Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Kutuk serangan berani mati di Surabaya

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 13 MEI: Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, melahirkan rasa simpati dan mengutuk serangan berani mati dilakukan di tiga gereja di Surabaya yang mengorbankan sembilan nyawa.

Beliau berkata, pihak berkuasa harus menjalankan siasatan segera bagi nengenal pasti pihak bertanggungjawab.

“Saya mengutuk serangan dikatakan dilakukan pengebom berani mati ke atas gereja di Surabaya, Indonesia.

“Saya berdoa agar mereka yang terjejas diberi kekuatan dan kesabaran, dan pihak bertanggungjawab di belakang jenayah kejam ini segera ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan,” katanya.

Seramai sembilan orang terbunuh manakala 40 lagi mengalami cedera dalam kejadian serangan bom bunuh diri berlaku di tiga gereja di Surabaya, lapor Bernama hari ini.

Kejadian hampir serentak pada kira-kira jam 8 pagi itu apabila pengebom bunuh diri memasuki tiga gereja di Gereja Katolik Santa Maria Tak Bercela, Gereja Kristen Indonesia dan Gereja Pantekosta, lalu meletupkan diri mereka.

Bagaimanapun, tiada rakyat Malaysia dilaporkan terkorban.

=EZY=

Categories
NASIONAL

KEADILAN: TPM patut dedah penswastaan dilulus Najib

OLEH: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 29 DIS: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi perlu mendedahkan semua penswastaan yang diluluskan sejak Datuk Seri Mohd Najib Razak menjadi Perdana Menteri.

Setiausaha Agung KEADILAN, Rafizi Ramli, berkata Najib sepatutnya mula mengambil tindakan terhadap perjanjian disifatkan berat sebelah bagi memastikan rakyat tidak dibebankan dengan bayaran pampasan tinggi kepada pemegang konsesi.

TOL LEBUHRAYA“Jika beliau tidak berani mendedahkan perjanjian itu dan mengambil tindakan untuk menghentikan kegilaan menswastakan projek kerajaan melalui konsep konsesi, beliau sewajarnya tidak bercakap mengenai perjanjian konsesi lain yang semuanya diluluskan oleh pentadbiran Umno-Barisan Nasional,” katanya yang juga Ahli Parlimen Pandan.

Rafizi  turut melahirkan kebimbangan pentadbiran Najib menganugerahkan lebih banyak perjanjian konsesi yang membebankan rakyat berbanding Perdana Menteri terdahulu.

Meskipun beliau bersetuju bahawa banyak perjanjian konsesi lebuh raya dan penjana bebas (IPP) diluluskan pentadbiran Tun Mahathir Mohamad namun bukan bermakna pentadbiran Najib Razak tidak mampu berbuat apa-apa untuk berunding semula perjanjian.

Katanya, KEADILAN sebelum menjelang PRU-13 sudah mencadangkan penubuhan sebuah Suruhanjaya Perjanjian Awam (Public Agreements Commission) untuk menyemak kembali kesemua perjanjian dengan pihak swasta yang melibatkan kepentingan awam.

Suruhanjaya itu juga berhak memutuskan cadangan untuk memastikan kepentingan rakyat lebih dilindungi namun ia tidak diendahkan kerajaan.

“Berdasarkan laporan dan cadangan Suruhanjaya Perjanjian Awam itu, kerajaan boleh mula merundingkan kembali dengan pemegang konsesi itu untuk mengubah perjanjian agar lebih adil kepada rakyat.

“Apatah lagi sebahagian besar dari syarikat swasta pemegang konsesi ini sama ada dimiliki sepenuhnya badan kerajaan (seperti PLUS dan Prolintas) atau saham syarikat itu turut dipegang badan pelaburan kerajaan seperti KWSP, PNB dan lain-lain.

“Sudah tentu ada ruang untuk merundingkan kembali perjanjian konsesi,” katanya.

EZY

Categories
NASIONAL

Berlepas ke Jakarta, peletakan jawatan Muhyiddin makin hampir?

OLEH: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM 24 JUN: Khabar yang mengatakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan meletakkan jawatan dalam kabinet semakin hampir menjadi kenyataan.

Hal itu diperkuatkan lagi apabila Muhyiddin berlepas ke Jakarta dengan beberapa  pengikut serta rakan karibnya dalam dunia politik selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menafikan pertukaran orang keduanya itu.

najib muhyiddin putrajayaDalam blog bekas Ketua Pemuda Umno Wangsa Maju, Shahbudin Husin mendakwa pemergian itu ada kaitan untuk membincangkan perkembangan politik terbaru mengenai beliau serta hubungannya dengan Perdana Menteri yang menjadi bualan ramai ketika ini.

Katanya, hasil daripada perbincangan di Jakarta itu nanti, tidak mustahil Muhyiddin akan membuat sesuatu keputusan yang mengejutkan.

“Sumber yang dekat dengan Muhyiddin memberitahu, difahamkan, hasil daripada perbincangan di Jakarta itu nanti, tidak mustahil Muhyiddin akan membuat sesuatu keputusan yang mengejutkan.

“Namun tidak mustahil juga beliau dinasihati terus kekal dan bersabar sehingga pilihanraya umum akan datang,” katanya.

Shahbudin berkata hubungan dingin Muhyiddin dengan Najib sudah lama berlaku kerana dikatakan Muhyiddin tidak bersetuju dalam beberapa perkara tetapi tidak mampu bertindak ekoran pemusatan kuasa yang terlalu tertumpu kepada Najib dan Seri Perdana.

“Sudah lama perkara itu berlaku iaitu sebelum tersebar berita mengenai perletakan jawatan Muhyiddin yang dihebohkan melalui media sosial.

Umno-Najib-Muhyidin-1“Banyak blog turut mendedahkan kesengsaraan yang dialami oleh Muhyiddin sebagai pemimpin nombor dua yang seolah-olah tidak mampu berbuat apa-apa.

“Berbanding ramai pemimpin dan ahli Umno yang kecewa dengan Najib, Muhyiddin mungkin merupakan orang yang paling sengsara,” katanya.

Dalam blog bekas Menteri Penerangan, Zainuddin Maidin atau Zam juga menulis bahawa Muhyiddin ada memberitahu beberapa rakannya mengenai hasrat untuk meletakkan jawatan dengan alasan faktor usia namun hakikatnya ialah Muhyiddin kecewa dalam beberapa hal.

“Najib pula, disebalik menafikan desas-desus mengenai Muhyiddin tetapi masih lagi menangguhkan rancangannya untuk merombak kabinet, meskipun wakil daripada MCA dan Gerakan yang sebelumnya dipelawa dan dijanjikan jawatan dalam kabinet sudah tidak sabar-sabar mahu berada dalam kerajaan,” katanya.

Shahbudin percaya rombakan kali ini bertujuan untuk menaikkan pangkat sepupunya iaitu Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein sebagai Menteri Kewangan.

“Langkah itu pastinya akan membuatkan Muhyiddin tersinggung kerana ia menunjukkan seolah-olah Najib sedang mempersiapkan Hishammuddin untuk mengambil alih tempatnya selain tujuan memasukkan wakil MCA dan Gerakan.

“Penafian Najib sambil mengatakan ia hanyalah rekaan politik tetapi dalam masa yang sama masih menangguhkan rombakan kabinet, lebih membuktikan bahawa beliau memang ada rancangan untuk menaikkan pangkat Hishammuddin sambil menyisihkan Muhyiddin secara perlahan-lahan.

“Jika rombakan kabinet sekadar untuk memasukkan wakil MCA dan Gerakan atau menukar portfolio beberapa menteri Umno yang tidak menjejaskan masa depan Muhyiddin, tiada sebab Najib masih menangguhkannya sehingga sekarang,” katanya.

Bagaimanapun, Shahbudin berkata kemungkinan besar isu itu akan ditangguhkan ekoran ianya sudah menjadi perbualan ramai.
EZY

Saifuddin – Pemikiran TPM tahap budak sekolah

http://tv.selangorku.com

Categories
NASIONAL SELANGOR

Selangor Tetap Akan Guna Teknologi Membran

 

KUALA LUMPUR, 30 OKT : Kerajaan Selangor tetap akan membangunkan teknologi membran bagi meningkatkan penghasilan air terawat meskipun kerajaan pusat mahu meneruskan projek mega Loji Rawatan Air Langat 2.

Perkara ini ditegaskan sekali lagi oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada satu sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Tegasnya, Selangor sebenarnya tidak berhadapan dengan krisis air dan pembinaan loji Langat 2 bukanlah satu keperluan yang perlu disegerakan.

Apa yang penting katanya, proses penstrukturan semula industri air perlu dilakukan segera bagi memastikan penduduk di Lembah Klang mendapat bekalan air terawat pada harga yang berpatutan.

“Kita tidak ada masalah kekurangan air mentah. Logiknya adalah air mentah cukup.

“Dari keluaran 4.8 juta liter sehari, kita dapati 33 peratus atau lebih 1.5 juta sehari air terawat tidak digunakan.

“Kalau kita selesaikan masalah air terawat, kita tidak memerlukan Loji Langat 2.

“Kerajaan persekutuan masih tidak menerima hakikat penyelesaian semula industri air adalah penstrukturan semula industri air di Selangor.

“Antara faktor adalah peratus air tidak berhasil (NRW) mesti dikurangkan sehingga 10-15 peratus kerana ianya termaktub dalam perjanjian dgn konsesi air pada tahun 2008,” katanya lagi.

Sebelum itu, pada sesi sidang Dewan Rakyat Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Noriah Kasnon, berkata kerajaan pusat berharap kerajaan Selangor akan memberikan peluang untuk Langat 2 dilaksanakan.

Kenyataan Noriah adalah jawapan kepada MP Rembau, Khairy Jamaluddin yang mengemukana soalan mengenai kuasa kerakaan pusat bagi membolehkan Langat 2 dilaksanakan di Selangor.

Selain itu, Abdul Khalid menyatakan, kos pembinaan Langat 2 lebih tinggi berbanding teknologi membran yang hanya memerlukan kos sebanyak RM 800 juta.

Ujarnya lagi, beliau akan bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin bagi membincangkan perkara ini sebelum sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) berlangsung pada 19 November ini.

“Oleh kerana jawapan Timbalan Menteri macam tidak percaya, saya bercadang untuk bertemu dengan TPM dan seluruh jawatankuasa untuk menerangkan teknologi dan cadangan kami.

“Kalau cadangan saya diterima pakar, saya akan buat penyusunan semula industri air.

“Saya boleh cuba masukkan program Langat 2 sebagai langkah jangka panjang dan bukannya jangka pendek,” jelasnya lagi.