Categories
AGENSI SELANGOR

Bantuan yuran ringankan beban pelajar baharu masuk Unisel

SHAH ALAM, 13 NOV: Universiti Selangor (Unisel) mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri di atas pengumuman program Bantuan Yuran Asas Universiti (Bayu) dengan peruntukan RM4 juta menerusi Belanjawan Selangor 2021.

Pengarah komunikasi korporat, Hasril Abu Hassan berkata program berkenaan dapat meringankan beban kewangan pelajar yang ingin mendaftar di Unisel.

“Menerusi bantuan ini setiap pelajar daripada kategori B40 yang berdaftar dengan Unisel akan terima suntikan hampir RM600 untuk pengajian tahun depan bagi tujuan pembiayaan yuran asas,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, sempena sambutan 20 Tahun Unisel pihak universiti turut menawarkan program asas secara percuma sepanjang tahun depan.

Empat program pengajian Asas tersebut ialah Asas Sains, Asas Teknologi Maklumat, Asas Tesl dan Asas Pengurusan serta pengajian trek huffaz kepada pelajar yang pernah mengikuti aliran tahfiz dan agama.

“Pelajar yang berminat untuk menjadi sebahagian warga Unisel, kemasukan November 2020 masih dibuka,” katanya.

Maklumat lanjut, hubungi talian 03-5522 3400 atau WhatsApp ke 018-571 4084 / 018-571 4087 atau layari laman sesawang di www.unisel.edu.my.

Categories
AGENSI SELANGOR

MB jangka hutang Unisel selesai tahun depan

SHAH ALAM, 5 NOV: Universiti Selangor (Unisel) dijangka dapat melangsaikan semua hutang pada Jun tahun depan, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sebanyak RM83 juta pinjaman diberi kepada insitusi pengajian itu bagi memulihkan kedudukan kewangannya.

“Pinjaman disalurkan tiga kali bermula 2007 sebanyak RM36.7 juta, 2014 (RM3.1 juta) dan 2017 (RM44 juta) untuk membayar pelbagai tanggungan hutang lain.

“Selain itu, geran langsung turut diberikan dan kita yakin proses pemulihan ini berjaya mengikut perancangan,” katanya ketika ucapan penggulungan pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pembangkang DNS Rizam Ismail pada sesi perbahasan semalam yang mendakwa Kerajaan Negeri gagal membantu Unisel memulihkan kedudukan kewangan.

Amirudin berkata sebaik sahaja bebas hutang, Unisel bakal memiliki aset lebih 1,000 ekar tanah di Bestari Jaya dan Dengkil.

“Kerajaan Negeri sentiasa memantau perkembangan institut pendidikan di bawahnya, malah kita ada tabung pinjaman kepada anak syarikat,” katanya lagi.

Categories
AGENSI SELANGOR

Unisel sasar 1,000 pelajar baharu, pembelajaran secara maya

SHAH ALAM, 25 OKT: Universiti Selangor (Unisel) menyasarkan kemasukan 1,000 pelajar baharu bagi sesi pengambilan November tahun ini dengan menawarkan 66 program pengajian peringkat asasi, diploma dan ijazah sarjana muda.

Naib presiden dan timbalan naib canselor (pembangunan pelajar dan jaringan komuniti) berkata daripada jumlah itu, lapan program asasi termasuk empat trek huffaz ditawarkan, diploma (25) dan ijazah sarjana muda (33).

“Sesi pendaftaran akan dibuat secara dalam talian pada 10 November dan mahasiswa perlu menjalani minggu tekad siswa (MTS) melalui kaedah sama.

“Kita menubuhkan pasukan khas daripada jabatan pemasaran Unisel yang bertanggungjawab membantu bakal mahasiswa berkaitan urusan pendaftaran, taklimat dan pembiayaan pendidikan,” kata Prof Madya Dr Hamdan Mohd Salleh ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau berkata semua pelajar lama dan baharu akan mengikuti aktiviti pembelajaran secara maya bermula 16 November berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sedang berkuat kuasa.

Menurutnya keputusan membenarkan penuntut kembali ke kampus bergantung pada arahan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) namun pihaknya bersedia mengaktifkan mod pengajaran dan pembelajaran (PdP) digital sepenuhnya.

“Kaedah PdP dalam talian dipraktikkan secara holistik sejak Januari lagi, jadi tiada masalah untuk kita meneruskannya berdasarkan pengalaman dua semester lepas.

“Bagaimanapun jika keadaan mengizinkan dan PKPP ditamatkan, kita akan benarkan semula pelajar terutama mahasiswa baharu untuk kembali ke kampus serta menginap di asrama,” katanya.

Categories
AGENSI PENDIDIKAN SELANGOR

Kebajikan pelajar terjamin, Unisel sedia pelbagai bantuan

SHAH ALAM, 11 OKT: Universiti Selangor (Unisel) memberi jaminan menjaga kebajikan 1,700 penuntut yang masih berada di asrama kampus Shah Alam dan Bestari Jaya.

Naib presiden dan timbalan naib canselor (pembangunan pelajar dan jaringan komuniti) berkata pelbagai bantuan disediakan seperti bekalan makanan, zakat dan perkhidmatan ke klinik serta hospital bagi meringankan beban susulan situasi semasa pandemik Covid-19.

“Malah, baru-baru ini pelajar menerima makanan kering, cecair pembasmi kuman dan pelitup muka daripada Team Selangor menerusi Bantuan Prihatin Mahasiswa dilaksanakan Kerajaan Negeri.

“Perkhidmatan di dalam kampus seperti kafeteria dan kedai runcit turut beroperasi seperti biasa bagi memudahkan mahasiswa kerana pergerakan keluar masuk (pelajar) dari asrama buat masa ini tidak dibenarkan,” kata Prof Madya Dr Hamdan Mohd Salleh ketika dihubungi.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata seramai 10,000 pelajar Unisel bakal menduduki peperiksaan akhir secara dalam talian bermula 17 hingga 30 Oktober ini.

Katanya, proses peperiksaan tersebut akan dipastikan berjalan lancar khususnya membabitkan semua pelajar yang berada di asrama kedua-dua kampus berkenaan.

“Kami mempunyai pasukan yang akan memantau 24 jam bagi memastikan akses capaian internet yang baik dan sistem peperiksaan dalam talian tidak tergendala.

“Bagi pelajar kampus Shah Alam di asrama Wisma Majlis Agama Islam Selangor dan tiada akses internet, kita akan buka kampus untuk mereka duduki peperiksaan tersebut mengikut tatacara operasi piawai (SOP),” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

Unisel tingkat kawalan di pintu masuk kampus Shah Alam, Bestari Jaya

SHAH ALAM, 6 OKT: Universiti Selangor (Unisel) terus memperketatkan kawalan di kesemua pintu masuk di kampus Shah Alam dan Bestari Jaya susulan peningkatan kes Covid-19 mutakhir ini.

Presiden dan naib canselornya berkata arahan dikeluarkan atas dasar keprihatinan pengurusan universiti supaya warganya terus mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) demi keselamatan, kesihatan, kesejahteraan serta kebajikan bersama.

“Unisel akan sentiasa memantau situasi ini dari masa ke semasa dan akan menyalurkan maklumat terkini kepada semua staf serta pelajar.

“Mereka diingatkan sentiasa mematuhi SOP Kementerian Kesihatan Malaysia. Bersama-sama kita bersatu-padu mengekang penularan wabak ini,” kata Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman dalam kenyataan semalam.

Beliau menjelaskan kakitangan dan pelajar tidak digalakkan untuk keluar merentas negeri terutamanya ke kawasan berisiko tinggi serta menangguhkan aktiviti secara berkumpulan berkuat kuasa serta-merta.

Categories
AGENSI SELANGOR

Unisel benarkan pelajar kekal di kampus, tangguh aktiviti bersemuka

SHAH ALAM, 5 OKT: Universiti Selangor (Unisel) membenarkan pelajarnya kekal berada di kampus bagi mengikuti aktiviti akademik sehingga peperiksaan akhir pengambilan semester sesi Julai/Ogos 2020 tamat.

Presiden merangkap Naib Canselor Unisel Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman berkata kebenaran itu melibatkan khususnya pelajar yang telah berada dalam kampus dan sedang mengikuti aktiviti akademik.

“Namun, universiti membenarkan pelajar yang ingin pulang ke rumah masing-masing tetapi tidak dibenarkan kembali semula ke kampus sehingga dimaklumkan. Ia sebagai langkah universiti mengawal penularan pandemik Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi pelajar yang tinggal di luar kampus pula, Mohammad Redzuan berkata mereka termasuk yang berada di Kampus Shah Alam diminta menangguhkan pertemuan secara bersemuka dan meneruskan sesi pembelajaran secara dalam talian sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Selain itu, beliau turut meminta semua kakitangan dan pelajar menangguhkan sementara semua aktiviti secara berkumpulan dalam masa terdekat ini.

“Pengurusan Unisel akan terus memperketatkan lagi kawalan di semua pintu masuk universiti iaitu bagi Kampus Shah Alam dan Bestari Jaya mengikut prosedur operasi standard yang telah ditetapkan,” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
AGENSI SELANGOR

Sistem Pengurusan Kampus Bersepadu kendali pentadbiran Unisel

SHAH ALAM, 10 SEPT: Universiti Selangor (Unisel) mengekalkan penggunaan Sistem Pengurusan Kampus Bersepadu (TCMS) dalam mengendalikan pentadbiran dan akademiknya.

Pengarah Komunikasi Korporatnya Hasril Abu Hassan berkata sistem yang digunakan sejak dua tahun lalu seiring aspirasi Kerajaan Negeri ke arah digitalisasi.

“Menerusi sistem ini, pihak pentadbiran terutama kakitangan boleh memaklumkan beberapa perkara seperti cuti, urusan kecemasan dan fail pelajar.

“Pembayaran yuran juga boleh dibuat selain sistem e-pembelajaran yang memudahkan pelajar mengikuti pengajian secara dalam talian sepanjang tempoh pandemik Covid-19,” katanya ketika dihubungi.

Semalam, Unisel menandatangi Memorandum Perjanjian (MoA) bersama Neraca Niaga Sdn Bhd, agensi yang menguruskan sistem tersebut di Bilik Mesyuarat Senat Kampus Shah Alam.

Unisel diwakili Presiden dan Naib Canselor Profesor Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman manakala Neraca Niaga diwakili pengarahnya Dato’ Rosthman Ibrahim.

 

Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

Kafe muzium Unisel imbau sejarah lombong bijih timah

SHAH ALAM, 1 JULAI: Kafe Muzium@Food Valet di Universiti Selangor (Unisel) menjadi daya tarikan terbaharu kepada mereka yang ingin mengimbau sejarah perlombongan bijih timah di Bestari Jaya.

Pengarah komunikasi korporat Unisel berkata muzium berkonsepkan kafe itu menempatkan satu ruang pameran identiti kesenian artifak dan seni visual berkaitan aktiviti perusahaan tersebut dijalankan warga tempatan di sana.

“Menariknya, kafe itu turut menyediakan pelbagai jenis makanan dan minuman sama ada masakan barat atau tempatan. Selain pelajar dan kakitangan Unisel, ia juga boleh dikunjungi orang luar bagi melihat sendiri keunikannya,” kata Hasril Abu Hassan dalam kenyataan.

Beliau berkata ia mula dibuka pada 4 Disember tahun lalu adalah hasil cetusan idea Presiden dan Naib Canselor Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman yang mahu pemuliharaan artifak dan peralatan perlombongan itu boleh dijadikan rujukan generasi akan datang.

“Objektif penubuhan bukan sahaja untuk kekalkan nostalgia tapak perlombongan biji timah terakhir di Malaysia namun menjadi aspek penting dalam membina perpaduan komuniti membabitkan individu, kumpulan, rakan perniagaan dengan warga Unisel,” katanya.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Unisel-Selgate jalin kerjasama khidmat kesihatan

SHAH ALAM, 26 JUN: Universiti Selangor (Unisel) baru-baru ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Selgate Healthcare Sdn Bhd (Selgate) bagi kerjasama khidmat kesihatan.

Pengarah Komunikasi Korporat Unisel Hasril Abu Hassan berkata perjanjian meliputi pembukaan klinik Selcare di kampus Shah Alam dan Bestari Jaya.

“Jalinan ini termasuk membina projek Makmal Klinikal Diagnostik dan Pusat Fisioterapi Unisel-Selgate Shah Alam yang akan memfokuskan khidmat kepada kakitangan, pelajar serta orang awam.

“Selain itu, ia bagi menerokai program akademik dalam bidang sains kesihatan antara kedua-dua pihak,” katanya di Facebook.

Pemeteraian MoU oleh Presiden dan Naib Canselor Unisel Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman manakala Selgate diwakili Pengarahnya Noor Hisham Mohd Ghouth.

Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

Taman Herba tambah keindahan Unisel Bestari Jaya

SHAH ALAM, 21 JUN: Universiti Selangor (Unisel) membangunkan projek Taman Herba bagi melestarikan suasana persekitaran kampus Bestari Jaya, kata pengarah komunikasi korporatnya.

Hasril Abu Hassan berkata projek dalam Taman Bestari diilhamkan Presiden dan Naib Canselornya Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman ketika melawat Taman Herba, Tasik Kenyir, Hulu Terengganu dua tahun lalu.

“Tanah seluas 12 ekar diperuntukkan daripada keseluruhan 60 ekar dalam Taman Bestari untuk pembangunannya. Sehingga ke hari ini, hampir lima ekar digunakan untuk menanam beberapa jenis tanaman herba.

“Antara ditanam pokok asam jawa, mas cotek , bayam Brazil, limau kasturi, lada hitam dan serai wangi,” katanya.

Selain mewujudkan suasana landskap hijau, Hasril berkata tanaman herba boleh dijadikan ulaman masakan dan perubatan tradisional termasuk bahan kajian di peringkat universiti.

Katanya taman dibangunkan Pengarah Projek Penghijauan dan Pembangunan Rekreasi Dr Mohd Norazwan A Bakar turut menyediakan kemudahan rekreasi seperti trek joging, medan memanah, padang sasar golf selain dijadikan tapak perkhemahan mahasiswa.

Categories
AGENSI SELANGOR

Unisel nafi pensyarah terlibat dalam gabungan 115 ilmuan

SHAH ALAM, 20 JUN: Universiti Selangor (Unisel) menafikan pensyarah daripada institusi itu terlibat dalam gabungan 115 ilmuan yang mengeluarkan kenyataan menyeru rakyat menyokong kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pengarah komunikasi korporatnya Hasril Abu Hassan berkata dakwaan ilmuan dari universiti itu terlibat dengan sokongan terhadap perdana menteri adalah tidak benar.

“Ilmuan kami tidak pernah dilibatkan dengan sokongan tersebut. Oleh yang demikian, tidak timbul isu bahawa ilmuan daripada Unisel menyokong atau tidak menyokong,” katanya dalam kenyataan.

Hasril berkata jika ilmuan dimaksudkan adalah Profesor Madya Dr Mohd Fuad Mohd Salleh, ia tidak benar sama sekali kerana beliau sudah tamat perkhidmatan di institusi itu pada 31 Januari 2020.

“Ini membawa maksud segala sokongannya itu tidak ada kaitan dengan Unisel,” katanya.

Semalam, media melaporkan 115 ilmuan berkelulusan Ijazah Kedoktoran (PhD) daripada lebih 25 institusi pengajian tinggi awam dan swasta termasuk Unisel selain Institut Pendidikan Guru menyeru rakyat memberi sokongan penuh kepada kerajaan pimpinan Muhyiddin.

Categories
AGENSI PENDIDIKAN SELANGOR

Unisel, 10 DUN kerjasama tawar Biasiswa Bestari

SHAH ALAM, 16 JUN: Universiti Selangor (Unisel) bekerjasama dengan 10 Dewan Undangan Negeri (DUN) menawarkan Biasiswa Bestari membantu pelajar melanjutkan pengajian untuk program diploma dan ijazah sarjana muda di Kampus Bestari Jaya.

Pengarah komunikasi korporatnya berkata DUN terlibat adalah Sungai Tua, Rawang, Kota Anggerik, Taman Medan, Sungai Kandis, Permatang, Bukit Melawati, Meru, Ijok dan Kuang.

“Biasiswa berupa yuran pengajian percuma bagi semester pertama ini ditawarkan kepada semua pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia, Sijil Tinggi Pengajian Malaysia dan Sijil Tinggi Agama Malaysia di DUN tersebut,” kata Hasril Abu Hassan.

Menariknya, beliau berkata pendaftaran pelajar baharu termasuk pengajian Asas bagi kemasukan Julai dan Ogos kini dibuka dengan yuran pendaftaran hanya RM100 sahaja.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian 03-5522 3400 atau WhatsApp ke 018-571 4084 / 018-571 4087 atau layari laman sesawang di www.unisel.edu.my