Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: Thailand laksana strategi khas kawal penularan di kilang

BANGKOK, 6 FEB: Thailand melaksanakan strategi khas bagi mengekang penyebaran virus Covid-19 di kilang-kilang di Samut Sakhon, pusat penularan terkini pandemik itu negara berkenaan.

Timbalan jurucakap Kementerian Luarnya Natapanu Nopakun berkata bagi kilang-kilang yang menyediakan tempat tinggal kepada pekerja, kaedah “menutup kawasan” akan digunakan dan pekerja tidak dibenarkan meninggalkan kawasan kilang

Bagi pekerja yang tinggal di asrama di luar perkarangan kilang pula, beliau berkata “kaedah gelembung” akan digunakan dengan pegawai akan mengatur perjalanan dan pergerakan pekerja, dari asrama ke tempat kerja mereka, untuk menghalang mereka daripada bergerak ke lokasi lain.

“Strategi ‘tutup dan gelembung’ ini diharapkan dapat membantu mengawal jangkitan tempatan dalam 28 hari,” katanya pada taklimat harian Covid-19 di sini hari ini.

Selain itu, Natapanu berkata pegawai Kesihatan Awam akan meningkatkan pengesanan kes aktif di Samut Sakhon.

Beliau berkata setakat ini, terdapat lebih 140,000 pekerja di 845 kilang di Samut Sakhon telah menjalani ujian Covid-19.

Samut Sakhon, wilayah selatan Bangkok menjadi pusat penularan semasa pandemik itu yang bermula pada pertengahan Disember dengan mencatatkan 18,897 kes dan 19 kematian.

Dalam tempoh 24 jam lepas, Thailand merekodkan 490 kes baharu Covid-19, tanpa sebarang kematian, yang menjadikan jumlah keseluruhan kes positif di negara itu kepada 23,134 dengan 79 kematian.

Penolong jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Dr Panprapa Yongtrakul berkata daripada 490 kes baharu itu, 412 kes dikesan melalui pengesanan kes aktif dengan 410 di Samut Sakhon manakala masing-masing satu kes di Samut Songkhram dan Samut Prakan.

Beliau berkata 67 kes baharu merupakan mereka yang mendapatkan rawatan di hospital dan 11 lagi kes import, termasuk satu yang masuk secara haram.

“Selepas gelombang baharu Covid-19 di Thailand sejak pertengahan Disember tahun lepas, 14 wilayah masih bebas daripada Covid-19 manakala 47 wilayah tidak melaporkan kes baharu sekurang-kurangnya tujuh hari,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Thailand rekod 959 kes Covid-19 baharu, keseluruhan 14,646

BANGKOK, 26 JAN: Thailand merekodkan peningkatan kes harian Covid-19 tertinggi sejak wabak itu menular di negara itu pada Januari tahun lepas, berikutan pengesanan kes aktif di wilayah Samut Sakhon, dengan kes Covid-19 kian meningkat setelah virus berkenaan mula dikesan, pada pertengahan Disember lepas.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Thaweesilp Wissanuyothin berkata Thailand merekodkan 959 kes Covid-19 dan sifar kematian dalam tempoh 24 jam lalu, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif sebanyak 14,646 kes dan 75 kematian.

Daripada 959 kes baharu itu, katanya 937 adalah penularan tempatan termasuk 848 kes melalui pengesanan kes aktif di Samut Sakhon (760 pekerja migran dan 84 warga Thailand) dan Bangkok (empat) sementara 89 kes lain adalah pesakit yang mendapatkan rawatan di hospital serta 22 kes import.

“Peningkatan kes Covid-19 itu berikutan pengesanan kes aktif di pusat wabak terbaharu kerana ia boleh mengekang secara efektif penulara wabak berkenaan di negara ini,” katanya pada taklimat harian Covid-19 di sini hari ini.

Semalam, penolong jurucakap CCSA Dr Apisamai Srirangsan berkata Thailand merancang untuk menyaring sekurang-kurangnya 60,000 penduduk Samut Sakhon meliputi di kawasa kilang, asrama, pasar dan komuniti dalam minggu ini untuk mengekang penularan wabak Covid-19 dalam negara.

Sementara itu, Thaweesilp berkata gelombang baharu kes Covid-19 sejak pertengahan Disember telah mencecah 10,409 kes dengan 15 kematian.

Katanya, penularan terbaharu wabak berkenaan mendapati 58 peratus pesakit berusia antara 20 dan 29 tahun, mudah terdedah kepada jangkitan, diikuti mereka yang berusia antara 30 hingga 39 tahun (29 peratus).

Beliau menambah, CCSA akan mengadakan mesyuarat esok untuk membincangkan mengenai pelonggaran sekatan dan langkah-langkah di dalam negara.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: Thailand rekod satu lagi kematian, 198 kes baharu

BANGKOK, 24 JAN: Thailand merekodkan 198 kes baharu Covid-19 dan satu kematian dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah keseluruhan kes di negara itu sebanyak 3,500 dengan 73 kematian.

Penolong jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Dr Apisamai Srirangsan berkata daripada 198 kes baharu itu, 191 adalah penularan tempatan, termasuk 118 yang melibatkan mereka yang mengunjungi kawasan berisiko tinggi manakala 73 dikesan positif melalui pengesanan kes aktif.

Beliau berkata, tujuh kes diimport termasuk dua kes – seorang lelaki Myanmar dan seorang wanita Thailand – yang memasuki negara itu dari Malaysia melalui sempadan selatannya.

“Kes kematian tunggal itu melibatkan wanita warga Thailand berusia 73 tahun yang merupakan kontak rapat pesakit Covid-19 dalam keluarganya. Beliau didapati positif pada 9 Januari. Wanita yang kesihatannya merosot itu telah meninggal pada Sabtu,” katanya pada taklimat harian Covid-19 di sini hari ini.

Wabak terbaharu di Thailand bermula di pasar makanan laut di Samut Sakhon, sebuah wilayah di selatan Bangkok sejak pertengahan Disember lepas dan hingga kini telah mengakibatkan 9,263 kes dan 12 kematian.

Sementara itu, Thailand akan membenarkan sektor swasta memperoleh vaksin Covid-19, namun perlu terlebih dahulu mendapat persetujuan daripada Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) negara itu.

Jurucakap kerajaan Anucha Burapachaisri berkata Perdana Menteri Prayuth Chan-o-cha telah memberi lampu hijau kepada syarikat swasta untuk mengimport vaksin Covid-19.

“Pihak FDA akan menilai kualiti, keselamatan dan keberkesanan vaksin sebelum membenarkan syarikat swasta memvaksinasi orang ramai,” katanya sebagaimana dipetik dari The Nation English.

Pada Khamis, FDA Thailand telah meluluskan penggunaan kecemasan penggunaan vaksin Covid-19 yang dibangunkan oleh AstraZeneca Plc dan University of Oxford dan kumpulan pertama sebanyak 50,000 dos vaksin berkenaan, dijangka tiba pada Februari.

Sehingga kini, Thailand turut memesan 61 juta dos vaksin Oxford-AstraZeneca COVID-19 dan dua juta dos lagi dari Sinovac Biotech kerana ia merancang untuk memvaksinasi 50 peratus penduduknya pada akhir 2021.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: Thailand pertama kali lulus vaksin keluaran AstraZeneca

BANGKOK, 22 JAN: Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Thailand meluluskan penggunaan kecemasan vaksin Covid-19 yang dibangunkan oleh AstraZeneca Plc dan Universiti Oxford dengan bekalan pertama 50,000 dos dijangka diterima bulan depan.

Menurut akhbar Bangkok Post semalam, Setiausaha Agung FDA, Paisarn Dunkum berkata vaksin keluaran AstraZeneca dari Itali itu diluluskan pada Rabu dan lesen import dan pendaftaran vaksin tersebut sah selama setahun.

AstraZeneca merupakan penghasil vaksin Covid-19 pertama diluluskan di Thailand. Sebelum ini, FDA menerima permohonan untuk pendaftaran vaksin daripada AstraZeneca dan Sinovac Biotech Ltd dari China.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Anutin Charnvirakul berkata kumpulan pertama bekalan vaksin Covid-19 daripada AstraZeneca dijangka diterima pada minggu pertama bulan depan.

Anutin, yang juga Menteri Kesihatan Awam, berkata kumpulan pertama 50,000 dos vaksin AstraZeneca adalah sebahagian daripada 26 juta dos yang diperoleh oleh kerajaan dengan harga AS$5 (RM20.20) setiap dos.

“Rundingan sedang berlangsung untuk mendapatkan lebih banyak bekalan kerana kerajaan berhasrat memberi vaksinasi kepada 50 peratus penduduk menjelang akhir tahun ini,” katanya.

Anutin berkata beliau secara sukarela menjadi orang pertama di Thailand menerima vaksinasi Covid-19.

Thailand telah menempah 61 juta dos daripada Oxford-AstraZeneca dan tambahan dua juta lagi dos daripada Sinovac Biotech.

Dalam pada itu, Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) melonggarkan sekatan terhadap 13 jenis perniagaan termasuk pusat kecergasan, kemudahan urut tradisional dan spa bermula esok susulan situasi Covid-19 bertambah baik di ibu negara itu.

Bagaimanapun, 13 lagi jenis perniagaan dan premis termasuk sekolah dan institusi pendidikan, tempat hiburan termasuk pub dan bar, tempat rekreasi seperti taman air, taman hiburan, taman permainan dan kedai judi masih ditutup.

Setakat ini, Thailand mencatatkan 12,795 kes Covid-19 dan 71 kematian.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: Thailand perluas kesan kes aktif kekang jangkitan dalam komuniti

BANGKOK, 18 JAN: Thailand kini meningkatkan pengesanan kes aktif di wilayah yang diletakkan di bawah kawalan tinggi di negara itu bagi menghentikan penularan Covid-19 dalam komuniti.

Penolong jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Thailand Dr Apisamai Srirangsan berkata Jabatan Kawalan Penyakit (DDC) telah memperluaskan langkah pengesanan kes aktif bagi Covid-19 di Bangkok dan 27 wilayah yang merekodkan lebih 50 kes dalam penularan terkini.

“Kami berharap langkah pengesanan kes aktif akan membantu mengurangkan risiko jangkitan dalam komuniti terutama dalam kalangan kumpulan berisiko tinggi seperti warga emas,” katanya pada taklimat harian Covid-19 di sini hari ini.

Apisamai juga berkata pihak berkuasa yang berkaitan akan meningkatkan penguatkuasaan di sepanjang sempadan darat selepas timbul kebimbangan susulan peningkatan kes Covid-19 di negara jiran termasuk Malaysia.

Beliau berkata Kementerian Dalam Negeri telah menggesa gabenor wilayah di sepanjang sempadan meningkatkan pengawasan bagi mencegah kemasukan pekerja migran secara haram.

Media tempatan melaporkan bahawa peningkatan kes Covid-19 di negara jiran termasuk Malaysia dan Myanmar boleh menyebabkan rakyat Thailand serta pekerja asing melarikan diri dari negara terbabit melalui sempadan Thailand.

Pada Ahad, pihak berkuasa menahan lapan rakyat Myanmar kerana menyusup masuk ke Thailand dari Kedah melalui pusat pemeriksaan di Sadao, Songkhla untuk kembali ke negara asal mereka.

Sementara itu, Thailand telah mencatatkan sejumlah 369 kes baharu Covid-19 dengan sifar kematian dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan dalam negara itu setakat ini ialah 12,423 kes dengan 70 kematian.

Daripada jumlah kes baharu itu, Apisamai berkata 357 adalah jangkitan tempatan, termasuk 275 yang dikenal pasti menerusi pengesanan kes aktif dengan 82 kes mempunyai kaitan dengan kunjungan ke kawasan berisiko tinggi, dan 12 kes import.

“Sehingga kini, sejumlah 12,423 kes Covid-19 dilaporkan di negara ini dengan 10,134 kes adalah jangkitan tempatan termasuk 3,982 yang dikenal pasti menerusi pengesanan kes aktif dan 2,289 mereka yang kembali dari luar negara.

“Setakat ini, sejumlah 3,147 pesakit masih dirawat di hospital,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: Thailand catat 374 kes baharu, sifar kematian

BANGKOK, 18 JAN: Thailand merekodkan sejumlah 374 jangkitan baharu Covid-19 dan sifar kematian dalam tempoh 24 jam lepas menjadikan jumlah keseluruhan kes di negara itu setakat ini ialah 12,054 dengan 70 kematian.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Thailand Thaweesilp Wissanuyothin berkata daripada jumlah kes baharu itu, sebanyak 364 adalah jangkitan tempatan dengan 321 melalui pengesanan kes aktif manakala 43 lagi mempunyai kaitan dengan mereka yang berkunjung ke kawasan berisiko tinggi dan 10 merupakan kes import.

Beliau berkata Thailand yang menyaksikan gelombang kedua penularan bermula pada pertengahan Disember mencatat sejumlah 7,817 kes dengan 10 kematian.

Penularan terkini itu telah merebak ke 61 wilayah.

“Kami menjangkakan lebih banyak kes COVID-19 semasa pihak berkuasa awam meningkatkan pengesanan kes aktif di kilang-kilang di beberapa wilayah,” katanya pada taklimat harian Covid-19 di sini semalam.

Sejak penularan virus itu pada Januari tahun lepas, Thailand mencatatkan sejumlah 12,054 kes Covid-19 yang menyaksikan 9,777 adalah jangkitan tempatan termasuk 3,707 menerusi pengesanan kes aktif dan 2,277 merupakan mereka yang pulang dari luar negara.

Thaweesilp turut meluahkan kebimbangan dengan pekerja asing tidak berdokumen yang mengelak menjalani ujian saringan Covid-19 susulan khuatir tindakan perundangan diambil terhadap mereka kerana kumpulan itu boleh menyebarkan virus berbahaya tersebut.

“Kami menganggarkan sejumlah 50,000 pekerja asing haram di negara ini dan mereka berpotensi menyebarkan virus itu jika mengelak melakukan ujian saringan Covid-19 semasa pengesanan kes aktif,” katanya.

Bagi mengekang penularan Covid-19, Thailand telah membenarkan pekerja migran tidak berdokumen dari Kemboja, Laos dan Myanmar memohon permit kerja tanpa penalti bagi membolehkan pihak berkuasa memantau kesihatan mereka.

Mereka dibenarkan bekerja di negara itu secara sah sehingga Februari 2023.

Sementara itu, Perdana Menteri Prayut Chan o-Cha memberi jaminan bahawa pihak berkuasa tidak akan membuat keputusan yang terburu-buru dalam meluluskan vaksin Covid-19.

Menurut portal berita Bahasa Inggeris The Nation, Prayuth enggan membiarkan rakyat Thailand dijadikan sebagai bahan uji kaji.

“Saya mempunyai satu dasar yang penting iaitu memastikan vaksin tersebut adalah selamat dan boleh digunakan oleh rakyat Thailand,” katanya.

Thailand dijangka menerima kumpulan pertama vaksin Covid-19 daripada syarikat Sinovac Biotech dari China pada Februari.

Penghantaran pertama sebanyak 200,000 dos dijangka tiba pada akhir Februari manakala 800,000 dos pada akhir Mac dan sejuta dos lagi pada akhir April.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Thailand kesan empat beranak dijangkiti strain virus UK B117

BANGKOK, 4 JAN: Thailand semalam mengesan beberapa jangkitan varian baharu Covid-19 yang lebih pantas menular dikenali sebagai B117 dalam kalangan ahli keluarga empat beranak yang tiba ke negara itu dari United Kingdom.

Ketua Pusat Virologi Fakulti Perubatan Universiti Chulalongkorn Dr Yong Pooworavan berkata varian itu, yang pertama kali dilaporkan dikesan di United Kingdom, adalah lebih mudah berjangkit dan dipindahkan.

Beliau berkata bapa, ibu dan dua anak mereka yang melakukan perjalanan dari Kent, England kini menjalani kuarantin wajib di sebuah hospital swasta di Thailand.

“Orang ramai tidak perlu bimbang tentang strain B117 kerana pihak berkuasa kesihatan awam sedang melaksanakan semua langkah berjaya-jaga yang diperlukan bagi memastikan ia tidak menular.

“Mereka (keluarga itu) kini menerima rawatan di sebuah hospital swasta. Mereka akan didiscaj dari hospital apabila selesai menerima rawatan… Tiada risiko jangkitan varian itu di Thailand,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook hari ini.

Sementara itu, Thailand akan menguatkuasakan beberapa langkah baharu bagi membendung penularan Covid-19 di 28 wilayah berisiko tinggi (yang ditetapkan sebagai kawasan berisiko tinggi di mana lebih 50 kes Covid-19 dilaporkan) termasuk Bangkok bermula esok.

Disiarkan dalam Warta Diraja petang ini, langkah itu dilluluskan Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha termasuk larangan mengadakan perhimpunan awam dan mengehadkan waktu operasi perniagaan di wilayah berisiko tinggi.

Tiada perintah berkurung dan orang ramai dinasihatkan agar mengelak melakukan perjalanan rentas wilayah. Selain itu, mereka digalakkan bekerja dari rumah.

Bagaimanapun, gabenor wilayah boleh mengumumkan langkah bersasar bagi mengekang penularan pandemik itu di wilayah masing-masing.

Dalam tempoh 24 jam lepas, Thailand mencatatkan sejumlah 315 kes baharu Covid-19 termasuk 294 jangkitan tempatan dengan sifar kematian, menjadikan jumlah keseluruhan kes kepada 7,694 dengan 64 kematian.

Sementara itu, Samut Sakhon lokasi di mana penularan terkini bermula melaporkan sejumlah 541 kes baharu termasuk 455 pekerja asing, demikian umum pegawai kesihatannya hari ini. Kes baharu itu tidak termasuk dalam jumlah keseluruhan jangkitan hari ini.

Setakat ini, sejumlah 2,401 kes dikesan di wilayah itu sejak pertengahan bulan Disember.

Thailand menyaksikan penularan gelombang kedua pandemik berbahaya itu sejak pertengahan Disember dan ia merebak ke 53 daripada 76 wilayah di negara tersebut.

Dalam perkembangan lain, Kementerian Pendidikan mengarahkan agar semua sekolah awam dan swasta di 28 wilayah berisiko tinggi terbabit ditutup mulai esok sehingga 31 Jan.

Selain itu, semua universiti di kesemua 28 wilayah akan mengendalikan kelas secara dalam talian dan kakitangan kampus akan bekerja dari rumah.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Thailand larang perhimpunan awam di kawasan Covid-19

BANGKOK, 31 DIS: Thailand melarang semua perhimpunan awam termasuk penganjuran sambutan dan konsert tahun baharu di kawasan yang dilanda Covid-19, berkuat kuasa serta-merta dalam usaha menghentikan penularan pandemik itu.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Thaweesilp Wissanuyothin berkata perhimpunan awam dilarang di kawasan yang dikawal ketat, yang merekodkan lebih daripada 50 kes dan kawasan terkawal yang mencatatkan lebih daripada 10 kes.

Beliau berkata mengikut perkembangan terbaharu, wabak itu telah merebak ke 48 dari 77 wilayah di negara itu.

“Lonjakan jumlah kes harian Covid-19 kini agak membimbangkan. Kami tidak mahu melihat pelaksanaan perintah berkurung (lockdown) lagi,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Ketika ini, beberapa kawasan telah dilaksanakan perintah sekatan bersasar termasuk di pusat pelancongan Pattaya dan Hua Hin.

Thaweesilp berkata gabenor wilayah juga telah diberi kuasa untuk melarang penganjuran apa-apa acara dan aktiviti yang boleh menimbulkan risiko penyebaran Covid-19.

Sementara itu, pihak berkuasa juga meminta orang ramai mengelak daripada melakukan perjalanan tidak penting bagi menghalang penyebaran wabak itu.

Sejak tempoh 24 jam lepas, Thailand mencatatkan 250 kes baharu Covid-19 melibatkan 241 penularan tempatan, 29 daripadanya pernah mengunjungi ke pusat hiburan, sembilan dikaitkan dengan kluster pasar udang Samut Sakhon, tiga dari Kluster Rayong dan dua pekerja asing.

Sumber jangkitan bagi sejumlah 198 kes itu masih dalam siasatan, dengan 108 kes dilaporkan di wilayah Chonburi dan 53 di wilayah Rayong.

Setakat ini, Thailand telah mencatatkan 6,690 kes dengan 61 kematian.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: Merebak ke 45 wilayah, Thailand beri amaran kes naik

BANGKOK, 30 DIS: Pandemik Covid-19 terbaru di Thailand telah merebak ke 45 daripada 77 wilayah dalam tempoh kurang dua minggu dan pihak berkuasa kesihatan awam memberi amaran jumlah kes harian boleh melonjak kepada lima digit menjelang pertengahan Januari.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Thaweesilp Wissanuyothin berkata wabak terbaru di pasar makanan laut di wilayah Samut Sakhon sejak 18 Disember telah merebak ke 45 wilayah dengan lebih 1,300 kes direkodkan.

Beliau berkata kes harian boleh melonjak sehingga 18,000 menjelang pertengahan bulan depan sekiranya tiada langkah pencegahan diambil.

“Pelaksanaan langkah sederhana, bilangan kes harian baharu boleh mencecah 8,000 tetapi dengan langkah yang diperhebatkan, ia merekodkan 1,000 kes atau kurang. Bilangan kes baharu semakin meningkat… Kami akan kaji semula langkah yang dilaksanakan sekiranya situasi tidak terkawal,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Thailand mengesan sekurang-kurangnya tiga kluster sejak pertengahan Disember – penularannya dikaitkan dengan pasar makanan laut di wilayah barat daya Samut Sakhon, sarang perjudian haram di wilayah timur Rayong dan peminat superbike yang berkumpul di Pulau Lanta di wilayah selatan Krabi.

Thailand mencatatkan 155 kes baharu Covid-19 iaitu 134 penularan tempatan, 11 daripada pengesanan kes aktif di wilayah Samut Sakhon dan 10 kes import.

Setakat ini, Thailand merekodkan 6,440 kes dengan 61 kematian.

Dalam usaha membendung penularan Covid-19, semua pusat hiburan dan premis pertaruhan di Bangkok ditutup mulai semalam sehingga 4 Januari.

Pentadbiran Metropolitan Bangkok mengarahkan premis hiburan termasuk bar dan kelab malam ditutup manakala restoran dibenarkan beroperasi selagi tidak menghidangkan minuman beralkohol dan ditutup menjelang tengah malam.

Selain itu, trek lumba kuda dan arena sabung ayam ditutup sehingga 4 Januari.

Kabinet meluluskan peruntukan 11.3 bilion baht untuk memerangi penularan baharu itu termasuk 27.2 juta baht untuk pembelian peralatan dan kit saringan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: Lebih 1,300 kes baharu Thailand ada kait penjual di pasar

BANGKOK, 26 DIS: Wabak Covid-19 terbaru di Thailand merebak ke sekurang-kurangnya 31 wilayah dan lebih 1,300 kes dilaporkan ada kaitan dengan sebuah pasar makanan laut di wilayah barat daya Samut Sakhon.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Thaweesilp Wissanuyothin berkata pihak berkuasa kesihatan awam meningkatkan pengesanan kes aktif untuk menghentikan penularan virus yang boleh membawa maut itu.

“Sehingga kini, kami menjalankan 8,810 ujian Covid-19 dan lebih 1,300 disahkan positif.

“Kebanyakan pesakit adalah pekerja asing dari negara jiran, Myanmar dan tidak mengalami gejala,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Kes indeks di pasar makanan laut itu dipercayai penjual udang berusia 67 tahun yang didapati positif virus itu minggu lepas.

Berikutan lonjakan kes, kerajaan negara itu telah melaksanakan sekatan pergerakan dan perintah berkurung pada sebelah malam di Samut Sakhon.

Dalam tempoh 24 jam lepas, Thailand mencatatkan 81 kes Covid-19 baharu termasuk sembilan kes import manakala 72 kes tempatan yang ada kaitan dengan pasar tersebut.

Setakat ini, Thailand mencatatkan 5,910 kes Covid-19 dengan 60 kematian.

Kelmarin, Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha berkata tidak akan ada sekatan pergerakan seluruh negara di Thailand berikutan wabak terbaru itu.

Bagi membendung penularan Covid-19 secara efektif, semua wilayah dikategorikan kepada empat, iaitu amat terkawal (kawasan dengan jumlah jangkitan yang tinggi – Samut Sakhon), terkawal (lebih 10 kes disahkan), di bawah pengawasan tinggi (kawasan dengan jumlah kurang daripada 10 orang dijangkiti dan dapat mengawal keadaan) dan berada di bawah pengawasan (tidak ada kes yang dilaporkan).

Gabenor wilayah berkuasa mengeluarkan perintah untuk melarang kegiatan tertentu dan menyekat pergerakan orang dalam usaha menyekat penyebaran Covid-19.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA GLOBAL

Thailand mungkin perkenal langkah tambahan kekang Covid-19

BANGKOK, 23 DIS: Thailand mungkin memperkenalkan langkah tambahan bagi mengekang penularan Covid-19 di negara itu dengan lebih 1,000 kes dikaitkan dengan pasar makanan laut tertutup di wilayah barat daya Samut Sakhon dilaporkan sejak minggu lepas.

Dalam satu pengumuman ke seluruh negara Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha berkata, beliau akan berbincang dengan Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) sebelum sambutan tahun baru.

“Saya akan umumkan peraturan tambahan yang mungkin sesuai untuk situasi ini. Ia satu keputusan yang memerlukan rancangan yang betul,” katanya.

Dalam tempoh 24 jam, Thailand merekodkan 427 kes baru Covid-19, termasuk 397 pekerja asing di pasar makanan laut di wilayah Samut Sakhon di mana penutupan dan perintah berkurung pada waktu malam telah dikenakan sehingga 3 Januari, berikutan peningkatan kes Covid-19.

Selain itu, 16 kes lagi dilaporkan pada Selasa, juga dikaitkan dengan pasar makanan laut di lapan wilayah berbeza, termasuk lima di Bangkok. Selain itu, 14 lagi kes import dilaporkan di negara tersebut.

Sehingga kini, lebih daripada 1,000 kes dilaporkan dikaitkan dengan pasar makanan laut tertutup, di mana kes indeks dipercayai seorang penjual udang berusia 67 tahun yang diuji positif virus itu minggu lepas. Kebanyakan pesakit adalah asimptomatik atau tidak bergejala.

Thailand merekodkan 5,716 ks Covid-19 dengan 60 kematian.

Sementara itu Prayuth berkata, peningkatan Covid-19 baru-baru ini di Samut Sakhon itu disebabkan oleh pendatang asing.

“Jaringan yang membawa pendatang asing haram ke negara ini, mereka mesti dihukum tanpa sebarang pengecualian, tidak mengira sama ada mereka mungkin mereka yang berjawatan rasmi atau tidak.

“Kita perlu ingat, dengan hanya seorang atau dua yang tidak menjaga tanggungjawab sosial mereka dan bertindak cuai atau demi kepentingan diri, jutaan akan merana,” katanya.

Prayuth berkata, beliau akan terus memastikan jabatan kerajaan saling bekerjasama, mendengar nasihat pakar dan meningkatkan lagi bekalan vaksin.

“Kini pada masa ini, ketika ribut Covid-19 semakin buruk di luar negara kita, kita mesti lebih berhati-hati. Saya memohon kerjasama berterusan dan bersatu padu dalam usaha ini,” katanya.

Sementara itu jurucakap CCSA Thaweeslip Wissnuyothin berkata pihak berkuasa turut menggesa 1,000 orang daripada 22 wilayah yang pergi ke pasar makanan laut dari 1 hingga 18 Disember, untuk menjalani ujian Covid-19.

“Sesiapa yang telah ke pasar perlu menjalani ujian,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: 382 kes baharu di Thailand, tiada rancangan luas sekatan

BANGKOK, 21 DIS: Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan o-cha berkata kerajaan tidak mempunyai rancangan segera untuk memperluaskan sekatan pergerakan selepas 382 kes baharu Covid-19 dilaporkan sepanjang tempoh 24 jam lepas.

Daripada 382 kes baharu itu, 360 kes melibatkan pekerja asing di pasar makanan laut di wilayah Samut Sakhon yang sekatan pergerakan dan perintah berkurung pada sebelah malam dilaksanakan sehingga 3 Januari berikutan lonjakan kes Covid-19.

Prayuth berkata kerajaan akan memantau situasi itu selama seminggu sebelum mengambil tindakan selanjutnya.

“Keadaan adalah terkawal. Kluster baharu itu ekoran kemasukan pekerja asing secara haram. Kami berharap semuanya akan bertambah baik tidak lama lagi,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Perdana Menteri telah mengarahkan Kementerian Kesihatan Awam untuk merangka garis panduan untuk melaksanakan sekatan pergerakan sekiranya kes Covid-19 terus meningkat.

Sementara itu, jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA), Thaweesilp Wissnuyothin berkata 821 kes dilaporkan dengan kes indeks merupakan seorang penjual udang di pasar makanan laut di Samut Sakhon, sebuah wilayah di barat daya Bangkok.

“Sejumlah 360 kes didapati di asrama pekerja migran. Lebih 90 peratus pesakit baharu adalah asimptomatik atau tidak menunjukkan sebarang gejala.

“Lebih banyak kes yang disahkan dijangkakan berikutan proses pengesanan kes aktif Covid-19 dijalankan di wilayah itu,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Thaweesilp berkata semua pekerja migran di Samut Sakhon akan menjalani kuarantin susulan kebanyakan kes yang disahkan adalah asimptomatik.

Beliau juga berkata pihak berkuasa meningkatkan usaha pengesanan kontak dan sejumlah 2,707 orang telah menjalani ujian Covid-19 dalam tempoh dua hari lepas dan sedang menunggu keputusan.

Kementerian Kesihatan Awam berkata 40,000 orang akan menjalani ujian Covid-19 di Samut Sakhon dan wilayah berhampiran. Setakat ini, Thailand merekodkan 5,289 kes Covid-19 dengan 60 kematian.

-BERNAMA