Categories
NASIONAL

MOT usul pas bulanan tanpa had bagi Rapid

OLEH NADIAH ZAMLUS

PUTRAJAYA, 27 SEPT: Kementerian Pengangkutan (MOT) mengusulkan pelaksanaan Pas Bulanan Tanpa Had Perjalanan, pada Mesyuarat Tindakan Sara Hidup Negara, hari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, cadangan itu khusus buat ‘Rapid Rail’ dan ‘Rapid Bus’ (RRRB) Bersepadu serta perlaksanaan bagi diskaun perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu (KTM).

Bagaimanapun, katanya, perkara itu akan dibawa untuk persetujuan jemaah menteri terlebih dahulu, memandangkan subsidi pas bulanan berkenaan membabitkan kos RM300 juta setahun.

“Cadangan ini dibawa kerana MOT mahu membantu golongan B40 yang banyak menggunakan pengangkutan awam, jadi kita melihat mekanisma membabitkan bantuan subsidi dalam pengangkutan awam ini dapat mengurangkan kos sara hidup rakyat.

“Setakat ini, Kerajaan Malaysia masih belum pernah melaksanakan pemberian subsidi dalam pengangkutan awam buat rakyatnya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup di Dewan Persidangan Unit Penyelarasan Perlaksanaan Jabatan Perdana Menteri, di sini.

Dr Wan Azizah berkata, antara alasan  dikemukakan MOT ialah hampir semua negara maju sudah memperuntukkan subsidi bagi pengangkutan awam, di negara masing-masing.

“Di Paris dan Singapura, pemberian subsidi kepada pengguna pengangkutan awam sudah diberikan sehingga 30 peratus, jadi dari alasan ini kita melihat ia boleh dilaksanakan, di Malaysia.

“Apapun kita akan melihat apa keputusan jemaah menteri apabila usul ini dibawa,” katanya.

Categories
NASIONAL

TPM: Kerajaan Persekutuan dukung prinsip MA63 dalam Batu Sumpah Keningau

KENINGAU, 17 SEPT: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata kerajaan persekutuan yang diterajui Pakatan Harapan akan mendukung prinsip Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang sebahagiannya tercatat di dalam Batu Sumpah Keningau.

Katanya kerajaan persekutuan berpendirian asas-asas utama 20 perkara MA63 yang tercatat pada Batu Sumpah Keningau harus dihormati.

“Batu sumpah ini merupakan satu artifak sejarah yang terkandung (di dalamnya) ringkasan perjanjian dan tanggungjawab kerajaan Malaysia kepada rakyat Sabah,” katanya semasa berucap merasmikan Program Memperkasa Komuniti Pengguna bersempena Sambutan Hari Malaysia 2018, di sini hari ini.

Majlis itu turut dihadiri Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Saifuddin Nasution Ismail, Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Christina Liew dan Ketua Setiausaha KPDHEP Datuk Seri Jamil Salleh.

Baru-baru ini, batu sumpah berkenaan dipindahkan dari perkarangan Pejabat Urusetia Daerah Keningau ke Muzium Warisan Keningau dengan kos kira-kira RM1.025 juta.

Semalam, Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat turut menghadiri sambutan Hari Malaysia di Padang Merdeka Kota Kinabalu bersama Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

TPM: Penyalahgunaan dadah punca keruntuhan sistem perpaduan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

PETALING JAYA, 1 SEPT: Penyalahgunaan dadah menjadi faktor utama yang menjurus kepada keruntuhan sistem perpaduan dalam kalangan masyarakat, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Selain menimbulkan pelbagai kesulitan, Dr Wan Azizah berkata, pergaduhan yang membawa kepada ketidaktenteraman dalam institusi masyarakat akan tercetus.

Katanya, ia bakal menjejaskan keharmonian masyarakat majmuk di negara ini sekiranya tidak dibendung secara kolektif.

“Umum mengetahui bahawa masyarakat memainkan peranan yang amat penting dalam pembentukan sosial komuniti, jadi peningkatan gejala sosial masa kini amat saya titik beratkan dan peka terhadap permasalahan sosial melibatkan masyarakat.

“Mengikut laman web Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) juga, jumlah penagih dikesan mengikut status kes dilaporkan pada 2017 sebanyak 18,440 kes baru dan 7,482 kes berulang. Ini membawa maksud sebanyak 25,922 kes dilaporkan sehingga 2017,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Slot Santai@UNISEL Siri 10, Karnival Komuniti dan Hari Terbuka Unisel, di Desa Mentari, di sini, petang ini.

Turut hadir, Presiden dan Naib Canselor, Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman dan Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Mastura Muhammad.

Pada masa sama, beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, penyalahgunaan dadah turut membawa kepada peningkatan kadar jenayah dalam negara.

“Ini kerana dadah bukan sahaja menjadi toksik kepada masyarakat malah membuka ruang besar kepada jangkitan penyakit berbahaya seperti AIDS.

“Penagih dadah sangat berisiko dijangkiti penyakit AIDS berikutan perkongsian jarum suntikan ketika aktiviti penagihan dadah dilakukan.

“Sekiranya penagih telah positif dijangkiti penyakit tersebut, mereka ada kemungkinan untuk menyebar penyakit kepada ahli keluarga terdekat dan keluarga yang tidak bersalah menjadi mangsa,” katanya.

Sehubungan itu, Wan Azizah menyeru semua komuniti supaya menjauhi dadah kerana ia bukan sahaja mampu meruntuhkan institusi kekeluargaan, malahan tidak memberikan sebarang manfaat kepada masyarakat.

Katanya, dengan adanya program itu akan dapat memupuk kesedaran kepada masyarakat mengenai perkara yang berkaitan pembangunan sosial di Malaysia, khususnya di Selangor.

“Program seperti ini dapat memberikan manfaat kepada masyarakat terutamanya sekali berkaitan langkah pencegahan jenayah, informasi berkenaan dadah dan tindakan yang patut dilakukan dalam usaha mencegah gejala penagihan dadah di kalangan masyarakat,” katanya.

Terdahulu, Slot Santai@UNISEL Siri 10 bertajuk “Dadah 1001 Masalah” itu merupakan pendekatan strategik bagi mengupas berkenaan isu berkaitan penyalahgunaan dadah.

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

TPM luncur buku ‘Anwar Returns-The Final Twist’

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 26 OGOS: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyempurnakan peluncuran buku ‘Anwar Returns-The Final Twist, The Prosecution and Release of Anwar Ibrahim’ bertempat, di Grand Ballroom Hotel Hilton.

Buku hasil tulisan peguam jenayah berpangkat Queen’s Counsel (QC) Australia, Mark Trowell itu melengkapkan naratif perjalanan politik Datuk Seri Anwar Ibrahim, sejak 20 tahun lalu.

Hadir sama, pengarang Mark Trowell; bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Dato’ Seri Mohd Hishamudin Yunus dan Timbalan Pengerusi Institut Darul Ehsan (IDE), Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman.

Mark Trowel adalah seorang peguam jenayah terkemuka yang berpusat di Australia Barat merupakan pengerusi bersama jawatankuasa pendirian undang-undang jenayah LAWASIA.

Trowell menggunakan pembabitannya sebagai pemerhati sepanjang kes pendakwaan Anwar mengisi kesemua 400 muka surat The Final Twist, dilengkapi dengan pendapat dan pandangannya sendiri.

Buku pertama dihasilkan Trowell, pada 2012 melalui Sodomy ll berkisar kes pendakwaan atas tuduhan liwat yang bukan sahaja mengaibkan dirinya dan keluarga tetapi turut dikira membunuh karier politik.

Ia diikuti The Prosecution of Anwar Ibrahim: The Final Play, pada 2015 dan trilogi itu lengkap dengan penerbitan The Final Twist.

Categories
NASIONAL

80 peratus pengasuh di taska tiada kelayakan minimum

PUTRAJAYA 12 OGOS: Kira-kira 80 peratus atau 13,700 orang pengasuh bagi kanak-kanak berusia empat tahun ke bawah di taska yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) masih tidak memenuhi kelayakan minimum, Kursus Asuhan dan Didikan Awal Kanak-kanak PERMATA (KAP) setakat Jun 2018.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata kekurangan bilangan pengasuh yang berkelayakan memberi implikasi terhadap jumlah taska yang berdaftar.

“Unjuran banci Jabatan Perangkaan Malaysia pada 2010 menganggarkan jumlah kanak-kanak berusia kosong hingga empat tahun pada 2018 seramai 2.3 juta orang,” katanya pada Majlis Perasmian Hari Taska 2018 di sini Ahad.

Jelasnya berdasarkan statistik tersebut, jika dianggap bahawa 50 peratus daripada kanak-kanak di Malaysia yang berusia empat tahun ke bawah memerlukan taska, maka negara memerlukan 38,333 buah taska bagi menampung jumlah kanak-kanak tersebut.

Bagaimanapun, katanya statistik pendaftaran taska JKM menunjukkan bahawa bilangan taska yang berdaftar adalah sebanyak 4,302 buah sahaja (11.22 peratus).

Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata bilangan tersebut menunjukkan kekurangan yang amat jelas dari aspek keperluan dan ketersediaan taska di negara ini.

“Kekurangan pengasuh berkelayakan dan bilangan taska berdaftar akan memberi implikasi terhadap jaminan kualiti dan keselamatan anak-anak kita,” katanya.

Dr Wan Azizah menegaskan ketersediaan taska adalah penting bagi menyediakan sistem sokongan kepada ibu bapa yang bekerja dalam menguruskan anak-anak semasa tempoh mereka keluar bekerja.

“Hal ini secara tidak langsung akan membantu negara mencapai matlamat untuk meningkatkan penyertaan tenaga buruh dalam kalangan wanita sebanyak 59 peratus pada 2020 berbanding 54.7 peratus pada 2017,” katanya.

Jelasnya aksesibiliti terhadap taska membolehkan golongan wanita atau ibu-ibu terus kekal atau kembali ke pasaran kerja dan akan meningkatkan penyertaan wanita dalam pasaran kerja sekaligus dapat menjana ekonomi keluarga dan negara.

‘Keserataan’ telah diangkat sebagai tema bagi sambutan Hari Taska Kebangsaan 2018 selari dengan komitmen kerajaan terhadap Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak yang telah diratifikasi sejak 1995. – BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

TPM lancar Tabung Perubatan HANIcare

KUALA LUMPUR, 12 OGOS: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail malam tadi melancarkan Tabung Perubatan HANIcare, bagi memelihara kebajikan bekas pelajar Kolej Tunku Kurshiah.

Tabung tersebut merupakan inisiatif Persatuan Murid-Murid Tua (OGA) Kolej Tunku Kurshiah bagi membiayai kos perubatan bekas pelajar yang kurang bernasib baik.

“Saya juga amat berharap agar penglibatan badan-badan korporat dan persatuan ini dapat bekerjasama dan menyumbang demi kebaikan Tabung Perubatan HANIcare.

“Saya tidak membayangkan bahawa tabung ini akan menggantikan fungsi syarikat insurans, tetapi ia akan memberi kemudahan kewangan kepada ahli OGA yang memerlukan perhatian dan perubatan atau yang memerlukan sumber kewangan,” katanya pada Majlis Makan Malam Persatuan Murid-Murid Tua Maktab Perempuan Melayu/Kolej Tunku Kurshiah 2018 di sini.

Turut hadir Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad dan Presiden OGA Kolej Tunku Kurshiah Tan Sri Rafiah Salim.

Pelancaran tabung yang berjaya mengumpul dana lebih RM70,000 pada malam ini, akan diberikan kepada mereka yang berkelayakan sekali seumur hidup sehingga RM10,000.

Sementara itu, Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata peranan wanita dalam pembentukan negara begitu penting dan beliau meminta golongan tersebut supaya tidak mudah goyah dalam mendepani cabaran dan harus berani menongkah arus peredaran semasa.

“Malah menurut Hillary Clinton, wanita adalah golongan sokongan yang seharusnya dimanfaatkan. Wanita akan menjadi sebahagian daripada transformasi politik, sosial dan ekonomi seluruh dunia.

“Unless these processes involve women, we will merely become ‘recipients’ of change rather than ‘agents’ of change,” (Kecuali proses ini melibatkan wanita, kita akan hanya menjadi ‘penerima’ perubahan dan bukan agen perubahan), katanya.

Dalam pada itu, Dr Wan Azizah yang juga bekas pelajar Kolej Tunku Kurshiah berkata sudah tiba masanya terdapat satu sasaran untuk melahirkan perdana menteri wanita di negara ini.

“Saya tidak pernah mengimpikan untuk menjadi seorang timbalan perdana menteri. Saya hanya mahu menjadi seorang doktor. Tetapi kedudukan saya ketika ini telah membuktikan bahawa wanita juga mampu melakukan ini dan juga lebih daripada apa yang saya lakukan,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kerajaan bawa pulang jenazah mangsa gempa bumi Lombok – TPM

KUALA LUMPUR 29 JUL: Kerajaan Malaysia sedia membawa pulang jenazah mangsa rakyat Malaysia yang terkorban akibat bencana gempa bumi di Lombok, Indonesia hari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, beliau mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan kerajaan akan segera mengenal pasti mangsa.

“Saya ingin rakamkan ucapan takziah buat keluarga mangsa-mangsa kejadian ini. Saya doakan mereka diberi kekuatan menghadapi dugaan ini.

“Kerajaan Malaysia akan berusaha untuk segera mengenalpasti wanita tersebut, dan akan membawa mayat tersebut pulang ke tanah air,” kata Dr. Wan Azizah melalui Twitter.

Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta mengesahkan seorang rakyat Malaysia terkorban akibat gempa bumi berukuran 6.4 pada skala Richter ketika mendaki Gunung Rinjani awal pagi ini.

 

Categories
NASIONAL

Kerajaan kaji perkenal konsep pelupusan ruang udara

PUTRAJAYA, 27 JUL: Kerajaan sedang mengkaji untuk memperkenalkan konsep pelupusan ruang udara (spatium) supaya hakmilik ruang dapat dikeluarkan bagi tujuan pembangunan bandar, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata ia adalah antara langkah kerajaan untuk meneruskan kajian dan menggubal perundangan yang selaras dengan hasrat pembangunan negara ke arah pengurusan dan pentadbiran tanah yang lebih cekap dan berkesan.

Spatium adalah konsep bagi mewujudkan pembangunan bertindih di atas pembangunan sedia ada dan pewujudan pemilikan berlapis dengan lot isipadu di bawah dan di atas permukaan tanah, bertujuan memenuhi keperluan permintaan tanah yang semakin tinggi.

“Masih banyak lagi cabang pentadbiran tanah yang boleh diteroka untuk menambah baik perkhidmatan,” kata Dr Wan Azizah ketika berucap pada sambutan Hari Tanah Negara di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Dr Wan Azizah berkata kerajaan juga berhasrat memperkenalkan satu bentuk dokumen hakmilik tanah elektronik dan mewujudkan skim pajakan persendirian untuk membuka lebih banyak potensi pembangunan tanah.

“Kita juga sedang mengkaji pindaan ke atas Akta Hakmilik Strata bagi membolehkan pelaksanaan peremajaan bandar (urban rejuvenation). Ia adalah untuk menyelesaikan isu urban decay di bandar-bandar yang berusia seperti di Kuala Lumpur, Ipoh dan Georgetown,” katanya.

Beliau berkata memandangkan kadar urbanisasi meningkat kepada kira-kira 75 peratus sejak 70-an, maka pentadbiran tanah perlu bersedia bagi menampung peningkatan penduduk terutama di bandar-bandar.

Beliau turut menekankan aspek pemeliharaan dan pemuliharaan bagi tanah bernilai warisan negara dalam keghairahan mengejar pembangunan negara.

“Warisan negara seperti Taman Tasik Perdana di Kuala Lumpur, Tanjung Bungah dan Batu Ferringhi di Pulau Pinang dan Kampung Portugis di Melaka dapat dikekalkan untuk warisan akan datang.

“Oleh itu, saya menggesa semua pihak yang terlibat supaya undang-undang dipinda bagi memperkenalkan Rizab Kekal Negara,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

TPM terima kunjungan hormat komunikator sains terbaik dunia

PUTRAJAYA, 24 JUL: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini menerima kunjungan Dr Siti Khayriyyah Mohd Hanafiah, rakyat Malaysia yang mengharumkan nama negara apabila dinobatkan sebagai Komunikator Sains Terbaik Dunia, di Perdana Putra di sini.

Siti Khayriyyah, 33, pensyarah kanan Pusat Pengajian Sains Kajihayat Universiti Sains Malaysia (USM) dinobatkan sebagai Komunikator Sains Terbaik Dunia dalam pertandingan FameLab International 2018 yang berlangsung di United Kingdom (UK) bulan lepas.

Dr Wan Azizah dalam satu kenyataan bersempena pertemuan itu berkata kejayaan Siti Khayriyyah itu menunjukkan rakyat Malaysia terutamanya wanita mampu bersaing di persada antarabangsa.

“Kejayaan Siti Khayriyyah membanggakan dan membuktikan keupayaan rakyat Malaysia di peringkat dunia,” kata Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Famelab International ialah pertandingan menguji kemahiran lisan saintis muda untuk menyampaikan teori dan konsep sains dalam bentuk kreatif dan penyampaian yang mudah untuk difahami khalayak dalam tempoh tiga minit sahaja.

Siti Khayriyyah menewaskan 11 finalis lain untuk memenangi anugerah berkenaan menerusi pembentangan penyelidikannya mengenai penggunaan antibodi-antigen untuk diagnosis penyakit tuberculosis (TIBI) atau batuk kering yang bertajuk ‘To Find a Hidden Killer’ (Mencari Pembunuh Tersembunyi).

Siti Khayriyyah ketika ditemui pemberita selepas melakukan kunjungan itu berharap kejayaannya menjadi inspirasi kepada golongan wanita negara ini untuk mencapai kejayaan dalam pelbagai bidang dan menjadi perangsang untuk rakyat Malaysia mengenali komunikasi dalam sains dengan lebih dekat.

“Tanpa komunikasi yang baik masyarakat tidak akan mengenali sains apa lagi menunjukkan minat,” katanya.

Turut hadir pada kunjungan hormat itu ialah Naib Canselor USM Profesor Datuk Dr Asma Ismail.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

TPM: Elak pembaziran makanan

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 8 JUL : Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyaran rakyat supaya elakkan berlakunya pembaziran ketika berkunjung ke rumah terbuka atau apa sahaja sambutan perayaan.

Katanya, budaya itu perlu diterapkan dalam kalangan rakyat di negara ini terutama pada musim perayaan berikutan peningkatan kadar sisa pepejal harian hampir setiap tahun.

“Contohnya, pada bulan Ramadan kebanyakan daripada kita sering membuang makanan dan sebahagian besarnya masih belum disentuh.

“Budaya membazir ini sangat merugikan kerana makanan berlebihan yang tidak dimakan itu sepatutnya boleh disalurkan kepada mereka yang lebih memerlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Hi-Tea Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga di Stadium JKR, di sini, hari ini.

Majlis itu turut dihadiri Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga, Rodziah Ismail dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

 

Categories
NASIONAL

TPM rasmi Kayuhan Amal Chefs Funride KL 2018

KUALA LUMPUR, 7 JUL: Lebih 1,000 peserta menyertai program Kayuhan Amal Chefs Funride Kuala Lumpur (KL) 2018 anjuran Yayasan Generasi Malaysia (YGM) dan cef-cef daripada seluruh negara di Dataran Merdeka pagi ini.

Kayuhan membabitkan jarak kira-kira 17 km itu bermula di hadapan Dataran Merdeka di sini dan melalui beberapa jalan utama di ibu kota iaitu Jalan Raja Laut, Jalan Sultan Ismail, jalan sekitar KLCC, Jalan Raja Abdullah, Jalan Tun Razak, Jalan Tun Ismail (melalui Pusat Dagangan Dunia Putra) dan kembali ke Dataran Merdeka.

Upacara pelepasan disempurnakan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada 7.30 pagi.

Cef Sabri Soid daripada Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur yang menyertai kayuhan amal itu berkata penyertaan itu terbuka kepada golongan cef daripada seluruh negara dan orang ramai, dengan tujuan untuk mengumpul dana bagi membantu cef yang menghadapi masalah kesihatan, kewangan dan sebagainya.

“Program kayuhan ini akan diteruskan pada masa depan dengan kerjasama Yayasan Generasi Malaysia dan cef-cef Malaysia yang bukan sahaja mempromosikan gaya hidup sihat tetapi turut menghulurkan bantuan kepada cef yang memerlukannya,” katanya ketika ditemui Bernama.

Penaja utama kayuhan amal itu ialah Widad Business Group dan dianjurkan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Majlis Sukan Negara (MSN), kata Sabri.

SUMBER: BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

TPM: Kerajaan komited naik had umur kahwin kanak-kanak

OLEH HAFIZAN TAIB

PUTRAJAYA, 7 JUL: Kerajaan memberi perhatian serius terhadap isu perkahwinan kanak-kanak dan kini komited meningkatkan umur minimum 16 tahun kepada 18 tahun.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, perkara itu sedang dipertimbangkan dan kementerian mengambil maklum kebimbangan disuarakan Suhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) mengenainya.

“Cadangan meningkatkan umur minimum perkahwinan kepada 18 tahun untuk kedua-dua jantina sedang diperhalusi beberapa kementerian dan agensi seperti ditegaskan dalam kenyataan saya pada 2 Julai lalu.

“Perkara ini adalah sejajar dengan manifesto Buku Harapan dan semua pihak berkaitan sedang giat membincangkan mekanisme pelaksanaan sebelum ianya dimuktamadkan dalam masa terdekat,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, kementeriannya tidak mempunyai autoriti untuk menyemak semula Prosedur Operasi Standard (SOP) sedia ada berkaitan kelulusan dan pengendalian urusan perkahwinan kanak-kanak itu.

“Ini kerana perkara berkenaan berada di luar bidang kuasa kementerian,” katanya.

Sebelum ini, Dr Wan Azizah berkata, kerajaan akan membentangkan pindaan untuk menaikkan had umur perkahwinan bagi kanak-kanak perempuan daripada 16 tahun kepada 18 tahun pada persidangan Dewan Rakyat bermula 16 Julai depan.

Isu berkaitannya mendapat perhatian ramai selepas seorang lelaki 41 tahun dari Kelantan mengahwini seorang kanak-kanak perempuan 11 tahun di Thailand, baru-baru ini.