Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Dana Wakaf Ilmu UPM terima sumbangan RM1.25 juta

OLEH NAZLI IBRAHIM

SERDANG, 18 MEI: Dana Wakaf Ilmu Universiti Putra Malaysia (UPM) menerima sumbangan RM1.25 juta melalui pelbagai agihan bagi dimanfaatkan institusi pengajian tinggi terbabit.

Dana itu disampaikan kepada Canselor UPM, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, pada Majlis Berbuka Puasa dan Solat Tarawih Bersama DYMM Tuanku Canselor UPM di Dataran Masjid UPM di sini, semalam.

Turut berangkat sama adalah Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Baginda diiringi Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari; Naib Canselor UPM, Profesor Datin Paduka Dato’ Dr Aini Ideris dan pegawai kerajaan lain.

Dana terbabit adalah sumbangan wakaf kakitangan UPM, hasil murabahah, tabung Masjid UPM dan wakaf.

Pada majlis sama, turut diadakan simbolik Pelancaran Wakaf Kebajikan Haiwan Hospital Veterinar berjumlah RM10,000, penyampaian sumbangan Projek Wakaf Surau Pusat Sukan UPM bernilai RM70,000 dan simbolik penyerahan perisian dan mesin pencetak braille bernilai RM40,000.

Selain itu, baginda turut menyerahkan sumbangan hari raya kepada 80 pelajar asnaf daripada Tabung Amanah Zakat UPM bernilai RM24,000.

Tabung Amanah Zakat UPM turut menyumbang RM1,000 setiap seorang kepada lima kakitangan UPM yang terbabit dalam bencana banjir.

Manakala Bantuan Khas Rahmatan Lil Alamin berjumlah RM9,500 daripada Wakaf Ilmu UPM pula disampaikan kepada 20 pelajar dan lima kakitangan UPM.

Categories
SELANGOR

UPM bawa mangga harumanis asli buat penduduk Selangor

OLEH NADIAH ZAMLUS

SERDANG, 14 MEI: Penduduk Selangor tidak lagi perlu ke utara tanah air semata-mata untuk merasai keenakan buah mangga harumanis apabila Universiti Putra Malaysia (UPM) membawanya ke sini, bermula bulan depan.

Pengerusi Lembaga Pengarah UPM, Dato’ Seri Diraja Syed Razlan Syed Putra Jamalullail berkata, buah itu bersama benih aslinya akan dibawa dari Perlis bagi memastikan keasliannya terpelihara.

“Tujuan utama kami menjual harumanis di Selangor kerana kerap berlakunya kes penipuan. Tidak dinafikan, ada lori yang membawa berkotak-kotak mangga dan mengatakan ia adalah harumanis yang asli, bahkan meletakkan harga yang begitu murah.

“Sebenarnya harumanis tidak mempunyai serat yang banyak seperti buah mangga lain, ia cair di dalam mulut dan disebabkan itu kami cuba membawa harumanis asli ke negeri ini supaya penduduk dapat menikmati buah sebenar.

“Pada masa sama, kita mahu usahawan yang menjalankan perniagaan harumanis di Perlis mendapat pasaran luar,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa UPM bersama media di Restoran L’Apprenti, di sini semalam.

Hadir sama, Naib Canselor UPM, Prof Datin Paduka Dato’ Dr Aini Ideris dan hampir 30 pengamal media termasuk SelangorKini, MalaysiaGazette, Utusan, Astro Awani dan Berita Harian.

Mengulas lanjut, Syed Razlan berkata, terdapat dua jenis benih yang akan dijual kepada orang ramai, iaitu benih harumanis dalam polibeg dan benih yang ditanam dalam pasu.

Namun, kali ini ia lebih menarik apabila benih pokok setinggi dua kaki itu didatangkan dengan pakej buah harumanis.

“Matlamat kami juga seiring dasar universiti yang terkenal dengan pertanian, tambahan lagi UPM adalah lokasi paling strategik untuk didatangi penduduk dari seluruh Selangor.

“Jadi jangan lepaskan peluang untuk membeli buah ikonik Perlis ini tidak lama lagi,” katanya.

Categories
PENDIDIKAN PENGUMUMAN SELANGOR

Sultan Selangor puji keupayaan UPM urus harta intelek

SERDANG, 27 OKT: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah memuji langkah yang diambil Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam menguruskan harta intelek hasil penyelidikan yang dibuat.

Baginda bertitah keupayaan UPM mengungguli hadiah utama Pengurusan Harta Intelek bagi kategori organisasi di peringkat kebangsaan tahun ini membuktikan universiti menghargai inovasi yang dihasilkan warga institusi itu.

Titah baginda pengiktirafan daripada Badan Harta Intelek Dunia (WIPO) dan Perbadanan Harta Intelek Malaysia diberi atas usaha UPM menguruskan harta intelek yang dijana melalui penyelidikan universiti.

“Beta yakin kejayaan ini dapat meningkatkan kepercayaan industri dan masyarakat terhadap usaha universiti dan potensi kerjasama bagi menghasilkan penyelidikan,” titah baginda pada majlis Konvokesyen UPM Ke-42 di sini hari ini.

Baginda yang juga Canselor UPM bertitah agar UPM menjadi peneraju dalam memanfaatkan kecerdasan buatan (artificial intelligence) dan inovasi terutama dalam bidang pertanian dengan mengeluarkan sumber manusia yang berdaya maju, menghasilkan strategi yang oleh dilaksanakan secara efektif bagi memacu kemajuan sektor pertanian negara.

Titah baginda sumber manusia atau bakat merupakan pengisian penting bagi merealisasikan hasrat tersebut.

Baginda juga menggalakkan sektor industri untuk bersama-sama universiti dan melabur dalam pendidikan tinggi ke arah pembangunan sumber manusia, penyelidikan dan pembangunan, penajaan biasiswa dan penerokaan strategik pasaran luar negara.

Dalam pada itu, baginda turut menzahirkan rasa bangga atas kejayaan penyelidik UPM Prof Dr Mohd Hair Bejo atas kejayaan memenangi Anugerah Merdeka bagi kategori sains dan teknologi melalui penghasilan vaksin penyakit Gumboro yang menyerang ayam.

Inovasi oleh Dekan Fakulti Perubatan Veterinar yang telah dipasarkan sehingga ke luar negara ini meningkatkan lagi prestij UPM dalam menerajui bidang pertanian dan sains haiwan, titah baginda.

Baginda juga berkongsi kegembiraan atas pencapaian dan prestasi UPM sepanjang 2018 termasuk kejayaan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan mengekalkan pengiktirafan akreditasi Association to Advance Collegiate Schools of Business atau AACSB, menjadikan UPM universiti tempatan pertama menerima akreditasi itu dan keenam di Asia Tenggara.

UPM mencatatkan sejarahnya tersendiri dengan menyaksikan 6,973 graduan menerima ijazah pada konvokesyen kali ini.

SUMBER: BERNAMA

Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

Sultan bangga pencapaian UPM, optimis terus ditingkatkan

OLEH SHEEDA FATHIL

SERDANG, 7 OKT: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bangga dengan pencapaian Universiti Putra Malaysia (UPM) itu yang sehingga kini kian meningkat naik.

Baginda bertitah, UPM kini sudah meningkat daripada segi termasuk dalam sektor penyelidikan yang dijalankan.

“Pencapaian ini bukan kayu ukur sebenar kecemerlangan, jika dibandingkan dengan sumbangan yang sudah diberikan UPM kepada kesejahteraan negara selama ini.

“Sudah semestinya banyak penyelidikan yang diusahakan oleh UPM telah berjaya menyelesaikan pelbagai permasalahan dan membawa kebaikan kepada masyarakat tempatan dan antarabangsa,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Makan Malam Sirih Pulang Ke Gagang @ Homecoming ke-10, di Dewan Besar UPM, di sini, semalam.

Baginda bertitah, banyak lagi perkara boleh dilakukan UPM terutama aspek pembangunan dan penyelidikan yang memberi fokus kepada aplikasi harian, demi meningkatkan mutu kehidupan dan keselamatan terutama berkaitan keselamatan serta kesejahteraan makanan.

“Ini kerana, bagaimana pesat pun pembangunan sesebuah negara, sekiranya faktor keselamatan makanan dan kesejahteraan makanan tidak ditangani secara holistik, ia akan memberikan kesan yang mudarat dalam jangka masa panjang kepada masyarakat.

“UPM kini bukan sahaja mendominasi banyak bidang dan industri pengajian, malah beta berbangga dengan pencapaian di dalam disiplin seperti perubatan, kejuruteraan kimia, dan lain-lain.

“Namun, yang pasti, UPM masih terus kekal sebagai universiti diamanahkan untuk menjadi tunjang kepada ilmu dan amalan berkaitan pertanian. Malah, tetap terunggul di rantau ini dan tersohor di Malaysia dalam mengangkat imej juga prestij sektor pertanian,” titah baginda.

Baginda bertitah, menurut kaji selidik yang dijalankan oleh Best Global Universities for Agricultural Sciences, UPM kini berada di tangga pertama Malaysia, kesembilan di Asia, serta di kedudukan ke-53 di dunia, dengan mengetepikan universiti-universiti terkemuka lain.

“Beta ingin menzahirkan ucapan tahniah kepada Naib Canselor di atas pencapaian tersebut dan juga kepada semua naib-naib Canselor sebelum ini yang telah membentuk acuan kepada kejayaan ini.

“Beta juga berbangga dengan graduan UPM yang telah menyumbang di dalam pelbagai bidang, kerana apa yang penting adalah sumbangan kepada negara selepas tamat pengajian di samping tidak melupakan asal usul mereka.

“Beta juga berbangga dengan pencapaian ditunjukkan graduan UPM dalam bidang akademik, pentadbiran dan penyelidikan. Namun mereka harus ingat dari mana mereka bermula untuk mendapatkan segulung ijazah sehingga mampu mencapai kejayaan yang dikecapi sekarang,” titah baginda.

Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

UPM sasar kutipan RM10 juta menerusi APC, capai hasrat Sultan

OLEH SHEEDA FATHIL

SERDANG, 7 OKT: Universiti Putra Malaysia (UPM) mensasarkan kutipan RM10 juta melalui Alumni Passion And Compassion Initiatives (APC) pada Majlis Makan Malam Sirih Pulang Ke Gagang @ Homecoming kali ke-10 yang diadakan di Dewan Besar, di sini, semalam.

Ia bertujuan menambah dana bagi kempen sumbangan kebajikan pelajar seperti yang dihasratkan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Baginda yang juga selaku Tuanku Canselor UPM menitahkan sebagai usaha menyokong inisiatif tersebut, setiap alumni dikehendaki menyumbang sekurang-kurangnya RM10 sebulan.

Baginda bertitah, menerusi pencapaian yang dilakar oleh Persatuan Alumni UPM (PAUPM) dalam mengharumkan nama Universiti dan persatuan itu, baginda percaya PAUPM mampu untuk terus maju dan berjaya pada masa akan datang.

“Beta difahamkan PAUPM adalah alumni universiti yang paling aktif di Malaysia dengan menganjurkan beberapa siri seminar ke arah membangunkan sektor pertanian negara. Beta ingin melihat PAUPM menjadi contoh terbaik kepada persatuan-persatuan Alumni di Malaysia dan juga di rantau ini.

“Beta ingin mencadangkan supaya setiap ahli alumni yang kini berjumlah 108,390 orang menyumbang RM10 sebulan,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Makan Malam Sirih Pulang Ke Gagang @ Homecoming ke-10, di sini, semalam.

Titah baginda, hal itu sekali gus dengan jumlah tersebut, persatuan boleh mengumpul dana tahunan lebih RM10 juta yang boleh digunakan untuk membantu PAUPM membiayai aktiviti dan program tahunan mereka.

“Mungkin agak sukar bagi yang baru meninggalkan universiti untuk menyumbang pada jumlah itu, namun beta yakin dalam tempoh tiga tahun selepas itu mereka akan mampu berbuat demikian untuk sama-sama menyokong kelangsungan persatuan alumni ini.

“Beta yakin sebuah persatuan alumni yang kukuh dan aktif akan menyumbang balik kepada universiti, bukan hanya daripada peningkatan imej serta perhubungan awam, tetapi berkemungkinan dapat menyumbang balik kepada UPM dalam bentuk biasiswa serta dana penyelidikan,” titah baginda.

 

Categories
SELANGOR

DYMM Sultan Selangor cemar duli hadir Majlis Makan Malam UPM

OLEH SHEEDA FATHIL

SERDANG, 8 OKT: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mencemar duli ke Majlis Makan Malam Sirih Pulang Ke Gagang @ Homecoming ke-10 yang diadakan di Dewan Besar Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini, semalam.

Turut mengiringi baginda, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan isteri, Masdiana Muhamad.

Ketibaan baginda disambut Naib Canselor UPM, Prof Datin Paduka Dato’ Dr Aini Ideris.

Baginda yang juga merangkap Canselor UPM tiba di majlis berkenaan pada jam kira-kira 8.30 malam dan berangkat pulang jam 11 malam.

Terdahulu, pada majlis berkenaan, baginda turut melancarkan Majalah Serdang Sun ‘Edisi Khas DiRaja’.

Selain itu, baginda turut berkenan menyerahkan sumbangan penajaan dan penyampaian Anugerah Alumni kepada 24 orang yang juga merupakan ikon alumni yang banyak menyumbang bakti kepada UPM dan negara.

Difahamkan, lebih 1,000 alumni UPM hadir memeriahkan majlis berkenaan, semalam.

Majlis ‘homecoming’ itu merupakan tradisi bagi UPM menyambut alumninya bertujuan memupuk semangat kekitaan dalam kalangan alumni selain menemukan rakan lama.

Ia juga bertujuan mengeratkan hubungan di antara alumni dan ‘alma mater’ serta merupakan landasan untuk alumni berkongsi kenangan lama bersama bekas rakan sekuliah, pensyarah juga alumni terbaru.

Bermula sejak tahun 2001, ia melibatkan kerjasama erat antara Pusat Alumni UPM dan Persatuan Alumni UPM.

Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

Selangor tawar pengajian Diploma Eksekutif di UPM

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 10 JULAI: Kerajaan Negeri membuka peluang kepada orang ramai mengikuti pengajian Diploma Belia Dalam Kerja Pembangunan (Eksekutif) kepada mereka yang berkelayakan.

Tawaran dibuka sehingga 31 Julai ini bagi sesi pengajian di Universiti Putra Malaysia untuk kemasukan September 2018/2021.

Mereka yang berkelayakan boleh memuat turun borang permohonan di http://www.selangor.gov.my/index.php/pages/view/2580.

Sebarang pertanyaan boleh dibuat menerusi talian 03-55447921/7415/7144 atau faks 03-55196706/55447963.

Orang awam juga boleh berkunjung ke Tingkat 5, Seksyen Sektotal, Unit Perancang Ekonomi Negeri, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Azizah Shah, Selangor untuk maklumat lanjut.

Categories
SELANGOR

Reformasi 1998 bina intelektual MB

OLEH NAZLI IBRAHIM

BANGI, 9 JULAI: Gerakan reformasi yang tercetus pada 1998 memberi kesan kepada gaya pemikiran dan pembangunan intelektual Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Berkkongsi pengalaman, beliau yang ketika itu berumur 18 tahun terbabit dalam pasukan pendebat Universiti Putra Malaysia (UPM).

“Aktiviti debat mencabar minda untuk cerdas membina bongkah hujah dan tangkas membalas hujah lawan, namun kerana pada waktu itu meletusnya episod penting dalam politik negara, perdebatan bukan sahaja sekadar memenangi pertandingan tetapi mengasah minda saya memahami persoalan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Perlawanan Akhir Pertandingan Debat DiRaja, di Auditorium Permata Pintar, di sini, hari ini.

Amirudin berkata, kemahiran berdebat, pengucapan umum dan retorika yang ditimba sepanjang pembabitannya di universiti membantu beliau merungkai persoalan serta permasalahan awam selain berusaha mencari penyelesaian.

Katanya, hasil kerjasama dan keintiman pengasas awal sehingga kini, dunia debat melahirkan pendebat yang kembali berbakti kepada masyarakat dan negara.

“Saya ingin mengingatkan adik-adik di hadapan saya hari ini supaya tidak menjadi pendebat yang sekadar mahu memenangi pertandingan tetapi medan menajamkan intelektualisme dan idealisme,” katanya.

Perlawanan akhir bagi kategori Bahasa Melayu itu menemukan pasukan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai pembangkang dan UPM sebagai kerajaan.

Pertandingan debat dengan format Parlimen itu menyaksikan UPM sebagai juara.

Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

UPM hargai media, harap kerjasama ditingkat

OLEH HAFIZAN TAIB

SERDANG, 6 JUN: Universiti Putra Malaysia (UPM) merakamkan penghargaan kepada media yang banyak membantu dalam laporan berita bagi menjayakan pelbagai program universiti berkenaan.

Naib Canselor UPM, Prof Datin Paduka Dr Aini Ideris berkata, kerjasama erat terjalin sekian lama antara kedua pihak banyak membantu UPM dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat demi manfaat bidang pendidikan tinggi.

“Kita mengucapkan terima kasih kepada semua media yang telah memberi sokongan padu kepada UPM.

“Kalau dilihat daripada laporan berita diberi pihak media, ia membawa makna besar dan bernilai tinggi kepada UPM,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Iftar Pengurusan UPM Bersama Media di L’apprenti @Putra Restaurant, UPM, di sini, semalam.

Katanya, pengurusan UPM berharap kerjasama terjalin antara kedua pihak akan terus dipertingkatkan demi kebaikan bersama.

“Kita sangat berbangga dengan kerjasama ini,” katanya.

=EZY=

Categories
NASIONAL

UPM galakkan warga berzakat, wakaf melalui WAZAN

OLEH HAFIZAN TAIB

SERDANG, 2 JUN: Universiti Putra Malaysia (UPM) menggalakkan warganya dan alumni memperkukuh amalan berzakat serta wakaf menerusi Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN) bagi meningkat kebajikan universiti juga kemaslahatan sejagat.

Naib Canselor UPM, Prof Datin Paduka Dr Aini Ideris berkata, setakat ini pihaknya berjaya mengumpul kira-kira RM8.2 juta Dana Wakaf Ilmu sehingga 30 April lalu dengan kemudahan kepada penyumbang seperti pedmbayaran di kaunter, perbankan, peti sumbangan, skim potngana gaji dan sebagainya.

“Daripada keseluruhan kutipan wakaf tunai itu, RM3.9 juta diluluskan bagi pemilikan aset kekal iaitu untuk fasiliti Masjid UPM (RM1.09 juta), satu unit lot kedai projek Persada Awqaf (RM2.81 juta), projek Wakaf Ambulans Pusat Kesihatana Universiti (RM241,000), Pusat Aktiviti Warga Emas Wakaf Pak Ngah Atan (RM230,000) dan Wakaf Anjung Ilmu @Library UPM (RM200,000).

“Selain wakaf tunai, secara rasmi buat pertama kali dalam sejarah Dana Wakaf Ilmu telah menerima sumbangan wakaf bukan tunai pada 4 Januari lalu dalam bentuk harta tak alih daripada Bekas Pensyarah Fakulti Ekologi Manusia UPM, Hasnah Udin, iaitu satu lot tanah dan bangunan bernilai RM350,000 di Golf Height, Seremban untuk dijadikan Pusat Aktiviti Warga Emas diberi nama Wakaf Pak Ngah Atan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Berbuka Puasa dan Solat Terawih bersama Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor dan Tuanku Canselor UPM, Sultan Sharafuddin Idris Shah, di Masjid UPM, di sini, semalam.

Katanya, UPM merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, di atas pelantikan sebagai Felo Diraja UPM.

“Patik yakin dengan ilmu pengetahuan dan pengalaman dimiliki Tengku Amir Shah akan dapat memberikan pandangan, nasihat dan seterusnya memacu pembangunan kesarjanaan universiti bagi mencapai visi sebagai sebuah universiti bereputasi antarabangsa,” katanya.

Dr Aini berkata, UPM atas perkenan Tuanku Canselor akan terus mengangkat ‘Ihsan’ sebagai pemangkin kepada kesejahteraan kampus dan masyarakat dalam mendepani cabaran kecemerlangan.

“Dengan berpegang kepada kepada nilai ihsan iaitu salah satu sifat mulia dalam Islam, kita optimis dapat menggapai kesejahteraan hidup dan berfungsi sebagai tenaga akademik serta warga kerja cemerlang di universiti unggul ini,” katanya.

Mengiringi Sultan Selangor dalam majlis itu ialah DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Tengku Amir Shah.

Turut bersama, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan isteri, Datin Seri Shamshida Taharin; Exco Pemberdayaan Generasi Muda & Sukan, Pembangunan Usahawan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Amirudin Shari; Exco Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud serta Pengerusi UPM Holdings Sdn Bhd, Tan Sri Dr Ahmad Tajuddin Ali.

Categories
SELANGOR

RMS terima watikah pelantikan Felo Diraja UPM

OLEH HAFIZAN TAIB

SERDANG, 2 JUN: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, menerima watikah pelantikan sebagai Felo Diraja Universiti Putra Malaysia (UPM) di Masjid UPM, di sini, semalam.

Watikah pelantikan itu dipersembahkan Prof Emeritus Tan Sri Dr Anuwar Ali kepada Baginda dalam Majlis Berbuka Puasa dan Solat Terawih bersama Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, dilangsungkan di lokasi sama.

Majlis persembahan watikah itu turut disaksikan Sultan Selangor yang juga Tuanku Canselor dan Naib Canselor, Prof Datin Paduka Dr Aini Ideris.

Ia adalah salah satu acara dalam program itu yang turut disertai DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Turut hadir, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan isteri, Datin Seri Shamshida Taharin; Exco Pemberdayaan Generasi Muda & Sukan, Pembangunan Usahawan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Amirudin Shari; Exco Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud serta hadirin lain.

=EZY=

Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

PCC 2018 bawa tema ‘Faith In Huminity’

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM – Universiti Putra Malaysia (UPM) akan menganjurkan Putra Canselor Carnival (PCC) buat kali ketujuh pada 16 hingga 18 Mac ini bertempat di Kolej Canselor, dari jam 8 pagi hingga 11 malam.

Ketua Unit Media PCC, Athira Izyanie Abdul Rasid berkata, program bertaraf antarabangsa itu membabitkan pelbagai lapisan masyarakat terdiri daripada tingkat sosial ekonomi A hingga E.

“Pada tahun ini, PCC bertemakan ‘Faith In Humanity’ membawakan konsep ihsan selaras dengan visi Naib Canselor UPM, Prof Datin Paduka Dato’ Dr. Aini Ideris dalam Perutusan 100 Hari Naib Canselor.

“Visi itu menyatakan konsep ihsan yang merangkumi setiap amal perbuatan atau pekerjaan yang baik, dilaksanakan dengan betul, mahir, efisien dan cekap.

“Konsep ihsan ini juga dapat diterapkan secara perkongsian pelbagai aspek seperti kepemimpinan, kesukarelawanan, cabaran pendanaan dan kewangan universiti juga kesejahteraan warga kampus,” katanya dalam kenyataan.

‘Well Known Preacher’ iaitu aktiviti kerohanian pada waktu malam yang bertujuan untuk melahirkan masyarakat berjiwa ihsan adalah acara utama karnival berkenaan.

Selain itu, antara program menarik lain menanti pengunjung adalah ‘Program Blood Donation: We Share, We Care’, ‘Program Charity Mission: Share with Love’, ceramah agama ‘Benarkah Hidup Kita Sudah Ditetapkan?’, ‘Battle Of The Band: Grooving Back In Time’ dan ‘Ultimate Futsal Challenge’.

Katanya, penganjur mensasarkan kehadiran 5,000 pengunjung selain pembabitan 760 peserta daripada pelbagai universiti berdaftar di bawah Kementerian Pengajian Tinggi, 50 alumni Kolej Canselor dan 280 pelajar sekolah, di kawasan Serdang.