Categories
NASIONAL

Kapal tangki ditawan lanun di perairan Malaysia

JOHOR BHARU 15 JUN: Sebuah kapal tangki ‘MT Ai Maru’ yang membawa 1,000 tan metrik minyak gas marin ditawan lanun di 30 Batu Nautika Selatan Pulau Aur, Mersing dekat sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 8.30 malam itu, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menerima maklumat kejadian sebelum mengaturgerakkan kapal KD Terengganu untuk memintas.

LIMA 2013Jurucakap TLDM dalam kenyataannya berkata, KD Terengganu berjaya memintas dan menghampiri MT Ai Maru sebelum lanun menyedari serta melarikan diri menggunakan bot laju ke perairan antarabangsa.

Menurutnya, semua kru kapal dipercayai dalam keadaan selamat dan minyak yang dibawa juga tidak dapat dilarikan.

“KD Terengganu kini sedang melaksanakan pemantauan rapi ke atas MT Ai Maru bagi mendapatkan status kru kapal serta mengesan baki penjenayah sekiranya ada,”katanya lapor Harian Metro Online.

Categories
NASIONAL

Bekas Panglima: Kapal dirampas, apa penjelasan APMM, TLDM?

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM 2 JUN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) diminta memberikan pengesahan serta penjelasan berhubung laporan dakwaan rampasan sebuah kapal tangki minyak diesel Thailand berhampiran Pulau Aur dekat Perairan Pantai Timur Malaysia.

Biro Maritim Antarabangsa (IMB) melaporkan, kejadian ini berlaku pada 17 Mei lepas yang turut melibatkan 14 anak kapal dalam perjalanan dari Singapura ke Indonesia.

imran abdul hamid forum mac 31 02Ahli Parlimen Lumut Laksamana Pertama (B) Mohamad Imran Abdul Hamid ketika dihubungi Selangor Kini berkata, jika perkara ini berlaku, situasi ini membayangkan keadaan tidak selamat perairan di negara kita.

“Kalau ini berlaku rondaan APMM dimana? Maknanya kita cuai disitu.

“Sepatutunya kita buat rondaan keselamatan. Cuma kita tidak tahu berapa jauh dia diculik dari pantai.

“Kalau 12 batu nautika kebawah, itu tanggungjawab APMM, kalau lebih lebih daripada itu, sampai EEZ (Exclusive Economic Zone) itu TLDM,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Pusat Laporan Lanun IMB yang berpengkalan di Kuala Lumpur, Noel Choong dilaporkan berkata dalam kejadian ini, 16 lanun bersenjata yang menggunakan bot laju itu menaiki kapal dalam suasana kegelapan malam telah mencederakan kapten dengan pedang dan merosakkan alat komunikasi.

EZY

Categories
NASIONAL

Scorpene: Konon boleh guna dalam operasi SAR, kini Menteri kata tidak sesuai

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 5 APR: Kenyataan yang dikeluarkan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang menyebut kapal selam Scorpene dibeli Kerajaan mempunyai kemampuan dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) hanya alasan untuk menghalalkan pembaziran serta menutup skandal rasuah pembeliannya, pada 3 September 2009.

Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin, berkata kenyataan itu jelas dilaporkan dalam laporan Agence France-Presse (AFP) bertarikh sama menyebut “Pegawai-pegawai Tentera Laut berkata kapal selam itu akan berada di negeri Sabah, di pulau Borneo, yang mana ia akan menjalani penalaan teliti sebelum boleh digunakan dalam operasi mencari dan menyelamat.”

“Apabila kes ini muncul beberapa negara menghantar kapal selam untuk operasi SAR. Saya dan juga beberapa pimpinan politik seperti Lim Kit Siang membangkitkan persoalan kenapa tidak digunakan kapal selam negara yang dibeli dengan harga amat tidak munasabah tingginya.

Chegubard“Menteri menjawab Scorpene milik negara tidak sesuai untuk operasi SAR,” katanya dalam kenyataan media.

Terdahulu, ketika tercetusnya isu Scorpene bernilai RM7 bilion itu, pemimpin Barisan Nasional (BN) menggunakan pelbagai alasan bagi menutup skandal pembelian kapal selam yang dianggap terlalu mahal jika dibandingkan kapal selam negara lain yang mempunyai spefikasi sama.

Skandal rasuah itu juga dikatakan mempunyai kaitan dengan pembunuhan jurubahasa dari Mongolia, Altantuya Shaariibuu yang juga kekasih kepada rakan karib Perdana Menteri, Abdul Razak Baginda.

Dalam pembelian itu, Abdul Razak Baginda juga memperoleh komisyen bernilai RM540 juta melalui syarikat Perimekar Sdn Bhd.

-NFN-

Categories
NASIONAL

PKR Calonkan Bekas Laksamana Di Lumut, Ketua AMK Perak di Padang Rengas

pakatan rakyat putrajaya naeem

GERIK, 05 APRIL : Bekas Laksamana Pertama (B) Imran Abd Hamid akan bertanding di kerusi parlimen Lumut sebagai calon PKR pada pilihanraya ke-13 nanti.

Manakala Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perak, Dr Meor Ahmad Isharra Ishak, diumumkan sebagai calon Pakatan Rakyat di kerusi parlimen Padang Rengas.

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim juga mengumumkan pencalonan semula Dr Muhamad Nur Manuty di Parlimen Bagan Serai, Dr Lee Boon Chye di Gopeng dan Mustafa Kamil Ayub di Pasir Salak.

Anwar berkata pencalonan Imran adalah tepat memandangkan populasi pengundi angkatan tentera laut di Lumut dan latar belakangnya yang luas di dalam badan ketenteraan itu.

?Parlimen Lumut ini kita nak letak orang yang paling arif tentang tentera laut, ketenteraan, pelabuhan dan persiapan berkhidmat dan seorang tokoh dalam bidang ketenteraan.

?Laksamana bersara Haji Mohd Imran Abdul Hamid, ini laksamana dia,? Anwar berkata di dalam ceramah siri jelajah merdekannya di Taman Semarak, di sini malam tadi.

Jawatan terakhir Imran adalah sebagai Ketua Staf Logistik Markas Armada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Dalam pada itu, Anwar berkata pencalonan Dr Meor Ahmad adalah bagi mengiktirafkan sumbangan doktor gigi tersebut di dalam pergerakkan reformasi.

? Parlimen padang rengas kita kena letak seorang yang berwibawa, tokoh muda, punya kelayakkan, lama dalam perjuangan, lama dalam refomers.

?Iaitu Dr Haji Meor Ahmad Isharra Ishak, dia aktif sekarang ketua AMK perak dan doktor gigi,? kata Anwar di hadapan dua ribu penyokong.

 

Categories
NASIONAL SELANGOR

Pahlawan Sedia Khidmat Guaman Percuma Kepada Tentera Dituduh Sertai HKR112

Pahlawan Guaman Percuma 01

PETALING JAYA, 6 FEB: Pertubuhan Prihatin Bekas Anggota Keselamatan Malaysia (Pahlawan) menyediakan khidmat guaman percuma kepada anggota tentera yang dikenakan tindakan atas pertuduhan menyertai Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR112).

Ini ekoran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengenalpasti beberapa anggota yang hadir dalam perhimpunan tersebut dan kini akan disabitkan dalam pertuduhan dibawah Akta ATM.

Pengerusi Pahlawan, Asri Buang berkata, kehadiran mereka adalah atas kapasiti individu tanpa menyertai mana-mana pergerakkan NGO atau parti politik.

Ini disebabkan perasaan ingin tahun tentang perkembangan politik semasa secara langsung.

Tambah Asri, mereka ini akan dikenakan tindakan dibawah Seksyen 87 Akta Memudaratkan Perkhidmatan.

“Pahlawan memandang serius perkara tersebut.

“Ini kerana menurut undang-undang yang ada, anggota tentera yang masih berkhidmat dalam perkhidmatan bebas menyertai mana-mana perhimpunan yang dibenarkan oleh undang- undang Malaysia dengan syarat tidak menyertai mana-mana NGO atau parti politik serta tidak membahayakan keselamatan negara,” katanya.

Difahamkan seramai lima anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan seorang anggota tentera darat bakal berhadapan tindakan berkenaan.

Sementara itu, setakat ini tidak ada aduan dilaporkan mengenai jumlah anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang dikenakan tindakan.

Beliau menambah, kesemua mereka dikesan menghadiri himpunan berkenaan melalui paparan gambar di laman sosial Facebook dan kemudiannya dimaklumkan oleh keluarga masing-masing berhubung perkara berkenaan.

Categories
NASIONAL

Sambutan Kemerdekaan Ke 55 Peringkat Selangor Malam ini

SHAH ALAM 30 OGOS : Kerajaan Negeri Selangor akan menganjurkan Sambutan Malam Kemerdekaan ke-55 dan Hari Malaysia peringkat negeri pada Khamis, 30 Ogos di Dataran Kemerdekaan Shah Alam.

Bertemakan Sebangsa, Senegara, Sejiwa, sambutan itu akan berlangsung bermula pada jam 8.30 malam.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata pelbagai acara disediakan kepada orang ramai antaranya perbarisan dan perarakan 56 kontinjen yang terdiri daripada pasukan tentera, jabatan kerajaan serta badan bukan kerajaan.

Katanya, Kerajaan Negeri juga menyediakan persembahan kebudayaan dan keseniaan serta persembahan istimewa iaitu kawad senyap oleh pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Turut memeriahkan sambutan itu ialah Penasihat Ekonomi Negeri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga akan menyampaikan ucapan sempena sambutan kali ini.

“Orang ramai khususnya rakyat Selangor dijemput datang bagi memeriahkan sambutan ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Abdul Khalid mewakili barisan pimpinan Kerajaan Negeri juga mengucapkan Selamat menyambut ulang tahun kemerdekaan dan Selamat merayakan Hari Malaysia yang ke-49 kepada seluruh bangsa Malaysia di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Najib Razak Perlu Jawab Skandal Jual Rahsia Keselamatan Negara

PETALING JAYA,6 JUN : PKR menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak supaya menjelaskan bagaimana sebuah syarikat yang ada kaitan dengan dirinya didakwa menjual dokumen rahsia pertahanan negara dengan harga 36 Juta Euro atau RM 142 juta.

Timbalan Presiden PKR, Azmin mendakwa dokumen sulit itu adalah penilaian prestasi Kapal Selam Scorpene berasaskan keperluan pertahanan yang digariskan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Dokumen tersebut didakwa dijual oleh Terarasi (Hong Kong) Ltd kepada pembina kapal perang Peranchis DCNS.

“Terarasi (Hong Kong) Ltd setelah disiasat didapati bahawa syarikat ini dimiliki oleh Abdul Razak Baginda dan ayahnya Abdul Malim Baginda.

“Umum mengetahui bahawa kedua-dua individu ini adalah penasihat utama kepada Datuk Seri Najib Razak dan disyaki merupakan proaksi kepada beliau.

“Skandal pembelian Scorpene kini melampau persoalan rasuah dan penyelewengan dana rakyat semata-mata,” kata Azmin dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini.

Jelas Azmin lagi, pendedahan itu menunjukkan pimpinan Umno tidak teragak-agak untuk menggadai kemerdekaan dan kedaulatan negara termasuk berhubung strategi sulit keselamatan negara demi mengumpul kekayaan persendirian.

“Menjual maklumat pertahanan negara adalah pengkhianatan tahap tertinggi yang mesti dipertanggungjawabkan kepada Perdana Menteri Datuk Mohd Najib sendiri kerana perkara ini berlaku ketika beliau memimpin Kementerian Pertahanan.

“Penjualan penilaian prestasi Scorpene dan keperluan pertahanan tersebut bermakna negara asing telah mendapat maklumat terperinci strategi pertahanan negara,” ujar Azmin.

Tegas Azmin, tindakan ini mendedahkan isu keselamatan rakyat dan tentera yang mengendalikan Kapal Selam Scorpene yang sudah memulakan operasinya.

“Najib Razak perlu tampil memberikan jawapan bagaimanakah rahsia tersebut yang dijual oleh penasihat beliau sendiri,” ujarnya.

Azmin juga mendesak agar pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) supaya memulakan siasatan segera dalam hal ini.

“Sekiranya Angkatan Tentera Malaysia tidak terlibat dalam penjualan maklumat rahsia strategi pertahanan negara, maka saya mendesak pimpinan tertinggi Angkatan Tentera Malaysia untuk membuat laporan polis dengan segera,” tegas Azmin.

Pada sidang media yang sama, Brigadier Jeneral (B) Datuk Abdul Hadi Abdul Khattab berkata, kuasa yang dipusatkan kepada Menteri dan pegawai-pegawai tentera perlu dikaji semula demi keselamatan negara.

“Saya telah mengambil keputusan nekad untuk mengumpulkan rakan-rakan pimpinan Angkatan Tentera di dalam Majlis Rundingan Keselamatan yang ditubuhkan oleh PKR bagi menilai dasar pertahanan dan menjadi timbang tara keputusan yang membabitkan Kementerian Pertahanan.?

Abdul Hadi yang juga pengerusi Majlis Rundingan Keselamatan (MRK) PKR, berharap kepimpinan tertinggi Angkatan Tentera memberikan perhatian yang serius terhadap skandal ini.

“Sebagai Bekas Pegawai Tertinggi Angkatan Tentera,tindakan itu sudah tentulah pengkhianatan besar kerana ia mendedahkan strategi pertahanan negara,” kata beliau.

Dalam pada itu, portal berita Malaysiakini, melaporkan yang TLDM tidak mahu mengulas dakwaan Azmin.

Ketika dihubungi Malaysiakini, pengarah media dan web TLDM, Komander Ismail Othman berkata, pihaknya tidak ada sebarang komen mengenainya buat masa ini.

Ismail juga enggan mengulas lanjut apabila ditanya sebab pihaknya tidak mahu mengulas tentang isu tersebut.