Categories
NASIONAL

Najib bukan sahaja hilangkan wang tetapi juga sabotaj kerajaan

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 23 JUL: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di era pentadbirannya bukan sahaja menyebabkan kerajaan kehilangan berbilion ringgit wang negara.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Najib turut mensabotaj jentera kerajaan bagi memastikan beliau kekal mempertahankan kuasa yang ada.

“Kerosakan dibuat (Najib Razak) kepada negara ini lebih teruk daripada apa yang kami jangka.

“Bukan sahaja wang dihilangkan berbillion-billion ringgit, tetapi jentera kerajaan sudah disabotaj, sudah ditukar supaya tidak lagi berjalan dengan baik dan terpaksalah kita ambil tindakan untuk membuang beberapa pegawai yang terlibat dalam mempertahankan kerajaan terdahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Kempem Derma Tabung Harapan Malaysia di Ideal Convention Centre (IDCC) di sini, malam tadi.

Mahathir berkata, Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) berusaha memulihkan ekonomi dan jentera kerajaan supaya dapat berjalan dengan lancar demi kepentingan rakyat dan negara.

Katanya, Najib turut memperkenalkan Akta Majlis Keselamatan Negara 2016 bagi menghalang orang ramai bersuara menentang pentadbiran beliau.

Justeru katanya lagi, kerajaan akan mengambil langkah bagi memansuhkan akta terbabit.

Categories
NASIONAL

Dr Mahathir mahu sungai di Sarawak dimanfaat sebaik mungkin

KUCHING, 15 JUL: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mahu aset di Sarawak khususnya sungai dimanfaat sebaik mungkin.

“Saya telah bercakap berkenaan potensi di Sarawak ini, kita perlu eksploitasi aset yang kita ada iaitu sungai yang sememangnya merupakan suatu aset di samping tanah. Tanah sangat luas di Sarawak berbanding jumlah penduduknya yang agak kecil.”

“Jika dibandingkan dengan sungai, pembangunan tanah kini tertakluk kepada pertimbangan dari segi alam sekitar tetapi dengan sungai, kita boleh lakukan banyak perkara – pengangkutan, menjana tenaga. Berdasarkan taklimat yang disampaikan kepada saya tadi, saya dapati potensi bagi pertumbuhan Sarawak itu ada dan segala-galanya bergantung kepada bagaimana kita memanfaatkan aset itu,” katanya.

Dr Mahathir berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri taklimat tertutup kira-kira 45 minit mengenai pembangunan Sarawak di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya di sini hari ini, yang disampaikan oleh Setiausaha Kerajaan Sarawak Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani.

Turut hadir Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan barisan menteri Kabinet Sarawak.

Sebaik selesai taklimat, Dr Mahathir diraikan kerajaan Sarawak dengan acara memotong kek bersempena ulang tahun kelahiran beliau.

Mengulas lanjut mengenai taklimat tersebut, Dr Mahathir berkata beliau dimaklumkan antaranya mengenai pelaburan asing di Sarawak.

“Daripada taklimat tadi, saya dapati bahawa pembangunan tidak terhad kepada Kuching sahaja tetapi kepada tempat-tempat lain dan industri juga, telah banyak pelaburan asing datang ke sini dan saya yakin ini boleh ditingkatkan lagi,” katanya.

Sementara itu ketika ditanya mengenai hubungan kerajaan Persekutuan dan Sarawak, Dr Mahathir kerjasama antara kedua-dua kerajaan adalah baik.

“Sekarang ini kita sudah bertemu beberapa kali dan kita dapati kerjasama antara kerajaan Sarawak dengan Persekutuan memang baik,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Dr Mahathir tiba untuk lawatan ke Kuching

KUCHING, 14 JUL: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tiba pagi ini untuk menghadiri beberapa majlis di Kuching hari ini dan esok.

Dr Mahathir dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali tiba menaiki pesawat khas kira-kira 10.15 pagi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.

Ketibaan Dr Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan dan isteri disambut oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Pengerusi DAP Sarawak merangkap Pengerusi Pakatan Harapan negeri Chong Chieng Jen.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Sarawak Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani dan ketua-ketua masyarakat dari sekitar Kuching.

Difahamkan Dr Mahathir dan isteri akan menghadiri beberapa majlis tertutup hari ini.

SUMBER/ FOTO: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Tun Mahathir hargai Jepun sedia pertimbang pinjaman mudah

PUTRAJAYA 12 JUL: Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menghargai sikap Jepun yang sedia mempertimbangkan permohonan Malaysia untuk mendapatkan bantuan pinjaman mudah yang kini sedang dikaji oleh negara itu.

Hal itu disampaikan oleh Menteri Luar Jepun, Taro Kono kepada Mahathir ketika Kono melakukan kunjungan hormat ke atas beliau di Perdana Putra di sini hari ini.

Kono kini dalam rangka lawatan kerja dua hari ke Malaysia bermula Selasa.

Semasa melawat Jepun bulan lepas, Mahathir telah memohon pinjaman yen dari Jepun dalam bentuk pinjaman mudah dan rakan sejawatannya Shinzo Abe memberitahunya akan mempertimbangkan permohonan itu.

Sebahagian daripada pinjaman itu dijangka digunakan untuk menyelesaikan hutang-hutang lama untuk menyeimbangi kos pinjaman yang tinggi.

Wisma Putra dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sempena kunjungan hormat Kono itu hari ini berkata, Mahathir amat berpuas hati dengan hasil perbincangannya dengan Abe di Tokyo pada 12 Jun lepas di mana kedua-dua Perdana Menteri bersetuju untuk memperkasa dan memperkukuhkan semula Dasar Pandang ke Timur yang dilancarkan pada 1982.

SUMBER: BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Peguam dan wartawan cita-cita asal Tun M dan Tun Siti

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 11 JUL: Berbeza dengan Perdana Menteri terdahulu dilahirkan dalam keluarga bangsawan, sebaliknya Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dibesarkan dalam sebuah keluarga sederhana.

Dalam satu wawancara santai rancangan Astro Gempak sempena ulang tahun kelahiran ke-93 tahun Mahathir dan ke-92 tahun isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, Mahathir berkata beliau melupakan cita-cita menjadi peguam apabila gagal memperolehi biasiswa bidang itu.

“Saya ingin menjadi peguam tetapi saya tak dapat biasiswa sebaliknya saya dapat biasiswa perubatan di universiti,” katanya kepada pengacara rancangan tersebut, Kashika.

Ketika menjawab soalan pengacara berusia 10 tahun itu sama ada dirinya juga boleh menjadi Perdana Menteri satu hari nanti, Mahathir berkata Kashika juga boleh jadi Perdana Menteri sekiranya bekerja keras, berbuat baik kepada semua orang, memenangi sokongan ramai, berpegang pada janji, buat perkara betul, berpegang pada janji dan tidak menipu.

Mahathir berkata, beliau sendiri tidak pernah menyangka beliau berjaya menduduki kerusi nombor satu negara itu kerana dirinya bukanlah berasal daripada keluarga kelas atasan.

“Saya tak pernah terfikir akan dapat jadi Perdana Menteri sebab saya bukanlah sesiapa, keluarga saya bukanlah dari kelas atasan. Saya hanya anak guru sekolah tetapi saya tetap cuba bertanding dalam pilihan raya dan menang,” katanya pada program wawancara yang diadakan di kediaman Perdana Menteri.

Sementara itu, Siti Hasmah pula terpaksa melupakan cita-citanya untuk menjadi seorang wartawan selepas ibunya jatuh sakit ketika zaman pemerintahan Jepun.

“Saya nak jadi wartawan sebab saya banyak membaca dan menulis tetapi ketika zaman pendudukan Jepun, ibu saya sakit teruk, jadi saya ubah fikiran saya untuk jadi seorang doktor,” katanya pula.

Kashika turut mengemukakan beberapa soalan yang berjaya menonjolkan sisi lain Mahathir dan Siti Hasmah.

Antaranya, Mahathir dan Siti Hasmah diminta berikan gambaran terhadap pasangan masing-masing dalam tiga perkataan dan kelemahan pasangan masing-masing.

Selain itu, antara yang paling menarik apabila Kashika meminta supaya Siti Hasmah mencium Mahathir di depan kamera.

Selepas selesai sesi wawancara, pasangan tersebut diberikan kejutan sebuah kek hari jadi yang memaparkan Jalur Gemilang dan bunga kebangsaan, kolaj foto serta ucapan 93 orang yang menyimpan hasrat untuk bertemu pasangan itu.

Categories
NASIONAL

Cabaran tangani rasuah masa kini lebih sukar berbanding 1981 – PM

PUTRAJAYA, 10 JUL: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui cabaran menangani rasuah dan salah guna kuasa pada masa kini lebih mencabar berbanding ketika beliau pertama kali dilantik sebagai perdana menteri pada tahun 1981.

Dr Mahathir berkata ketika mengambil alih tampuk pemerintahan negara 37 tahun dahulu, jentera kerajaan pada ketika itu dilihat hampir bersih daripada gejala rasuah, tidak seperti masa kini.

Beliau mendakwa tindakan seorang bekas perdana menteri ‘mempromosikan’ rasuah melalui kenyataan ‘cash is king’ atau ‘wang itu raja’ mengakibatkan habis jentera kerajaan terlibat.

“Kita kena pilih, tapis sebelum kita ambil tindakan. Kalau kita syak, kita tidak boleh buang semua pegawai kerajaan yang kita syak (terlibat rasuah) kerana yang demikian kita tiada jentera untuk melaksanakan tugas dan arahan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan perutusan pada Taklimat Governans, Integriti dan Antirasuah di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di sini hari ini, yang dihadiri hampir 160 anggota Parlimen Pakatan Harapan (PH) serta anggota pentadbiran kerajaan termasuk jemaah menteri.

Dr Mahathir yang menyambut ulang tahun ke-93 hari ini turut menerima ucapan Selamat Hari Lahir selepas menyampaikan perutusan pada sesi taklimat itu daripada tetamu yang hadir.

Ditanya pemberita akan harapannya pada harijadinya itu, Dr Mahathir secara berseloroh berkata: “Saya harap media akan membantu kami membanteras rasuah,” yang disambut dengan tawa hampir 50 petugas media yang membuat liputan sidang media itu.

Taklimat tertutup yang julung kali diadakan itu dianjurkan Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) bertujuan memberi pendedahan tentang pelbagai aspek berkaitan rasuah dan usaha pencegahan buat anggota Parlimen dan anggota pentadbiran kerajaan yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lepas.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Sogokan untuk sokongan bukan cara Pakatan Harapan – Tun Mahathir

LANGKAWI, 30 JUN: Kerajaan Pakatan Harapan akan menawarkan perkhidmatan yang boleh memperbanyakkan lagi peluang pekerjaan dan perniagaan kepada rakyat untuk meningkatkan lagi taraf hidup mereka, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya ini berbeza sekali dengan pendekatan kerajaan lepas yang lebih cenderung untuk memberikan sogokan kewangan bagi mendapatkan sokongan rakyat.

“Bukan cara kita untuk menghulurkan sogokan kepada rakyat dengan harapan sokongan akan diberikan oleh rakyat,” katanya ketika berucap dalam Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Parlimen Langkawi di Dewan Kompleks Sukan LADA di sini.

Katanya kemenangan beliau sebagai Anggota Parlimen Langkawi dan dua orang lagi calon Pakatan Harapan, iaitu Juhari Bulat sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hangat dan Mohd Firdaus Ahmad sebagai ADUN Kuah, menjadi bukti rakyat di Langkawi tidak mudah dipengaruhi taktik sogokan yang digunakan oleh BN dalam pilihan raya lepas.

“Saya dengar dalam pilihan raya lepas Barisan Nasional membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk menawan hati pengundi tetapi percubaan ini gagal dan rakyat tetap memilih Pakatan Harapan,” katanya.

Dr Mahathir yang diiringi isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali di majlis itu, berkata kemenangan Pakatan Harapan di Langkawi dalam PRU14 akan menjadi asas kepada usaha untuk meningkatkan taraf hidup rakyat di pulau ini yang telah sekian lama bergantung kepada industri pelancongan sebagai sumber pendapatan utama mereka.

Katanya industri ini membolehkan kira-kira 3.5 juta pelancong untuk datang ke Langkawi setiap tahun dan banyak memanfaatkan rakyat tempatan.

“Kita perlu menambah lebih banyak hotel dan restoran bagi menampung permintaan pelancong yang semakin ramai dan orang tempatan dapat terlibat dalam usaha ini,” katanya.

Mengenai penganjuran rumah terbuka Aidilfitri itu, Dr Mahathir berkata ia sebagai tanda penghargaan beliau dan Pakatan Harapan kepada rakyat yang membolehkan kemenangan mereka dalam pilihan raya lepas.

“Kita akan sentiasa mencuba mencari jalan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat dengan cara membuka lebih banyak peluang lagi kepada mereka,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Tun Dr Mahathir lakukan lawatan rasmi ke Indonesia esok

NASIONAL 27 FEB: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan melakukan lawatan rasmi dua hari ke Indonesia bermula esok merupakan lawatan pertama beliau ke negara Asia Tenggara selepas menyandang jawatan Perdana Menteri buat kali kedua, 10 Mei lalu.

Wisma Putra dalam satu kenyataan media berkata, Perdana Menteri akan diiringi oleh isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali serta pegawai dari Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Luar.

Dalam rangka lawatan ini, Perdana Menteri akan mengadakan pertemuan empat mata dengan Presiden Joko Widodo atau Jokowi di Istana Bogor pada pagi Jumaat.

“Ini disusuli dengan Majlis Makan Tengah Hari yang dihoskan oleh Presiden bagi meraikan Dr Mahathir dan delegasi Malaysia,” kata kenyataan itu.

Sebelum itu, Perdana Menteri yang dijadual tiba di Jakarta, 6 petang esok juga akan mengadakan perjumpaan dengan masyarakat Malaysia di Jakarta pada sebelah malam.

Lawatan ini akan membuka peluang untuk kedua-dua pemimpin memperkasakan hubungan dua hala dan kerjasama yang sedia ada di antara Malaysia dan Indonesia.

Lawatan ini juga membolehkan Malaysia mengetengahkan dasar terkini kerajaan dan pendirian negara, khususnya berkaitan isu yang mempunyai manfaat bersama.

Selain itu, kedua-dua pemimpin juga akan turut bertukar pandangan mengenai isu serantau dan global yang mempunyai kepentingan bersama terhadap Malaysia dan Indonesia.

Indonesia adalah satu daripada negara jiran yang paling rapat dan terpenting untuk Malaysia.

Pada 2017, jumlah perdagangan dua hala yang direkodkan adalah sebanyak RM72.63 bilion (AS$16.89 juta), menyaksikan pertumbuhan 22 peratus berbanding 2016.

Ini sekali gus menjadikan Indonesia sebagai rakan dagang ketujuh terbesar Malaysia di peringkat global dan yang ketiga terbesar di kalangan negara anggota ASEAN selepas Singapura dan Thailand.

Categories
NASIONAL

Dr Mahathir sifatkan pertukaran idea dengan Jack Ma beri banyak manfaat

KUALA LUMPUR, 18 JUN: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau telah bertukar-tukar idea tentang pelbagai perkara yang sungguh bermanfaat dengan pengasas dan pengerusi eksekutif Alibaba Group Jack Ma semasa pertemuan mereka di Putrajaya hari ini.

Dr Mahathir memaklumkan perkara itu dalam catatan melalui akaun Twitter rasmi beliau dengan berkata, “kami telah bertukar-tukar idea yang cukup bermanfaat tentang pelbagai subjek”.

Pertemuan selama kira-kira sejam mulai pukul 9 pagi itu berlangsung di pejabat Dr Mahathir di Putrajaya.

Ma dijadual merasmikan sebuah pejabat Alibaba di Bangsar South, di sini lewat hari ini.

Beliau juga dilaporkan mengadakan perjumpaan dengan Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada satu majlis jamuan tidak rasmi malam tadi.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Tun M: Terima kasih rakyat bantu selamatkan negara

OLEH NAZLI IBRAHIM

PUTRAJAYA, 15 JUN: Rakyat memainkan peranan penting di sebalik kejayaan menumbangkan Barisan Nasional (BN) sekaligus menyelamatkan ekonomi negara ini daripada terus dirosakkan barisan kepimpinan terdahulu.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) mengucapkan berbanyak terima kasih kepada rakyat kerana membantu konsesus itu menyelamatkan negara.

“Terima kasih kepada rakyat kerana membantu kami menyelamatkan negara di mana kejayaan ini bukanlah kejayaan saya seorang tetapi dibantu oleh ramai rakyat,” katanya pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri di Kompleks Seri Perdana di sini, hari ini.

Mahathir berkata, kejaayaan ini membuktikan rakyat Malaysia tidak memerlukan sebarang bentuk keganasan atau peperangan untuk menukar kerajaan.

Katanya, demokrasi yang diamalkan juga mendorong rakyat untuk bebas memilih kerajaan dalam pilihan raya.

Beliau juga berharap supaya Kerajaan PAKATAN berjaya menunaikan manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu.

Mahathir juga optimis bebanan hutang negara dapat dikurangkan dengan pengurusan ekonomi yang betul dan bantuan rakyat keseluruhannya.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Syukur dengan demokrasi negara – Dr Mahathir

KUALA LUMPUR, 14 JUN: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengajak rakyat Malaysia untuk sentiasa bersyukur serta mengambil iktibar dengan apa yang berlaku kepada saudara Islam di negara luar apabila demokrasi yang diharap tidak mencapai tujuannya.

Rakyat Malaysia, tegas beliau, masih dapat menjalani ibadah puasa dan menyambut Aidilfitri dengan penuh selesa dan selamat tanpa perlu risau dan berasa terancam dengan serangan musuh.

“Marilah kita renungkan akan cabaran dan dugaan yang kita hadapi sekarang, dan bagaimana kita dapat mengatasinya. Insya-Allah dengan berkat usaha dan sikap tidak akan menyerah kalah, usaha ini akan diberkati Allah dan kita pasti akan berjaya melepasi segala rintangan.

“Percayalah, apa yang dihadapi oleh kita sekarang, tidak seberat apa yang dihadapi rakan kita di beberapa buah negara lain terutamanya di Timur Tengah,” katanya dalam perutusan Hari Raya Aidilfitri 2018, di sini, malam ini.

Dr Mahathir berkata 1 Syawal sebagai hari kemenangan melawan nafsu, tidak hanya terhad kepada menahan lapar dan dahaga, malah melawan nafsu dengan menolak apa jua perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam.

“Ada kalanya nafsu menghumban kita ke dalam perkara yang dilarang, ini akan mencemarkan imej kita sebagai seorang Muslim tetapi Alhamdulillah, Islam itu sempurna.

“Jika diamati dengan teliti, ia tetap menjadikan kita manusia yang baik dan berjaya. Islam bukan sahaja agama, ia adalah ‘Ad-deen’ atau cara hidup,” katanya.

Dr Mahathir pada masa sama berkata kerajaan berjanji akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mengembalikan negara ke landasan yang betul.

“Untuk mencapai matlamat ini, langkah penjimatan perlu diambil dan orang ramai hendaklah terima keperluan berjimat bersama kerajaan,” katanya.

Beliau berkata jika negara aman dan selamat, pelabur akan melabur dengan banyak dan peluang pekerjaan akan bertambah, serta dapat menyelesaikan masalah pengangguran dalam kalangan masyarakat.

Dalam pada itu, Dr Mahathir turut mengingatkan mereka yang pulang beraya di kampung halaman agar sentiasa memandu dengan cermat serta mengajak masyarakat bukan Islam untuk turut serta dalam sambutan Hari Raya bagi memupuk semangat perpaduan antara kaum di negara ini.

SUMBER: BERNAMA

Categories
GLOBAL

Tun Dr Mahathir bertemu PM Jepun

TOKYO 12 JUN: Tun Dr. Mohamad pagi ini telah melakukan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe di pejabatnya di sini.

Ketibaan Perdana Menteri disambut dengan pemeriksaan kawalan kehormat yang terdiri daripada pegawai dan anggota pasukan keselamatan Jepun.

Dr. Mahathir dan Abe kemudian mengadakan perbincangan tertutup diikuti kenyataan bersama kepada media.