Categories
SELANGOR

Isu Penggunaan Nama Allah, Ahli Politik Jangan Menangguk Di Air Keruh

Dr Maszlee

SHAH ALAM, 29 DIS: Dialog antara agama di negara ini perlu disuburkan bagi mengelak salah faham antara agama hingga menyebabkan ia dipolitikan.

Dialog ini perlu apabila isu sensitif dalam agama sengaja dijadikan isu politik untuk menyerang lawan demi kepentingan politik masing-masing.

Bagi Pensyarah Kulliyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Maszlee Malik, sebenarnya isu ini hanyalah merupakan simptom kepada permasaalahan lebih besar iaitu kejahilan di antara penganut sesuatu agama tentang agama lain di negara ini.

Akibat kejahilan bersama ini timbulah salah faham bersama atau ‘mutual misconception’ yang menjadi ruang subur untuk prejudis, fitnah dan perselisihan faham.

Oleh demikian, beliau mengingatkan ahli-ahli politik agar meningkatkan integriti, moral dan etika masing-masing agar tidak menangguk di air keruh atas kejahilan bersama masyarakat di negara ini.

Menurut beliau lagi, salah faham bersama ini dapat dielakkan atau diminimakan sekiranya Kementerian Pelajaran mewujudkan mata pelajaran agama-agama di Malaysia sebagai subjek teras dan diwajibkan ke atas semua pelajar.

“IPTA dan IPTS juga hendaklah mempunyai subjek tersebut sebagai salah satu subjek teras mereka.

“Begitu juga subjek Agama Islam, perlu dihadiri semua memandangkan Islam merupakan agama rasmi di negara kita yang perlu diketahui oleh semua rakyatnya,” kata beliau.

Dr Maszlee juga memberitahu setiap rakyat negara ini hendaklah menghargai kemajmukkan masyarakat di negara ini.

“Menjadi tanggungjawab setiap warga di Malaysia untuk bersama menghargai kemajmukkan masyarakat Malaysia dan ianya wajib disikapi sebagai kekuatan dan bukannya sebagai faktor perbalahan,” ujar Dr Maszlee dalam satu kenyataan media.

Terdahulu, isu penggunaan nama Allah oleh penganut Kristian di Sabah dan Sarawak bertambah hangat dan menemui jalan buntu apabila sesetengah ahli politik sengaja menjadikan isu ini sebagai senjata menyerang lawan politik mereka.

Tindakan mereka ini akhirnya menambah kusutkan keadaan sehingga mampu mencetus ketegangan antara penganut Islam dan Kristian di negara ini.

Categories
NASIONAL

LGE Sasar Hapus Kemiskinan 2015 di Pulau Pinang

SHAH ALAM 28 JUN : Kerajaan Negeri Pulau Pinang komited kini dalam perancangan bagi meningkatkan taraf hidup rakyat serta menghapuskan kemiskinan di negeri itu menjelang 2015.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, sejak mengambilalih pentadbiran Kerajaan Negeri dari Umno-BN pada Mac 2008, Pakatan Rakyat (PR) merancang pelbagai perubahan ke arah meningkatkan taraf kehidupan rakyat di Pulau Mutiara itu.

Sebagai langkah awal, pelbagai usaha dan perubahan dilakukan dalam sektor ekonomi bagi membantu rakyat mengurangkan bebanan serta menambah pendapatan.

Beliau menambah, antara perubahan adalah meningkatkan gaji minima semua keluarga supaya melepasi garisan kemiskinan ditetapkan.

“Itu adalah usaha yang dilakukan Kerajaan Negeri tapi itu bukanlah mudah untuk merapatkan jurang perbezaan. Itu satu komitmen sebagai negeri yang pertama hapuskan miskin tegar di Malaysia di mana semua keluarga mendapat sekurang-kurangnya RM600 sebulan. Kalau tak dapat RM600 sebulan, Kerajaan Negeri akan tambah nilai tiap-tiap bulan sehingga genap RM600.

“Kita bukan sahaja mahu menghapuskan miskin tegar tetapi kita juga nak menjadi negeri pertama menghapuskan kemiskinan sama sekali menjelang 2015,” katanya dalam Wacana “Benarkah Dasar DAP Mengancam Islam? anjuran Roketkini.com di sini malam tadi.

Wacana tersebut turut disertai Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Maszlee Malik dan Naib Presiden Angkatan Amanah Merdeka (Amanah), Wan Saiful Wan Jan bertindak selaku moderator.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, Kerajaan Negeri berharap sasaran itu mampu dicapai selewwat-lewatnya pada 2015.

“Kita harap akan mencapainya pada 2015 atau lebih awal dari itu. Itupun kalau kita menang (pilihan raya) dan kekal sebagai kerajaan,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Dr Maszlee: Usaha BERSIH Wajar Dipuji, Tak Perlu Sekat

Siri Wawancara Bersama Dr Maszlee Malik (siri akhir)

SHAH ALAM, 23 APR: Usaha NGO BERSIH 2.0 dalam menuntut pilihan raya yang telus dan adil wajar mendapat pujian masyarakat kerana kempen mereka adalah untuk kebaikan negara dan generasi akan datang.

Pensyarah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Maszlee Malik berkata BERSIH 2.0 juga harus diberi kebebasan seperti yang termaktub dalam perlembangaan untuk menyuarakan kempen mereka.

“Kita patut puji orang-orang yang melakukan yang kita katakan usaha BERSIH ini kerana mereka melakukannya bukan hanya sekadar untuk diri mereka sahaja.

?Tetapi untuk seluruh masyarakat Malaysia dan bukan untuk waktu ini malah untuk masa akan datang.

“Apabila kita melihat adakah tidak ada cara lain BERSIH menyuarakan pendapatnya.

“Ya, BERSIH merupakan gabungan masyarakat sivil pertubuhan-pertubuhan NGO, individu-individu dan saya yakin banyak terdapat aktor bukan politik seperti peguam, orang seni dan lain-lain di dalamnya,? kata Dr Maszlee ketika diwawancara TVS baru-baru ini.

BERSH 2.0 merancang untuk mengadakan himpunan ke-tiga pada Apr 28 ini bagi mendesak kerajaan pusat untuk mengadakan pilihanraya telus dan bebas dari manipulasi.

Selain itu, menurut Dr Maszlee, memilih mengadakan rapat umum bagi menyuarakan pendapat mereka juga bukanlah sesuatu yang wajar untuk dijadikan isu.

Berliau berkata BERSIH 2.0 atau mana-mana pihak dalam negara ini mempunyai hak untuk berbuat demikian selaras dengan artikel 10 Perlembagaan Persekutuan.

“Tak kiralah BERSIH atau isu lain, demontrasi iaitu hak bersuara atau mengemukakan pendapat, hak untuk berkumpul dijamin dalam artikel 10 perlembagaan persekutuan.

“Saya yakin tidak kiralah apa pun isunya ia menjadi hak kepada mana-mana individu, mana-mana warganegara yang bertanggungjawab untuk menyuarakan pendapat mereka berdasarkan kebebasan berpendapat selaras dengan peruntukan perlembagaan,” kata beliau lagi.

Categories
NASIONAL

Pendidikan Percuma: Bukan Sekadar PTPTN Tapi ‘University Autonomous’

Siri Wawancara Bersama Dr Maszlee Malik (siri 1).

SHAH ALAM, 19 APR: Menuntut memansuhkan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Nasional (PTPTN) bukanlah suatu isu mengenai pendidikan percuma sahaja malah ia turut melibatkan isu kuasa autonomi pentadbiran universiti.

Demikian menurut Pensyarah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Maszlee Malik ketika diwawancara baru-baru ini.

Menurut Dr Maszlee yang juga terkenal sebagai moderator tetap Wacana Sinar Harian, universiti di negara ini lebih berupaya menjana pendapatan sendiri sekiranya institusi pendidikan tinggi itu memiliki kuasa autonomi.

Dr Maszlee turut memberikan contoh beberapa universiti terkenal dunia yang berjaya mengaplikasikan sistem wakaf dan pembiayaan tertentu dari syarikat korporat bagi menjana pendapatan mereka.

“Kalau universiti itu autonomi mereka akan cuba menjana pendapatan mereka dan di sini peranan syarikat-syarikat sektor swasta perlu digembeling untuk apa yang dikatakan CSR-tanggungjawab sosial korporat dan juga sistem wakaf perlu digembeling untuk membantu menyemarakkan universiti yang autonomi.

“Kita lihat bagaimana Universiti Al-Azhar boleh ‘sustain’ melalui wakaf, Havard, Cambridge, Oxford melalui ‘endowment’.

“Saya rasa sebagai umat Islam kita ada alternatif wakaf yang begitu ‘power full’ yang boleh digunakan dan jikalau ‘university autonomous’ (bebas berpemerintahan sendiri) kita lihat pelajar akan terikat dengan universiti berbanding dengan kerajaan. Saya lebih nampak ke arah tersebut,” kata beliau.

Kuasa autonomi yang dimiliki oleh pihak universiti juga mampu mengelak berlaku permainan politik di kalangan ahli akademik akibat campurtangan kuasa politik luar.

“Pertama sekali bila universiti autonomi, pemimpin di peringkat teratas sekali seperti Naib Canselor, Timbalan Naib Canselor sudah pasti tidak akan berlaku politiking.

“Ini kerana selama ini berlaku politiking untuk seorang itu naik akan berlaku perlumbaan terutama untuk mendapat keredaan pihak berkuasa, kerana berlaku politiking di situ.

“Tetapi kalau autonomi ia lebih bersifat meritokrasi, lebih disebabkan masing-masing membuktikan kemampuan dan orang yang dipilih berdasarkan kelayakan mereka, itu yang pertama,” katanya lagi.

Kuasa autonomi pihak universiti juga dikatakan mampu memeberikan kebebasan akademik kepada warga universiti di negara ini.

“Kedua, saya yakin apabila universiti semua autonomi bukan sekadar pensyarah, bukan sekadar para ahli akademik,  malah para pelajar juga akan menikmati kebebasan akademik mereka,” ujar beliau lagi.

Mengulas tuntutan pendidikan percuma oleh aktivis mahasiswa baru-baru ini, Dr Maszlee berkata pendidikan percuma bukanlah bermakna rakyat tidak perlu mengeluarkan sebarang kos untuk melanjutkan pelajaran di peringkat pengajian tinggi.

Menurut Dr Maszlee suatu bayaran minima yang lebih munasabah terpaksa dikenakan terhadap pelajar seperti yang berlaku di Jerman.

“Saya agak bersetuju dengan pendidikan percuma di peringkat universiti diberikan kepada rakyat, tetapi itu tidak menunjukan bahawa rakyat tidak akan keluar satu sen pun.

“Maksudnya, kita lihat bagaimana negara Jerman berikan pendidikan percuma tetapi akhirnya terpaksa mengenakan yuran atau bayaran yang minima kepada rakyat,” beritahu beliau.

Dr Maszlee turut melontarkan pendapat bahawa pemberian biasiswa kepada penerima yang layak selaras dengan konsep ekonomi pasaran bebas.

“Kita boleh katakan bahawa kita mahu biasiswa diberikan kepada pelajar tidak kira bumiputra atau bukan bumiputra berdasarkan kemampuan mereka.

“Bagi orang yang berpendapatan rendah, mereka berhak dapat, tetapi bagi anak-anak Datuk, anak-anak Tan Sri, anak-anak pengarah GLC, syarikat besar, saya tak nampak perlu beri biasiswa kepada mereka.

“Jadi biasiswa kita adalah untuk mereka yang memerlukan dan saya rasa ini selaras dengan apa yang kita katakan ekonomi pasaran bebas dan juga pada saya  di dalam isu pendidikan ini bukan sekadar isu PTPTN tetapi juga isu autonomi universiti,” beritahu beliau lagi.