Categories
AGENDA NASIONAL

Individu cuba rentas negeri sambut Aidiladha berdepan tindakan tegas

KUALA LUMPUR, 17 JULAI: Polis akan mengambil tegas terhadap mana-mana individu yang cuba merentas negeri untuk pulang ke kampung bagi menyambut Hari Raya Aidiladha, Selasa ini.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Datuk Azisman Alias berkata kebenaran rentas negeri hanya diberi kepada mereka yang mempunyai urusan kecemasan.

“Saya percaya semua sekatan jalan raya (SJR) yang diaturkan oleh ketua polis negeri (masing-masing) dan (semua) ketua polis daerah telah bersedia untuk mengawal rentas daerah dan negeri.

“Rakyat perlu mematuhi arahan kerajaan, mana yang degil, tindakan undang-undang akan diambil,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan orang awam yang dikatakan merentas negeri bagi tujuan untuk pulang sempena sambutan Aidiladha kali ini.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Bentong Supt Zaiham Mohd Kahar berkata keadaan aliran trafik di SJR di Plaza Tol Bentong menghala ke Kuantan ketika ini berada dalam keadaan terkawal dan tiada kesesakan.

“Mereka yang melalui SJR ini mempunyai dokumen sama ada untuk urusan pengambilan vaksin atau pun mereka yang mempunyai surat (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri – Miti).

“… dan sekiranya berlaku sedikit kesesakan, adalah perkara biasa disebabkan petugas kami akan buat pemeriksaan secara lebih terperinci melibatkan dokumen yang mereka miliki,” katanya kepada Bernama selepas membuat tinjauan di Plaza Tol Bentong, Pahang.

Di Kota Bharu, Timbalan Ketua Polis Kelantan SAC Abdullah Muhammad Piah berkata keadaan semasa trafik yang memasuki negeri itu adalah terkawal walaupun berlaku peningkatan lima peratus jumlah kenderaan seperti dilaporkan semalam.

Beliau menjelaskan peningkatan itu hanya berlaku di pintu sempadan di Jeli iaitu kenderaan yang datang dari arah utara, manakala situasi trafik di Gua Musang dan Pasir Puteh sama seperti hari biasa dalam tempoh pelaksanaan Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara, ketika ini.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Penganjur bazar Ramadan gagal patuhi SOP berdepan tindakan tegas

SEPANG, 26 APRIL: Kerajaan Negeri tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap penganjur bazar Ramadan yang gagal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan pihak berkuasa.

Dato’ Menteri Besar berkata penutupan operasi bazar juga akan dilakukan jika terdapat laporan ketidakpatuhan pengunjung dan peniaga.

“Bagaimanapun, pihak berkuasa tempatan tidak mengambil tindakan melulu kerana taklimat dan ingatan akan diberi dahulu sekiranya didapati melanggar SOP yang ditetapkan.

“Saya percaya bazar lain juga padat namun jika kepatuhan mereka kepada SOP itu tinggi, akhirnya akan dapat lihat satu kawalan yang baik,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau ditemui selepas lawatan ke Bazar Ramadan Kosmopleks menerusi Jelajah Ramadan Kita Selangor ke daerah Sepang di sini, hari ini.

Amirudin berkata setakat ini hanya Bazar Ramadan Greenwood ditutup akibat kegagalan mematuhi SOP namun telah diberi kebenaran beroperasi semalam.

Pada masa sama, beliau menyarankan semua bazar Ramadan melaksanakan format laluan sehala kepada pengunjung bagi mengelak penularan Covid-19.

“Dengan adanya format laluan sehala keadaan bazar akan lebih terkawal, cuma mungkin pengunjung kurang selesa tetapi itu realiti yang terpaksa dilalui bagi mengelak penularan wabak,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Individu ingkar PKP berdepan tindakan lebih tegas selepas 4 Februari

KUALA LUMPUR, 1 FEB: Tindakan lebih tegas akan diambil tanpa kompromi selepas 4 Feb ini terhadap mana-mana individu yang mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan berikutan peningkatan mendadak kes Covid-19, kata Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata ini kerana setiap hari, kes Covid-19 dilaporkan meningkat khususnya melibatkan pekerja tapak pembinaan dan kilang.

“Kedua-dua sektor berkenaan (pembinaan dan kilang) merupakan antara penyumbang tertinggi kes Covid-19 di dalam negara ini.

“Seperti yang semua sedia maklum, kita tidak ada lagi kluster pasar pagi dan kluster gerai tepi jalan kerana kita ada tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan selain mengambil tindakan berdasarkan fakta yang ada,” katanya selepas meninjau sekatan jalan raya di Plaza Tol Gombak hari ini.

Ismail Sabri berkata semua majikan kedua-dua sektor diarah melakukan ujian saringan Covid-19 ke atas pekerja asing mereka mulai hari ini di seluruh negara.

Beliau berkata sebelum ini, hanya pekerja asing di sektor terbabit di enam negeri sahaja diwajibkan berbuat demikian.

“Ia adalah untuk memantau status kesihatan pekerja asing yang berkemungkinan menyebarkan Covid-19 dalam kalangam komuniti tempatan,” katanya.

Ismail Sabri berkata Ordinan Darurat juga akan dipinda dari segi perumahan pekerja asing yang merupakan antara punca peningkatan kes Covid-19.

“Perumahan pekerja asing ini tidak kondusif kerana kebanyakan mereka tinggal di rumah dalam keadaan berhimpit seperti dua atau tiga orang untuk satu rumah.

“Ordinan Darurat akan dipinda untuk memastikan majikan menyediakan tempat tinggal yang baik kepada pekerja asing mereka dan Ordinan Darurat boleh melakukam perkara itu,” katanya.

Beliau juga berkata sudah banyak kilang ditutup kerana melanggar SOP dan terdapat pekerjanya yang positif Covid-19.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tindakan tegas peniaga guna pencuci lantai sebagai cecair pembasmi kuman

SHAH ALAM, 6 NOV: Polis boleh menangkap dan mengenakan tindakan tegas terhadap peniaga yang didapati menggunakan pencuci lantai sebagai cecair pembasmi kuman.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata tindakan itu tidak wajar sama sekali kerana akan memberi kesan buruk kepada pelanggan.

“Kita tidak boleh berkompromi dengan kes sebegini yang dianggap menipu kerana menggunakan bahan lain sebagai cecair pembasmi kuman.

“Bermacam kesan sampingan boleh berlaku kepada kesihatan orang ramai kalau (peniaga) guna pencuci lantai untuk cuci tangan, jadi polis perlu cari dan ambil tindakan,” katanya pada sidang media semalam.

Beliau mengulas laporan seorang peniaga dikompaun RM1,000 selepas dikesan menggunakan pencuci lantai sebagai cecair pembasmi kuman.

Tindakan peniaga itu berjaya dikesan pihak berkuasa dalam Op Pematuhan Tatacara Operasi Piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Jempol, Negeri Sembilan.

Categories
EXCO SELANGOR

Kakitangan PBT terlibat rasuah, salah guna kuasa berdepan tindakan

SHAH ALAM, 12 OGOS: Kerajaan Negeri tidak teragak-agak mengenakan tindakan tegas terhadap kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit rasuah dan salah guna kuasa.

EXCO Kerajaan Tempatan, Ng Sze Han berkata pihaknya tidak akan berkompromi dan melindungi individu melakukan kesalahan tersebut.

“Kerajaan Selangor mengamalkan pentadbiran berlandaskan ketelusan dan mengutamakan integriti.

“Semua kakitangan PBT dinasihatkan menjalankan tugas dengan telus dan menjauhi diri daripada kegiatan rasuah serta penyalahgunaan kuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sze Han menambah pihaknya yakin PBT melaksanakan tugas dengan baik demi rakyat dan negeri serta mengalu-alukan maklumat awam menerusi saluran betul jika berlaku kesalahan terbabit.

Hari ini, Mahkamah Majistret Putrajaya memerintah empat pegawai penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) direman tujuh hari susulan siasatan kes menerima dan mengutip rasuah bagi melindungi premis perniagaan haram di Sungai Buloh.