Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

Pelajar cemerlang STAM gembira terima biasiswa MB ke Mesir

OLEH NADIAH ZAMLUS

SEPANG, 19 APR: Pelajar cemerlang Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), Muhammad Alif Haikal Zulkefli, 19, gembira apabila diberi peluang melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar, Mesir, melalui Biasiswa Dato’ Menteri Besar, tahun ini.

Bekas pelajar Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Jemaah, Shah Alam itu berkata, peluang terbabit dirasakan seperti bulan jatuh ke riba apabila hanya beliau bersama dua lagi pelajar lain yang berjaya mendapat biasiswa berkenaan.

“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana akhirnya impian saya untuk mempelajari Bahasa Arab ke universiti luar negara akhirnya tercapai.

“Impian saya adalah untuk ‘membedah’ kitab Bahasa Arab yang mungkin menjadi sumber ilmu kepada manusia sejagat, terima kasih Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari,” katanya kepada SelangorKini.

Anak sulung dari tiga beradik ini turut gembira apabila pembelajarannya di Timur Tengah selama empat tahun akan ditanggung sepenuhnya.

Katanya, beliau memilih untuk menyambung pelajaran dalam bidang Bahasa Arab di Mesir bagi menimba lebih banyak ilmu pengetahuan.

“Memang saya boleh belajar Bahasa Arab di Malaysia sahaja, tetapi apa yang lebih penting ialah saya mahukan pengalaman bertemu dengan masyarakat luar.

“Saya akan cuba terbaik dalam pelajaran dan akan cuba berkhidmat kembali kepada rakyat Selangor,” katanya.

Muhammad Alif bersama 133 pelajar dari Selangor berlepas ke Mesir hari ini bagi menyambung pelajaran di Universiti Al-Azhar.

Majlis pelepasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) itu turut diiringi Timbalan Pengarah Operasi Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Salwana Ahmad Dahlan; Pegawai Penyelaras Lembaga Zakat Selangor, Abdul Basith Hamid dan Ketua Sektor Akademik Bahagian Pendidikan JAIS, Muhamad Asmadi Mustakim.

FOTO: HAFIZ OTHMAN (SELANGORKINI)

Categories
GLOBAL

Universiti Al Azhar tarik keputusan pecat pelajar perempuan

KAHERAH, 15 JAN: Universiti Al Azhar di sini, menarik balik keputusan bagi memecat seorang pelajar perempuan yang dilihat memeluk teman lelakinya dalam sebuah rakaman video.

Keputusan itu diambil berikutan campur tangan seorang ulama terkenal, Ahmed Al Tayeb yang menggesa lembaga disiplin universiti agar menimbangkan semula hukuman berkaitan.

Laporan AFP memaklumkan, dalam kenyataan dikeluarkan universiti itu berkata, dalam mesyuarat diadakan semalam, memutuskan membatalkan keputusan dibuat Sabtu lalu namum mengambil tindakan untuk melarang pelajar itu menduduki separuh daripada peperiksaannya.

Ahmed yang juga Imam Besar Al Azhar, ketika membuat gesaan itu menyatakan, ia demi kepentingan masa depan pelajar terbabit walaupun mengakui perlakuan di luar kampus itu bercanggah dengan agama serta budaya masyarakat.

Penarikan keputusan juga berikutan pengakuan pelajar itu yang melahirkan rasa kesal terhadap kejadian itu dan berjanji mematuhi peraturan dan etika ditetapkan universiti.

Dalam satu rakaman video yang tular awal Januari ini, seorang lelaki dengan membawa sejambak bunga, kelihatan melutut di hadapan seorang wanita dipercayai bertujuan melamarnya sebelum memeluk kekasihnya itu.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Pelajar Selangor di Mesir lega tiba di tanah air

halimah 2

SEPANG, 28 OGOS : Sekumpulan 31 penuntut Selangor di Mesir yang dibawa pulang secara berperingkat melalui penerbangan komersil dalam Ops Piramid 2 selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira pukul 11.30 malam tadi.

Mereka yang tiba di tanah air dengan menaiki pesawat Etihad 0416 itu disambut Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali.

Kumpulan berkenaan adalah sebahagian daripada lebih 800 pelajar Selangor di Mesir yang sedang dibawa pulang secara berperingkat melalui penerbangan komersial dalam Ops Piramid 2 mulai 22 Ogos lalu.

Bagi pelajar jurusan Perubatan di Universiti Al azhar, Mesir, Nur Atikah Zulkifli, ketibaannya ke tanah air dapat mengurangkan kebimbangan ahli keluarga mengenai keselamatannya di negara yang sedang bergolak itu.

Menceritakan pengalaman berada di sana, Atikah yang berada di bawah tajaan Lembaga Zakat Selangor (LZS) berkata, keadaan asrama anak Selangor di sana rata-ratanya masih berada dalam keadaan selamat.

“Sebenarnya semasa hari kejadian, saya tidak berada di situ tetapi ada dikalangan rakan-rakan yang dapat melihat gas pemedih mata dilepaskan kerana rumah kami memang berhampiran dengan tempat kejadian.

“Pihak keselamatan di sana sentiasa memantau keadaan pelajar. Kalau ikutkan, pelajar tidak mengalami sebarang masalah di sana, tetapi demi keselamatan lebih baik kami dihantar pulang ke tanah air,” katanya.

Seorang lagi pelajar, Ahmad Muizuddin Muhammad Kamaruzzaman berkata, tidak semua tempat di Mesir yang terlibat dengan pergolakan itu, namun tempiasnya masih dapat dirasakan.

Beliau berkata, langkah membawa pulang pelajar ke Malaysia adalah tindakan bijak kerana kebanyakan ibu bapa bimbangkan keselamatan anak-anak mereka di sana.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada pihak tertentu yang telah membawa kami pulang kerana kalau lihat keadaan sekarang, memang elok kami balik ke Malaysia,” katanya.halimah 2

Sementara itu, Dr Halimah ketika ditemui mengharapkan supaya semua pelajar Malaysia di Mesir dapat pulang ke tanah air sehingga keadaan kembali tenang di sana.

Beliau turut menghargai usaha Kerajaan yang memperuntukkan dana untuk memastikan kesemua pelajar selamat pulang ke negara ini.

“Kita khuatir kerana keadaan dijangka teruk dan ada dikalangan pelajar yang tidak dapat keluarkan duit.

“Bila tidak dapat keluarkan duit, maknanya sara hidup, makan minum agak sukar. Jadi adalah lebih baik jika mereka pulang ke kampung halaman sehingga keadaan tenteram.

“Kita akan tengok sama ada mereka boleh melanjutkan pelajaran ke Mesir atau bagaimana,” ujarnya.

Selasa lalu, kerajaan memutuskan untuk membawa pulang 3,300 pelajar Malaysia di Mesir menggunakan pesawat komersial berikutan pergolakan di negara itu yang dilaporkan semakin tidak menentu.

Proses membawa pulang pelajar dijangka akan berlangsung sehingga Jumaat ini.