Categories
NASIONAL

TPM: Kerajaan dalam kajian gubal Akta Pembaziran Makanan

SERDANG, 2 DIS: Akta Pembaziran Makanan akan digubal selepas kajian teliti mengenai keperluannya selesai dilaksanakan, kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Timbalan Perdana Menteri berkata kewujudan akta itu dilihat penting dalam usaha kerajaan mengelak tabiat pembaziran makanan dalam kalangan rakyat.

“Purata seorang rakyat Malaysia membuang hampir satu kilogram makanan setiap hari memerlukan perhatian khusus oleh pihak berkepentingan.

“Bagi tujuan itu, kerajaan sedang mengkaji dengan teliti dari pelbagai sudut keperluan menggubal akta tersebut,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2018 di sini hari ini.

Majlis penutupan pameran ekspo pertanian terbesar di Asia Tenggara di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) di sini yang bermula sejak 22 Nov lepas itu turut dihadiri Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub.

Dr Wan Azizah berkata melalui akta tersebut, masyarakat secara tidak langsung akan terdidik dalam menghargai dan mengelak tabiat pembaziran makanan.

Timbalan Perdana Menteri berkata kerajaan juga sedang mempertimbangkan untuk mengenakan denda ke atas pelanggan di hotel dan restoran yang membazirkan makanan.

Beliau berkata kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) juga akan melaksanakan ‘Program Food Bank Malaysia’ bagi menangani isu pembaziran makanan di pusat membeli-belah.

Dr Wan Azizah berkata program bakal dilaksanakan di seluruh negara bermula awal tahun hadapan itu akan menyaksikan lebihan makanan diperoleh daripada pasar raya besar seperti roti, sayur dan buah-buahan diagih kepada mereka yang memerlukan.

“Dengan mengurangkan tabiat pembaziran makanan, saya pasti secara tidak langsung ia dapat membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
AGAMA NASIONAL

Jadikan pengajaran Rasulullah sebagai model terbaik Malaysia baharu

KUALA LUMPUR, 20 NOV: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyeru umat Islam di negara ini untuk saling mendengar suara dan pandangan antara satu sama lain, dengan menjadikan ibrah (pengajaran) Nabi Muhammad SAW sebagai model terbaik dalam membina Malaysia baharu.

Timbalan Perdana Menteri berkata selain itu, mereka juga perlu meraikan persamaan serta bertolak ansur dalam perkara yang berbeza.

“Menjadikan baginda Rasulullah SAW sebagai contoh ikutan atau model hidup seseorang manusia tidak pernah merugikan. Baginda telah menunjukkan contoh teladan terbaik sama ada sebagai seorang lelaki, suami, bapa, guru, pemimpin, panglima perang, diplomat dan lain-lain lagi.

“Rasullah SAW sentiasa berpandangan jauh dan dalam masa yang sama tidak lupa berfikir mencari yang terbaik bagi umat baginda dalam isu-isu semasa yang berlaku di sepanjang hayat baginda,” katanya dalam perutusan bersempena sambutan Maulidur Rasul 1440H.

Bersempena sambutan Maulidur Rasul pada kali ini, Timbalan Perdana Menteri turut mengajak umat Islam untuk bersama-sama membuat sedikit anjakan paradigma dalam mengamalkan ajaran Rasulullah SAW agar ia tidak hanya berlegar dalam konteks amalan kendiri sahaja.

Sebagai umat Nabi Muhammad SAW, umat Islam turut dinasihati untuk meletakkan azam dalam jiwa agar ajaran baginda disebarluaskan kepada seluruh manusia sejagat.

Timbalan Perdana Menteri berkata sungguhpun terdapat pihak yang cuba menafi, menyaingi dan menandingi ajaran baginda dengan memberi ajaran alternatif, namun ia tetap unggul dan utuh sebagai yang terbaik serta menyeluruh kerana ajaran baginda adalah berasaskan wahyu serta bukan sekadar satu ideologi dan pemikiran semata-mata.

“Dilihat daripada ajaran, bimbingan, suruhan, larangan dan teladan yang telah baginda tunjukkan semuanya menyelamatkan manusia daripada kehancuran sama ada kepada diri, masyarakat atau dunia sejagat,” jelasnya.

Dr Wan Azizah turut menyeru umat Islam melakukan pengisian yang bermanfaat dan berguna dalam suasana sambutan Maulidur Rasul 1440H agar kita dapat meningkatkan kefahaman dan ibrah daripada sirah dan sunnah baginda Rasulullah.

“Justeru, janganlah usaha ini hanya pada musim Maulidur Rasul sahaja bahkan untuk sepanjang hayat kita sebagai umat. Selamat menyambut Maulidur Rasul 1440H,” tambahnya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

TPM: RM1.74 juta untuk KWABBN siap sedia awal hadapi banjir

KUALA LUMPUR, 14 NOV: Kerajaan telah menyalurkan RM1.74 juta sebagai peruntukan awal kepada Tabung Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) untuk perbelanjaan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan operasi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata langkah itu bertujuan memastikan bencana banjir dalam negara dapat diuruskan dengan baik.

“Kerajaan akan pastikan KWABBN mencukupi dan sebarang kekurangan peruntukan tabung itu akan ditambah mengikut anggaran keperluan,” katanya menjawab pertanyaan Zailah Mohd Yusoff (PAS-Rantau Panjang) dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Bagi tempoh 2008 hingga 2017, sebanyak RM422 juta telah dibelanjakan untuk operasi pengurusan banjir manakala bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini, sebanyak RM25.8 juta digunakan.

Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata inisiatif lain yang diambil merangkumi rundingan dengan Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd bagi memastikan sistem kumbahan di pusat pemindahan disenggara dengan baik.

Kerajaan juga mengadakan rundingan dengan syarikat-syarikat telekomunikasi untuk memastikan penyampaian hebahan notis banjir dapat diberikan, katanya.

Bagi menghadapi monsun timur laut yang dijangka berterusan sehingga Mac 2019, Dr Wan Azizah berkata agensi-agensi ‘first responder’ seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) akan menggerakkan 78,612 anggota ke lokasi banjir.

Selain itu, sebanyak 1,080 daripada 5,448 pusat pemindahan di kawasan berisiko telah diaktifkan di samping lima depoh simpanan, 165 stor bencana dan 581 pangkalan hadapan telah dilengkapkan dengan makanan dan keperluan mangsa.

Sebanyak 1,454 kenderaan pacuan empat roda, aset udara (15), lori (859), bot (1,138) dan 425 ambulans polis, bomba dan APM sedia untuk digerakkan.

Dr Wan Azizah berkata Mesyuarat Jawatankuasa Pusat yang dipengerusikan oleh beliau pada 30 Okt lepas memutuskan beberapa perkara antaranya cuti anggota yang terlibat dibekukan mulai November hingga Disember tahun ini dan berkemungkinan dilanjutkan sehingga Mac tahun depan, bergantung kepada cuaca dan negeri terlibat.

SUMBER: BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Lawatan ke Julau atas kapasiti sebagai TPM

KUALA LUMPUR, 8 NOV: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menegaskan lawatannya ke Julau, Sarawak, pada Selasa lalu adalah atas kapasiti sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Kenyataan itu sekali gus menolak dakwaan kunjungannya ke negeri bumi Kenyalang itu untuk berkempen bagi pemilihan KEADILAN.

“Saya tak kempen. Saya nak kempen untuk siapa. Saya pun tidak bertanding, malah ia bukan pilihan raya umum, ia negeri pembangkang dan kami mahu menunjukkan Kerajaan Persekutuan tidak melakukan diskriminasi.

“Saya (sepatutnya) pergi ke sana selepas pemilihan parti tetapi secara kebetulan ia ditunda (kepada 10 November),” katanya kepada media selepas program lawatan ke Sekolah Tunas Bakti, Sungai Besi, di sini, hari ini, lapor BERNAMA.

Semalam, Anggota Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Latheefa Koya berkata, lawatan Dr Wan Azizah tidak kena masa kerana menjelang pemilihan terakhir parti itu, di negeri berkenaan.

Beliau mendakwa, Dr Wan Azizah turut diiringi Larry Sng Wei Shien yang sebelum ini secara terbuka menyatakakan sokongan kepada Rafizi Ramli yang juga calon timbalan presiden parti.

Beliau turut mendakwa lawatan itu membabitkan penggunaan jawatan rasmi Dr Wan Azizah dalam Kabinet, selain aset kerajaan, termasuk pengumuman peruntukan RM100,000 untuk membina jalan raya.

Categories
NASIONAL

TPM: Ancaman siber gugat kelestarian kesejahteraan kanak-kanak

PUTRAJAYA, 6 NOV: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata kerajaan memandang serius ancaman siber terhadap kanak-kanak termasuk pengantunan kanak-kanak yang akan menggugat kelestarian kesejahteraan kanak-kanak.

Beliau berkata kanak-kanak yang menggunakan media sosial, ‘open platform education’ dan aplikasi digital dalam aspek pendidikan untuk mendapatkan makklumat dan interaksi sosial berdepan ancaman siber seperti pornografi, sexting, buli siber yang semakin menular.

“Tanpa pemantauan yang rapi oleh ibu bapa dan ahli keluarga yang lebih dewasa, kanak-kanak boleh terdedah kepada bahaya pengantunan kanak-kanak melalui internet.

“Adalah lebih menyedihkan apabila kanak-kanak ini menjadi mangsa kepada individu-individu yang dikenali, yang sepatutnya bertanggungjawab menjaga dan memelihara kebajikan kanak-kanak,” katanya ketika merasmikan penutupan Persidangan Melestari Kesejahteraan Kanak-Kanak, Orang Kurang Upaya (OKU) dan Warga Emas di sini, semalam.

“Saya berharap agar semua pihak, lebih-lebih lagi ibu bapa dan ahli keluarga memberikan perhatian yang lebih kepada kanak-kanak supaya dapat mengenal pasti sekiranya terdapat unsur-unsur eksploitasi di peringkat awal,” kata Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Beliau berkata statistik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menunjukkan sebanyak 86 kes buli siber telah dilaporkan bagi 2014 hingga Oktober lepas.

Sementara itu, Dr Wan Azizah juga menerima resolusi kanak-kanak, orang kurang upaya dan warga emas daripada wakil peserta persidangan.

Antara yang terkandung dalam resolusi bagi kanak-kanak adalah merangka satu kaedah intervensi awal dalam mengenal pasti perubahan tingkah laku pelajar sekolah yang berkemungkinan menjadi pembuli atau mangsa buli siber dan juga meningkatkan penguatkuasaan undang-undang lebih tegas dan konsisten bagi membendung jenayah siber yang berleluasa dalam kalangan kanak-kanak.

Resolusi bagi OKU termasuk menghapuskan sebarang bentuk diskriminasi secara langsung atau tidak langsung dalam semua aspek kehidupan, mencari kaedah berkesan dan menyeluruh berdasarkan lokasi dan status sosial bagi membantu pengesanan awal ketidakupayaan, memastikan ibu bapa, penjaga dan individu OKU mendaftarkan ketidakupayaan bagi membantu kerajaan merancang keperluan OKU.

Resolusi bagi warga emas termasuk penelitian pewujudan Akta Warga Emas yang komprehensif, meningkatkan tanggungjawab sosial dalam kalangan badan korporat untuk memperkasa peranan industri penjagaan swasta bagi warga emas dan meningkatkan kesedaran agar rakyat Malaysia bersedia untuk persaraan dengan meningkatkan tahap celik kewangan.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

TPM: Pasaraya, peruncitan, perhotelan diharap sertai Program Bank Makanan

KOTA BHARU, 4 NOV: Kerajaan mahu lebih banyak pasaraya, peruncitan dan perhotelan di seluruh negara dapat menyertai program Bank Makanan Malaysia untuk membantu golongan yang memerlukan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata program itu akan dilaksanakan melalui dua fasa iaitu fasa pertama melalui pelaksanaan projek perintis yang dimulakan pada Ogos sehingga Disember 2018.

“Manakala fasa kedua iaitu pelaksanaan lebih menyeluruh di seluruh negara yang dijangka bermula pada bulan Januari tahun hadapan,” katanya ketika berucap melancarkan Projek Perintis Program Bank Makanan Malaysia peringkat Kelantan di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Dr Wan Azizah berkata objektif program itu bagi membantu golongan yang memerlukan bantuan berbentuk makanan dan juga untuk mengatasi pembaziran makanan yang masih elok dan boleh digunakan.

“Kerajaan amat mengutamakan usaha meringankan beban kos sara hidup rakyat terutama sekali golongan kurang berkemampuan yang berada pada paras garis kemiskinan,

“Golongan ini perlu diberikan bantuan bagi mendapatkan akses bekalan makanan kerana ia sedikit sebanyak dapat meringankan dan menjimatkan wang perbelanjaan mereka ke atas pembelian makanan dan wang tersebut boleh digunakan untuk kegunaan lain yang lebih penting,” katanya.

Dr Wan Azizah berkata golongan sasar bagi program itu adalah penerima terdiri daripada isi rumah yang berpendapatan kurang daripada RM930 sebulan.

“Berdasarkan maklumat yang diterima melalui eKasih terdapat seramai 186,394 ketua isi rumah yang berada dalam paras kemiskinan di seluruh negara,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

TPM: Pantau penggunaan telefon dalam kalangan kanak-kanak

SEREMBAN, 3 NOV: Penggunaan telefon adalah medium komunikasi utama kanak-kanak hari ini dan jika tidak dipantau sewajarnya, mereka akan terdedah kepada bahaya alam siber seperti pornografi, pendedahan seksual, pengantunan (child grooming) kanak-kanak.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata ini berdasarkan Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia ke-5 (KPKM-5, 2014) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada tahun 2017.

Katanya dalam kajian KPKM-5 2014 mendapati penggunaan telefon adalah medium komunikasi paling tinggi yang digunakan dalam kalangan remaja dengan ibu bapa iaitu 73 peratus, diikuti dengan sistem pesanan ringkas 54.6 peratus dan media sosial 15.6 peratus.

Manakala kajian SKMM mendapati 83.2 peratus kanak-kanak dalam lingkungan usia lima hingga 17 tahun adalah pengguna internat dan 93 peratus daripada kanak-kanak ini melayari internet menggunakan telefon pintar, katanya.

“Kita semua perlu menerima perubahan zaman yang berlaku kepada generasi anak kita… namun begitu, kita sebagai ibu bapa perlu bertindak secara bijak menangani perubahan yang mendatang.

“Ramai yang leka menggunakan media sosial sehingga mengabaikan banyak aspek perhubungan langsung yang perlu dalam keluarga bagi memupuk suasana mesra yang boleh mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan.

“Menyedari situasi ini, LPPKN telah menganjurkan kempen “No Gadget Hour” bertujuan untuk memastikan ibu bapa mempunyai masa berkualiti bersama anak dan tidak mengutamakan penggunaan gajet semasa,” katanya dalam ucapan perasmian Sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan 2018 di Pusat Keluarga Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga (LPPKN) Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Bagi menyediakan sokongan tambahan kepada ibu bapa yang mempunyai anak remaja, beliau menyambut baik kerjasama United Nations Population Fund dan LPPKN dalam membangunkan satu aplikasi maya yang dinamakan sebagai mykafeTEEN.

“Aplikasi mesra remaja ini usaha terbaharu LPPKN untuk mendidik dan memberi khidmat sokongan kepada remaja khususnya berkaitan isu kesihatan.

“Perkhidmatan yang disediakan merangkumi informasi kesihatan reproduktif, pemainan edutainment e-games selain aktiviti Teen Talk dan Teen Chat bersama kaunselor remaja dan doktor.

Dr Wan Azizah berkata bersempena dengan sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan 2018 ini juga, konsep ‘Keluarga Bijak Siber’ akan digunakan sebagai medium dalam pelaksanaan pelbagai program seperti seminar, forum dan mana-mana program interaktif di seluruh negara sepanjang November ini.

“Ia bagi meningkatkan ilmu berkaitan penggunaan media sosial yang beretika untuk kesejahteraan keluarga dan kesedaran mengenai bahaya alam siber tanpa kawalan dan pemantauan,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Remaja terlanjur perlu dapatkan bantuan cari jalan selesai

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA LUMPUR, 16 OKT: Remaja yang terlanjur sehingga mengandung anak luar nikah tidak perlu takut untuk tampil ke hadapan bagi menyelesaikan masalah berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, sebaliknya, remaja itu perlu mendapatkan bantuan dan mencari jalan penyelesaian.

Katanya, bertindak sendiri akan menyebabkan sebarang kemungkinan berlaku, sedangkan kerajaan mempunyai saluran yang boleh membantu.

“Saya menggesa remaja yang hamil jangan takut meminta bantuan. Pergi dapatkan bantuan, apa yang berlaku bukan pengakhiran kerana kita semua membuat kesilapan dalam kehidupan.

“Anda perlu ke hadapan kerana ada orang yang sanggup membantu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Fiqh dan Muzakarah, di Institusi Sosial Malaysia (ISM), di sini.

Pada masa sama, Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengulas insiden remaja dan bayi ditemui mati di bilik mandi di Parit Buntar

Katanya, beliau sedih mendengar mengenai kes itu dan dimaklumkan bahawa siasatan polis sedang dijalankan.

“Ini adalah kes polis, dan saya meminta kementerian untuk mencari maklumat mengenai perkara ini sebelum saya boleh memberi sebarang komen.

“Saya sedih mendengar kejadian ini, sebab itu kita memerlukan lebih banyak pendidikan yang membabitkan semua aspek supaya tidak berlaku lagi pada masa akan datang,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Wan Azizah lakukan kunjungan istisyari, minta pandangan mufti

KUALA LUMPUR, 8 OKT: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini mengadakan kunjungan istisyari (konsultasi) buat kali pertama kepada Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Wan Azizah menerusi satu hantaran dalam laman Facebook berkata kunjungan yang berlangsung di Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan di Kompleks Islam Putrajaya itu bertujuan untuk mendapatkan beberapa pandangan hukum serta nasihat berhubung beberapa isu mutakhir di bawah portfolionya.

“Kerajaan di bawah pimpinan Pakatan Harapan sentiasa mengutamakan pandangan Islam dalam isu-isu pentadbiran negara dan menyanjung tinggi institusi Mufti dan ulama.

“Semoga siri pertama Kunjungan Istisyari ini akan disusuli dengan kunjungan-kunjungan seterusnya,” katanya, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di samping memuat naik beberapa keping gambar bersempena kunjungannya itu.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

TPM: Kebajikan anak arwah Adnan diberi perhatian

PORT DICKSON, 6 OKT: Kementerian Wanita dan Pembangunan Keluarga akan memastikan kebajikan dua anak anggota penyelam Pasukan Penyelam Di Air (PPDA) Adnan Othman diberikan perhatian.

Menterinya, yang juga Timbalan Perdana Menteri Datuk, Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata kebajikan berkenaan turut melibatkan soal pendidikan.

“Selain itu, kita juga akan melihat kebajikan keluarganya kerana ayah arwah pun tak berapa nampak dan (arwah) pula ada adik yang pembelajarannya terhad,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas meluangkan masa kira-kira setengah jam menziarahi keluarga Adnan, 33, di Taman Jaya Lukut di sini.

Adnan meninggalkan isteri Norshamiza Salleh, 32, dan dua anak Nur Aisyah Damia, empat tahun, dan Nur Aliyah Maisara, dua tahun.

Wan Azizah yang tiba di kediaman keluarga arwah pukul 9.00 pagi dan disambut bapanya Othman Surati, 69, dan ibu Roonani Abdullah, 58, juga merakamkan ucapan takziah kepada keluarga.

Sementara itu, Norshamiza melahirkan rasa terharu dengan kunjungan timbalan Perdana Menteri.

“Terima kasih atas keprihatinan Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri dan pihak lain. Itu saja yang boleh saya cakap.

“Timbalan Perdana Menteri pesan kepada saya hidup ini mesti diteruskan walau apa pun yang berlaku dekat kita semuanya ada perjalanan yang tersendiri cuma pengakhiran kita, kita tak tahu dekat mana. Terima kasih atas kata-kata yang sangat baik,” katanya.

Norshamiza adalah pengajar di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia, Sungai Buloh, Selangor.

Rabu lepas, enam anggota penyelam PPDA Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia maut ketika menjalankan operasi mencari dan menyelamat seorang remaja yang jatuh ke dalam lombong di Taman Putra Perdana, Puchong, Selangor.

SUMBER: BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

TPM: Pemimpin jangan asyik di awang-awangan tetapi perlu turun padang

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 30 SEPT: Seorang pemimpin yang menyandang jawatan tinggi dalam kerajaan tidak boleh asyik di awang-awangan tanpa mempedulikan isu membabitkan rakyat di bawah.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pembangunan wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, sebaliknya beliau harus bekerja keras dengan turun ke padang bagi meninjau sendiri isu dihadapi rakyat.

“Sebagai Menteri saya tak boleh terlalu asyik di awang-awangan di pejabat berhawa dingin tetapi saya mesti turun padang bertemu rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Santuni Rakyat di Kompleks Membeli Belah Midpoint, Pandan Indah di sini, semalam.

Wan Azizah berkata, maka sebab itu beliau melancarkan program Santuni Rakyat bagi memastikan rakyat dapat menikmati segala inisiatif disediakan kerajaan.

Katanya, dalam program itu, pelbagai agensi kerajaan membuka kaunter masing-masing supaya memudahkan orang ramai membuat pendaftaran.

Sementara itu, pada program sama JKM turut melancarkan Program ‘One Stop Help Centre’ atau dikenali sebagai Program Kawan.

Antara objektif utama program ini adalah untuk menyalurkan perkhidmatan kerajaan secara terus kepada masyarakat seluruh negara dan menyediakan intervensi awal kepada masyarakat yang memerlukan perkhidmatan kerajaan.

Categories
NASIONAL WANITA & KEBAJIKAN

24,405 suri rumah mendaftar i-Suri dan i-saraan setakat 20 September

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 29 SEPT: Program insentif i-Suri yang diperkenalkan Kerajaan Persekutuan dalam tempoh 100 hari pertama kerajaan baharu Pakatan Harapan (PAKATAN) semakin mendapat sambutan luar biasa golongan wanita.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, sehingga 20 September, seramai 11,562 wanita telah berdaftar dengan program i-Suri dan 12,843 orang lagi medaftar dengan i-saraan.

“Pelancaran i-Suri pada 8 Ogos 2018 adalah untuk mewujudkan jaringan keselamatan sosial yang asas kepada golongan suri rumah yang memikul tanggungjawab untuk mendidik dan membesarkan anak yang terdedah kepada risiko apabila berlaku musibah dalam keluarga.

“Pelaksanaan i-Suri adalah contoh kepada perancangan yang lebih inklusif dan proaktif kepada kumpulan sasar iaitu para suri rumah untuk mempunyai simpanan persaraan dan perlindungan sekiranya berlaku musibah dalam rumah tangga,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Masyarakat itu berkata demikian pada Majlis Perasmian Program Santuni Rakyat di Kompleks Membeli Belah Midpoint, Pandan Indah di sini, hari ini.

Sementara itu i-Sara pula direka khusus bagi membolehkan individu yang bekerja sendiri atau golongan yang menerima pendapatan bulanan tidak tetap seperti pemandu teksi, petani dan pekerja bebas dapat menikmati manfaat seperti ahli KWSP.

Sementara itu, ketika menyentuh program Santuni Rakyat, Wan Azizah berkata, ianya merupakan satu insentif dilaksanakan Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Masyarakat (JPWKM) bagi mempromosikan perkhidmatan kementerian dan agensi di bawahnya.

Antara agensi terbabit, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Institut Sosial Malaysia (ISM) dan Yayasan Kebajikan Negara (YKN) kepada rakyat khususnya masyarakat di Pandan.

Selain agensi Kerajaan Persekutuan, agensi Kerajaan Negeri seperti Institut Wanita Berdaya turut terlibat menjayakannya.

Katanya, antara objektif utama program itu adalah meraikan sesi keterlibatan pemimpin setempat dan agensi kerajaan bersama rakyat, menyebar luaskan perkhidmatan, peranan, fungsi inisiatif dilaksanakan JPWKM dan lain-lain.