Categories
NASIONAL

Majlis Syura : PAS tolak sertai BN

SHAH ALAM, 6 JAN : PAS sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak berkenaan kepentingan Islam, namun menolak untuk menyertai Barisan Nasional (BN).

Keputusan itu dibuat Majlis Syura Ulama PAS dalam mesyuaratnya Sabtu lalu selepas mengambil kira pandangan Islam mengenai kerjasama dan membantu orang lain.

zawawi“Kami bersetuju meneruskan agenda kerjasama dengan mana-mana pihak dalam perkara kebaikan dan ketaqwaan demi memperkukuhkan Islam dan perjuangannya.

“Majlis Syura Ulama juga menegaskan PAS tidak akan menyertai BN,” kata setiausahanya, Datuk Dr Nik Mohd Zawawi Salleh dalam satu kenyataan.

Pada masa sama, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata PAS kekal dengan keputusan sebelum ini untuk tidak menyertai BN atau UMNO.

“Bagi PAS, jika kami dijemput UMNO untuk sampaikan mesej (Islam), kami akan hadir.

“Dalam mesyuarat (Majlis Syura) itu, turut dibincangkan kita tidak boleh kerjasama (dengan UMNO) dalam perkara melibatkan dosa dan melanggar syarak,” katanya lapor Sinar Harian.

Isu kerjasama antara dua parti itu mencuri perhatian apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Perhimpunan Agung UMNO Disember lalu menghulurkan tali silaturahim kepada PAS untuk sama-sama “menuju kesempurnaan membina sebuah Malaysia di atas syariatnya”.

-AA-

Categories
NASIONAL

Boleh guna kalimah Allah tapi jangan salah guna – Hadi Awang

 

hadi awang bicara sinar 04

SHAH ALAM, 12 OKT :Menuju keputusan kes Kalimah Allah yang kini dibicarakan di Mahkamah Rayuan Putrajaya pada 14 Oktober nanti, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengulangi pendirian bahawa kalimah Allah boleh digunakan oleh penganut bukan Islam.

Bercakap kepada media seusai menyampaikan ucaptama di Seminar Pelaksanaan Syariah Islam Di Malaysia, Abdul Hadi berkata banyak hujah kukuh dari sudut agama, bahasa dan sejarah yang membolehkan penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian.

“Kita tidak boleh menghalang orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah, malah baginda Rasullah membenarkan penggunaan kalimah ‘Allah’ kepada orang bukan Islam dalam satu perjanjian,”(Piagam Madinah) tegas Hadi, dan menambah bagaimanapun kalimah ‘Allah’ tidak wajar disalahgunakan oleh mana-mana pihak sehingga menimbulkan konflik.

Mahkamah Rayuan akan memutuskan pada 14 Oktober ini sama ada penerbitan mingguan Kristian Katolik, The Herald, dibenar menggunakan kalimah ?Allah?.

Pada 10 September lepas, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan, yang terdiri daripada Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Mohamed Apandi Ali serta Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abdul Aziz Abd Rahim dan Datuk Mohd Zawawi Salleh, menangguhkan keputusan selepas mendengar hujah pihak berkenaan dalam kes itu.

Panel itu akan memutuskan rayuan Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan The Herald menggunakan kalimah ?Allah?.

Sebelum ini, pada Januari 2010, Abdul Hadi telah mengemukakan kertas kajian dalam seminar anjuran Institut Kefahaman Islam (IKIM).

Menerusi buku bertajuk: ‘Allah: Kalimah yang Benar, Tujuan yang Salah’, yang diterbitkan pada Januari 2010, Abdul Hadi menterjemahkan bahawa Islam tidak menghalang penganut agama lain menggunakan kalimah “Allah” dalam amalan mereka, walaupun tidak mencapai maksud asal bahasa al-Quran.

“Kalimah ‘Allah’ adalah satu perkataan yang mengikut maksud asal bahasa arab (Dia Sahaja Tuhan Yang Maha Esa), adalah tidak boleh diterjemahkan ke dalam mana-mana bahasa secara tepat,” jelas beliau dalam bukunya itu.

Seminar Pelaksanaan Syariah Islam Di Malaysia berlangsung di Dewan Pro Canselor Universiti Selangor (Unisel) dekat sini, hari ini.

Bertemakan ’56 tahun Merdeka: Ke Mana Hala Tuju Syariah Islam di Malaysia’, seminar anjuran Kerajaan Negeri Selangor, Majlis Permuafakatan dan Instiusi Pendidikan Islam Selangor (Mappis) dan Universiti Selangor (Unisel) itu membuka ruang mencari penyelesaian kearah pelaksanaan syariah dalam konteks negara demokrasi.

Hadir sama, Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Abdul Rani Osman, Exco Selangor Dr Halimah Ali dan Sallehen Mukhyi.

Categories
NASIONAL

Anwar berjaya ketepi Tengku Maimon sebagai panel hakim rayuan liwat 2

anwar&wan
Foto Ehsan Keadilandaily

PUTRA JAYA, 17 SEPT: Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Tengku Maimon Tengku Mat hari ini menarik diri dari menganggotai panel tiga hakim perbicaraan kes rayuan liwat 2 yang membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tindakan itu diputuskan secara sukarela selepas kedudukan beliau sebagai panel hakim kes itu mendapat bantahan daripada barisan peguam Ketua Umum PKR itu.

Pengganti Tengku Maimon akan diputuskan dalam perbicaraan yang akan di sambung esok pagi.

Menurut Ketua Pasukan Peguambela yang mewakili Anwar, Karpal Singh, bantahan tersebut dibuat kerana Tengku Maimon merupakan pesuruhjaya kehakiman yang terlibat dalam prosiding saman fitnah Anwar terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung dakwaan homoseksual pada 2007.

“Permohonan dibuat untuk mengenepikan Tengku Maimon dan permohonan itu berjaya. Dia sendiri yang ketepikan diri sendiri sebagai hakim kes ini,” kata Karpal.

Selain Tengku Maimon, dua lagi panel hakim yang mendengar perbicaraan itu, Datuk Ramli Ali (ketua) dan Mohd Zawawi Salleh.

Terdahulu, pada 9 Januari 2012, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan Anwar tidak bersalah atas tuduhan meliwat bekas pembantu beliau, Saiful Bukhari Azlan.

Pihak pendakwaan tiga hari kemudiannya memfailkan rayuan bagi membatalkan keputusan itu.

Categories
NASIONAL

Kes Rayuan Liwat II Ditangguh, Anwar Bantah Pelantikan Shafee

anwar mahkamah

PUTRAJAYA, 22 JULAI : Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini bersetuju untuk menangguhkan prosiding rayuan Kerajaan Malaysia terhadap keputusan pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Keputusan itu dibuat tiga panel hakim, Datuk Ramly Ali, Datuk Tengku Maimun Tuan Mat dan Datuk Mohd Zawawi Salleh pagi tadi berikutan peguam utama Anwar, Karpal Singh disahkan tidak sihat dan sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana sakit tulang belakang.

Mahkamah menetapkan 1 Ogos ini untuk pengurusan kes.

Anwar tiba di perkarangan mahkamah kira-kira pukul 9 pagi tadi dengan ditemani isterinya, Datin Seri Wan Azizah Ismail dan diiringi Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli serta Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Sementara itu, Anwar ketika ditemui di luar kamar mahkamah berkata, pihaknya menghantar notis bagi membantah keputusan Kerajaan yang melantik peguam, Datuk Shafee Abdullah sebagai Ketua Pendakwaraya dalam kes ini.

“Pelakuannya tidak profesional sejak 1998.

“Kita beri notis untuk membantah keputusan Kerajaan Umno-BN kerana melantik Datuk Shafee Abdullah yang sememangnya telah dituduh terlibat dalam kes prosiding ini sejak awal.

“Ketiadaan pendakwaraya yang sesuai untuk meneruskan perbicaraan ini tidak boleh dijadikan alasan bagi melantik seseorang yang terlibat dengan perbicaraan menentang saya di dalam dan luar mahkamah,” kata Ketua Pembangkang itu merujuk peranan Shafee dalam kes liwat I yang menyaksikan beliau dibebaskan Mahkamah Persekutuan pada 2004.

Tegas Anwar, Ram Karpal Singh akan menyerahkan notis ini kepada mahkamah bagi membantah pelantikan Shafee.

“Kita tidak boleh memandang ringan perkara tersebut kerana saya percaya ada motif politik yang besar dalam kes ini.

“Peguam Negara tidak mahu selesaikan kes lain, tetapi cuba hendak mengganggu karier politik saya,” katanya lagi.