Categories
NASIONAL

Kes Rayuan Liwat II Ditangguh, Anwar Bantah Pelantikan Shafee

anwar mahkamah

PUTRAJAYA, 22 JULAI : Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini bersetuju untuk menangguhkan prosiding rayuan Kerajaan Malaysia terhadap keputusan pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Keputusan itu dibuat tiga panel hakim, Datuk Ramly Ali, Datuk Tengku Maimun Tuan Mat dan Datuk Mohd Zawawi Salleh pagi tadi berikutan peguam utama Anwar, Karpal Singh disahkan tidak sihat dan sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana sakit tulang belakang.

Mahkamah menetapkan 1 Ogos ini untuk pengurusan kes.

Anwar tiba di perkarangan mahkamah kira-kira pukul 9 pagi tadi dengan ditemani isterinya, Datin Seri Wan Azizah Ismail dan diiringi Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli serta Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Sementara itu, Anwar ketika ditemui di luar kamar mahkamah berkata, pihaknya menghantar notis bagi membantah keputusan Kerajaan yang melantik peguam, Datuk Shafee Abdullah sebagai Ketua Pendakwaraya dalam kes ini.

“Pelakuannya tidak profesional sejak 1998.

“Kita beri notis untuk membantah keputusan Kerajaan Umno-BN kerana melantik Datuk Shafee Abdullah yang sememangnya telah dituduh terlibat dalam kes prosiding ini sejak awal.

“Ketiadaan pendakwaraya yang sesuai untuk meneruskan perbicaraan ini tidak boleh dijadikan alasan bagi melantik seseorang yang terlibat dengan perbicaraan menentang saya di dalam dan luar mahkamah,” kata Ketua Pembangkang itu merujuk peranan Shafee dalam kes liwat I yang menyaksikan beliau dibebaskan Mahkamah Persekutuan pada 2004.

Tegas Anwar, Ram Karpal Singh akan menyerahkan notis ini kepada mahkamah bagi membantah pelantikan Shafee.

“Kita tidak boleh memandang ringan perkara tersebut kerana saya percaya ada motif politik yang besar dalam kes ini.

“Peguam Negara tidak mahu selesaikan kes lain, tetapi cuba hendak mengganggu karier politik saya,” katanya lagi.