Categories
NASIONAL

Panglima TLDM: Dua anggota sihat sebelum ditahan

LUMUT, 1 OKT: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengesahkan dua anggotanya yang meninggal dunia di Bilik Tahanan Unit Sungai Wangi dekat Sitiawan di sini, berada dalam keadaan sihat sebelum dimasukkan ke pusat tahanan itu.

Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin berkata TLDM sememangnya mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang setiap anggota yang dimasukkan ke pusat tahanan perlu menjalani ujian kesihatan terlebih dahulu.

“Kami mengesahkan bahawa dua anggota terbabit sihat sebelum dimasukkan ke pusat tahanan, namun kami tidak mahu mengulas lanjut mengenainya kerana ia masih dalam siasatan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Pingat Jasa Malaysia kepada 51 Veteran Pasukan Khas Laut (Paskal) sempena sambutan Ulang Tahun Paskal ke-35 di Markas Paskal TLDM di sini hari ini.

Beliau berkata Lembaga Siasatan TLDM yang bersidang semalam tidak akan campur tangan siasatan yang sedang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebaliknya membincangkan serta meneliti semula SOP.

“Lembaga ini akan meneliti sama ada SOP masih relevan dan komprehensif diguna pakai selain menyiasat sama ada anggota yang bertugas ketika kejadian mematuhi SOP atau sebaliknya,” katanya.

Katanya, lembaga itu yang terdiri daripada lima anggota, diketuai kapten dan kesemua mereka mempunyai kepakaran dalam bidang keselamatan serta kesihatan pekerjaan.

Ahmad Kamarulzaman berkata pihaknya memandang serius dan tidak akan berkompromi atau melindungi anggota yang melakukan jenayah selain memberi kerjasama sepenuhnya kepada PDRM bagi membantu proses siasatan.

“Keadilan perlu ditegakkan dan saya akan pastikan anggota yang bersalah dikenakan tindakan undang-undang kerana ia menjejaskan imej, kebajikan dan integriti perkhidmatan,” katanya sambil menambah pusat tahanan itu tidak akan ditutup.

Tambah Ahmad Kamarulzaman, pihaknya turut melahirkan rasa simpati terhadap keluarga mangsa dan TDLM akan membantu anggota keluarga daripada aspek kebajikan.

LK 1 Muhammad Baihaqy Nik Mat, 28, dan LK 1 TLS Muhammad Lailatuliman Mohd Sukri, 26, meninggal dunia di bilik tahanan berkenaan dipercayai didera berdasarkan laporan bedah siasat daripada Jabatan Patologi Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini.

Bedah siasat yang dilakukan ke atas Nik Muhammad Baihaqy mendapati kematiannya disebabkan pendarahan paru-paru akibat trauma tumpul manakala Muhammad Lailatuliman meninggal dunia akibat pendarahan paru-paru serta trauma tumpul pada tisu lembut.

Susulan itu, tiga anggota TLDM direman selama tujuh hari mulai hari ini bagi membantu siasatan.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

3 anggota TLDM direman 7 hari kes 2 kematian

SERI MANJUNG 1 OKT: Tiga anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes kematian dua anggota TLDM dalam bilik tahanan pasukan itu.

Majistret Nur Shaqira Ibrahim membenarkan permohonan polis untuk menahan reman tiga anggota TLDM yang berusia antara 29 hingga 44 tahun itu bermula hari ini hingga 7 Oktober, lapor BH ONLINE.

Ketiga-tiga mereka yang bertugas di bilik tahanan di Unit Komunikasi TLDM Sungai Wangi, Sitiawan, dekat sini, direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Terdahulu, ketiga-tiga suspek yang memakai baju lokap berwarna oren tiba di perkarangan Mahkamah Majistret Seri Manjung jam 8.45 pagi dan masuk ke dalam mahkamah 15 minit kemudian dengan prosiding selesai kira-kira jam 9.45 pagi.

TLDM1Malam tadi, bedah siasat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh mengesahkan dua anggota TLDM yang berpangkat Laskar Kelas 1 meninggal dunia akibat pendarahan paru-paru berpunca daripada trauma tumpul.

Nik Muhammad Baihaqy Nik Mat, 28, dan Muhammad Lailatulman Mohd Sukri, 26, meninggal dunia ketika berada dalam bilik tahanan pada jam 3.15 petang kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Perak, Datuk Gan Tian Kee, berkata berikutan itu polis menahan tiga anggota TLDM pada jam 9.30 malam tadi untuk membantu siasatan kes kematian itu.

Katanya, ketiga-tiga suspek adalah anggota yang bertugas di bilik tahanan pasukan itu untuk syif 10 pagi hingga 10 malam pada hari kejadian.

Categories
NASIONAL

Keluarga anggota TLDM tuntut keadilan, lantik peguam

KOTA BHARU 1 OKT: Keluarga anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bertekad untuk menuntut keadilan dan akan memastikan pelaku mendapat pembalasan setimpal.

Keadilan harus dituntut demi anak-anak arwah yang masih kecil iaitu Nik Adam Mikail, 4; Nik Aisyah Azzahrah, 2 dan Nik Anas Naufal, 10 bulan.

BH ONLINE melaporkan keluarga Nik Muhammad Baihaqy Nik Mat, 28, yang meninggal dunia dipercayai didera, sudah melantik peguam.

Kakak sulung kepada arwah, Nik Noorliliwati Nik Mat, 44, berkata perkara itu dimaklumkan keluarga isteri Nik Muhammad Baihaqy bahawa mereka sudah melantik peguam sebaik saja mengetahui kematian arwah akibat dibunuh.

Katanya, tindakan itu dibuat atas persetujuan semua ahli keluarga yang mahu pihak tidak bertanggungjawab itu menerima balasan yang setimpal dengan perbuatannya sehingga membawa kematian kepada anak kelapan daripada 10 beradik itu.

TLDM1“Kami tidak sangka dan cukup terkejut kerana adik saya meninggal dunia akibat pendarahan paru-paru dipercayai daripada penderaan, bukannya kematian mengejut seperti dimaklumkan polis sebelum ini.

“Kesalahan arwah hanya sekadar tatatertib, namun dihukum sehingga meragut nyawa dan menjadi kes bunuh. Saya cukup kecewa dengan kawalan TLDM yang membiarkan insiden ini berlaku.

“Apa yang berlaku sekalipun, ahli keluarga akan mengambil semua tindakan sewajarnya bagi menegakkan keadilan, terutama untuk tiga anaknya yang berusia antara 10 bulan hingga empat tahun,” katanya ketika ditemui.

Jenazah Laskar Kelas 1, Nik Muhammad Baihaqy atau dipanggil Eqiey yang meninggal dunia selepas menjalani latihan fizikal di Bilik Tahanan Unit Sungai Wangi, Sitiawan, Ipoh, kelmarin, selamat dikebumikan pada jam 5.50 pagi tadi.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Noor Bazlin Mohammad, 28, dan tiga anaknya, Nik Adam Mikail, 4; Nik Aisyah Azzahra, 2; serta Nik Anas Naufal berusia 10 bulan.

Sementara itu, adik iparnya, Lokman Hakim Zakaria, 27, berkata keluarganya kesal dengan insiden yang berlaku dan akan memperjuangkan hak arwah bagi memastikan pihak yang tidak bertanggungjawab itu diheret ke muka pengadilan.

“Isteri dan tiga anaknya yang masih kecil perlu mendapat keadilan kerana mereka sudah hilang tempat perlindungan. Saya tidak dapat bayangkan keadaan mereka terutama anaknya yang tidak sempat kenal lama bapanya.

“Jika arwah melakukan kesalahan sekalipun, bukan dengan cara dera sehingga membawa kematian. Apapun, kami akan tuntut keadilan sewajarnya,” katanya.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Polis: 2 anggota TLDM mati dipercayai didera

IPOH, 1 OKT: Dua anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang meninggal dunia di Bilik Tahanan Unit Sungai Wangi dekat Sitiawan di sini, Jumaat lalu dipercayai didera, kata Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Perak Datuk Gan Tian Kee.

Beliau berkata berikutan itu polis mengklasifikasikan kematian itu sebagai kes bunuh berdasarkan laporan bedah siasat daripada Jabatan Patologi Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini.

“Bedah siasat yang dilakukan ke atas kedua-dua mereka mendapati berlakunya kes penderaan yang mendatangkan kecederaan. Daripada penemuan ini, siasatan diklasifikasi di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Gan berkata bedah siasat yang dilakukan ke atas Nik Muhammad Baihaqy Nik Mat, 28, mulai 3.30 petang hingga 7 malam, malam tadi, mendapati kematiannya disebabkan pendarahan paru-paru akibat trauma tumpul.

TLDM1“Bedah siasat ke atas Muhammad Lailal Tuiman Mohd Sukri, 26, mulai 9 malam hingga 11.30 malam mendapati dia meninggal dunia akibat pendarahan paru-paru serta trauma tumpul pada tisu lembut,” katanya.

Gan berkata susulan itu, polis telah menangkap tiga lelaki berumur 29 hingga 44 tahun kira-kira 9.30 malam tadi bagi membantu siasatan.

“Ketiga-tiga suspek ini bertugas bagi syif Jumaat (29 Sept) pukul 10 pagi hingga 11 malam. Penahanan reman kesemua suspek akan dipohon di Mahkamah Majistret Seri Manjung,” katanya.

Gan berkata polis turut merakam percakapan lapan tahanan yang ada di lokasi dan 11 pengawal bilik tahanan yang bertugas di tempat kejadian.

“Selain itu, polis merampas set CCTV, tujuh T baton, sebuah buku log bertugas, buku log SOP (perintah tetap bilik tahanan Unit Sungai Wangi) dan beberapa telefon bimbit pelbagai jenama,” katanya.

TLDM dalam kenyataannya semalam, menyatakan Nik Muhammad Baihaqy dan Muhammad Lailal Tuiman meninggal dunia di bilik tahanan itu ketika menjalani latihan fizikal di kem berkenaan, pada Jumaat.

Ketika menjalani latihan itu, kedua-dua anggota berkenaan mengadu kepenatan dan direhatkan sebelum mengalami muntah dan sesak nafas sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas paramedik yang tiba pada 3.15 petang.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Tiga ditahan bantu siasatan kematian dua anggota TLDM

IPOH 1 OKT: Polis menahan tiga lelaki masing-masing berumur 37, 29 dan 44 tahun bagi membantu siasatan kematian dua anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ketika di dalam bilik tahanan di Sungai Wangi, Sitiawan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Gan Tian Kee berkata, ketiga-tiga suspek yang ditahan bertugas bagi syif bertarikh 29 September pukul 10 pagi hingga 10 malam.

Katanya mereka ditahan setelah bedah siasat terhadap mayat mangsa dipercayai ada berlakunya kes penderaan yang mendatangkan kecederaan.

Menurut Tian Kee, bedah siasat terhadap mayat Laskar Kelas 1, Nik Muhammad Baihaqy Nik Mat,28, mendapati punca kematian adalah pendarahan paru-paru akibat trauma tumpul.

TLDM1Katanya, manakala bedah siasat terhadap mayat Laskar Kelas 1 Muhammad Lailal Tuiman Mohd Sukri, 26, mendapati punca kematian adalah pendarahan paru-paru serta trauma pada tisu lembut.

“Suspek ditahan pada jam 9.30 malam tadi oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah.

“Kesemua tangkapan akan direman untuk membantu siasatan di Mahkamah Seri Manjung dan siasatan diklasifikasi di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Hujan renyai iringi pengebumian anggota TLDM

KOTA BHARU 1 OKT: Suasana pilu di Tanah Perkuburan Limbat, di sini, ketika jenazah Laskar Kelas 1, Nik Muhammad Baihaqy Nik Mat, 28, yang meninggal dunia selepas menjalani latihan fizikal di Bilik Tahanan Unit Sungai Wangi, Sitiawan, Ipoh, kelmarin, dikebumikan jam 5.50 pagi tadi.

Hujan renyai mengiringi pengebumian Muhammad Baihaqy yang disaksikan kira-kira 200 ahli keluarga, pegawai dan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham, lapor BH ONLINE.

Pengebumian Allahyarham Nik Muhammad Baihaqy dilakukan mengikut istiadat tentera, turut disaksikan Panglima Udara TLDM mewakili Panglima TLDM, Laksamana Pertama, Datuk Alias Baharuddin.

Terdahulu, jenazah Allahyarham tiba di kediaman keluarganya di Kampung Binjai, di sini dengan van jenazah TLDM kira-kira jam 4 pagi tadi, yang kemudiannya disembahyangkan sebelum dibawa ke tanah perkuburan.

Sebelum itu, jenazah Nik Muhammad Baihaqy meninggalkan perkarangan Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) pada jam 10 malam tadi selepas mengambil masa kira-kira lima jam proses bedah siasat.

Allahyarham Nik Muhammad Baihaqy meninggalkan seorang balu, Noor Bazlin Mohammad, 28, dan tiga anak berusia 10 bulan hingga empat tahun.

Polis awal pagi ini mengumumkan siasatan kes kematian dalam tahanan dua anggota TLDM termasuk Muhammad Lailatuliman Mohd Sukri, 26, daripada kematian mengejut (SDR) kepada kes bunuh.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Kes kematian TLDM: Jenazah Muhammad Lailatulman dituntut keluarga

IPOH 1 OKT: Jenazah seorang lagi anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laskar Kelas 1 Muhammad Lailatulman Mohd Sukri, 26 yang meninggal dunia di Bilik Tahanan Unit Komunikasi Sungai Wangi, Sitiawan dekat sini kelmarin dituntut ahli keluarga pada jam 12.50 tengah malam tadi.

BH ONLINE melaporkan Mayat Muhammad Lailatulman mula menjalani proses bedah siasat pada jam 9 malam dan berakhir kira-kira empat jam kemudian.

Jenazah Allahyarham dituntut isterinya, Nur Liya Asmira Yahya, 24, serta beberapa ahli keluarga lain selepas dimandikan dan disembahyangkan di Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.

Abang ipar mangsa yang enggan dikenali ketika ditemui hanya mengangguk ketika ditanya mengenai kematian Allahyarham berpunca daripada pendarahan pada paru-paru sebagaimana dialami seorang lagi mangsa, Laskar Muda Kelas 1, Nik Muhammad Baihaqy Nik Mat, 28.

Jenazah Muhammad Lailatulman akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Rantau Panjang, Kelantan.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Polis siasat kematian 2 anggota TLDM sebagai kes bunuh

IPOH 1 OKT : Polis awal mengumumkan ia mengklasifilasi semula siasatan kes kematian dalam tahanan dua anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) daripada kematian mengejut (SDR) kepada kes bunuh.

BH ONLINE melaporkan ia berikutan laporan bedah siasat kedua-dua mangsa di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini mendapati terdapat kecederaan dalaman pada tubuh mereka, dipercayai akibat penderaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Perak, Datuk Gan Tian Kee, berkata hasil bedah siasat terhadap kedua-dua mangsa yang ditahan di bilik tahanan Unit Komunikasi TLDM Sungai Wangi, Sitiawan, dipercayai berlaku penderaan yang mendatangkan kecederaan.

“Hasil bedah siasat terhadap mangsa pertama (Nik Muhammad Baihaqy Nik Mat, 28) pada jam 3.30 petang hingga 7 malam mendapati mangsa meninggal dunia akibat pendarahan paru-paru akibat trauma tumpul.

POLIS BIRU 2 4x4“Bedah siasat terhadap mangsa kedua (Muhammad Lailatulman Mohd Sukri,26) pada jam 9 malam hingga 11.50 malam mendapati mangsa meninggal dunia akibat pendarahan paru-paru serta trauma tumpul pada tisu lembut,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Tian Kee berkata, daripada penemuan itu polis menahan tiga suspek lelaki berusia antara 29 hingga 44 tahun pada jam 9.30 malam tadi bagi membantu siasatan berhubung kejadian itu.

“Ketiga-tiga suspek bertugas pada jam 10 pagi hingga 10 malam kelmarin.

“Polis turut merakam kenyataan 11 pengawal yang bertugas di bilik tahanan berkenaan serta merampas set litar rakaman kamera litar tertutup (CCTV), tujuh T baton, buku log bertugas dan beberapa telefon bimbit,” katanya.

Beliau berkata, penahanan reman terhadap ketiga-tiga suspek akan dipohon di Mahkamah Majistret Seri Manjung, dekat sini hari ini.

https://selangorkini.my/2017/09/tldm-sahkan-kematian-dua-anggota-tiada-kompromi-pihak-langgar-sop/

=EZY=

Categories
NASIONAL

Kes 2 anggota TLDM meninggal: Isteri ingin kepastian punca kematian

KUALA LUMPUR 30 SEPT: “Saya nak lihat sendiri arwah suami, nak baca laporan bedah siasat. Saya inginkan kepastian punca sebenar kematiannya,” kata Bazlin Mohammad, 28.

Isteri Allahyarham Laskar Kelas I, Mohd Baihaqy Nik Mat, 28, anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang dilapor meninggal dunia selepas menjalani latihan fizikal di Lumut petang semalam, berkata laporan bedah siasat dijangka diperoleh jam 3 petang ini, lapor BH ONLINE.

Jururawat berkenaan berkata, arwah seorang yang sihat dan tidak menghidapi apa-apa penyakit.

https://selangorkini.my/2017/09/tldm-sahkan-kematian-dua-anggota-tiada-kompromi-pihak-langgar-sop/

“Sebagai jururawat, saya tahu keadaan kesihatan manusia. Maklumat awal mengenai kematian suami, saya tidak boleh saya terima setakat ini,” katanya ketika dihubungi BH, sebentar tadi.

Sambil menegaskan tidak berpuas hati dengan laporan awal kematian suaminya, Bazlin berkata, beliau melihat penjelasan itu tidak jelas dan meragukan.

KES TLDM“Ketika pegawai di tempat arwah bekerja memaklumkan suami meninggal dunia ketika dalam tahanan, saya tidak percaya dia boleh mati begitu sahaja.
“Takkanlah suami dan rakannya yang turut dikenakan tindakan tahanan, boleh muntah dan sesak nafas bersama-sama,” katanya yang kini berada di Hospital Ipoh menunggu jenazah suaminya.

Bazlin berkata, kali terakhir dia berhubung dengan suaminya pada Rabu lalu.

“Suami memaklumkan, dia dikenakan tindakan tahanan selepas melanggar peraturan ketika berada di sana, beberapa kali lewat ke tempat kerja. Kali terakhir dia lewat pada Isnin lalu.

“Dia juga sempat berpesan kepada saya pada malam Ahad untuk mengejutkannya pagi Isnin itu, namun dia terlewat bangun dan masuk kerja lewat.

“Ketika menghubungi saya, dia berpesan supaya saya tidak risau kerana tindakan tahanan adalah perkara biasa,” katanya.

Mohd Baihaqy dan Laskar Kelas I Muhammad Lailatulman Mohd Sukri, 26, dilaporkan meninggal dunia di Bilik Tahanan Unit Sungai Wangi, Sitiawan, Perak ketika menjalani latihan fizikal di kem berkenaan.

TLDM menubuhkan lembaga siasatan bagi meneliti prosedur operasi standard (SOP) latihan fizikal dan memaklumkan punca sebenar kematian dua anggotanya itu masih dalam siasatan polis.

Kenyataan itu turut memaklumkan hasil siasatan awal mendapati dua anggota terbabit mengadu penat dan direhatkan sebelum muntah dan sesak nafas dan diberi rawatan awal oleh petugas pusat tahanan.

Ia juga memaklumkan, mereka disahkan meninggal dunia oleh petugas paramedik yang tiba pada jam 3.15 petang dan hasil pemeriksaan awal doktor tidak menunjukkan sebarang kesan pukulan atau penderaan fizikal.

SUMBER: BH ONLINE

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

TLDM sahkan kematian dua anggota, tiada kompromi pihak langgar SOP

OLEH: MOHD EZLI MASHUT

SHAH ALAM 30 SEPT: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengesahkan kematian dua anggota dan tidak akan berkompromi atau melindungi mereka yang langgar prosedur semasa bertugas.

TLDM dalam kenyataan media hari ini berkata dua anggota terbabit iaitu LK 1 PNK Mohamad Baihaqi Nik Mat, 28 dan LK 1 TLS Muhamad Lailatulman Mohd Syukri, 26, meninggal dunia di Bilik Tahanan Unit Sungai Wangi, Sitiawan pada 29 September.

Menurut kenyataan TLDM itu, kedua-dua anggota tersebut telah menjalani latihan fizikal mengikut prosedur tetap (SOP) yang ditentukan.

“Mereka telah mengadu keletihan ketika menjalani latihan tersebut dan seterusnya direhatkan serta dimasukkan ke dalam bilik tahanan.

“Kedua-dua anggota mengalami muntah, keletihan dan sesak nafas. Mereka telah diberikan rawatan awal oleh petugas pusat tahanan dan panggilan kecemasan telah dibuat,” kata TLDM.

TLDM menyatakan kedua-dua anggota telah disahkan meninggal dunia oleh petugas paramedik yang tiba pada jam kurang 3.15 petang.

“Hasil pemeriksaan awal oleh doktor bertugas terhadap kedua-dua anggota tidak menunjukkan sebarang pukulan atau penderaan fizikal.

“Walaubagaimanapun kita tidak boleh menolak sebarang kemungkinan sebab kematian tersebut,” katanya.

Kata TLDM lagi, punca kematian masih dalam siasatan polis dan pihak TLDM
akan membantu dengan memberi kerjasama penuh.

“Pihak TLDM akan menubuhkan Lembaga Siasatan untuk meneliti SOP sedia
ada dan jika ada pelanggaran terhadap SOP tersebut. Sesungguhnya TLDM
tidak akan berkompromi atau melindungi mereka yang melanggari prosedur
semasa melaksanakan tugas,” katanya.

KES TLDM

EZY

Categories
NASIONAL

Sah KD Perdana hilang di perairan Sedili

SHAH ALAM, 22 MEI: Sebuah bot milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Kapal Diraja (KD) Perdana terputus hubungan dengan bot kapal yang membawa Tim Menggeledah ketika mengusir bot nelayan asing di perairan Sedili, pada 20 Mei lalu.

KD TLDMTLDM dalam kenyataan hari ini berkata, bot berkenaan diketuai seorang pegawai dan lapan anggota Laskar Kanan ke bawah yang melaksanakan rutin rondaan maritim, di kawasan perairan negara.

“Op Carilamat sudah dibuat tetapi tidak membuahkan hasil, maka TLDM mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di sekitar perairan Sedili bagi memperluaskan SAR menggunakan aset Angkatan Tentera Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Persatuan Nelayan Sedili, semalam.

“Antara aset terbabit adalah KD Perdana, KD Perkasa, KD Pendekar, KD Handalan, KD Terengganu, KD Kelantan, bot Pengalang 39, bot Kilat 16, sebuah helikopter Super Lynx dan sebuah pesawat Fennec,” kata TLDM dalam kenyataan hari ini, lapor BERNAMA.

Pada masa, bilik operasi Carilamat ditubuhkan di Markas Wilayah Laut 1, Pangkalan TLDM Tanjung Gelang, Kuantan.

“Dipercayai bot dan Tim Menggeledah berlindung di dataran terhampir atau di bot nelayan yang berada di sekitar perairan Sedili,” katanya.

Categories
NASIONAL

TLDM pertingkat penghantaran aset ke perairan Pantai Barat Sabah

KUALA LUMPUR, 7 MAC : Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) meningkatkan pengawasan perairan Sabah dengan menggerakkan lebih banyak aset pertahanannya susulan ancaman keselamatan yang merebak di pantai Barat negeri itu.

Panglima TLDM Laksamana Datuk Seri Panglima Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin berkata antara aset yang akan digerakkan ke perairan Sabah adalah kapal ronda generasi baru (NGPV) kelas KD Kedah, kapal ronda laju, bot CB90, bot-bot pemintas serta helikopter.

tldm“TLDM sentiasa melaksanakan pengawasan perairan negara secara 24 jam, tujuh hari seminggu walaupun dengan cabaran kekangan aset dan pengawasan dilakukan berpandukan perkembangan ancaman dan keperluan semasa,” katanya dipetik Bernama di sini.

Ahmad Zahid dilaporkan berkata menurut maklumat risikan, telah ada panglima-panglima dari sebuah kesultanan dilantik bagi setiap kawasan Dewan Undangan Negeri di Sabah.

Ahmad Kamarulzaman berkata kesemua agensi keselamatan terlibat menjaga perairan negara juga perlu mempertingkatkan elemen perisikan masing-masing.

“Penting bagi semua agensi maritim memperkukuhkan lagi keupayaan serta perkongsian maklumat perisikan secara bersepadu bagi menentukan operasi maritim lebih berkesan dan efisien,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Laksamana Maritim Datuk Ahmad Puzi Ab Kahar berkata penambahan aset pertahanan dan anggota bertugas di Sabah merupakan sebahagian daripada usaha berterusan agensi itu bagi memastikan keselamatan di keseluruhan kawasan perairan negeri itu.

“Kita menambah aset seperti bot keselamatan serta menambah bilangan anggota bertugas di negeri itu kerana kita perlu berada dalam keadaan berjaga-jaga,” katanya sambil menambah pertukaran maklumat turut dilakukan antara agensi keselamatan lain.

Dalam pada itu, Ahmad Puzi berkata tanggungjawab menjaga keselamatan di perairan Sabah tidak boleh diletak di atas bahu anggota keselamatan semata-mata sebaliknya semua pihak terutama masyarakat setempat perlu memainkan peranan dengan menyalurkan maklumat tepat dan pantas kepada pihak keselamatan.

“Nelayan dan komuniti maritim boleh menyalurkan maklumat kepada pihak keselamatan sekiranya mengetahui sebarang aktiviti jenayah mahupun penyeludupan yang berlaku di persekitaran mereka.

“Mereka perlu menjadi mata dan telinga agensi keselamatan negara agar perairan negara terus terjamin,” katanya.

EZY