Categories
NASIONAL

Ketua Hakim Negara dahului penerima darjah kebesaran Pulau Pinang

GEORGE TOWN, 12 JUL: Ketua Hakim Negara, Datuk Tengku Maimun Tuan Mat mendahului senarai 877 penerima penerima darjah kebesaran bintang dan pingat kehormatan negeri sempena Ulang Tahun ke-81 Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas.

Maimun, 60, yang dilantik memegang jawatan itu pada 2 Mei lalu, adalah penerima tunggal bagi Darjah Utama Pangkuan Negeri (DUPN) yang membawa gelaran Datuk Seri Utama.

Menurut senarai yang dikeluarkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, terdapat dua penerima yang akan menerima Darjah Panglima Pangkuan Negeri (DPPN) yang membawa gelaran Datuk Seri iaitu Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Selain itu, 12 orang dianugerahkan pingat Darjah Gemilang Pangkuan Negeri (DGPN) yang membawa gelaran Datuk Seri, antaranya ahli korporat yang memegang jawatan Pengarah bagi beberapa syarikat berkaitan sektor industri, pembinaan dan pembangunan iaitu Datuk Ooi Teik Heng, ahli perniagaan yang juga Pengarah Eksekutif Syarikat Manora Sdn Bhd, Datuk Abdul Rafique Abdul Karim, Naib Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang), Datuk Ahmad Rodzi Pawanteh.

Turut menerima anugerah DGPN itu ialah Pengerusi Dewan Perhimpunan Cina Pulau Pinang, Khor Ten Haw @ Khor Teng How, bekas Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Datuk Rosli Jaafar dan Ketua Pengarah Kastam, Datuk Paddy Abd Halim.

Selain itu seramai enam penerima Darjah Yang Mulia Pangkuan Negeri (DMPN) yang membawa gelaran Datuk yang terdiri daripada Hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, Datuk Datuk Hadhariah Syed Ismail, usahawan Datuk Chin Hai Siang, ahli perniagaan, Datuk Lee Ah Hoe, Pengerusi Koperasi Tunas Muda, Datuk Mansor Musa, bekas Pensyarah Universiti Malaya (UM) Shaari Mohd Isa, dan Naib Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang Datuk Sulaiman Abdullah.

Sejumlah 50 individu menerima Darjah Setia Pangkuan Negeri (DSPN), yang membawa gelaran Datuk dan antaranya ialah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, Dr T Jayabalan, Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Mohd Jamil Mohamed dan Ketua Pembangkang DUN Pulau Pinang Muhamad Yusoff Mohd Nor.

Selain itu 55 individu menerima Darjah Johan Negeri (DJN), Bintang Cemerlang Negeri (35), Pingat Kelakuan Terpuji (89), Pingat Jasa Kebaktian (278), Pingat Jasa Masyarakat (320) dan 29 orang menerima Pingat Bakti Setia.

Istiadat penganugerahan akan berlangsung di Dewan Sri Pinang di sini esok. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Tindakan terhadap pihak rosak imej badan kehakiman

PUTRAJAYA, 17 MEI: Tindakan akan diambil terhadap sesiapa juga yang merosakkan imej dan kemuliaan badan kehakiman, kata Ketua Hakim Negara, Datuk Tengku Maimun Tuan Mat.

Justeru, beliau menggesa orang ramai agar berhati-hati dan bertanggungjawab dalam memberikan pandangan serta komen-komen mengenai badan kehakiman kerana tindakan itu boleh memberi akibat besar.

“Perlu diakui kritik-kritik yang tidak berasas terhadap kehakiman akan melemahkan pelaksanaan keadilan dan mengikis keyakinan orang ramai terhadap institusi penting ini,” katanya ketika berucap pada majlis meraikan pelantikan beliau sebagai Ketua Hakim Negara yang ke-16 di Mahkamah Persekutuan di sini hari ini.

Beliau berkata, jika terdapat sebarang aduan mengenai salah laku hakim-hakim, beliau menggesa sesiapa yang memiliki maklumat mengenai sebarang dakwaan seumpama itu supaya membuat laporan kepada pihak berkuasa yang berkenaan supaya satu penyiasatan yang betul dapat dilakukan.

“Orang ramai juga boleh menulis kepada saya, Presiden Mahkamah Rayuan atau kepada dua Hakim Besar masing-masing agar kami dapat mengambil tindakan yang perlu.”

Tengku Maimun berkata, adalah merugikan badan kehakiman dan negara amnya jika seseorang itu terus membuat tuduhan-tuduhan liar, terutama dalam media sosial tanpa menggunakan saluran yang betul supaya dakwaan-dakwaan itu dapat ditangani dengan berkesan.

Beliau berkata hakim-hakim tidak akan memberi maklum balas kepada kritikan dan dakwaan-dakwaan tersebut tetapi mereka akan bercakap menerusi penghakiman mereka.

“Tradisi ini yang bertujuan untuk memelihara keadilan dan rasa hormat kepada mahkamah kita, mencegah seserang hakim daripada terlibat dalam perdebatan awam dengan litigan yang tidak gembira atau pengkritik yang tidak puas hati,” kata beliau.

Beliau berkata demi memelihara integriti kehakiman, tindakan sewajarnya telah dan akan diambil terhadap mereka yang merosakkan imej dan kemuliaan badan kehakiman.

Beliau juga berkata badan kehakiman menghormati dan menghargai hak orang ramai untuk memberi komen terhadap kerja hakim tetapi kritikan terhadap sesuatu keputusan hakim hendaklah dilakukan secara bertanggungjawab dan berdasarkan kepada segala fakta.

Tengku Maimun juga berkata dalam memberi keputusan kepada sesuatu kes, para hakim tidak bertanggungjawab kepada sesiapapun, kecuali hati nurani dan kebijaksanaan mereka sendiri, di mana keputusan-keputusan itu dibuat semata-mata berdasarkan bukti-bukti yang dikemukakan oleh pihak-pihak mengikut lunas undang-undang.

Beliau berkata orang ramai cenderung untuk menyamakan keadilan sebagai keputusan yang memihak kepada orang miskin berbanding orang kaya, orang yang lemah berbanding orang yang kuat atau pembangkang berbanding kerajaan.

“Sudah tentu itu bukan pengukur bagi keadilan. Sesuatu yang salah itu tetap salah tidak kira sama ada ia dilakukan oleh orang kaya atau miskin, yang lemah atau yang kuat, rakyat atau pembangkang, atau kerajaan,” katanya.

Mengenai pelantikannya, Tengku Maimun berkata ia satu keistimewaan dan satu penghormatan besar sebagai wanita pertama dilantik sebagai Ketua Hakim Malaysia.

Beliau berikrar akan memberi komitmen untuk mempertahankan kedaulatan undang-undang dan kebebasan kehakiman.

Tengku Maimun dilihat sebak ketika beliau mengatakan yang beliau akan melaksanakan tanggungjawabnya dengan mematuhi peringatan-peringatan dalam al-Quran, dalam Surah An’ Nisa ayat 58 dan Surah An-Nisa: ayat 135.

Antara yang hadir pada majlis itu ialah Yang di-Pertua Dewan Negara Tan Sri SA. Vigneswaran, Yang di-Pertua Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md Yusoff, Peguam Negara Tommy Thomas, Presiden Badan Peguam Malaysia Datuk Abdul Fareed Abdul Ghafur, Presiden Persatuan Peguam Sabah Brenndon Keith Soh dan Presiden Persatuan Peguambela Sarawak Ranbir Singh Sangha. – BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Tengku Maimun angkat sumpah Ketua Hakim Negara hadapan Agong

KUALA LUMPUR, 6 MEI: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan Surat Cara Pelantikan kepada Ketua Hakim Negara, Datuk Tengku Maimun Tuan Mat di Istana Negara, hari ini.

Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan itu kemudiannya mengangkat dan melafazkan sumpah sebagai Ketua Hakim Negara yang baharu.

Pelantikan Tengku Maimun yang berkuat kuasa 2 Mei lepas dibuat selaras dengan Fasal (1) Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan bagi menggantikan Tan Sri Richard Malanjum yang bersara pada 12 April.

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan Ketua Hakim Negara yang berlangsung di Singgahsana Kecil istana tersebut turut dihadiri Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) Datuk Liew Vui Keong, Hakim Besar Malaya Tan Sri Zaharah Ibrahim dan Peguam Negara Tommy Thomas.

Pelantikan Tengku Maimun itu sekali gus mencipta sejarah apabila menjadi wanita pertama memegang jawatan tertinggi badan kehakiman negara.

Berkelulusan dari Universiti Malaya, Tengku Maimun, yang akan berumur 60 tahun pada Julai ini, memulakan kariernya sebagai pegawai undang-undang di Lembaga Pembangunan Kelantan Selatan (Kesedar) pada tahun 1982.

Pada 1984, beliau menjadi pegawai undang-undang di Majlis Perbandaran Seremban selama dua tahun sebelum menyertai Jabatan Peguam Negara di Bahagian Gubalan.

Dilahirkan di Kota Bahru, Kelantan, Tengku Maimun turut memegang beberapa jawatan termasuk majistret, hakim Mahkamah Sesyen, peguam persekutuan dan penolong kanan pendaftar serta pegawai khas kepada bekas Ketua Hakim Negara Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah dan Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim.

Beliau dilantik sebagai Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan pada 2005 sebelum dilantik sebagai pesuruhjaya kehakiman pada 2006 dan sebagai Hakim Mahkamah Tinggi pada tahun berikutnya.

Beliau kemudian dinaikkan pangkat menjadi Hakim Mahkamah Rayuan pada 2013 dan seterusnya dilantik menjadi Hakim Mahkamah Persekutuan pada November tahun lepas.

– BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Datuk Tengku Maimun dilantik Ketua Hakim Negara baharu

OLEH SHEEDA FATHIL

PUTRAJAYA, 2 MEI: Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Tengku Maimun Tuan Mat dilantik sebagai Ketua Hakim Negara yang baharu berkuat kuasa hari ini.

Kenyataan Pejabat Perdana Menteri memaklumkan, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja, memperkenankan pelantikan itu berdasarkan Fasal (1) Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan.

“Pelantikan ini sejurus selepas tempoh perkhidmatan Tan Sri Datuk Seri Panglima Richard Malanjum sebagai Ketua Hakim Negara berakhir pada 12 April lalu selepas mencapai usia 66 tahun.

“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada Panglima Richard di atas segala khidmat bakti beliau sepanjang memegang jawatan berkenaan,” katanya.

Ia menyaksikan Tengku Maimun muncul sebagai wanita pertama di negara ini dilantik memegang jawatan tertinggi berkenaan.

Sementara itu, majlis penyampaian watikah pelantikan kepada Tengku Maimun dan istiadat mengangkat serta menandatangani sumpah jawatan juga sumpah setia di hadapan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong akan dimaklumkan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia.

Pengesahan itu selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

 

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL SELANGOR

Kes Altantuya: Episod pembunuhan penuh misteri

gambar hiasan
gambar hiasan

KOMENTAR: Rakyat Malaysia bukan sahaja dikejutkan dengan persoalan siapakah pembunuh sebenar wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu bahkan pelbagai keraguan timbul sepanjang prosiding perbicaraan kes pembunuhan berprofil tinggi ini.

Setelah hampir 7 tahun kes pembunuhan ini dibicarakan, akhirnya mahkamah memutuskan bahawa ‘pembunuh’ Altantuya didakwa tidak bersalah dan terlepas dari hukuman gantung sampai mati yang dijatuhkan sebelum ini.

Kepincangan dalam sistem Kehakiman dapat dilihat bukan setakat ini sahaja, bahkan di awal perbicaraan lagi.

RAZAK BAGINDA DIBEBASKAN, SIAPA ARAH SIRUL DAN AZILAH BUNUH ALTANTUYA?

Di Mahkamah Tinggi, Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin memutuskan kenyataan pembuktian tidak bersalah yang terkandung dalam afidavit seorang penganalisis politik, Abdul Razak Abdullah Baginda dimana dibatalkan pertuduhan bersubahat yang dihadapinya yang turut menyeret dua suspek utama anggota dari Unit Tindakan Khas (UTK) iaitu Koperal Sirul Azhar Umar dan Cif Inspektor Azilah Hadri.

Jelas menunjukkan penglibatan Razak Baginda dalam kes ini tetapi afidavit yang difailkannya menyokong permohonan bagi diikat jamin sebelum perbicaraan dengan niat untuk menunjukkan beliau tidak bersubahat dalam pembunuhan itu.

Maka dengan itu, secara mudah Razak Baginda dibebaskan daripada pertuduhan terhadap beliau dalam pembunuhan Altantuya pada 31 Oktober 2008 tanpa dipanggil membela diri.

Jika Razak Baginda dianggap tidak bersubahat, siapa pula yang mengarahkan Sirul dan Azilah melakukan pembunuhan Altantuya?

KETERANGAN DSP MUSA SAFRI TIDAK RELEVAN

Kedua, DSP Musa Safri yang merupakan pengiring Datuk Seri Najib Razak yang ketika itu menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri tidak dipanggil memberi keterangan dalam kes ini.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah berhujah adalah tidak relevan untuk memanggil DSP Musa memberikan keterangan kerana beliau (Musa) tidak hadir pada pertemuan antara Azilah dan Abdul Razak dan beliau sudah pasti tidak tahu apa yang berlaku.

Sehubungan itu hak untuk menyoal balas DSP Musa diketepikan kerana dilihat wujudnya ketiadaan konsisten bukti.

BUNUH ALTANTUYA TUGAS RASMI UTK?

Kes yang mendapat liputan meluas media termasuk media antarabangsa ini terus mencetuskan keraguan ramai apabila ia melibatkan anggota UTK Bukit Aman. Apa yang dipersoalkan di sini adakah misi membunuh wanita Mongolia itu turut menjadi sebahagian daripada tugas rasmi anggota UTK? Sedangkan kita maklum akan anggota UTK yang hanya akan bertindak setelah menerima arahan daripada pihak atasan.

Pada 15 November 2006, Sirul dan Azilah, dituduh membunuh Altantuya Shaariibuu, 28, di Mukim Bukit Raja, Shah Alam antara pukul 10 malam, 19 Oktober 2006 dan 1 pagi 20 Oktober 2006 di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh dengan niat yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama, yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pada 9 April 2007, Mahkamah Tinggi Shah Alam akhirnya menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap Azilah dan Sirul kerana didapati bersalah membunuh Altantuya. Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin berkata pihak pendakwaan telah membuktikan tanpa keraguan munasabah kes terhadap mereka.

HAKIM TERSALAH ARAH?

Minggu lalu, tiga anggota panel hakim Mahkamah Rayuan Datuk Seri Mohamed Apandi Ali, Datuk Linton Albert dan Datuk Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara berpuas hati dan mengetepikan hukuman mati yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas membenarkan rayuan terhadap pensabitan dan hukuman.

Hakim Tengku Maimun ketika membacakan penghakiman ringkas menyatakan bahawa Hakim Mahkamah Tinggi telah tersilap arah dalam pelbagai aspek ketika mencapai keputusan menjatuhkan hukuman mati terhadap kedua suspek utama itu.

Beliau turut menyatakan antara lain hakim itu juga gagal menimbang pembelaan alibi berkaitan diari stesen yang mencatatkan Azilah tiada di tempat kejadian di mana Altantuya dibunuh tetapi sebaliknya Azilah ketika itu berada di Bukit Aman.

Sirul dan Azilah dibebaskan. Maka sepanjang tujuh tahun masa berlalu tanpa sesiapapun dipertanggungjawab terhadap kematian wanita itu dan tidak siapa tahu mengapa bekas model dan penterjemah itu dibunuh.

KENAPA SIRUL DAN AZILAH SENTIASA ‘BERTOPENG’?

Hanya di Malaysia, di mana sejak daripada awal perbicaraan kes pembunuhan ini, kedua anggota UTK itu diberi layanan istimewa iaitu ‘costum made’ penutup muka ala ninja.Persoalannya mengapa wajah kedua pesalah ini sentiasa ditutup dari pandangan media bahkan seluruh dunia tidak pernah melihat wajah mereka.

Walhal,sekiranya pesalah bagi kes lain pula wajah mereka boleh ditutup dengan surat khabar atau kebiasaannya hanya tertunduk malu.

Tetapi lain pula halnya kedua tertuduh menerusi kes diklasifikasi berprofil tinggi ini, wajah mereka tetutup sepenuhnya dari dipertonton kepada umum.

PERBICARAAN PELIK, HANYA DI MALAYSIA

Mengikuti perbicaraan kes ni seperti mengikuti satu perbicaraan pelik kerana pelbagai kepincangan timbul. Hakikatnya motif dan pembunuh bagi kes ini perlu diperjelaskan bagi menjaga imej dan sistem perundangan negara dimata dunia.

Episod sejarah hitam hidup Sirul dan Azilah seperti kembali diterangi cahaya setelah terselamat dari hukuman mati. Tetapi sistem perundangan dan kehakiman negara pula seperti terpalit dengan episod hitam.

Namun misteri, siapa sebenarnya pembunuh Altantuya masih tersembunyi setelah semua yang didakwa dan dibicarakan terlepas dari sebarang hukuman – mza

Categories
NASIONAL

Patut bicara semula kes Altantuya, PKR desak tubuh RCI

bicara semula kes Altantuya 01

KUALA LUMPUR, 24 OGOS: Mahkamah Rayuan patut mengadakan perbicaraan semula apabila mendapati wujud kecacatan dalam penghakiman kes, bukan membebaskan tertuduh, kata Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa.

Merujuk kes Altantuya Shariibuu, peguam itu berkata, Seksyen 60 Akta Kehakiman Mahkamah 1964 membolehkan hakim memerintahkan perbicaraan semula sesebuah kes ketika proses rayuan diadakan.

Memetik Keadilan Daily, Ahli Parlimen Subang itu juga mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berikutan banyak kecacatan dalam kes berkenaan.

?Contohnya, saksi penting seperti DSP Musa Safri tidak dipanggil untuk memberi keterangan di mahkamah,” katanya pada sidang media bersama Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua, hari ini.

Semalam, Mahkamah Rayuan membebaskan anggota Unit Tindakan Khas, Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar dari tuduhan membunuh Altantuya.

Penghakiman dibaca Hakim Datuk Tengku Maimun Tuan Mat memutuskan berlaku penyalaharahan serius oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam mensabitkan tertuduh.

Ia termasuk tidak memanggil DSP Musa Safri dan kegagalan mengemukakan diari balai polis yang menyatakan Azilah berada di Bukit Aman pada masa kejadian.

Sivarasa berkata saksi lain yang patut dipanggil ialah Datuk Seri Najib Razak, Datin Seri Rosmah Mansor, selain bekas Setiausaha Sulit Najib selama 20 tahun, Nasir Safar; dan adik Najib, Datuk Nazim Razak.

?Semua saksi ini penting bukan untuk membuktikan kesalahan Sirul dan Azilah tetapi untuk membuktikan siapakah yang mengarahkan kedua-dua tertuduh membunuh Altantuya,? katanya.

Selain itu, beliau berkata, saksi penting yang baru ialah ahli perniagaan permaidani, Deepak Jaikishan; peguam Americk Singh Sidhu dan Cecil Abraham.

?Pendakwaan cacat dan skrip ulangan yang melucukan kerana mahkamah gagal mengenal pasti dan mendakwa individu yang arah pembunuhan Altantuya. Ini menyebabkan sistem keadilan di Malaysia hancur di mata dunia.

?Justeru saya mendesak sebuah suruhanjaya ditubuhkan bagi memulihkan kembali imej dan kredibiliti mahkamah,? katanya.
-FZL

Categories
NASIONAL

Kes Rayuan Liwat II Ditangguh, Anwar Bantah Pelantikan Shafee

anwar mahkamah

PUTRAJAYA, 22 JULAI : Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini bersetuju untuk menangguhkan prosiding rayuan Kerajaan Malaysia terhadap keputusan pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Keputusan itu dibuat tiga panel hakim, Datuk Ramly Ali, Datuk Tengku Maimun Tuan Mat dan Datuk Mohd Zawawi Salleh pagi tadi berikutan peguam utama Anwar, Karpal Singh disahkan tidak sihat dan sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana sakit tulang belakang.

Mahkamah menetapkan 1 Ogos ini untuk pengurusan kes.

Anwar tiba di perkarangan mahkamah kira-kira pukul 9 pagi tadi dengan ditemani isterinya, Datin Seri Wan Azizah Ismail dan diiringi Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli serta Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Sementara itu, Anwar ketika ditemui di luar kamar mahkamah berkata, pihaknya menghantar notis bagi membantah keputusan Kerajaan yang melantik peguam, Datuk Shafee Abdullah sebagai Ketua Pendakwaraya dalam kes ini.

“Pelakuannya tidak profesional sejak 1998.

“Kita beri notis untuk membantah keputusan Kerajaan Umno-BN kerana melantik Datuk Shafee Abdullah yang sememangnya telah dituduh terlibat dalam kes prosiding ini sejak awal.

“Ketiadaan pendakwaraya yang sesuai untuk meneruskan perbicaraan ini tidak boleh dijadikan alasan bagi melantik seseorang yang terlibat dengan perbicaraan menentang saya di dalam dan luar mahkamah,” kata Ketua Pembangkang itu merujuk peranan Shafee dalam kes liwat I yang menyaksikan beliau dibebaskan Mahkamah Persekutuan pada 2004.

Tegas Anwar, Ram Karpal Singh akan menyerahkan notis ini kepada mahkamah bagi membantah pelantikan Shafee.

“Kita tidak boleh memandang ringan perkara tersebut kerana saya percaya ada motif politik yang besar dalam kes ini.

“Peguam Negara tidak mahu selesaikan kes lain, tetapi cuba hendak mengganggu karier politik saya,” katanya lagi.