Categories
NASIONAL

KDN: Ada keperluan alternatif depot tahanan kanak-kanak

KUALA LUMPUR, 4 JULAI: Kementerian Dalam Negeri (KDN) melihat terdapat keperluan bagi mengadakan alternatif kepada depot tahanan untuk kanak-kanak warga asing yang ditahan Jabatan Imigresen.

Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya sudah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat baru-baru ini untuk mengadakan projek rintis bagi alternatives to detention (ATD) (alternatif untuk penahanan).

“Tetapi ini masih di peringkat perbincangan, pokoknya ialah sama ada kita ada sejumlah peruntukan yang agak besar untuk tentukan setiap tempat tahanan itu diadakan kawasan lain di bawah jagaan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

“Ini kerana mereka lebih pakar menjaga kanak-kanak, kami (agensi KDN) penguatkuasaan,” katanya menjawab soalan tambahan Maria Chin Abdullah (PH-Petaling Jaya) sama ada Malaysia akan mengikuti negara seperti Indonesia dan Thailand yang tidak lagi menahan kanak-kanak di depot Imigresen, sebaliknya diletakkan di rumah perlindungan ketika Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Muhyiddin berkata pada masa ini, kementeriannya telah meminta pihak Imigresen untuk mendahulukan penyelesaian kes melibatkan kanak-kanak berbanding kes-kes lain supaya mereka tidak perlu berada lama di depot tahanan.

“Ini SOP (Prosedur Operasi Standard) baharu, kami beri perhatian selesaikan kes membabitkan kanak-kanak dahulu sebelum kes lain,” katanya.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata kes penahanan membabitkan kanak-kanak akan dibawa ke depot tahanan untuk mengelakkan mereka ditinggalkan tanpa pengawasan orang dewasa.

Beliau berkata bagi kanak-kanak yang berusia kurang daripada 12 tahun, mereka akan ditempatkan bersama ibu, bapa atau penjaga mengikut jantina.

“Proses pengesahan dan penyediaan dokumen perjalanan oleh Perwakilan Asing dilaksanakan semasa tempoh menunggu sebelum penghantaran pulang seseorang warganegara asing ke negara asal.

“Kanak-kanak ini akan dihantar pulang bersama ibu, bapa atau penjaga setelah mempunyai tiket perjalanan pulang, dokumen perjalanan dan mendapat keputusan kes daripada Timbalan Pendakwa Raya untuk diusir pulang ke negara asal,” katanya.

Katanya, depot tahanan seperti Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil mempunyai fasiliti yang sesuai untuk kanak-kanak seperti katil, ruang bermain (taska) dan taman permainan.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Peralihan kuasa: Pertikaian antara pemimpin PKR, BERSATU pandangan individu

JELEBU, 22 JUN: Pertikaian antara beberapa pemimpin PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berhubung peralihan kuasa perdana menteri, adalah pandangan individu dan bukannya pendirian parti, kata Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau menjelaskan kesemua empat parti dalam Pakatan Harapan (PH) mempunyai pendirian mengenai perkara itu yang dipersetujui sejak awal lagi berdasarkan perjanjian persefahaman dan ikatan yang telah diputuskan dalam PH.

“Dalam soal itu tak ada perbezaan. Kalau ada pandangan, itu pandangan individu, pandangan parti berbeza sedikit.

“Kita ada pendirian yang kita ambil sejak awal sampai sekarang. Komitmen kita buat berdasarkan perjanjian, persefahaman dan ikatan sesama parti dalam PH dan kita berpegang kepada prinsip itu,” katanya selepas Majlis Sambutan Aidilfitri PH-Bersatu Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi PH negeri, Datuk Seri Aminuddin Harun, Pengerusi Bersatu Negeri Sembilan Tan Sri Dr Rais Yatim dan timbalannya, Eddin Syazlee Shith.

Muhyiddin berkata demikian ketika mengulas tindakan beberapa pemimpin PKR dan Bersatu yang berbalas kenyataan berhubung isu peralihan kuasa antara Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.

Beberapa pemimpin PKR antaranya Pengerusi PKR Kedah, Datuk Johari Abdul, Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid dan kumpulan pendesak, Otai Reformasi memberi tekanan kepada Dr Mahathir untuk menyerahkan jawatan itu.

Bagaimanapun, Bendahari Bersatu Selangor, Mohd. Shaid Rosli hari ini secara terbuka berkata, parti itu yakin dengan kekuatan yang dimiliki dan akan mempertahankan Dr. Mahathir jika kepemimpinannya cuba digugat dengan cara tidak sepatutnya.

Dalam pada itu, Muhyiddin juga berkata, beliau yakin Bersatu akan menjadi parti lebih kuat selepas pemilihan yang akan diadakan buat kali pertama selepas tiga tahun parti itu ditubuhkan.

Katanya, pemilihan itu akan diadakan selepas mesyuarat agung luar biasa yang dijadualkan berlangsung pada bulan depan bagi meminda beberapa perlembagaan parti itu antaranya dari segi disiplin, keanggotaan dan pemilihan pada bulan depan.

“Bersatu baru ditubuhkan dan kita masih di peringkat awal dan yang penting kita laksanakan ikut sistem demokrasi, pemilihan dibuat oleh ahli terbanyak, dengan cara itu kedudukan parti lebih kukuh dan diharap keyakinan ahli kepada parti lebih kuat dan sokongan masyarakat kepada perjuangan Bersatu lebih mantap,” katanya. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Muhyiddin: Pelantikan Latheefa lalui prosedur betul

MUAR, 7 JUN: Pelantikan Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu tidak wajar dipersoalkan mana-mana pihak kerana ia mengikut prosedur yang betul.

Prosedur itu kata Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin termasuklah dari segi perlembagaan dan kuasa eksekutif.

“Benda itu (prosedur) semuanya betul. Cuma yang berbangkit sekarang ini ialah soal politik. Orang persoalkannya dan politik pula mengikut tafsiran masing-masing,” kata beliau kepada media sebagai mengulas isu itu pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Parlimen Pagoh di Dewan Orang Ramai Felda Sri Ledang di Pagoh di sini, hari ini.

Biarpun pelantikan itu dilihat sebagai satu langkah yang baik, Muhyiddin bagaimanapun berharap akan ada perbincangan terlebih dahulu diadakan bersama pemimpin Pakatan Harapan pada masa hadapan bagi memastikan golongan ini memahami sebab pelantikan.

“Ini supaya ia selari dengan apa yang telah kita kemukakan dalam manifesto,” katanya.

Pelantikan Latheefa yang diumum pada tiga hari lepas selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong akan berkuat kuasa mulai 1 Jun selama dua tahun.

Beliau menggantikan Datuk Seri Mohd Shukri Abdull yang memohon untuk memendekkan tempoh kontrak perkhidmatan beliau sebagai Ketua Pesuruhaya Suruhanjaya terbabit.

Berhubung isu Op Selamat sempena Aidilfitri pula, Muhyiddin berkata, beliau diberitahu bahawa setakat ini, kira-kira 13,000 kes kemalangan dilaporkan sepanjang operasi.

Ini sekaligus menampakkan bahawa operasi dan kempen keselamatan jalan raya yang dijalankan seakan tidak mendatangkan kesan yang mendalam bagi mengurangkan kadar kemalangan.

“Kemalangan masih berlaku mungkin kerana nak cepat balik, sampai ke destinasi dan kampung tetapi apapun, ini suatu perkara yang perlu diberi perhatian serius oleh pengguna jalan raya demi mengelakkan hal-hal ini berlaku,” katanya. – BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

KDN bakal bermesyuarat dengan wakil negeri bincang isu PATI

KUALA LUMPUR, 29 MEI: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengadakan mesyuarat bersama wakil negeri termasuk ketua kampung dan orang ramai bagi mencari jalan penyelesaian efektif menangani isu kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam negara.

Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perbincangan itu antara lain bagi mendapatkan maklum balas berhubung situasi, masalah serta keberadaan warga PATI di kawasan luar bandar dan bukan hanya tertumpu di kawasan bandar sahaja.

“KDN memerlukan kerjasama daripada semua termasuk kerajaan negeri, jawatankuasa keselamatan peringkat negeri termasuk daerah dan kampung. Jika kita dapat libatkan mereka ini semua dalam menjadi mata telinga menyampaikan maklumat, pihak kami percaya penguatkuasaan lebih berkesan dapat dilaksana kerana pendatang tanpa izin ini bukan hanya ramai di bandar, di kawasan kampung juga ramai.

“Perkara ini bukan lagi terletak di bawah isu imigresen bahkan ia kini melibatkan isu nasional, kita mahu mereka juga terlibat,” katanya kepada pemberita pada sidang media Operasi Bersepadu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Kampung Baru dan Chow Kit malam tadi.

Muhyiddin berkata, mesyuarat itu akan diadakan selepas sambutan Aidilfitri dan segala intipati yang diutarakan akan dibawa ke peringkat Kabinet untuk tindakan susulan.

Sementara itu, seramai 134 PATI ditahan dalam Operasi Bersepadu JIM di sekitar Kampung Baru dan Chow Kit malam ini.

Operasi yang diketuai Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud itu bermula pada 9.15 malam tadi diadakan di sekitar premis perniagaan di kawasan itu.

“Kira-kira 235 PATI diperiksa dan ada yang ditahan kerana kesalahan tidak mempunyai dokumen sah, salah guna pas lawatan, tinggal lebih masa, pemegang kad yang tidak diiktiraf serta lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen.

“Sepanjang tempoh bermula 1 Jan sehingga 27 Mei 2019 JIM telah melaksanakan 7,501 Operasi Penguatkuasaan di seluruh negara manakala seramai 95,029 orang diperiksa, dan hasilnya 22,473 PATI daripada pelbagai warganegara ditahan atas pelbagai kesalahan Imigresen,” katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kerajaan PH sasar 10 tahun perbaiki kepincangan

MUAR, 17 MEI: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) menyasarkan seawal 10 tahun bagi memperbaiki kepincangan yang berlaku dalam negara terutama dari segi penguasaan ekonomi dalam kalangan masyarakat.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dengan adanya inisiatif “Kemakmuran Bersama”, yang diperkenalkan kerajaan baru-baru ini, tidak akan ada satu kelompok dalam masyarakat pun, tidak kira datang dari mana pun, akan tertinggal, terbiar, tidak mencapai kemajuan, miskin, hidup papa dan susah.

“Maka sebab itulah, dengan adanya pandangan baru (Kemakmuran Bersama) yang telah dikemukakan, kerajaan kita harap dalam tempoh 10 tahun, seawal-awalnya 10 tahun, kepincangan yang berlaku dalam masyarakat dan negara kita, terutama dari segi penguasaan ekonomi akan dapat kita perbaiki,” kata beliau pada Program Penerapan Nilai-Nilai Murni pada Bulan Ramadan di luar Masjid Jamek Nurul Yakin, Gugusan Felda Maokil, dekat sini, hari ini.

Muhyiddin, yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, inisiatif yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu memperlihatkan bahawa kerajaan memahami akan tanggungjawab dalam memastikan tahap penguasaan ekonomi dalam negara dapat dilakukan menerusi pertandingan yang sihat.

“Supaya nanti tidak adalah kelompok yang maju dan dapat menguasai satu bidang yang jauh ke hadapan dan ada satu kelompok, kumpulan dalam masyarakat yang terpaksa tinggal jauh di belakang,” kata Ahli Parlimen Pagoh itu.

Justeru itu, beliau mengingatkan rakyat agar sedar dengan tugas dan tanggungjawab yang masih besar terutamanya masyarakat Islam supaya meningkatkan semangat bekerja serta mengambil peranan dan tanggungjawab terutama sempena bulan Ramadan yang mulia ini, agar tidak ketinggalan.

Muhyiddin, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Gambir itu berkata, meskipun pelbagai kejayaan telah dicapai umat Islam di negara ini, masih banyak lagi usaha dan kejayaan yang boleh dicapai dalam pelbagai bidang.

Yang turut hadir pada majlis itu Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Alwi Ibrahim.

Pada majlis itu, Muhyiddin menyampaikan surat kelulusan permohonan taraf kewarganegaraan kepada sembilan individu selain bantuan berbentuk barang keperluan dan duit raya kepada kira-kira 100 asnaf terdiri daripada anak yatim, ibu tunggal dan mereka yang tidak berkemampuan. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Mazlan Mansor Timbalan KPN baharu

PUTRAJAYA, 13 MEI: Datuk Mazlan Mansor dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara yang baharu berkuat kuasa 9 Mei, umum Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Mazlan, yang sebelum ini Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, mengisi jawatan Timbalan Ketua Polis Negara yang hampir dua bulan kosong berikutan persaraan penyandangnya, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim pada 17 Mac lepas.

Surat pelantikan kepada Mazlan, 58 diserahkan oleh Muhyiddin pada satu majlis di Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Polis Negara baharu Datuk Seri Abdul Hamid Bador.

Pelantikan itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan diangkat Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, kata Muhyiddin dalam sidang media hari ini, yang turut menyuarakan keyakinan dan kepercayaan berdasarkan pengalaman Mazlan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Kita harap pasukan polis mempunyai kepimpinan yang bagus dan tingkatkan keyakinan orang ramai terhadap apa yang dilakukan PDRM dalam meningkatkan kecekapan dan perkhidmatan, serta mengangkat martabat PDRM sebagai agensi penguatkuasaan yang disegani dan dihormati,” kata Muhyiddin.

Muhyiddin berkata Kementerian Dalam Negeri dan PDRM akan bersama menangani apa-apa perkara berkaitan isu keselamatan dalam negeri, bukan setakat menguatkuasa undang-undang tetapi menentukan pelaksanaan itu dilaksanakan dengan bijaksana dan berperkemanusiaan.

Mazlan sepanjang perkhidmatan dalam pasukan polis telah memegang pelbagai jawatan di peringkat daerah, negeri dan Ibu Pejabat Bukit Aman.

Antara jawatan yang pernah disandang Mazlan ialah Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Ipoh, Ketua Polis Negeri Melaka, Ketua Bahagian Siasatan Selangor dan Ketua Polis Selangor.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

IPCMC bukan untuk hukum polis

PUTRAJAYA, 3 MEI: Penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) bukan untuk menghukum anggota polis, tegas Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata tanggapan kononnya polis akan menjadi sasaran selepas penubuhan Suruhanjaya itu adalah tidak benar sama sekali.

“Masih ada perkara yang belum lagi diperjelas terutama mereka (polis) andaikan bahawa dengan adanya IPCMC polis akan jadi sasaran.

“… (kononnya) polis lakukan banyak kesalahan maka tertubuh IPCMC, seolah-olah to punish them… itu tidak betul,” katanya dalam wawancara bersama media sempena ulang tahun pertama kerajaan Pakatan Harapan berkaitan kementeriannya di sini.

Muhyiddin berkata, beliau telah meminta kerjasama Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed untuk mengadakan sesi penerangan khusus dengan pihak polis.

“(Melalui sesi itu) polis boleh jelaskan isu berbangkit yang mungkin mereka tidak puas hati dan perkara itu akan dibawa ke (pengetahuan) jemaah menteri.

“Mungkin soal gubal undang-undang berkaitan perlu kita (kerajaan) lakukan selepas itu,” katanya.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dilaporkan berkata Polis DiRaja Malaysia akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi mengemukakan bantahan berhubung beberapa perkara membabitkan penubuhan IPCMC.

Mohamad Fuzi, yang bakal bersara hari ini, berkata antara perkara yang diusulkan berhubung penubuhan IPCMC, terutamanya menarik kuasa Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) di bawah Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan, mendapat bantahan daripada banyak pihak dalam PDRM.

Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan mengatakan bahawa SPP yang dianggotai oleh Menteri Dalam Negeri akan bertanggungjawab atas pelantikan, promosi dan semua isu mengenai tatatertib pegawai polis.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Usah terpengaruh dakyah pihak main sentimen kaum, agama untuk politik

PUTRAJAYA, 2 MEI: Orang ramai terutamanya umat Islam diminta supaya tidak terpengaruh dengan dakyah pihak tertentu yang sengaja mengapi-apikan sentimen kaum dan agama menerusi perhimpunan yang dikatakan akan diadakan di ibu negara Sabtu ini.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perhimpunan itu jelas merupakan dakyah pihak tertentu yang mengambil kesempatan untuk meraih laba politik dengan sengaja mengapi-apikan sentimen ini.

“Saya ingin mengambil kesempatan menasihati rakyat Malaysia supaya memelihara keharmonian kaum dan agama di negara kita,” katanya dalam wawancara bersama media mengenai kementeriannya sempena ulang tahun pertama kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) di sini, hari ini.

Muhyiddin menegaskan dakwaan pihak tertentu kononnya kedudukan Islam di bawah pentadbiran PAKATAN semakin terancam adalah satu pembohongan.

“Apa yang pasti kedudukan agama Islam sebagai agama persekutuan yang telah termaktub dalam Perlembagaan Negara tidak akan berubah (di bawah pentadbiran PAKATAN),” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya memandang serius isu penghinaan terhadap Nabi Muhammad S.A.W, agama Islam dan institusi raja di media sosial.

Tindakan tegas telah diambil oleh polis dengan 53 kes telah disiasat dan daripada jumlah itu lapan individu telah dituduh di mahkamah.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menghina agama mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Lahir di Malaysia bukan syarat peroleh warganegara automatik

KUALA LUMPUR, 29 APR: Kelahiran di Malaysia tidak membolehkan seseorang individu memperoleh kewarganegaraan Malaysia secara automatik, kata Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut beliau, penyelesaian isu kanak-kanak yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri di negeri Sabah perlu memenuhi syarat yang ditetapkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Ia selaras peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan dan Citizenship Rules 1964, taraf kewarganegaraan seseorang individu ditentukan berdasarkan taraf kewarganegaraan ibu bapa kandung dan status perkahwinan yang sah mengikut undang-undang yang sedang berkuat kuasa sewaktu kelahiran berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung Perbahasan Titah Diraja pada persidangan Dewan Negara bagi kementeriannya di sini, hari ini.

Muhyiddin berkata, berhubung tindakan kementerian ke atas dakwaan terdapat 500,000 orang penduduk di negeri Sabah yang tidak memiliki kewarganegaraan, kerajaan telah menggiatkan tindakan penguatkuasaan serta pengusiran ke atas pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah.

Jelasnya, seramai 581,085 pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah telah diusir dari negara ini yang dilaksanakan bermula dari tahun 1990 sehingga 18 April lepas.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, mengenai permohonan kewarganegaraan suami warganegara asing kepada isteri warganegara Malaysia, setiap permohonan yang diterima oleh kementeriannya akan diproses dengan teliti.

Katanya, proses itu untuk memastikan setiap permohonan memenuhi syarat dan peruntukan yang ditetapkan dalam Bahagian III, Perlembagaan Persekutuan, Citizenship Rules 1964 dan perundangan yang berkuat kuasa.

Beliau berkata, permohonan kewarganegaraan oleh suami bertaraf bukan warganegara kepada isteri bertaraf warganegara Malaysia adalah melalui naturalisasi di bawah Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan.

“Dalam hal ini, pertimbangan permohonan kewarganegaraan di bawah Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan adalah berdasarkan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP).

“SOP itu diperincikan daripada peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan Citizenship Rules 1964 iaitu memenuhi tempoh kemastautinan yang dikira daripada pegangan kad pengenalan Pemastautin Tetap (MyPR) selama 12 tahun,” katanya.

Mengenai penganugerahan kewarganegaraan kepada pemegang MyPR yang berumur 60 tahun dan ke atas, Muhyiddin berkata, kementerian sedang melaksanakan tindakan segera terhadap semua permohonan kewarganegaraan tanpa mengira kaum secara berperingkat dan akan diproses dengan teliti.

Kementerian juga, jelasnya, tidak bercadang untuk memperkenalkan kad pengenalan baharu bagi kanak-kanak yang lahir di Malaysia hasil daripada perkahwinan campur.

Mengulas mengenai tindakan terhadap penularan kes-kes penghinaan kepada Institusi Beraja dan Agama Islam di media sosial, katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menyiasat 98 kes dan daripada jumlah tersebut, sembilan individu telah dituduh di mahkamah sejak 2012 hingga 20 April lepas.

“Bagi penghinaan terhadap Agama Islam dan Nabi Muhammad dalam tempoh yang sama, sebanyak 76 kes telah disiasat dan daripada jumlah itu 12 individu telah dituduh di Mahkamah,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Struktur semula pasukan tingkat prestasi PDRM – Muhyiddin

SERI KEMBANGAN, 27 APR: Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata langkah-langkah penstrukturan semula pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan juga pembubaran tiga pasukan tindakan khasnya disasar untuk menambahbaik prestasi pasukan itu, di samping mengelak pertindihan fungsi dalam kalangan unit-unit serta pasukan tindakan khasnya.

Pasukan yang dibubarkan terdiri daripada Pasukan Tindakan Khas Antimaksiat, Judi dan Gangesterisme (STAGG), Pasukan Khas Taktikal Narkotik (STING) dan Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) bertujuan bagi menstruktur semula PDRM ke arah yang lebih baik.

“Tindakan dibuat PDRM itu (pembubaran) selaras dengan usaha-usaha kerajaan dalam melakukan pembaharuan, kerana kita dapati kalau ada pertindihan fungsi-fungsi di dalam badan-badan terbabit maka ia (pasukan) tak wajar diteruskan.

“Kita yakin dengan ‘alignment’ yang baharu ini peranan PDRM akan lebih cekap dan berkesan,” katanya kepada pemberita pada majlis penyerahan sumbangan oleh Tan Sri Muhyiddin Charity Golf (TSMCG) di sini hari ini.

Pada majlis itu, Muhyiddin yang juga pengasas TSMCG turut menyampaikan sumbangan kewangan berjumlah RM50,000 kepada 10 persatuan kebajikan yang memerlukan antaranya Yayasan Orang Buta Malaysia, Rumah Kebajikan Karunai Illam dan Persatuan Microtia Atresia Malaysia.

Semalam Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dilapor berkata, sehingga kini kira-kira 60 peratus arahan pertukaran kepada pegawai serta anggota pasukan berkenaan sudah dikeluarkan secara berperingkat.

Menurut Mohamad Fuzi pembubaran pasukan itu masih belum selesai sepenuhnya kerana ia tidak boleh dilakukan secara sembarangan serta memerlukan waran untuk melakukan penstrukturan semula.

Sementara itu, semasa mengulas statistik baharu dikeluarkan badan penyelidik bebas yang merumuskan bahawa rating kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) merosot kepada 39 peratus daripada 79 peratus antara 21 Mei lepas dan 11 Mac tahun ini, Muhyiddin berkata PAKATAN akan mengambil perhatian serius mengenai perkara itu.

“Kita tahu rating tidak berapa baik, tapi masih ada banyak masa untuk kita bangunkan semula kedudukan kita dan meningkatkan prestasi. Ada banyak juga yang telah dilakukan kerajaan PH dan kita masih perlu menangani isu-isu serta masalah yang ditinggalkan oleh kerajaan tedahulu,” tambahnya.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Muhyiddin: Nama calon KPN baharu sudah diserah kepada PM

MUAR, 26 APRIL: Nama calon Ketua Polis Negara yang baharu sudah diserahkan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad beberapa minggu lalu, kata Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, nama yang ada akan diteliti oleh perdana menteri sebelum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk diperkenan.

Beliau bagaimanapun enggan menyatakan jumlah nama yang dikemukakan itu.

“Tidak penting berapa nama. Yang mustahak saya sudah bawa (kemukakan nama).

“Kalau dia (Dr Mahathir) hendak apa-apa perubahan, itu hak perdana menteri sebelum dia menghantarnya kepada Yang di-Pertuan Agong. Selepas perkenan, barulah perubahan akan dilakukan dan pengganti ditentukan,” katanya ditanya mengenai calon Ketua Polis Negara bagi menggantikan Tan Sri Mohamad Fuzi Harun yang dijadual bersara wajib bulan depan.

Muhyiddin ditemui pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Ulang Tahun ke-47 Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) peringkat negeri Johor di Hab Pendidikan Tinggi Pagoh di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal dan Ketua Pengarah Rela, Zulkifli Abidin.

Sebelum itu, Muhyiddin menyerahkan sebuah Proton Persona dan empat Proton Saga kepada Rela negeri Johor sebagai membantu mereka melaksanakan tugas dengan lebih cekap serta berkesan.

Katanya penyerahan itu merupakan sebahagian daripada 109 buah kenderaan yang akan diberikan kepada setiap Rela negeri secara peringkat, tahun ini.

Selain itu, bagi menghargai jasa anggota-anggota Rela, Muhyiddin turut menyampaikan Pingat Perkhidmatan Rela (PPR) kepada dua orang penerima iaitu Penolong Pegawai Rela Daerah Kota Tinggi, Mohd Zain Abd Razak dan Pembantu Tadbir (Pengkeranian/Operasi) Rela Muar, Noor Aishah Idris.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Pasukan petugas khas tangani pencerobohan nelayan asing

PUTRAJAYA, 24 APR: Kabinet akan menubuhkan sebuah pasukan petugas khas diketuai oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi menangani masalah pencerobohan nelayan asing di perairan negara, kata Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Selain KDN, katanya, pasukan itu turut disertai Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Luar serta tujuh agensi penguatkuasaan.

Tujuh agensi berkenaan adalah ​​​​​​​Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen, Jabatan Perikanan, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Mereka akan mengatur operasi khas dalam tempoh yang segera dan diharapkan dengan tindakan ini maka pencerobohan nelayan asing tidak terus berlaku,” katanya pada sidang media di KDN, di sini, hari ini.

Turut serta pada sidang media itu ialah Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani. Datuk Salahuddin Ayub dan Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong.

Menurut Muhyiddin, masalah pencerobohan nelayan asing terutamanya dari Vietnam pada tahun ini semakin berleluasa dengan 41 bot telah ditahan oleh APMM, manakala Jabatan Perikanan menahan sebanyak 26 bot.

“Kes ini bukan baru tetapi akhir-akhir ini semakin meningkat mengikut musim kerana sekarang musim sotong. Mereka (nelayan asing) masuk dan tidak mengendahkan undang-undang perairan antarabangsa,” katanya.

Ditanya sama ada tindakan penguatkuasaan sebelum ini kurang berkesan, Muhyiddin berkata, setiap agensi menjalankan tugas dan operasi mengikut bidang masing-masing.

“Kalau gerakan dibuat secara bersepadu, bila mereka (nelayan asing) dengar kita datang, diharapkan mereka tak berani masuk dan ceroboh peraiaran kita.

“Jika mereka ceroboh juga, dengan aset yang lebih dan tenaga manusia yang dimobilisasikan maka mungkin kita boleh tahan mereka secara lebih baik,” jelasnya.

Muhyiddin berkata, Malaysia melalui Kementerian Luar akan turut meminta pihak berkuasa Vietnam untuk menasihati nelayan mereka supaya tidak mencerobohi perairan negara.

Mengenai penglibatan SPRM, Muhyiddin berkata suruhanjaya itu dijemput supaya tidak berlaku penyelewengan dalam aktiviti penguatkuasaan yang dijalankan pasukan tersebut.

“Kita tidak pasti kalau ada elemen-elemen rasuah berlaku tetapi pastinya itu (penglibatan SPRM) cara kita hendak mengambil tindakan supaya penguatkuasaan dapat dijalankan dengan lebih berkesan,” katanya.

Dalam pada itu, Salahuddin berkata pencerobohan nelayan asing menyebabkan negara kehilangan hasil laut sehingga RM6 bilion setiap tahun.

Beliau turut menjelaskan bahawa kementeriannya tidak pernah memberi lesen atau permit kepada nelayan asing untuk menangkap hasil laut dalam kawasan perairan negara.

“Mungkin berlaku penyelewengan di mana mereka mempergunakan lesen tertentu, tetapi secara rasminya kementerian tidak pernah memberi lesen kepada bot-bot asing untuk beroperasi,” katanya.

SUMBER: BERNAMA