Categories
NASIONAL

Abdul Khalid : Pengalaman Akan Membantu Saya di Bandar Tun Razak

mb taman connaught 01

KLANG 25 APR : Pengalaman dan perkhidmatan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menjadi Ahli Parlimen Bandar Tun Razak sejak lima tahun lalu diyakini membantunya untuk mempertahankan kerusi tersebut untuk satu lagi penggal.

Sekalipun berdepan tiga pencabar lain, Abdul Khalid yakin pengundi dapat menilai prestasi, pengalaman dan kebolehannya sebagai wakil rakyat untuk dijadikan kayu pengukur dalam Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) nanti.

“Pengalaman dan ‘network’ saya adalah lebih besar dan saya juga berkebolehan untuk menyelesaikan masalah.

“Saya bukan sekadar mendengar sahaja dan ini sudah dibuktikan dan inilah juga yang tidak ada pada muka-muka baru,” jelasnya.

Mengulas strateginya untuk kekal sebagai MP, lebih-lebih lagi ketika berdepan lawannya, Tan Kok Eng (BN) yang dikatakan lebih mesra pengundi muda, Abdul Khalid berkata beliau yakin golongan itu lebih bijak membuat pilihan.

“Mereka (golongan muda) bukan hendak lihat kemesraan, tetapi yang mereka mahu lihat adalah samada (calon) boleh bekerja atau tidak untuk mereka,” ujarnya lagi.

Selain Kok Eng, Menteri Besar Selangor ini juga menghadapi tentangan daripada dua lagi calon bebas iaitu, Mohd Sukeri Abdul Samat dan Mokhtar Salahudin.

Pada tahun 2008, Abdul Khalid menewaskan lawannya Datuk Tan Chai Ho (BN) dengan majoriti 2, 515 undi setelah memperolehi 28, 123 undi.

Categories
NASIONAL

Abdul Khalid Dicadang Terus Pertahan Kerusi Parlimen Bandar Tun Razak

BANDAR TUN RAZAK, 28 OKT : Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dicadang terus mempertahankan kerusi Parlimen Bandar Tun Razak dalam Pilihan Raya Umum yang akan datang.

Perkara ini dinyatakan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berceramah dalam program Jelajah Rakyat di Sungai Besi pagi tadi.

Anwar berkata, beliau yakin kecekapan dan ketokohan Abdul Khalid serta prestasi memberangsangkan dalam mentadbir Negeri Selangor rakyat akan terus memberikan sokongan kepada Pakatan Rakyat (PR).

Katanya, beliau berkeyakinan anggota tentera di Bandar Tun Razak turut juga akan memberikan sokongan dan undi kepada Pakatan Rakyat dalam PRU-13 ini.

“Saya mahu isytihar hari ini Parlimen Bandar Tun Razak bagi pihak Pakatan Rakyat, saya masih mencadangkan Tan Sri Abdul Khalid sebagai calonnya.

“Dan saya harap saudara-saudara sekelian memberikan sokongan yang lebih kuatnya kepadanya,” kata Anwar dalam ceramahnya di Program Jelajah Rakyat di sini.

Sementara itu, Abdul Khalid dalam sidang medianya berkata, beliau mempunyai beberapa cadangan lagi yang akan dilaksanakan jika memenangi kerusi Parlimen Bandar Tun Razak dalam PRU-13.

“Saya juga akan menyediakan pucuk pimpinan pelapis selepas PRU-13 sebab jika saya menang dua penggal saya tidak patut untuk terus menjadi ahli parlimen di kawasan itu,” katanya.

Kata Abdul Khalid dengan menyediakan pemimpin pelapis maka akan akan ada sistem penerusan yang baik dalam barisan kepimpinan sedia ada.

“Saya berterima kasih rakan-rakan dalam PKR dan Pakatan Rakyat yang sentiasa memberikan sokongan dan dokongan ke atas tugas yang saya lakukan,” katanya.

Tambah beliau, pengumuman itu tidak akan menjejaskan peluang beliau untuk bertanding dalam dua kerusi dalam satu masa untuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

“Tujuan pengumuman ini adalah supaya masyarakat di Parlimen Bandar Tun Razak tertanya-tanya,” kata Abdul Khalid.

Dalam PRU-12 lepas, Abdul Khalid berjaya menewaskan calon Barisan Nasional (BN) dan penyandang kerusi Bandar Tun Razak, Datuk Tan Chai Ho dengan memenangi mendapat majoriti 2,515.

Abdul Khalid memperoleh 28,123 undi berbanding 25,608 undi yang diperolehi Chai Ho.