Categories
AGENDA GLOBAL

Thailand buat persediaan terima rakyatnya pulang dari Malaysia

BANGKOK, 21 APRIL: Thailand sedang membuat persediaan termasuk mengadakan saringan Covid-19 yang lebih ketat di sempadannya, sebagai persediaan negara itu menerima kepulangan rakyatnya yang sebelum ini terkandas di Malaysia.

Pada masa yang sama, pihak penguatkuasaannya memperketatkan lagi rondaan di sempadan Thailand-Malaysia, bagi mengelakkan kemasukan secara haram dan mengelakkan diri daripada kuarantin mandatori.

Ini berikutan pengumuman Jabatan Imigresen Malaysia, yang kesemua warga asing dengan pas lawatan yang telah tamat tempoh perlu meninggalkan negara itu, sebelum atau pada 21 April atau berhadapan dengan tindakan.

Konsul Jeneral Thailand ke Kota Bharu Mongkol Sinsomboon berkata, rakyat Thailand dibenarkan untuk memasuki negara itu melalui empat pintu sempadan iaitu, Sungai Kolok (Narathiwat), Betong (Yala), Sadao (Songkhla) dan Wang Prachan (Satun).

Dalam usaha mengekang penularan Covid-19 beliau berkata, semua mereka yang pulang perlu menjalani saringan dan kuarantin 14 hari di fasiliti kuarantin kerajaan.

“Kami tidak pasti berapa ramai yang akan pulang (berikutan pengumuman Jabatan Imigresen Malaysia), ia agak sukar untuk anggarkan.

“Bagaimanapun, dianggarkan kira-kira 30,000 warga Thailand termasuk mereka bekerja secara haram, berada di Malaysia,” katanya kepada Bernama.

Sejumlah 230 rakyat Thailand pulang menerusi pusat pemeriksaan di sempadan Thailand-Malaysia, semalam.

Media tempatan melaporkan Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha mengarahkan agensi keselamatan di bahagian selatan untuk membantu rakyat Thailand yang terkandas di Malaysia untuk pulang ke negara itu dan mematuhi langkah-langkah pencegahan Covid-19.

Sementara itu Gabenor Songkhla Jaruwat Kliangklao berkata, sejumlah 150 rakyat Thailand yang mendaftarkan diri, telah dibenarkan memasuki ke negara itu menerusi pusat pemeriksaan sempadan Sadao.

“Kami sedang menyediakan pusat kuarantin untuk mereka yang pulang ini. Kami akan meningkatkan jumlahnya jika perlu,” katanya ketika dihubungi.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: Thailand dalam proses tambah pemerolehan vaksin

BANGKOK, 18 APRIL: Thailand kini dalam proses memperoleh lebih banyak vaksin Covid-19 setelah negara itu berdepan dengan gelombang ketiga penularan virus tersebut.

Timbalan jurucakap Kementerian Luar Natapanu Nopakun berkata pihak berkuasa merancang untuk memperoleh vaksin Covid-19 dari Amerika Syarikat dan Rusia setelah negara itu menyasar untuk menyuntik 50 peratus penduduknya pada akhir tahun ini.

“Kementerian Luar Thailand sedang dalam proses penyelarasan dengan pihak berkuasa Rusia dalam usaha mendapatkan Sputnik V,” katanya pada taklimat Covid-19 di sini.

Sebanyak 605,259 dos vaksin Sinovac dan AstraZeneca telah diberikan di negara itu dengan sebahagian besar kepada petugas barisan hadapan dan kumpulan berisiko tinggi, sejak program vaksinasi bermula pada 28 Februari.

Sementara itu, pemangku Pengarah Jabatan Kawalan Penyakit (DDC) untuk bahaya kesihatan kecemasan dan kawalan penyakit Dr Chawetsan Namwat berkata Thailand akan memulakan vaksinasi besar-besarannya pada Jun.

Beliau berkata vaksin AstraZeneca yang dihasilkan dalam negara dijangka tersedia pada Jun dengan enam juta dos ditetapkan untuk dilancarkan pada Jun diikuti dengan 10 juta dos lagi pada Julai.

Sementara itu, pengeluar biofarmaseutikal Thailand, Siam Bioscience Co Ltd semalam mengatakan bahawa kemajuan pemindahan teknologi dan pengeluaran vaksin AstraZeneca mengikut jadual.

Dalam satu kenyataan, firma itu mengatakan sampel daripada kumpulan ujian telah dihantar untuk ujian kualiti di makmal AstraZeneca yang ditetapkan di Eropah dan Amerika Syarikat.

“Hasil awal pengujian kualiti memenuhi standard global yang ditetapkan oleh AstraZeneca.

“AstraZeneca akan menyerahkan vaksin itu kepada kerajaan Thailand seperti yang dijadualkan pada Jun ini mengikut perjanjian pembelian dua hala antara AstraZeneca dan kerajaan Thailand, tanpa sebarang penglibatan Siam Bioscience dalam proses pemerolehan vaksin kerajaan,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Tiada sekatan pergerakan, perintah berkurung di Thailand walaupun kes Covid-19 naik

BANGKOK, 16 APRIL: Thailand tidak akan mengenakan sekatan pergerakan atau perintah berkurung seluruh negara meskipun jumlah kes baharu Covid-19 sekali lagi mencatat rekod tertinggi hari ini.

Dalam 24 jam lalu, Thailand mencatat 1,582 kes baharu menjadikan jumlah kes keseluruhan sebanyak 39,038 dengan jumlah kematian kekal 97.

Bagi mengelak kes terus merebak institusi pendidikan dan pusat hiburan akan ditutup selain melarang penjualan alkohol di restoran sekurang-kurangnya dua minggu bermula Ahad.

Selain itu, sebarang aktiviti melebihi 50 orang adalah dilarang.

Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha yang mempengerusikan mesyuarat Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) hari ini meluluskan langkah pencegahan terbaharu.

Sementara itu, jurucakap CCSA Thaweesilp Wissanuyothin berkata kerajaan mengisytiharkan 18 wilayah termasuk Bangkok, Chiang Mai, Chonburi, Songkhla, Rayong dan Khon Kaen sebagai zon merah manakala 59 wilayah lagi sebagai zon oren.

Di zon merah, semua pusat beli-belah dan pusat kecergasan wajib ditutup pada 9 malam dan kedai, pasar, pasar raya pula pada 11 ​​malam.

“Restoran di zon merah hanya boleh dibuka hingga 9 malam manakala untuk perkhidmatan bawa pulang hingga 11 malam. Di 59 zon oren, restoran dibenar dibuka hingga 11 malam,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Thaweesilp menggesa orang ramai untuk menghadkan pergerakan mereka dan bekerja dari rumah.

Kes penularan terkini itu adalah yang terbesar sejak Januari tahun lalu. Thailand dilanda gelombang kedua pada pertengahan Disember tahun lalu bermula di pasar makanan laut di Samut Sakhon.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: Thailand catat rekod jangkitan harian tertinggi

BANGKOK, 14 APRIL: Thailand hari ini melaporkan 1,335 kes baharu Covid-19, kenaikan harian terbesar dan julung kali melebihi angka 1,000 sejak wabak itu mula dikesan di negara ini Januari tahun lalu.

Jumlah itu juga merupakan lonjakan ketiga yang dicatatkan minggu ini, menjadikan keseluruhan jangkitan kini sebanyak 35,910 kes dengan korban kekal 97 orang.

Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) berkata daripada 1,335 kes baharu, 1,326 jangkitan tempatan dan sembilan kes import termasuk tiga dari Malaysia.

Bangkok kekal di tangga teratas dengan jumlah kes tertinggi sebanyak 351, diikuti Chiang Mai (319), Prachuap Khiri Khan (161) dan Chonburi (72).

“Sehingga kini, gelombang baharu telah menular ke Bangkok dan di 61 wilayah dari keseluruhan 77 wilayah,” kata CCSA dalam sebuah pernyataan.

Berikutan lonjakan kes baharu, Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Awam telah mempertimbangkan langkah-langkah baharu termasuk mengenakan sekatan pergerakan di wilayah berisiko tinggi termasuk Bangkok, Chiang Mai dan Prachuap Khiri Khan.

Ketua Pengarah Jabatan Kawalan Penyakit Dr Opas Karnkawinpong berkata, kebanyakan kes berkaitan dengan pusat hiburan.

Beliau menggesa jawatankuasa penyakit berjangkit wilayah memainkan peranan untuk membantu meminimumkan pergerakan orang ramai dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan.

“Setiap wilayah boleh memainkan peranan masing-masing (dalam pencegahan wabak Covid-19),” katanya.

Sehingga kini, pihak berkuasa berkaitan di 43 wilayah mengenakan sekatan kepada pengunjung dan pelancong.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: Thailand catat hampir 1,000 kes harian tiga hari berturut-turut

BANGKOK,13 APRIL: Thailand melaporkan hampir 1,000 kes baharu Covid-19 untuk hari ketiga berturut-turut ketika percutian tahun baru Songkran bermula hari ini.

Bagi menghentikan penularan gelombang ketiga jangkitan, kerajaan melarang aktiviti ‘menyimbah air’ yang merupakan sebahagian daripada perayaan – untuk tahun kedua. Selain itu, perayaan dan aktiviti Songkran dibatalkan manakala pihak berkuasa menggesa orang ramai tidak membuat perjalanan yang tidak penting.

Pakar kesihatan menyatakan kebimbangan mengenai kemungkinan berlakunya lonjakan jangkitan selepas festival Songkran kerana ramai yang pulang ke kampung di tengah peningkatan jumlah kes Covid-19.

Meskipun amaran telah diberi, ribuan dilaporkan melakukan perjalanan sejak Jumaat.

Sementara itu, Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) berkata sebanyak 965 kes baharu baharu dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu, menjadikan jumlah korban keseluruhan mencecah 34,575 dan kematian kekal 97.

Berdasarkan kes baharu, 956 penularan tempatan, 654 membabitkan mereka yang mendapatkan rawatan di hospital dan 302 melalui langkah pengesanan kes aktif.

Menurut kenyataan itu sembilan kes import telah dilaporkan, termasuk lima dari Malaysia.

“Chiang Mai menduduki tempat teratas dengan jumlah kes tertinggi 251,diikuti Bangkok (194), Chon Buri (97) dan Prachuap Khiri Khan (73),” katanya dalam satu kenyataan.

Thailand mencatatkan 967 kes Covid-19 pada Ahad dan 985 kes pada Isnin.

Ketika jumlah kes baharu terus meningkat di ibu negara Thailand, Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) membuka sebuah hospital lapangan dengan 500 katil yang dijadualkan beroperasi pada 19 April.

Setakat ini, BMA telah mendirikan empat hospital lapangan di Bangkok dengan 1,250 katil untuk menampung peningkatan jumlah pesakit.

Selain itu, Kementerian Pertahanan turut mendirikan hospital lapangan di Bangkok dan wilayah-wilayah berhampiran yang menyediakan lebih 5,000 katil.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Thailand mula ujian ke atas manusia guna vaksin tempatan

BANGKOK, 22 MAC: Thailand hari ini memulakan ujian fasa pertama ke atas manusia menggunakan vaksin Covid-19 hasil buatan tempatan.

Vaksin itu dihasilkan secara kerjasama membabitkan Pertubuhan Farmasi Kerajaan (GPO), Jabatan Perubatan Tropika Universiti Mahidol dan Program for Appropriate Technology in Health (PATH).

Laman web The Nation melaporkan fasa pertama ujian ke atas manusia membabitkan 210 sukarelawan berusia antara 18 dan 59 tahun, yang akan diberi dos vaksin paling rendah.

Fasa kedua, yang dijangka bermula Julai, akan merangkumi 250 sukarelawan berusia antara 18 dan 75 tahun.

GPO menjangkakan kajian itu selesai sebelum akhir tahun.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kesihatan Awam Anutin Charnvirakul berkata vaksin berkenaan diharap dapat digunakan pada 2022.

Beliau berkata vaksin itu memberikan Thailand satu lagi pilihan vaksin Covid-19 untuk digunakan.

Satu lagi vaksin ‘ChulaCov19’ dibangunkan Universiti Chulalongkorn, akan menjalani fasa ujian ke atas manusia pada akhir April atau awal Mei.

Pada Jun, Thailand merancang memulakan kempen vaksinasi menggunakan 61 juta dos vaksin Oxford-AstraZeneca dihasilkan syarikat tempatan Siam Bioscience Co Ltd.

Thailand mencatatkan 73 kes baharu Covid-19 dengan satu kematian sejak 24 jam lalu, menjadikan jumlah keseluruhan kes sebanyak 27,876 dan korban setakat ini seramai 91 orang.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Thailand catat kes baharu Covid-19 tiga angka

BANGKOK, 17 MAC: Thailand mencatat sejumlah 149 jangkitan baharu Covid-19 termasuk 100 kes di Bangkok dengan sifar kematian dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan jumlah keseluruhan di negara itu setakat ini ialah 27,154 kes dan 87 kematian.

Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 Thailand (CCSA) memaklumkan daripada 149 kes baharu itu, 123 dikesan melalui pengesanan kes aktif, 21 merupakan individu yang mendapatkan rawatan di hospital manakala lima adalah kes import.

Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) pula berkata kluster baharu Covid-19 yang mempunyai kaitan dengan pasar di pinggir Bangkok telah mencatat 224 kes setakat ini.

Ia berkata enam pasar di daerah Bang Khae telah diarahkan tutup sehingga Khamis untuk kerja-kerja disinfeksi.

Bagi menghalang penularan Covid-19 di Bang Khae, BMA merancang memvaksinasi kumpulan berisiko tinggi di kawasan itu.

Jurucakap BMA Pongsakorn Kwanmuang berkata 500 hingga 600 orang akan divaksinasi setiap hari mulai Rabu ini di hospital.

BMA telah meningkatkan pengesanan kes aktif di Pasar Bang Khae dan lima lagi pasar di kawasan berhampiran iaitu Pasar Sirisetthnont, Pasar Kitti, Pasar Pasom, Pasar Wonder dan Pasar Mai Bang Khae.

BMA turut menggesa orang ramai yang berkunjung ke pasar terbabit dari 20 Feb hingga 13 Mac agar menjalani ujian saringan Covid-19 di hospital kerajaan.

Empat unit bergerak turut diletak berhampiran pasar terbabit untuk membolehkan orang ramai menjalani ujian saringan.

Sejak pertengahan Disember tahun lepas, Thailand mengesan kluster baharu yang mempunyai kaitan dengan pasar terbabit iaitu Samut Sakhon dan Pathum Thani selain kluster terbaru di Bang Khae, Bangkok.

Ventilasi yang teruk disebut sebagai antara faktor penyebab penularan Covid-19 di pasar terbabit.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA GLOBAL

Thailand mulakan program pemvaksinan Covid-19

BANGKOK, 28 FEB: Thailand pada Ahad memulakan program vaksinasi Covid-19 dengan Timbalan Perdana Menteri Anutin Charnvirakul menjadi antara individu pertama untuk menerima suntikan vaksin Sinovac Covid-19, CoronaVac dari China.

Anutin, yang juga Menteri Kesihatan Masyarakat dan empat menteri kabinet lain menerima vaksin Sinovac di Institut Penyakit Berjangkit Bamrasnaradura di Wilayah Nonthaburi untuk meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap keselamatan dan keberkesanannya.

Anutin diberikan suntikan vaksin oleh Dr Yong Yong Poovorawan, seorang profesor perubatan dalam bidang hepatologi pediatrik di Fakulti Perubatan Universiti Chulalongkorn.

Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha yang turut hadir dan menyaksikan proses vaksinasi itu bagaimanapun tidak disuntik vaksin kerana beliau tidak tergolong di dalam kumpulan berusia 18 hingga 59 tahun yang layak menerima vaksin Sinovac.

“Hari ini adalah hari bersejarah apabila vaksinasi Covid-19 bermula. Saya harap Thailand akan mendapat vaksin yang mencukupi tidak lama lagi yang akan membawa kepada pemulihan ekonomi,” kata Prayuth.

Thailand menyasar untuk vaksinasi 50 peratus penduduknya menjelang akhir tahun ini.

Sementara itu, di Samut Sakhon – pusat wabak terbaharu di negara itu sejak pertengahan Disember lepas, seramai 159 petugas barisan hadapan terdiri daripada kakitangan perubatan, polis, pegawai imigresen, media, dan pegawai pihak berkuasa tempatan adalah antara kumpulan awal yang menerima vaksinasi di Hospital Samut Sakhon hari ini.

Anutin yang turut melawat Samut Sakhon bagi menyaksikan proses vaksinasi itu memberi jaminan bahawa semua vaksin Covid-19 telah diluluskan oleh Pentadbiran Makanan dan Dadah Thailand (FDA).

Pada Rabu, Thailand menerima kumpulan pertama 200,000 dos vaksin Sinovac, dan 117,000 dos vaksin Oxford-AstraZeneca yang tiba pada hari yang sama.

Kementerian Kesihatan Awam memaklumkan bahawa vaksin Sinovac telah diedarkan ke 13 wilayah berisiko tinggi termasuk Bangkok yang akan mula memberikan suntikan vaksin kepada kumpula barisan hasapan dan mereka yang berisiko tinggi, tidak lama lagi.

Namun, vaksin AstraZeneca yang tiba pada Rabu masih perlu menjalani proses kawalan kualiti yang dijangka selesai pada minggu kedua Mac ini.

Thailand telah memesan sebanyak 61 juta dos buatan tempatan dari AstraZeneca.

Vaksin berkenaan akan dihasilkan secara tempatan oleh Siam Bioscience di bawah perjanjian pemindahan teknologi. Kumpulan pertama vaksin itu dijangka dapat diperoleh mulai Jun hingga Ogos (26 juta) dan dari September hingga Disember (35 juta).

Setakat ini, Thailand merekodkan 25,951 kes Covid-19 dengan 83 kematian.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: 45 kes baharu di Thailand, sifar kematian

BANGKOK, 27 FEB: Situasi penularan wabak Covid-19 di Thailand terus bertambah baik dengan jumlah kes harian baharu turun di bawah angka 50 kes buat pertama kalinya, sejak pertengahan Disember tahun lepas.

Dalam tempoh 24 jam lepas, Thailand merekodkan 45 kes baharu Covid-19 dengan sifar kematian menjadikan jumlah keseluruhan kes jangkitan 25,809 dan 83 kematian.

Dalam kenyataan, Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) berkata daripada 45 kes baharu itu, 37 kes adalah penularan tempatan termasuk 32 kes adalah sedang mendapatkan rawatan di hospital dan lima melalui pengesanan kes aktif.

Menurut kenyataan itu, sebanyak lapan kes import yang dilaporkan termasuk seorang gadis Thailand berusia enam tahun yang pulang dari United Kingdom.

Sementara itu, Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha dan Timbalan Perdana Menteri Anutin Charnvirakul akan menjadi antara penerima pertama vaksin Ahad ini, bagi membantu meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap keselamatan dan keberkesanan vaksin Covid-19.

Program vaksinasi berkenaan akan dilancarkan pada Isnin.

Thailand telah menerima sebanyak 317,000 dos vaksin Covid-19, dengan 200,000 dos daripada Sinovac Biotech China dan 117,000 dos dari Oxford-AstraZenec.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Thailand catat 157 kes baharu Covid-19, satu kematian

BANGKOK, 11 FEB: Thailand mencatatkan 167 kes baharu Covid-19 dan satu lagi kematian dalam tempoh 24 jam yang lepas, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif di negara itu kepada 23,903 dengan 80 kematian.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Thaweesilp Wissanuyothin berkata kematian tunggal itu melibatkan seorang perempuan warga Thailand berusia 65 tahun dari Samut Sakhon yang merupakan pesakit kanser larinks dan mempunyai masalah kesihatan yang kronik.

Wanita itu diuji positif pada 1 Januari dan meninggal dunia pada Isnin malam (8 Februari).

Beliau berkata daripada 157 kes baharu, 106 melalui pengesanan kes aktif, 38 kes melibatkan mereka yang mendapatkan rawatan di hospital dan 13 kes import, termasuk lima kru udara Indonesia yang memohon penginapan sementara di Thailand.

Thaweesilp berkata usaha pengesanan kes aktif akan diteruskan walaupun semua kumpulan sasar di Samut Sakhon, pusat penularan terbaru pandemik itu di Thailand telah diuji.

“Pihak berkuasa kesihatan awam telah menguji kira-kira 100,000 orang di Samut Sakhon dan lebih kurang 7,000 positif Covid-19.

“Kami akan teruskan usaha pengesanan kes aktif dan menyasarkan 5,000 ujian sehari (di Samut Sakhon),” katanya pada taklimat harian Covid-19 di sini semalam.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Jumlah kes baharu Covid-19 di Thailand berkurang

BANGKOK, 8 FEB: Thailand menyaksikan penurunan jumlah kes harian baharu Covid-19 di negara itu dengan 186 kes dan sifar kematian dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu, menjadikan angka terkumpul sebanyak 23,557 kes dengan 79 kematian.

Negara itu mencatatkan 237 kes baharu semalam.

Penolong jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 Dr Apisamai Srirangsan berkata daripada jumlah kes baharu itu, 176 adalah jangkitan tempatan termasuk 141 yang mendapatkan rawatan di hospital dan 35 menerusi pengesanan kes aktif, sementara baki 10 lagi merupakan kes import.

“Setakat ini, Thailand merekodkan keseluruhan 23,557 kes dengan 21,006 adalah jangkitan tempatan dan baki merupakan kes import. Seramai 17,410 pesakit telah sembuh dan didiscaj sementara 6,068 masih dirawat di hospital termasuk hospital medan.

“Sekalipun jumlah kes baharu yang dikesan menerusi pengesanan kes aktif di Samut Sakhon telah berkurangan, pengesanan besar-besaran di kawasan yang disasarkan akan diteruskan,” katanya pada taklimat harian Covid-19 di sini hari ini.

Pada 26 Jan lalu, Thailand melaporkan kes harian tertinggi iaitu 959 yang dikesan menerusi pengesanan kes aktif di Samut Sakhon, wilayah di mana bermulanya gelombang terkini jangkitan itu.

Sementara itu, Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan o-cha berkata negara itu meneruskan rundingan bagi memeterai perjanjian perolehan vaksin Covid-19 dengan pengeluar lain dalam usaha memvaksin 50 peratus rakyatnya menjelang akhir tahun ini.

“Kerajaan tidak bergantung pada satu pengeluar vaksin sahaja bagi memenuhi keperluan negara,” katanya yang dipetik oleh Bangkok Post.

Setakat ini, Thailand menempah 61 juta dos vaksin Oxford-AstraZeneca serta dua juta dos daripada Sinovac Biotech dari China.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Thailand rekod 237 kes baharu Covid-19, tiada kematian

BANGKOK, 7 FEB: Thailand merekodkan 237 kes Covid-19 baharu, termasuk 202 kes di Samut Sakhon, wilayah yang mula mencatatkan jangkitan sejak bulan Disember lepas, menjadikan jangkitan keseluruhan di negara itu kini berjumlah 23,317 kes.

Dalam tempoh 24 jam lepas, tiada kematian akibat virus itu dilaporkan, menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian kekal 79.

Penolong jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 Thailand (CCSA) Dr Pannapha Yongtrakul berkata daripada 237 kes baharu Covid-19, 225 merupakan jangkitan tempatan dan 12 adalah kes import.

Beliau berkata di Samut Sakhon, 202 kes baharu dilaporkan, dengan 107 kes dikesan menerusi pengesanan kes aktif dan 95 lagi dalam kalangan mereka yang mendapatkan rawatan di hospital.

Katanya 17 kes baharu direkodkan di Bangkok, lima di wilayah Tak, dan satu kes di Samut Songkhram.

“Dalam tempoh 24 jam lepas, sejumlah 668 kes dilaporkan sembuh. Sehingga kini 6,350 pesakit masih menerima rawatan di hospital dan lain-lain kemudahan perubatan,” katanya dalam taklimat harian di sini hari ini.

Pannapha berkata pihak berkuasa kesihatan di Samut Sakhon meletakkan dua daerah di bawah zon “kawalan ketat dan maksimum” susulan lebih 7,000 pekeja di empat kilang dikesan positif Covid-19 sehingga kini.

Selain itu menurutnya pihak berkuasa kesihatan turut meningkatkan survelan di barat Bangkok selepas 54 kes Covid-19 dikesan menerusi pengesanan kes aktif di kilang-kilang di enam daerah di kawasan berkenaan.

“Pihak berkuasa turut meningkatkan penguatkuasaan di sepanjang selatan Thailand.

– BERNAMA