Categories
AGENDA NASIONAL

Keberkesanan vaksin Covid-19 dapat diatasi guna mRNA – pakar

KUALA LUMPUR, 3 FEB: Keberkesanan vaksin keluaran Pfizer terhadap varian baharu Covid-19 yang dikesan beberapa negara belum lagi diketahui, tetapi ancaman varian baharu itu boleh diatasi menerusi kaedah baharu Messenger RNA (mRNA) yang digunakan dalam penghasilan vaksin.

Pakar Mikrobiologi Klinikal Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Prof Madya Dr Nurul Azmawati Mohd berkata ada kemungkinan vaksin kurang berkesan atau langsung tidak berkesan terhadap varian baharu itu.

“Bagaimanapun, dengan teknologi mRNA masalah ini akan dapat diatasi. Kandungan mRNA dalam vaksin boleh ditukar dengan mRNA baharu yang menyerupai virus varian baharu dalam masa beberapa minggu sahaja,” kata Nurul Azmawati.

Beliau berkata demikian menerusi sesi webinar bertajuk ‘Takut Dengan Vaksin Covid-19’ anjuran bersama USIM dan Pusat Sains Media (SMC) Malaysia baru-baru ini.

Dalam pada itu, beliau menyarankan bekas pesakit Covid-19 untuk turut mengambil vaksin memandangkan ia membantu meningkatkan imuniti terhadap wabak itu.

Jumlah bekas pesakit yang mendapat jangkitan kedua adalah sedikit, oleh itu pakar menjangkakan antibodi yang dihasilkan hanya boleh melindungi seseorang bagi jangka masa beberapa bulan sahaja, katanya.

“Selepas dijangkiti Covid-19, sistem imuniti akan menghasilkan antibodi untuk menghalang jangkitan seterusnya. Masih banyak perkara yang belum difahami tentang antibodi terhadap virus penyebab Covid-19.

“Vaksin boleh diambil setelah seseorang bebas daripada sebarang jangkitan. Jika pesakit Covid-19 menerima rawatan ‘convalescent serum’, mereka perlu menunggu sehingga 90 hari sebelum mengambil vaksin,” katanya.

Sementara itu, Pengajar Khas Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan USIM Prof Datin Dr Che Ilina Che Isahak dalam webinar itu menyatakan kesan sampingan selepas suntikan vaksin merupakan perkara biasa dan positif kerana ia bermakna tindak balas imun berfungsi.

Antara kesan sampingan vaksin Covid-19 yang dilaporkan adalah sakit di tempat dicucuk, lemah lesu, sakit otot dan sendi, deman serta cirit-birit, dengan simptom itu kebiasaannya hilang dalam satu ke dua hari.

Beliau turut berkata kesan sampingan anafilaksi (reaksi alergi yang cepat) dilaporkan di United Kingdom dan Amerika Syarikat merangkumi tekanan darah rendah, pening dan sesak nafas, namun, rawatan cepat boleh disediakan serta tiada kematian dilaporkan akibat anafilaksi selepas suntikan vaksin.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Mutasi A701V tersebar banyak kluster Covid-19 gelombang ketiga

KUALA LUMPUR, 25 DIS: A701V, virus Covid-19 bermutasi yang dikesan dalam sampel Kluster Benteng LD di Sabah tersebar ke sebahagian besar kluster dalam gelombang ketiga di Semenanjung Malaysia dan Sabah, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata mutasi itu pertama kali dikesan dalam kalangan 22 jujukan SARS-CoV-2 dan antara kluster gelombang ketiga yang telah dijujukkan ialah Teratai, generasi ketiga Benteng LD, Tapak Bina Damanlela, Perigi, Selasih, Saguking, Tenaga, Kasih, Bah Ketil, Bukit dan Kaya.

“A701V itu kini menular bersama-sama jenis perebak utama D614G berikutan peningkatan luar biasa kes semasa gelombang ketiga.

“Memandangkan kebanyakan kluster mempunyai jenis ini, kehadiran A701V mungkin memberikan kelebihan tambahan kepada virus itu dalam menjadi strain dominan, mungkin menjadikannya lebih mudah menjangkiti,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik menerusi Facebook hari ini.

Dr Noor Hisham berkata prevalens A701V dalam kalangan kes gelombang ketiga ialah 86 peratus manakala D614G ialah 100 peratus.

Beliau berkata di peringkat global, Afrika Selatan, Australia, Belanda dan England juga melaporkan kehadiran jenis A701V pada waktu hampir sama dengan Malaysia.

“Dalam GISAID (satu inisiatif sains global dan sumber utama untuk data genom virus influenza), prevalens strain ini didapati sekitar 0.18 peratus dan peranan strain ini masih belum dapat dipastikan,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata setakat ini Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Institut Kesihatan Negara (NIH), Kementerian Kesihatan (KKM) telah menjalankan analisis terhadap lebih 120 jujukan genom penuh SARS-CoV-2 daripada sampel klinikal yang merangkumi gelombang pertama hingga ketiga kes Covid-19 di Malaysia.

Mengenai varian baharu dari United Kingdom dengan nama saintifiknya VUI 202012/01, Dr Noor Hisham berkata buat masa ini virus itu tidak dijumpai di Malaysia.

Bagaimanapun katanya IMR akan terus menjalankan penjujukan genom untuk memantau kehadiran varian itu serta varian lain dan KKM akan terus berwaspada dengan mengambil pelbagai langkah untuk mencegah penularan varian baharu ke Malaysia.

-BERNAMA