitter @BESRAYAtrafik, @NPEtrafik dan @LEKAStrafik.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tahun Baharu Cina: PLUS tawar diskaun 20 peratus

SHAH ALAM, 24 JAN: Pengguna Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) berpeluang menikmati diskaun tol sebanyak 20 peratus pada 25 Januari ini sempena Tahun Baharu Cina.

Pengarah Urusan PLUS Malaysia, Datuk Azman Ismail berkata pengguna lebuh raya akan diberi diskaun 20 peratus ketika membayar tol antara jam 12 tengah malam hingga 11.59 malam, lapor Berita Harian.

“Jika pengguna memasuki lebuh raya jam 7 malam pada esok dan keluar lebuh raya serta membuat bayaran pada jam 12.15 pagi pada Sabtu ini mereka layak menikmati diskaun berkenaan,” katanya.

Diskaun itu diberikan kepada pengguna kenderaan persendirian.

Lebuh raya yang terlibat adalah:

– Lebuhraya Utara-Selatan
– Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE)
– Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH)
– Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE)
– Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua)
– Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE)
– Jambatan Pulau Pinang
– Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2)

Categories
RENCANA WAWANCARA

Tuah tikus logam: Bijak rebut peluang, penuhi azam 2020

Rebut apa sahaja peluang yang ada pada 2020 — kunci bagi kejayaan rakyat Selangor tahun ini, begitu nasihat pakar metafizik Cina Datuk Joey Yap yang merujuk feng shui untuk Tahun Tikus Logam.

Tahun Baharu Cina, yang berasaskan zodiak 12 haiwan termasuk tikus, bermula 25 Januari ini. Babi dan lembu masing-masing mewakili simbol 2019 dan tahun depan.

Ramalan berdasarkan falsafah Cina purba itu pasti membawa makna tertentu dalam kalangan penganut kepercayaan berkenaan dan juga mereka yang meminati ramalan zodiak.

Meramalkan cabaran dan peluang tahun tikus kepada Selangor Journal, Yap berkata warga negeri ini bakal berdepan perubahan mendadak dan mereka perlu berhati-hati serta tidak hilang fokus.

“Sebahagian kita akan berdepan cabaran seperti tahun lepas. Namun, bagi mereka yang berjaya maju dalam suasana mencabar, tahun ini pasti lebih mengujakan,” katanya, yang menghasilkan lebih 180 buku berkaitan metafizik Cina.

“Daripada hanya menunggu untung nasib, lebih baik setiap orang mengembang kebolehan sedia ada dan menambah kemahiran baharu pada tahun ini. Mereka yang mudah menyesuaikan diri dan suka inovasi mempunyai kelebihan.”

Pengasas Akademi Kepakaran Metafizik Cina dan ketua perunding Joey Yap Consulting Group yakin sesiapa yang mampu membuat penyesuaian dan inovasi bakal memiliki kelebihan.

Beliau juga percaya Tahun Tikus adalah masa terbaik untuk Kerajaan Negeri menyediakan pelan alternatif berkaitan ekonomi dan pentadbiran dalam semua sektor bagi mengekalkan kemampanan.

“Ini masa terbaik untuk pentadbiran negeri membuat pelaksanaan dan keputusan dengan penuh kewaspadaan kerana ekonomi ‘kelihatan’ baik. Namun, ia mungkin baik di permukaan sahaja kerana kita percaya ada kekurangan dari unsur logam, yang melambangkan kekayaan,” katanya.

Beliau beranggapan strategi paling ampuh bagi mendepani persekitaran itu adalah dengan memanfaatkan setiap peluang yang datang.

Tambahnya, 12 haiwan dalam zodiak Cina boleh dibahagikan kepada tiga kumpulan sifat individu: penuh semangat dan bercita-cita, pemberi dan berkembang maju.

Simbol harimau, babi, kuda dan monyet dikategori dalam kumpulan yang penuh semangat dan bercita-cita. Mereka dianggap boleh berkembang maju jika mereka belajar mengatasi cabaran dan menyesuaikan diri dengan perubahan sekeliling.

“Hanya dengan itu tahun (tikus) ini membawa perubahan dalam banyak aspek kehidupan mereka,” kata Yap lagi.

Naga, tikus, anjing dan ular pula dalam kumpulan pemberi. Tahun 2020 dianggap menarik untuk mencapai persahabatan baharu, jaringan baharu dan permulaan baharu. Tahun ini juga diyakini masa terbaik untuk mereka mampu melangkah jauh dan menjadi pemimpin yang baik.

Mereka yang dilahirkan pada zodiak kambing, ayam, lembu dan arnab pula diyakini dapat berkembang maju pada tahun ini. Bagi lembu dan ayam jantan pula, mereka mampu mengubah situasi negatif menjadi hasil positif.

Categories
AGENSI SELANGOR

Sultan Selangor: Kongsi kebahagiaan rai Tahun Baharu Cina

SHAH ALAM, 23 JAN: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa bangga hidup dalam negara berbilang kaum dan rakyat berkongsi kebahagian meraikan sambutan Tahun Baharu Cina.

Baginda bertitah sambutan itu menjadi bahagian penting dalam landskap budaya Malaysia dan semua pihak perlu menghargai kemajmukan masyarakat yang harmoni serta meraikan kebebasan yang diperoleh.

“Beta gembira perayaan ini diraikan dalam perpaduan yang sangat diperlukan lebih-lebih lagi dalam keadaan semasa dan iklim politik hari ini.

“Beta berharap ini akan menjadi satu peluang untuk membawa rakyat bersama menjadi pemangkin ke arah negara maju,” titah baginda dalam perutusan sempena Tahun Baharu Cina 2020.

Baginda dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin turut mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada semua lapisan masyarakat.

Tahun Baharu Cina akan disambut oleh masyarakat Tiong Hua pada 25 Januari ini.

Categories
RENCANA WAWANCARA

Usia cecah satu abad bukan penghalang urus diri sendiri

KUALA TERENGGANU, 23 JAN: Berusia hampir satu abad, warga emas ini bukan sahaja mampu menguruskan dirinya sendiri malah masih kuat melakukan pelbagai aktiviti seperti menjahit dan memasak.

Bukan itu sahaja, Lim Seng, 99, atau mesra disapa Po Po (bahasa Mandarin bermaksud nenek) Lim turut ligat bermain Mahjong yang sememangnya memerlukan ketajaman akal fikiran dan daya ingatan yang kuat.

Lim berkata, beliau juga sentiasa mengamalkan pemakanan yang sihat dengan makan banyak sayur untuk sentiasa awet muda dan mengurangkan pengambilan makanan yang berminyak.

“Dahulu saya buka kedai makan dan memang setiap hari kena kerja kuat jadi badan banyak bergerak dan mengeluarkan peluh. Mungkin sebab itu boleh sihat sampai sekarang, katanya ketika ditemui Bernama di kedai makan miliknya yang kini diuruskan anaknya Poh Tik Heng, 70, dan menantu Fu Sek Sue, 63, di Kampung Cina, di sini.

Kini meskipun mengalami masalah penglihatan pada mata kanannya Lim masih mampu berjalan di sekitar Kampung Cina dan bertemu rakan-rakan.

Lim, yang mudah tersenyum dan ketawa itu, turut dikenali dengan sikapnya yang menjaga penampilan setiap hari, walaupun hanya berada di rumah.

Lim Seng, 99, sedang melihat pokok bunganya bagi persiapan awal menjelang Tahun Baharu Cina ketika ditemui Bernama di kediamannya di sebuah rumah kedai di Kampung Cina. Foto BERNAMA

Beliau akan memastikan pakaian yang dipakainya sentiasa kemas, sering mengenakan bedak di muka, memakai minyak wangi dan rambutnya akan disisir serta disanggul rapi.

“Saya tinggal di tingkat atas (tingkat atas kedai makannya), setiap kali hendak turun atau keluar akan ambil masa paling kurang setengah jam untuk bersiap. Sehingga anak saya pun ‘pening’ dengan saya. Mereka cakap saya ‘jangok’ (melawa),” katanya sambil ketawa.

Katanya, meskipun sudah berusia namun ia bukan alasan untuk dirinya mengabaikan penjagaan diri dan penampilan, apatah lagi beliau sememangnya suka berhias sejak muda lagi.

Lim, yang berhijrah ke Terengganu dan tinggal di Kampung Cina sejak 70 tahun lepas setelah mengikut mendiang suami Poh Chew Say yang bekerja membawa kapal laut, turut berkongsi rasa terujanya menantikan kedatangan Tahun Baharu Cina ini.

Walaupun kebanyakan persiapan Tahun Baharu Cina dibuat oleh anak dan cucunya, namun setiap tahun Lim akan menyediakan menu Ayam Kam Heong untuk dinikmati keluarganya pada acara tradisi makan besar nanti.

“Selalunya apabila berkumpul saya selalu beri nasihat kepada ahli keluarga supaya sentiasa hidup dengan baik jangan bergaduh serta tidak sesekali mengeluarkan kata-kata yang tidak elok kepada sesiapa sahaja,” katanya yang mempunyai tiga orang anak, 11 cucu dan enam cicit.

Lim turut mengimbau kenangannya meraikan Tahun Baharu Cina pada masa dahulu yang mana kemeriahannya lebih dirasai berbanding kini.

“Dahulu dua tiga hari sebelum raya akan nampak ramai gadis pakai baju (Cheongsam) cantik-cantik, bersolek dan berkasut tumit tinggi. Tapi orang sekarang lebih gemar memakai pakaian moden yang ringkas dan tidak lagi bersolek.

“Taraf hidup masyarakat pun semakin berubah. Dahulu hendak makan ayam hanya setahun sekali bila raya (Tahun Baharu Cina) sahaja, sekarang hari-hari pun boleh makan ayam,” katanya.

Ditanya mengenai harapan sempena Tahun Baharu Cina ini, Lim berharap beliau terus dikurniakan kesihatan yang baik dan sentiasa bergembira di samping keluarga.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

8,000 anggota bomba bertugas sempena Tahun Baharu Cina

IPOH, 22 JAN: Lebih 8,000 anggota dan pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) ditugaskan sepanjang musim perayaan Tahun Baharu Cina ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Soiman Jahid berkata ia bagi memastikan keselamatan rakyat terjamin sepanjang musim perayaan yang akan disambut Sabtu ini.

“Di samping kita menjalankan rondaan di jalan dan lebuh raya utama, kita juga akan membuat pemeriksaan di premis perniagaan yang dikunjungi orang ramai bagi memastikan ia selamat dikunjungi.

“Untuk di lebuh raya kita tiada ‘hotspot’, kita biasanya mendapatkan maklumat di mana keperluan untuk pasukan bomba bersiap sedia termasuk di plaza tol atau kawasan rehat dan rawat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Latihan dan Pengukuhan Pemantapan Jati Diri dan Khidmat Sosial JBPM di Rumah Warga Emas Ikhtiar Selesa Villa di sini, hari ini.

Pada majlis itu, JBPM Perak serta kakitangan Cawangan Pengurusan Kewangan JBPM menjalankan gotong-royong membersih dan mengecat kawasan rumah jagaan itu serta memberi sumbangan berupa barangan keperluan sebagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Rumah Warga Emas Ikhtiar Selesa Villa yang ditubuhkan pada tahun 1999 itu mempunyai 17 orang penghuni tetap.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Petaling Street tumpuan beli-belah hiasan Tahun Baharu Cina

KUALA LUMPUR, 12 JAN: Tanglung, pelbagai jenis bunga, pokok oren atau kumquat, pelekat kaligrafi Cina serta kain rentang dan barang perhiasan lain yang kebanyakannya berwarna merah memenuhi kedai di kawasan Chinatown, Petaling Street di sini.

Kira-kira dua minggu lagi menjelang sambutan Tahun Baharu Cina, aroma buah berangan bakar dan daging salai serta berlatarbelakangkan bunyi muzik tradisional Cina, jelas memeriahkan lagi suasana di Petaling Street yang menawarkan pelbagai barangan untuk menyambut perayaan itu.

Orang ramai dilihat sibuk keluar masuk di setiap kedai untuk melihat trend terbaru barang perhiasan sebelum membelinya untuk menghiasi rumah mereka bagi meraikan Tahun Baharu Cina.

Yong Yin Ping, pembantu jualan di iDecor Home Sdn Berhad di Petaling Street, berkata setiap hari lebih 100 pelanggan mengunjungi kedai itu yang menawarkan barang perhiasan yang terdiri daripada pelbagai bentuk dan saiz.

“Sebaik sahaja kedai dibuka pada 9.30 pagi, ramai pelanggan termasuk keluarga akan masuk untuk melihat dan membeli barang perhiasan,” katanya kepada Bernama di sini.

Beliau berkata hujung minggu dilihat menjadi pilihan ramai untuk membeli-belah keperluan mereka bagi meraikan Tahun Baharu Cina yang akan disambut pada 25 Januari ini.

Bersempena Tahun Tikus mengikut kalendar Cina, Yong berkata karakter kartun Mickey dan Minnie Mouse turut mendominasi barang perhiasan Tahun Baharu Cina dan menjadi pilihan popular dalam kalangan pelanggan.

Selain itu, katanya pelanggan turut memilih pelekat dan barang mainan mewakili tikus, haiwan pertama dalam kitaran 12 bulan dalam zodiak Cina.

Pelanggan turut membeli tanglung yang kini ditawarkan dalam pelbagai warna selain tanglung tradisional berbentuk bulat berwarna merah.

Di sebuah lagi kedai yang menjual barangan dan peralatan Tahun Baharu Cina, Nu Lycie Sdn Bhd, pelanggan dilihat memilih barang perhiasan dengan perkataan dan simbol yang mewakili aura positif.

“Pelanggan kami memilih membeli pelekat dan kain rentang yang mengandungi perkataan yang akan membawa tuah seperti ‘Wang Masuk’, ‘Kemakmuran’ dan ‘Kegembiraan’,” kata Pengurus Jualannya Lai Wai Meng.

Kedua-dua kedai turut menawarkan diskaun antara 30 hingga 50 peratus dan melanjutkan masa operasi termasuk Ahad sehingga Tahun Baharu Cina.

Pelanggan turut mempunyai pilihan untuk membeli-belah sempena sambutan Tahun Baharu Cina di banyak lagi kedai di Petaling Street.

-BERNAMA