Categories
NASIONAL

Kes kematian Adam Rayqal perlu dikendalikan secara adil – TPM

ULAANBAATAR (Mongolia), 5 JUL: Disebalik kematian bayi Adam Rayqal Mohd Sufi boleh disifatkan sebagai tidak berperikemanusiaan dan dilihat dirancang lebih awal, kes itu perlu dikendalikan secara adil bagi semua pihak yang terlibat dalam kejadian itu, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Dalam kes berkenaan, Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata situasi penjaga bayi berkenaan dan tekanan yang mungkin dihadapinya perlu juga diteliti.

‘Kena adil. Tidak boleh jatuhkan hukum macam itu sahaja tanpa beri pembelaan,”katanya ketika ditemui wartawan Malaysia yang membuat liputan lawatan kerja tiga hari beliau di Mongolia pada Rabu.

Mayat bayi lelaki berusia lima bulan itu ditemukan lengkap berpakaian dalam beg berwarna hijau dalam bahagian sejuk beku peti ais di rumah pengasuhnya pada kira-kira 11 malam semalam.

Bagaimanapun, Dr Wan Azizah berkata kejadian itu menjadi peringatan akan perlunya pemantauan dilakukan terhadap pusat jagaan swasta atau individu yang menjadi pengasuh.

“Perlu ada undang-undang atau peraturan tertentu untuk memastikan pengasuh ini bertanggungjawab dan perlu ada standard tertentu di mana mereka perlu dilatih secukupnya untuk menjaga bayi,” katanya.

Dr Wan Azizah berkata timbalannya Hannah Yeoh akan mendapatkan lebih banyak maklumat berkaitan kes itu sebelum kementerian mengambil langkah konkrit untuk menangani perkara itu.

Sementara itu, ketika ditanya tentang bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang sedang menghadapi pertuduhan, Dr Wan Azizah berkata adalah penting untuk tidak dibicarakan oleh media.

“Tidak kiralah apa perasaan saya dan apa yang saya fikirkan, adalah penting bahawa keadilan dilihat ditegakkan dan perlu berasaskan bukti, katanya.

Najib mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi terhadap tiga pertuduhan melakukan pecah amanah dan satu pertuduhan menyalahgunakan jawatannya berhubung dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

TPM: Kerajaan siasat kes kahwin kanak-kanak 11 tahun

OLEH HAFIZAN TAIB

PUTRAJAYA, 30 JUN: Kerajaan mengambil berat kes perkahwinan kanak-kanak perempuan berumur 11 tahun yang tular di media sosial dan siasatan sedang dilakukan berhubung perkara itu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, kerajaan terharu dengan responsif rakyat terhadap isu berkaitan dan telah mengarahkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menjalankan pemantauan juga siasatan secara menyeluruh mengenainya.

Bagaimanapun, katanya, keputusan yang akan diambil harus bersifat inklusif demi memastikan kebajikan dan hak setiap pihak terpelihara.

“Kerajaan bersungguh dalam memastikan sistem perundangan di negara kita bersifat adil dan melindungi hak serta kehormatan semua pihak.

“Oleh itu, kita akan mengkaji kelompongan yang wujud dalam undang-undang sedia ada bagi memastikan ‘rule of law’ adalah undang-undang terbaik bagi semua,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kenyataan itu merujuk kes perkahwinan lelaki 41 tahun dengan kanak-kanak perempuan 11 tahun dikongsi isteri lelaki itu yang dimaklum rakannya lalu menjadi tular di laman sosial semalam.

Lelaki itu didakwa bernikah dengan kanak-kanak itu di Thailand pada 18 Jun lalu.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu juga berkata, kerajaan akan memastikan tidak ada diskriminasi atau penindasan terhadap mana-mana pihak termasuk kanak-kanak.

“Saya menyeru supaya mana-mana pihak mempunyai maklumat berhubung isu sama boleh melaporkan ke agensi terdekat seperti JKM serta Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara,” katanya.

Categories
NASIONAL

Persidangan khas Ogos ini bincang isu KWSP suri rumah – TPM

KUANTAN, 23 JUN: Persidangan khas akan diadakan pada minggu kedua Ogos ini bagi memperhalusi isu berhubung cadangan pelaksanaan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk suri rumah, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata beberapa agensi dan jabatan kerajaan berkaitan akan menyertai persidangan khas itu bagi mengkaji dengan teliti aspek teknikal yang menjadi menghalang pelaksanaan cadangan itu sebelum ini.

“KWSP, Pertubuhan Keselamatan Sosial Malaysia (Perkeso) serta jabatan yang berkaitan akan berbincang dan mencari jalan terbaik bagaimana hendak melaksanakannya, memang ada beberapa isu teknikal seperti Seksyen 51 Akta KWSP dan Akta Kerja 1955 yang menjadi kekangan dalam hal ini.”

“Selain itu kita akan kaji cara untuk tangani Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja yang tidak membenarkan caruman daripada ahlinya dipindahkan dan kita akan minta pandangan Kementerian Kewangan kerana pelaksanaanya juga melibatkan dana kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersempena program Lawatan Turun Padang Rumah Kanak-Kanak Sultanah Hajjah Kalsom, di sini, hari ini yang juga lawatan kali pertama Dr Wan Azizah ke Pahang selepas Pilihan Raya Umum ke-14.

Majlis turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Kerajaan Negeri Pahang Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin dan Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Fazari Salleh.

Peruntukan di bawah Seksyen 51 Akta KWSP menyatakan tiada amaun yang boleh diserahkan, dipindahkan, kena ditahan, disekuesterkan, dilevikan ke atasnya, bagi, atau berkenaan dengan, apa-apa hutang atau tuntutan apa jua pun.

Malah Pegawai Pemegang Harta tidaklah berhak kepada atau mempunyai apa-apa tuntutan ke atas apa-apa jumlah wang atau amaun.

Sementara itu, Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat turut menzahirkan kebimbangan dengan masalah penyakit mental di negara ini yang kurang mendapat perhatian sedangkan ia merupakan satu perkara serius.

“Masalah ini perlu diketengahkan serta diberi perhatian yang serius, jangan hanya apabila berlaku sesuatu tragedi sehingga mengorbankan nyawa termasuk kanak-kanak, baru kita nak bertindak.”

“Kita perlu atasinya daripada peringkat akat umbi lagi dan beberapa kementerian yang berkenaan termasuk Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Perumahan perlu bekerjasama kerana persekitaran juga menjadi penyumbang kepada masalah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang kes seorang ibu yang mengelar leher anaknya lelakinya berusia 19 bulan yang berlaku di Felda Jengka 13, Maran baru-baru yang dipercayai berpunca daripada masalah kemurungan.

Kajian Morbiditi Kesihatan Kebangsaan yang terkini melaporkan setiap tiga orang dalam 10 orang dewasa berusia lebih 16 menderita pelbagai isu kesihatan mental dan ia dijangka menjadi masalah kesihatan kedua terbesar rakyat di negara ini selepas penyakit jantung.

Sementara itu dalam ucapannya, Dr Wan Azizah berkata berdasarkan statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), bilangan kes penganiayaan dan penderaan kanak-kanak di negara ini dilaporkan meningkat hampir setiap tahun.

Katanya terdapat 4,453 kes bagi tahun 2015 dan jumlah itu meningkat sebanyak 529 kes kepada 4,982 kes pada tahun 2016 dan pada tahun lepas sahaja sebanyak 5,422 kes telah dilaporkan berlaku.

Penganiayaan dan penderaan kanak-kanak perlu dilihat sebagai pelanggaran hak kanak-kanak dan menjadi tanggungawab semua untuk membendungnya daripada terus berlaku demi kepentingan dan keselamatan mereka pada setiap masa, katanya.

SUMBER/FOTO: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Jadikan kemenangan dalam Ramadan latihan matang dan kuatkan jiwa – TPM

PUTRAJAYA, 14 JUN: Kemenangan dalam Ramadan yang berlalu harus dijadikan sebagai latihan mematangkan dan menguatkan jiwa, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Dalam perutusan Aidilfitrinya, beliau berkata umat Islam di seluruh dunia menyambut Aidilfitri sebagai hari kemenangan.

Beliau berkata kemenangan yang diperoleh hari ini adalah hasil berpuasa selama sebulan dengan penuh kesabaran dan ketabahan.

Kemenangan, kata Dr Wan Azizah akan lebih bermakna jika dapat menjadi insan yang istiqamah dalam mengekalkan kekuatan diperoleh daripada sebulan berpuasa.

“Gunalah kekuatan ini untuk membina kesejahteraan dan keadilan sesama manusia dan mengukuhkan negara,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
KENYATAAN MEDIA NASIONAL

Perutusan Aidilfitri Timbalan Perdana Menteri

Alhamdulillah kita panjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana masih diberikan kesempatan merayakan Aidil Fitri pada tahun ini.

Umat Islam di seluruh dunia menyambut Aidil Fitri sebagai hari kemenangan.

Minal aa’idin wal faizin wal maqbulin adalah ungkapan yang selalu dilafazkan oleh umat Islam semasa menyambut Aidil Fitri.

Ungkapan ini bermaksud semoga kita tergolong dalam golongan yang kembali kepada fitrah dengan memperolehi kemenangan serta diterima amalan dan segala kebaikan.

Merayakan kemenangan dengan penuh kesyukuran dan Tawaddu’ adalah amalan yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w.

Kemenangan yang diperolehi hari ini adalah hasil setelah berpuasa selama sebulan dengan penuh kesabaran dan ketabahan.

Kemenangan akan lebih bermakna jika kita dapat menjadi insan yang istiqamah dalam mengekalkan kekuatan yang telah kita perolehi dari sebulan berpuasa dan gunalah kekuatan ini untuk membina kesejahteraan dan keadilan sesama manusia dan mengukuhkan negara.

Jadikanlah kemenangan dalam Ramadhan yang berlalu sebagai satu latihan yang mematangkan dan menguatkan jiwa kita.

Saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir dan Batin kepada semua rakyat Malaysia dan Umat Islam di serata dunia.

Minal aa’idin wal faizin wal maqbulin.

Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Timbalan Perdana Menteri Malaysia

Categories
NASIONAL

Filem pendek TPM, Anwar singkap perjuangan Malaysia Baru

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 14 JUN: Biarpun kemenangan sudah diraih, namun semangat dan perjuangan membawa perubahan Malaysia Baru tetap menjadi keutamaan bagi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Iltizam itu dizahirkan Wan Azizah dan suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi sebuah filem pendek Aidilfitri lakonan kedua-dua pimpinan itu.

Video dengan judul ‘Demi Harapan Rakyat, Perjuangan Diteruskan’ berdurasi 2 minit 45 saat itu berkisarkan semangat Wan Azizah sekeluarga untuk terus mengangkat martabat Malaysia Baru.

“Dah menang, sekarang lebih sukar. Kita mesti lakukan semua janji-janji. Kita mahu mengisi kemenangan dan dengan sokongan rakyat itu, kita boleh lakukannya,” kata Wan Azizah dalam bingkisan filem pendek itu.

Sehingga laporan ini ditulis, video berkenaan sudah ditonton lebih 64,000 tontonan di Facebook, hanya selepas kurang satu jam ia dikongsikan di laman sosial rasmi Dr Wan Azizah.

Bagi Anwar pula, kemenangan itu seiring pengharapan rakyat Malaysia yang mahukan sebuah negara maju diwujudkan tanpa pelaksanaan dasar membebankan diwujudkan Kerajaan Pemerintah.

“Sekarang kita kena terus kerja, rakyat sudah tunggu. Kalau kita tidak laksanakan, dukungan rakyat itu sia-sia.

“Kalau kita fikir keselesaan kita, kita sama macam rejim lama.

“Matlamatnya adalah meringankan beban rakyat, dan menjadikan demokrasi itu bermakna bagi memberi keselesaan kepada rakyat,” katanya.

Ini adalah sambutan perayaan Syawal pertama Anwar selepas diberi pengampunan diraja, daripada sabitan Fitnah II terhadap Ketua Umum Pakatan Harapan itu.

Categories
NASIONAL

TPM ucap takziah kemangkatan bonda Sultan Johor

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 2 JUN: Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengucapkan takziah di atas pemergian Bonda Sultan Johor Enche’ Besar Hajah Khalsom Abdullah.

Beliau dalam kenyataan hari ini merafak sembah ucapan takziah kepada seluruh Kerabat DiRaja Johor atas kemangkatan Yang Amat Mulia Enche’ Besar Hajah Khalsom Abdullah yang telah kembali ke rahmatullah pada 1 Jun 2018. Al-Fatihah.

“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas rohAlmarhumah dan ditempatkan oleh Allah SWT di kalangan para aulia, syuhada dan solihin,” katanya.

Terdahulu, Almarhum dilaporkan mangkat ketika berusia 83 tahun di London disebabkan sakit tua.

Kemangkatan itu turut disahkan Adinda Sultan Johor, Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maiminah Iskandariah dan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar menerusi laman facebooknya.

Categories
NASIONAL

TPM lawat mangsa kebakaran di Pandan Jaya

KUALA LUMPUR 30 MEI: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail meluangkan masa kira-kira setengah jam melawat mangsa kebakaran di Kampung Pandan Jaya di sini hari ini.

Kesemua mangsa daripada 24 keluarga kini ditempatkan di Dewan Baiduri Kampung Pandan Jaya, lapor BH ONLINE.

Selain meninjau keadaan mangsa, Dr Wan Azizah turut mendapatkan maklumat lanjut mengenai bantuan yang diberikan agensi kerajaan yang berkaitan.

Beliau berkata, untuk bantuan segera semua 24 keluarga itu akan dibekalkan khemah khas dilengkapi tilam, bantal, tikar, makanan dan kelengkapan diri ketika mereka menumpang di Dewan Baiduri berkenaan.

Katanya, bantuan makanan dan kesihatan juga diberikan kepada mangsa yang mana ia diuruskan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Memandangkan ada dalam kalangan mangsa adalah warga tua dan orang kelainan upaya (OKU) maka mereka ini akan diberikan keutamaan,” katanya ditemui selepas melawat mangsa kebakaran itu.

Dr Wan Azizah yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata, beliau sudah mengarahkan agensi kerajaan yang terbabit menguruskan semua keperluan mangsa berkenaan.

“Sebagai permulaan pejabat Ahli Parlimen Pandan akan menyediakan bekalan makanan kepada mangsa bersama bantuan JKM dan agensi di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, ” katanya.

Beliau turut menyumbang bantuan peribadi kepada mangsa kebakaran itu.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Azmi Osman berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 3 pagi mengenai kebakaran kediaman membabitkan enam kediaman.

Katanya,bomba dari Balai Bomba Pandan Indah berjaya mengawal kebakaran pada jam 7 pagi.

Beliau berkata, semua mangsa dilaporkan selamat dengan bantuan orang awam.

Katanya, punca sebenar kebakaran masih disiasat.

SUMBER: BH ONLINE

Categories
NASIONAL

Wan Azizah: Task force khas laksana agenda wanita, kanak-kanak

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PUTRAJAYA, 22 MEI: Jawatankuasa khas akan ditubuhkan sebagai ‘task force’ menyeluruh bagi meningkatkan agenda pembangunan kebajikan wanita dan kanak-kanak di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, pasukan khas itu ditubuhkan juga bagi merealisasikan manifesto Kerajaan Pakatan Harapan dalam tempoh 100 hari pentadbirannya.

“Pasukan petugas ini akan memberikan penumpuan khas terhadap inisiatif keusahawan sosial, pembangunan wanita dan inisiatif projek HARAPAN.

“Keutamaan juga diberikan bagi mengatasi masalah pertumbuhan terbantut kanak-kanak seperti dilaporkan dalam UNICEF, di Parlimen sebelum ini.

“Kita mengambil kira bahawa kajian ini penting kerana masalah ini dilihat sebagai isu kemiskinan terutamanya kanak-kanak di pinggir bandar.

“Tidak dilupakan kebajikan golongan warga emas dan janji kami untuk melaksanakan caruman KWSP kepada golongan suri rumah,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang media di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya pagi ini.

Wan Azizah berkata, cadangan penubuhan task force khas itu sudah dimuktamadkan pada pertemuan khas bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Perkara ini sudah diketengahkan dan telah diberi penumpuan oleh Perdana Menteri. Ia dianggap sangat bermakna dan mempunyai struktur yang baik,” katanya.

Wan Azizah secara rasmi memulakan tugas di hari pertama sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga, pagi ini.

Ditanya pemberita bagaimana pembahagian masa baginya mengurus kedua-dua kementerian penting itu, Wan Azizah berkata, pengurusan masa perlu diatur bagi memastikan peranan kedua-dua kementerian berfungsi dengan baik.

“Beri saya masa, saya akan semak semua. Mana boleh semua nak buat dalam masa sehari,” selorohnya.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Dr Wan Azizah mulakan tugas TPM

PUTRAJAYA 22 MEI: Wanita pertama negara dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, tiba di pejabatnya bagi memulakan tugas di Bangunan Perdana Putra di sini, kira-kira jam 10 pagi tadi.

Memakai kebaya berbunga merah dan tudung putih, Dr Wan Azizah mengetik kad perakam waktu sebagai permulaan masuk ke pejabatnya yang terletak di tingkat empat.

Sebaik melangkah masuk, doa dibacakan dan beliau disambut Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa.

Beliau yang juga Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga turut disambut oleh Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Suriani Ahmad, dan Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Zuki Ali.

Dr Wan Azizah kemudian menandatangani dokumen memulakan tugas sebelum bertemu dan bermesra dengan kakitangan di pejabatnya.

SUMBER: BH ONLINE

Categories
NASIONAL

Pilihan tepat rakyat, angkat PAKATAN tadbir negara

OLEH HAFIZAN TAIB

AMPANG, 16 MEI: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail melahirkan penghargaan terhadap keputusan rakyat memilih Pakatan Harapan (PAKATAN) dalam pilihan raya umum ke 14 (PRU14) bagi mengambilalih pentadbiran negara.

Apa lebih penting, Presiden KEADILAN dan juga Timbalan Perdana Menteri itu berkata, proses perubahan dalam sisitem demokrasi itu berlaku dalam dalam keadaan aman dan damai.

“Ini kelebihan tanah air kita di mana selepas 61 tahun (di bawah Barisan Nasional), kita menukar pentadbiran negara secara baik dan teratur.

“Tahniah rakyat Malaysia kerana membuat pilihan tepat,” katanya dalam Majlis Menyambut Pelantikan Timbalan Perdana Menteri di Padang Perbandaran Ampang Jaya di sini, malam tadi.

Beliau berkata, rakyat telah mencipta sejarah terhadap perubahan itu dan kini PAKATAN akan memberi tumpuan bagi membina semula negara ini.

Katanya, komitmen PAKATAN kini bagi menunaikan janji termaktub dalam tempoh 100 hari seperti mana terkandung dalam manifesto.

“Dalam perbincangan dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, kita akan mulakan dengan melaksanakan pemansuhan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada kadar kosong peratus serta menstabilkan harga minyak.

“Saya percaya Majlis Penasihat akan merangka dengan betul supaya kita mendapat dana supaya ekonomi negara kembali kukuh,” katanya.

Pembebasan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas ini, katanya, akan membantu bagi merealisasikan hasrat itu dengan kembali bersama Dr Mahathir yang pernah meletakkan Malaysia sebagai ‘Asean Tiger’ dalam pentadbiran terdahulu.

Dr Wan Azizah turut berterima kasih kepada pemilih di Pandan yang mengangkatnya sebagai Ahli Parlimen dalam PRU lalu.

“Saya sungguh berbesar hati dan berterima kasih terutama kepada warga Pandan.

“Saya telah bertanding beberapa kali dalam PRU tetapi Pandan bagus, bertanding kali pertama terus jadi Timbalan Perdana Menteri,” katanya.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Tumpu bina negara, tiada PRK masa terdekat

OLEH HAFIZAN TAIB

AMPANG, 16 MEI: KEADILAN tidak merancang mengadakan pilihan raya kecil (PRK) dalam tempoh terdekat selepas pembebasan Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, ini kerana Pakatan Harapan (PAKATAN) memberi tumpuan bagi membina semula negara selepas mengambilalih pentadbiran Persekutuan daripada Barisan Nasional (BN).

“Bukan itu perancangan kita (mengadakan PRK),” katanya dalam sidang media selepas Majlis Menyambut Pelantikan Timbalan Perdana Menteri di Padang Perbandaran Ampang Jaya, di sini, malam tadi.

Sebaliknya, Dr Wan Azizah berkata, Anwar akan berperanan membantu Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dalam memastikan proses pemulihan negara berjalan lancar.

“Seperti dimaklumkan sebelumnya, kita perlu memberi ruang kepada Perdana Menteri bagi membentuk kerajaan dan menjalankan tanggungjawab mentadbir negara manakala Anwar akan membantu.

“Kita yakin gandingan Dr Mahathir dan Anwar akan berjaya menjadikan negara lebih baik seperti mana dilakukan ketika mereka mentadbir dahulu,” katanya yang diangkat sebagai Timbalan Perdana Menteri itu.

Beliau seterusnya berkata, tumpuannya kini bagi memastikan segala janji terkandung dalam Manifesto PAKATAN dapat ditunaikan dalam tempoh ditetapkan.

“Selepas selesai angkat sumpah jawatan Timbalan Perdana Menteri, seperti mana dinyatakan Dr Mahathir, kita akan menunaikan janji dalam tempoh 100 hari antaranya pemansuhan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada kadar kosong peratus serta harga minyak distabilkan,” katanya.

=EZY=