Categories
NASIONAL

Mahasiswa Unisel Kecewa Jadi Mangsa Politik Murahan

SHAH ALAM 9 JUN : Tindakan bolak balik(flip- flop) Kerajaan Pusat dalam isu pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional(PTPTN) terhadap mahasiswa baru Universiti Selangor(Unisel) dianggap sebagai tidak matang oleh mahasiswa yang ditemui.

Tinjauan TVSelangor terhadap mahasiswa Unisel rata-rata kecewa dengan permainan politik murahan sebegitu.

Seorang pelajar Diploma Pengurusan Perniagaan, S Jamunah,19, berkata, sesebuah kerajaan yang bertanggungjawab tidak wajar mencampuradukkan perbezaan pendapat politik sehingga bersikap diskriminasi terhadap golongan pelajar.

“Kami mohon agar janganlah dipolitikkan isu-isu pendidikan ini sehingga menjejaskan kami kerana kami masuk ke universiti bukan untuk berpolitik tetapi untuk belajar dan mengejar cita-cita kami.

“Tindakan ini juga tidak adil kepada kami sedangkan kami juga seperti pelajar-pelajar lain yang berhak untuk mendapat pinjaman bagi membiayai pendidikan kami apatah lagi kami juga bukan daripada golongan yang berada,” ujar Jamunah sambil berharap berita penarikan pembekuan PTPTN itu bukan drama politik semata-mata.

Sementara itu, seorang lagi pelajar, Anas Basir A. Bakar,19, meluahkan rasa kurang selesa dengan senario politik hari ini yang dilihat semakin sakit.

“Sejak isu pembekuan ini timbul, saya sememangnya tidak bersetuju dan membantah keras tindakan tersebut kerana merasakan semua ini sebagai permainan politik yang kotor dan lebih kepada dendam.

“Lebih menyedihkan, kami sebagai pelajar pula yang terpaksa menjadi mangsa politik tidak sihat sebegini sedangkan kami ini golongan yang seharusnya di beri perhatian tanpa sebarang prejudis kerana kami tunggak negara di masa hadapan,” luah Anas yang kini berada di tahun kedua jurusan perakaunan.

Ditanya pemansuhan PTPTN dan dasar pendidikan percuma yang hebat dibincangkan akhir-akhir ini, Marfika Adnan Haris Fadzilah, 21, berkata, beliau bersetuju seandainya dasar berkenaan tidak membantutkan pembangunan serta kemajuan negara.

“Semestinya saya bersetuju seandainya ia benar-benar mampu dilaksanakan dan yakin dasar sebegitu pasti memberi manfaat kepada sumber tenaga kerja rakyat negara ini secara keseluruhannya,” kata pelajar jurusan kewartawanan yang berasal dari Perak ini.

Semalam, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid dalam satu kenyataan mengumumkan pencairan aset hartanah seluas 500 ekar yang diperolehi hasil penyusunan semula hutang TALAM yang dianggarkan bernilai RM30 juta bagi membantu pelajar yang teraniayai akibat tindakan pembekuan pinjaman PTPTN terhadap pelajar baru Unisel.

Bagaimanapun, seperti diumumkan Naib Canselor Unisel, Prof Dr Anuar Ahmad, pembekuan pinjaman tersebut secara rasminya ditarik balik dan pelajar-pelajar baru juga sudah boleh membuat permohonan pinjaman secara atas talian bermula semalam.

Categories
NASIONAL

Johari Abdul: Najib Bersendirian dan Hilang Arah

SHAH ALAM 08 JUN : Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa kerajaan akan terus menyediakan pendidikan yang berpatutan dan berkualiti tinggi kepada pelajar, di samping mengimbangi keperluan rakyat dengan memupuk bakat masa hadapan jelas membuktikan pemimpin itu ‘berseorangan’ dan ‘hilang arah’.

Hal ini kerana kenyataan beliau berhubung perkara itu tidak diikuti oleh Kementerian Pengajian Tinggi yang membekukan pinjaman PTPTN kepada pelajar Unisel.

MP Sungai Petani, Datuk Johari Abdul berkata kepimpinan Najib dan Tun Dr Mahathir adalah jauh berbeza kerana setiap perkara yang diarahkan oleh Mahathir akan diikuti oleh Menteri yang lain.

Katanya, daripada itu rakyat melihat pemerintahan yang jelas dan jitu berbanding dengan Najib.

“Najib bercakap seorang diri, beliau pemimpin yang ‘berseorangan’. Tiada Menteri yang mengikut arahan beliau. Perkara ini sudah tertera dengan tindakan Khaled itu, apa yang diterjemahkan, Menteri lain tidak ikut,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata sebelum mengeluarkan kenyataan, Najib perlu sedar bahawa hampir 10 peratus pelajar Sekolah Menengah tidak boleh membaca dan menulis.

“Itu sebab beliau harus membuat kajian sebelum bercakap.

“Sedarkah beliau bahawa pelajar kita tidak bermotivasi dan berinovasi? Banyak pelajar yang keluar Universiti tidak tahu menggunakan ilmu yang sudah dipelajari,” katanya.

Johari menambah lazimnya Ketua Penerangan Umno akan menjadi peneraju kepada Perdana Menteri dan parti mereka.

“Tetapi saya tidak melihat dan agak pelik kenapa tiada siapa yang menasihati Perdana Menteri, lazimnya ketua pnerangan umno akan mnjadi peneraju yang melihat bagaimana sokongan rakyat sentiasa padu pada pemerintah tapi zaman Najib ini saya tidak nampak peranaan ini dimainkan oleh ketua penerangan beliau.

“Sebab itu jika dilihat, lagi banyak kerajaan buat silap, maka lagi jauh mereka dengan rakyat,” katanya.

Kenyataan Johari tersebut ekoran kenyataan Najib semalam yang dianggap sebagai kenyataan retorik sedangkan Kementerian Pengajian Tinggi semalam turut memutuskan pinjaman PTPTN kepada pelajar UNISEL di bekukan.

Sementara hari ini pula kementerian tersebut menarik balik pembekuan kerana keputusan itu dianggap sebagai tindakan yang membelakangkan pandangan perdana menteri itu.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Menteri Perlu Beri Jaminan Jangan ‘Mangsakan’ Pelajar Lagi

SHAH ALAM 8 JUN : Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin disaran memberi jaminan bahawa Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tidak akan membekukan pembiayaan kepada mana-mana institusi atau pelajar yang layak menerimanya.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata, parti itu akan terus mendesak menteri terbabit mengeluarkan jaminan agar tindakan kebudakan-budakan oleh PTPTN di Unisel tidak akan berulang lagi.

“Pun begitu, suka saya mengingatkan Datuk Seri Khaled Nordin supaya jangan sekali-kali cuba memperjudikan masa depan dan kebajikan pelajar demi kepentingan politik Umno,” kata Rafizi dalam kenyataan medianya.

Jelas Rafizi lagi, kenyataan tidak rasmi bahawa PTPTN membatalkan arahan pembekuan pinjaman kepada pelajar Unisel disambut dengan perasaan lega.

“Kemarahan rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat dari Pakatan Rakyat, kumpulan mahasiswa, orang kebanyakan hinggalah pimpinan BN sendiri akhirnya memaksa Datuk Seri Khaled Nordin dan PTPTN menghentikan tindakan memangsakan pelajar Unisel itu,” ujarnya.

Akibat tindakan kebudak-budakan PTPTN itu, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tampil untuk dengan penyelesaian untuk mencairkan aset hartanah seluas 500 ekar yang diperolehi hasil penyusunan semula hutang TALAM.

Menurutnya, Kerajaan Negeri akan membantu UNISEL mengapungkan hartanah tersebut dipasaran untuk mendapatkan wang tunai. Dianggarkan sejumlah RM30 juta boleh diperolehi hasil dari usaha ini.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Unisel Akan Cairkan Aset Untuk Bantu Pelajar

Tindakan Kementerian Pengajaian Tinggi membekukan pinjaman PTPTN kepada pelajar UNISEL memaksa kerajaan negeri bertindak mencairkan aset badan pendidikan tersebut bagi membantu pelajarnya yang di aniaya kerajaan pusat.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata Kerajaan Selangor memandang berat kesusahan yang dihadapi pelajar-pelajar baharu Universiti Selangor (UNISEL) yang teraniayai ekoran tindakan Kerajaan Persekutuan dan Menteri PengajianTinggi yang membekukan PTPTN kepada pelajar di universiti tersebut.

“Sebagai tindakan jangka pendek, pihak UNISEL akan menggunakan asetnya untuk membantu pelajar-pelajar yang dalam kesukaran meneruskan pengajian. Aset ini merupakan hartanah seluas 500 ekar yang diperolehi hasil penyusunan semula hutang-hutang TALAM.

“Kerajaan Selangor telah selesai menyusun semula hutang-hutang ini di mana tanah seluas 500 ekar telah menjadi aset UNISEL.” kata Abdul Khalid dalam satu kenyataan media yang di keluarkan sebentar tadi.

Menurutnya,Kerajaan negeri akan membantu UNISEL mengapungkan hartanah tersebut dipasaran untuk mendapatkan wang tunai. Dianggarkan sejumlah RM30 juta boleh diperolehi hasil dari usaha ini.

“Sebahagian wang ini akan digunakan untuk membantu pelajar-pelajar yang teraniayai akibat dari tindakan kerajaan BN membekukan PTPTN.

“Bantuan kewangan ini hanyalah berbentuk sementara sehingga penyelesaian konkrit dicapai. UNISEL akan memperincikan bantuan yang akan diberikan kepada pelajar -pelajar teraniayai ini dalam tempoh terdekat.” tegas Abdul Khalid.

Katanya, Kerajaan Selangor sangat kecewa dengan tindakan Kerajaan Persekutuan khususnya Menteri PengajianTinggi yang mengaku bertanggungjawab mengarahkan pembekuan PTPTN kepada UNISEL.

“Tindakan tidak bertanggungjawab dan membelakangi semangat Federalisme ini bukan sahaja menganiayai pelajar-pelajar baharu malah telah mengecewakan ibubapa yang menaruh harapan tinggi terhadap anak-anak mereka.

“Barisan Nasional telah menjadikan pelajar UNISEL dan ibubapa mereka yang sebahagian besarnya Melayu sebagai mangsa hanya kerana perbezaan dasar politik antara Kerajaan Selangor dan Pusat.

“Hal ini jelas menunjukkan BN sanggup melakukan apa sahaja untuk melaksanakan politik sempit mereka hatta menganiaya dan menggadai masa depan anak-anak muda di negara ini.” kata beliau yang juga Adun Ijok.

 

Categories
NASIONAL

SMM: Khaled Nordin Perlu Letak Jawatan

PETALING JAYA, 7 JUN : Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin perlu meletak jawatan serta merta kerana didakwa borkomplot dengan pentadbiran PTPTN untuk menyekat pinjaman kepada mahasiswa UNISEL.

Setiausaha Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Haziq Abdul Aziz, berkata tindakan Khaled bersifat kebudak-budakkan serta tidak professional dalam menjalankan tugas sebagai seorang menteri.

“Hanya kerana mahu membalas dendam kepada Pakatan Rakyat dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Khaled bertindak menindas dan mendiskriminasikan lebih 1000 mahasiswa yang baru mendaftar di UNISEL,” katanya dalam satu sidang media hari ini.

Beliau turut membidas sikap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak yang mendiamkan diri dalam isu ini serta membiarkan tindakan Khaled yang secara terang-terang menindas mahasiswa.

Sementara itu, pembekuan pinjaman PTPTN ini bertentangan dengan perjanjian pinjaman itu kerana pelajar telah menandatanganinya dan borang dokumen telah dihantar.

“PTPTN sewenang-wenangnya menyekat pinjaman dan ini merumitkan sejumlah pelajar baru yang ingin membayar yuran pengajian,” katanya lagi.

Tambahnya, satu protes besar-besaran mahasiswa akan dilakukan jika PTPTN tidak menyelesaikan masalah ini.

Categories
NASIONAL SELANGOR

MB: Pusat Tiada Hak Diskriminasi Unisel

SHAH ALAM 6 JUN : Kerajaan Pusat tidak mempunyai hak untuk bersikap diskriminasi dan menafikan hak pelajar baru Universiti Selangor (Unisel) untuk mendapatkan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, tindakan tidak bertanggungjawab tersebut jelas bertentangan dengan prinsip perbadanan itu untuk membantu golongan yang berkelayakan mendapat pinjaman.

“Walaupun Unisel merupakan sebuah universiti negeri tetapi ia juga menyediakan peluang pendidikan tinggi kepada pelajar dari luar Selangor seperti Terengganu, Sabah, Johor dan sebagainya.

“Jadi tindakan ini sama sekali tidak adil dan seterusnya membantutkan peluang pelajar-pelajar untuk melanjutkan pelajaran,” jelas Abdul Khalid dalam satu sidang media selepas Mesyuarat Exco sebentar tadi.

Mengulas cabaran Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin untuk Kerajaan Negeri menghapuskan yuran pengajian Unisel, beliau menjelaskan perkara itu di luar bidang kuasa Kerajaan Negeri.

“Melainkan kalau Khaled Nordin putus asa dengan kementeriannya dan memberi kita peluang pegang, nescaya dalam masa 100 hari sekurang-kurangnya, dengan gembira kita akan menghapuskan segala yuran untuk pendidikan sehingga ke peringkat tertinggi.

“Itu jugalah yang diperjuangkan Pakatan Rakyat iaitu komitmen memberi pendidikan percuma apabila berjaya memegang Putrajaya, bukanlah sekarang kerana kapasiti bidang kuasa antara negeri dan pusat berbeza,” tegas Abdul Khalid.

Ditanya tindakan susulan berhubung pembekuan pinjaman tersebut, beliau berkata, Kerajaan Negeri memandang serius perkara berkenaan dan akan menggesa Kerajaan Pusat untuk menarik balik pembekuan tersebut.

“Ibubapa juga boleh berkerjasama dengan kita untuk mendapatkan pinjaman daripada PTPTN demi pendidikan anak-anak mereka kerana itu hak mereka,” jelasnya lagi.

Categories
NASIONAL

Dr Halimah: PTPTN Digesa Bersikap Professional

SHAH ALAM 5 JUN : Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) digesa bersikap professional dan tidak menjadikan para pelajar Universiti Selangor (Unisel) sebagai mangsa politik pihak tertentu, tegas Dr Halimah Ali.

Dr Halimah yang merupakan Exco Pendidikan,Pendidikan Tinggi Dan Pembangunan Insan,yang dihubungi mengulas isu pembekuan pinjaman PTPTN berharap perkara itu dapat diselesaikan segara demi memastikan masa depan pelajar agar tidak terjejas.

“Sepatutnya isu pendidikan tidak wajar dijadikan dijadikan isu politik, malahan tujuan PTPTN itu diwujudkan adalah untuk membantu golongan yang memerlukan pembiayaan,” kata Dr Halimah.

Tambah beliau, tiada sebab untuk pihak PTPTN mendiskriminasikan mana-mana pelajar institut pengajian tinggi bagi mendapatkan pembiayaan itu jika berkelayakan.

Tindakan tersebut menurut Dr Halimah mungkin menjejaskan pengajian lebih seribu pelajar yang baru mendaftar di Unisel.

“Namapun Satu Malaysia, tetapi mengapa wujud sikap pilih kasih terhadap pelajar Unisel,” ujarnya.

Dr Halimah juga berkata, ibu-bapa pelajar berkenaan berhak mengambil tindakan undang-undang jika hal demikian berlanjutan tanpa penyelesaian.

“Perkara ini boleh diselesaikan dengan cepat jika pihak PTPTN bersikap professional dalam hal ini,” katanya.

Sebelum ini, portal Malaysiakini melaporkan bahawa di satu laman forum PTPTN bahawa pinjaman kepada pelajar baru Unisel “ditangguhkan buat sementara waktu.”

Ruangan forum berhubung syarat permohonan pinjaman kendalian Kementerian Pengajian Tinggi itu turut menyatakan bahawa PTPTN tidak lagi memberi pinjaman kepada pelajar Unisel.

Perkara itu dinyatakan salah seorang moderator laman forum berkenaan yang menggunakan nama “ptptn1” ketika menjawab satu soalan berhubung pinjaman PTPTN untuk pelajar Unisel pada 8 Mei lalu.

Categories
SELANGOR

Rodziah : Selangor Giat Bantu Wanita Tingkat kemahiran

KUALA SELANGOR, 31 MEI : Wanita di Selangor akan terus dibantu meningkatkan kemahiran sedia ada bagi membaiki taraf hidup masing-masing.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi & Inovasi, dan Kebudayaan Rodziah Ismail berkata, Geran Selangorku yang berjumlah RM30 juta dikhususkan untuk melihat wanita negeri Selangor ini berada dalam tahap yang baik.

“Jadi sebab itu dalam projek di bawah Geran Selangorku yang sebanyak RM30 juta itu, salah satunya ialah untuk menyediakan pusat wanita berdaya,” kata Rodziah dalam lawatan kerja beliau ke INPENS International College.

Lawatan itu bertujuan memperkukuhkan kerjasama antara Kerajaan Negeri berkenaan peluang-peluang yang boleh diterokai bersama untuk kemajuan pendidikan dan latihan kepada golongan wanita.

“Kolej INPENS adalah salah satu pusat pembelajaran yang tersusun dalam kurikulum dan pembangunan dalam latihan seperti jahitan, salun dan sebagainya.

“Saya juga berhasrat anak-anak yang keluar daripada Kolej INPENS ini nanti dapat memberikan khidmat bakti kepada masyarakat kelak,” katanya.

Dalam lawatan itu, Rodziah turut disertai kumpulan wanita daripada DUN Ijok, DUN Jeram dan DUN Melawati bagi meninjau peluang kerjasama yang boleh digerakkan untuk membangunkan wanita setempat dengan INPENS.

Kolej Antarabangsa INPENS adalah sebuah pusat pengajian tinggi yang pertama ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri bertujuan menghasilkan insan berpengetahuan dan berkemahiran tinggi serta mampu bersaing meningkatkan sumber tenaga mahir yang berkualiti dan produktif.

INPENS bekerjasama dengan Universiti Selangor (UNISEL) dalam memenuhi objektif membangunkan industri pendidikan dan latihan bagi mempertingkatkan pencapaian cemerlang pelajar.

Kolej ini menyediakan kemudahan penginapan yang mampu menempatkan 500 pelajar dengan pelbagai kemudahan.

Categories
SELANGOR

Anuar Masih Pemangku Naib Canselor Unisel

SHAH ALAM 13 APR : Isu perlantikan Naib Canselor Unisel bukan di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri, sebaliknya berkata, ia adalah di bawah kuasa Lembaga Pengarah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Oleh itu, jawatan tersebut masih belum diisi tetapi dipangku oleh Prof Dr Anuar Ahmad.

Namun begitu, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata Kerajaan Negeri dibenarkan untuk menyenarai pendek calon-calon yang sesuai untuk memegang jawatan berkenaan.

“KPT berpendapat calon itu mestilah seorang yang berkelayakan dan berkebolehan untuk menjaga nama baik universiti terutama dari segi akademi.

“Oleh sebab itu, mereka mengenalpasti Prof. Dr. Anuar (Ahmad) sebagai pentadbir dan untuk jawatan Naib Canselor, Prof. Dr. Anuar dan beberapa orang telah dikenalpasti dan diambil kira prestasinya namun kita belum membuat sebarang keputusan,” jelas Abdul Khalid ketika mengulas mengenai isu kekosongan jawatan Naib Canselor Unisel yang kini dipangku Prof. Dr Anuar.

Abdul Khalid menambah, kewujudan sebuah iklan yang menggugurkan perkataan ‘pemangku’ kepada jawatan yang disandang Anuar tidak seharusnya dijadikan isu.

“Buat masa ini, beliau masih lagi Pemangku Naib Canselor. Tidak mengapalah tentang perkara itu, kita tidak perlu susah-susah. Asalkan beliau buat kerja sudahlah,” ulas Abdul Khalid ringkas.

Anuar dilantik pemangku Naib Canselor berkuat kuasa serta merta Ogos tahun lepas setelah perletakan jawatan tersebut oleh Datuk Dr. Rosti Saruwono.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Rodziah Nafi Berjanji Beri Bantuan Bina Kompleks Anak Yatim Bukit Beruntung

SHAH ALAM 29 MAC : Kerajaan negeri menafikan memberi bantuan sebanyak RM300,000 untuk pembinaan kompleks anak yatim, Rumah Amal Anak Kesayanganku di Bukit Beruntung dan pembinaan jalan masuk ke kompleks itu.

Rodziah Ismail dalam satu kenyataan media, menjelaskan pihaknya pernah menerima permohonan itu tetapi mendapati permohonan mencurigakan.

Tegasnya, kerajaan negeri juga tidak pernah membuat apa-apa perjanjian secara bertulis apatah lagi perbincangan dengan pihaknya.

Malah, tanah yang berkeluasan 11.3 ekar yang terletak di Kampung Tuah, Mukim Hulu Yam itu telah diluluskan untuk diberi kepada Universiti Selangor (UNISEL) dalam mesyuarat Exco pada November 2010.

Sebelum ini, Setiausaha Kerja Rumah Amal Anak Kesayanganku, Mohd Suhaimi Jalaludin  mendakwa Kerajaan Negeri Selangor pernah berjanji akan menyumbangkan bantuan sejumlah RM300,000.

Beliau juga mendakwa tanah yang diwakafkan untuk pembinaan kompleks anak yatim itu akan siap tahun ini tetapi terbengkalai selepas sebahagian peruntukan itu didahulukan untuk kemudahan asas jalan raya ke kompleks berkenaan.

Katanya, kompleks yang kini siap 80 peratus itu mempunyai empat blok dengan satu daripadanya  digunakan tanpa mempunyai kemudahan air untuk menempatkan 30 anak yatim berusia antara 11 hingga 12 tahun.

Rodziah juga meminta penjelasan jika benar Rumah Amal Anak Kesayanganku mempunyai anak yatim seramai 160-170 orang, di manakah mereka ditempatkan? Apakah perincian perbelanjaaan mereka? Semua perincian ini telah dipohon tetapi sehingga sekarang masih belum berbalas.

“Bagaimana untuk kerajaan negeri berurusan sedangkan alamat yang diberi (Kampung Tuah KM 18) tidak berdaftar dengan POS Malaysia serta alamat emel yang diberi juga telah tidak boleh digunakan.

Katanya, rumah amal itu sehingga kini tidak dapat membuktikan bahawa status tanah yang diduduki adalah tanah wakaf walaupun sudah berkali-kali diminta.

Jelasnya, Pejabat Tanah Hulu Selangor juga  memaklumkan terdapat dua buah pondok asrama bagi menempatkan anak-anak yatim, sudah tidak digunakan lagi.

Tambahnya lagi, jalan masuk yang dibuat oleh Rumah Amal Anak Kesayanganku tidak pernah dipersetujui oleh kerajaan negeri.

Menurut Rodziah yang juga Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains Teknologi dan Inovasi, berkemungkinan pembinaan rumah amal didalangi oleh Suhaimi yang mengatakan bahawa ada ‘sponsor’ yang akan memberi bantuan.

“Dengan itu beliau mengeluarkan tender sendiri dan memanggil kontraktor untuk membuatnya. Kita dapati dia menggunakan nama kerajaan negeri secara tidak sah yang kononnya di bawah satu Jabatan Kebajikan dan Sukan.

“Apabila pihak yang menjanjikan sumbangan sebanyak RM300 ribu itu tidak dapat menunaikannya, beliau berpusing kepada kerajaan negeri dan mengatakan kerajaan negeri sepatutnya membayar harga kontrak jalan ini disebabkan kerajaan negeri mempunyai projek pertanian di kawasan berhampiran,” katanya.

Categories
SELANGOR

Asrama YS Mampu Tempatkan 1,500 Pelajar

SHAH ALAM 23 MAC : Kerajaan Negeri Selangor menafikan dakwaan merobohkan asrama Yayasan Selangor (YS) di atas Asrama Tun Dr Ismail (ATDI) dan Asrama Toh Puan Norashikin (ATPN) adalah bagi menambah aset kerajaan negeri yang semakin berkurangan dengan mengkomersial aset-aset sedia ada.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika menjawab pertanyaan Adun Paya Jaras (BN), Datuk Muhammad Bushro Mat Johor berkata Kerajaan Negeri juga sedang dalam usaha menempatkan pelajar ke sekolah berasrama penuh di tanah YS di Bestari Jaya.

“Sekolah berasrama penuh itu terletak di sebelah Universiti Selangor (UNISEL) yang berpaya menempatkan lebih 1,500 pelajar. Ibu bapa boleh melihat perkembangan yang kita lakukan.

“Soal tidak prihatin dengan nasib pelajar tidak timbul.Perlu kita lihat bagaimana perancangan masa depan, setiap tahun kita menjemput mereka yang menjadi ahli ke Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) bagi melihat perkembangan yang dilakukan oleh Yayasan Selangor (YS). Akaun YS juga dibentangkan dan diaudit serta perancangan masa depan untuk YS,” katanya.

Beliau berkata dalam kajian beberapa tahun lalu, Kerajaan Negeri melihat kesusahan pelajar berulang-alik dari asrama ke sekolah-sekolah bestari sekitar Kuala Lumpur yang mengambil masa beberapa jam.

“Kita bukan tidak efisyen,salah satu usaha yang kita lakukan, berjumpa dengan sekolah-sekolah dan menyewakan penempatan bukan turun naik bas setiap hari dalam keadaan yang tidak memuaskan,” katanya.

Tambahnya, keputusan menempatkan pelajar ke kawasan luar bandar itu juga dilihat berdasarkan keputusan penilaian pelajar YS lebih baik contohnya di Sabak Bernam dan Kuala Kubu Bharu.

“Dengan wujudnya cadangan ini, penambahan pelajar akan dapat dilaksanakan berbanding dengan tindakan Kementerian Pelajaran Malaysia yang menghadkan hanya lima pelajar kerana memberi peluang kepada pelajar bandar sahaja.

“Maka dengan itu, kita mempersoalkan apabila hanya 1,500 pelajar dibantu sedangkan kita patut tingkatkan dua kali ganda jumlah pelajar kerana peluang perlu diberikan kepada ramai pelajar yang memerlukan sokongan dan bantuan,” katanya.

Khalid berkata bagi merealisasikan impian untuk meningkatkan jumlah pelajar yang perlu diberi sokongan dan kajian juga telah dilakukan menunjukkan Kerajaan Negeri perlu membina asrama sendiri.

Jelasnya, pembangunan yang akan dijalankan di atas tanah itu dirancang berasaskan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) yang dilakukan dalam jangka masa panjang iaitu dengan mengambil kira keuntungan berlipat ganda.

Sebelum ini, Tanah seluas 7.5 ekar yang menempatkan Asrama Tun Dr. Ismail dan Asrama Toh Puan Norashikin akan dibangunkan untuk cadangan pembangunan bercampur (komersial, kediaman dan hotel) di lot 544 dan 545.

Pembangunan itu bertujuan untuk menjana sumber kewangan bagi pembangunan untuk projek jangka masa yang lebih terancang.

Categories
SELANGOR

RM2.65J Untuk Tingkat Pasarana UNISEL

SHAH ALAM, 11 MAC : Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan sebanyak RM2.65 juta bagi meningkatkan prasarana teknologi dan komunikasi (ICT) Universiti Selangor (UNISEL).

Peruntukkan tersebut diberi baru-baru ini selaras dengan dasar Kerajaan Negeri untuk membina kelompok masyarakat yang mahir dalam penguasaan bidang ICT yang semakin pesat dan canggih.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim berucap dalam Istiadat Konvokesyen UNISEL kali keenam bagi sidang tujuh juga menyeru pelajar dan para graduan supaya membudayakan kecemerlangan dan kemahiran serta mengelakkan budaya “cakap tak serupa bikin” atau membuat kenyataan tanpa bukti dan kajian terlebih dahulu.

” Mungkin ada pernah mendengar orang yang berjawatan menteri yang bercakap tentang pengurusan dan kewangan tetapi sebenarnya dia tidak mempunyai latar belakang atau pengalaman mengurus kewangan dan syarikat korporat sehinggakan kenyataannya boleh dipertikaikan malah menjadi bahan lucu bagi orang yang arif dalam bidang berkenaan,” katanya.

Khalid yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Pendidikan Industri Yayasan Selangor Sdn Bhd/UNISEL berkata pelajar juga harus meningkatkan pembangunan insan dengan kerjasama daripada keluarga dan masyarakat sekitar.

” Hal ini demi melahirkan rakyat yang berilmu, berakhlak dan beriman serta menjadikan kerajaan negeri Selangor merupakan negeri ilmu atau hab ilmuan.

” Dasar dan aspirasi Kerajaan Negeri secara keseluruhannya juga bermatlamat untuk membentuk golongan berpendidikan tinggi dan profesional,” katanya.

Dalam konvokesyen itu, seramai 259 graduan menerima ijazah dan diploma termasuk 86 orang akan menerima diploma bagi program Japanese Associate Degree Programme (JDA), hasil kerjasama UNISEL dan Yayasan Pelajaran Mara (YPM) sebagai penaja.

Hadir sama dalam konvokesyen terbabit ialah Canselor UNISEL, Raja Tan Datuk Seri Arshad Raja Tun Uda, Pro Canselor UNISEL, Tan Sri Ismail Adam dan Datuk Seria Dr Anuar Masduki serta Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, Dr Halimah Ali.